Wednesday, December 30, 2009

BERITA


Projek babi diteruskan -- Orang ramai, NGO bantah keputusan Kerajaan Selangor


BUSUK... Ketua Kampung Tumbuk, Sepang, Mohd. Tarmudi Tushiran (baju hitam) bersama penduduk kampung terpaksa menutup hidung kerana tidak tahan bau busuk sisa najis babi yang dibuang terus melalui pembetung ke Pantai Morib, semalam. Sisa kumbahan itu boleh mengancam industri dan projek pelancongan di pesisiran pantai sekitar Sepang.


SHAH ALAM 8 April – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor tetap meneruskan projek ternakan babi moden di negeri itu walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, barisan Exco negeri yang bermesyuarat Rabu lalu merasakan amat wajar untuk meneruskan projek berkenaan memandangkan kawasan tersebut telah menjadi tapak utama ladang babi di negeri itu.

Beliau mendakwa projek bernilai RM100 juta yang akan dilaksanakan di Sepang itu sebenarnya telah diluluskan pada 30 Januari lalu oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan pengumuman Ahli Exco Selangor, Teresa Kok kelmarin bahawa kerajaan campuran negeri baru meluluskan projek membangunkan ladang babi bernilai RM100 juta di Sepang.

Berikutan kenyataan itu, orang ramai serta beberapa persatuan pengguna membantah dan menyifatkan keputusan kerajaan negeri sebagai tidak menghormati sensitiviti rakyat.

Abdul Khalid seterusnya berkata: ‘‘Kerajaan negeri berharap pihak yang begitu prihatin mengenai kelulusan projek ternakan babi di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu.

‘‘Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar sebelumnya, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam pula Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari dalam nada berbeza menjelaskan, projek penternakan babi itu adalah kesinambungan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan masih belum diluluskan oleh kerajaan negeri sekarang.

Katanya, ketika ini, projek itu yang pernah ditolak oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) akan dikaji semula bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar mengusahakan ladang babi menyertai program penternakan moden berpusat itu.

‘‘Saya diamanahkan untuk mengkaji balik isu ini bagi memastikan semua penternak babi di Selangor terlibat dan selepas ladang moden ini diluluskan, tidak ada lagi ladang ternakan babi lain di mana-mana kawasan di Selangor,’’ kata Yaakob.

Sehubungan itu, beliau akan menemui semua penternak babi di Selangor dan membawa perkara berkenaan ke MTES untuk diluluskan sebelum dibawa ke mesyuarat Exco.

Sementara itu, projek penternakan babi di Sepang itu turut mendapat sokongan daripada tiga anggota Exco Pas Selangor.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Dr. Halimah yang juga Timbalan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat berkata, Pas menyokong projek itu selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.

Pada sidang akhbar itu, Abdul Khalid turut menjelaskan, semua ladang babi di Selangor yang beroperasi di luar kawasan tersebut akan ditutup dan dipindahkan ke situ bagi menjadikannya pusat setempat ternakan babi.

‘‘Proses pemindahan ini dijangka memakan masa enam bulan hingga setahun.

‘‘Kos mendirikan ladang pula akan ditanggung oleh para pemilik ladang dan bukan kerajaan negeri,’’ ujarnya.

Pada masa yang sama, tambah beliau, kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang permohonan untuk membuka ladang babi baru.

Beliau memberitahu, ladang ternakan babi moden itu bakal memenuhi piawaian kualiti tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Menurutnya, sebarang bahan buangan dari ladang itu nanti akan diproses kepada bentuk biogas untuk menjana elektrik dan air bagi kegunaan semula ladang.

Justeru, jelas beliau, tiada bahan buangan akan menjadi sisa dan keluar dari ladang itu.

Ditanya sama ada beliau didesak oleh pihak-pihak tertentu untuk meneruskan projek berkenaan, Abdul Khalid menafikannya.

‘‘Kerajaan negeri berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini.

‘‘Kita mahu melaksanakannya dengan adil dan saksama serta mengambil kira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor,’’ katanya.

(Berita ini dari Utusan Malaysia Online, 30 Disember 2009)


No comments: