Saturday, May 31, 2008

HADIS

IZIN DARI SUAMI

Nabi Muhamad telah bersabda: Mana-mana perempuan yang keluar dari rumahnya dengan tidak diizini oleh suaminya, dia adalah dalam kemurkaan Allah Taala sehingga dia pulang ke rumahnya atau sehingga suaminya memberi keredaan (kepada) nya.

Perawi: Al Khatib

PETUA

Untuk mengelakkan beras yang anda simpan dalam karung, tong atau dalam apa jua, dari di datangi bubuk, ambil beberapa helai daun nangka dan masukkan ke dalam tempat beras itu. Biarkan daun itu kering di situ. Nescaya bubuk tidak datang.

Friday, May 30, 2008

CEMAR KEMULIAAN PARLIMEN

Oleh: Wartawan Hal Ehwal Politik

Kuala Lumpur: Perbuatan dua orang ahli Dewan Rakyat dari parti pembangkang mengedar telur merah di sekitar dewan legar Parlimen sebagai kebudak-budakan dan mencemarkan kemuliaan Parlimen.

Pada Rabu lalu, ahli Dewan Rakyat (Segambut), Lim Lip Eng dan Loh Gwo Burn (Kelana Jaya) telah mengedarkan berpuluh–puluh biji telur merah kepada para hadirin di dewan legar Parlimen kerana meraikan genap sebulan mereka dipilih menjadi ahli Dewan Rakyat.

Lim Lip Eng dan Loh Gwo Burn sedang mengedar lapan biji telur merah.

Gambar, Berita Harian.

Lebih seminggu yang lalu sekeluarga orang India yang menyokong parti pembangkang telah mengadakan sambutan hari jadi anak mereka di dewan legar Parlimen.

Perbuatan keluarga itu telah ditegur oleh Speaker Dewan Rakyat, Pendekar Amin Mulia kerana mencemar kemuliaan Parlimen.

Kalangan mereka yang hadir sebagai pemerhati di Dewan Rakyat yang terdiri dari penyokong berbagai-bagai parti politik telah bersungut dan mengecam tindakan dua wakil rakyat dan keluarga India itu.

“Mengapa pihak keselamatan Parlimen membiarkan orang-orang yang membawa masuk kek dan bakul telur ke Parlimen, perbuatan itu menjadikan Parlimen bertaraf khemah dalam rimba,” kata pemerhati, Haji Salleh bin Ahmad’

“Kita, terutama orang Melayu, ada sopan santun, tau pilih mana tempat makan, mana tempat buang najis, tapi orang-orang tu biadab,” katanya.

“Saya berani kata, orang-orang itu bukan sahaja mencemarkan kemuliaan Parlimen, bahkan mereka biadab kepada Yang Dipertuan Agung, Perdana Menteri dan Kerajaan kita,” tambahnya.

Beberapa orang guru Melayu yang ditemui dalam kantin dan dewan legar Parlimen telah menyalahkan pihak DAP kerana memilih calon-calon untuk jadi wakil rakyat dari orang muda dan tidak ada pelajaran adab sopan dan ada resam orang Melayu.

Mereka kesal atas perbuatan wakil-wakil rakyat yang mengedar telur itu.

Sementara itu pengamal budaya Melayu, Haji Abdul Rahman Khamid menyeru pihak Parlimen supaya menjaga tata tertib Parlimen supaya ia tidak menjadi seperti pasar.

DIKEHENDAKI PINDAH

Putrajaya: Semua pegawai kerajaan yang tinggal di rumah (kuarters) kerajaan di sini yang jarak dengan kawasan rumah mereka sendiri, 25 kilometer radius, diberi dua pilihan, iaitu mengosongkan kuarters atau terus menetap dengan dikenakan sewa berganda.

Surat Pekeliling Perkhidmatan 2/2008 yang dikeluarkan oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri tanggal14 Mei 2008, seperti berikut:

‘Berkuatkuasa pada 2 April 2008 menetapkan mana-mana penghuni kuarters yang memiliki rumah dalam kawasan (25 kilometer radius) yang dibeli melalui Pinjaman Perumahan Kerajaan, akan diberi dua pilihan.

1 - Mengosongkan kuarters yang diduduki, atau

2 - Terus menduduki kuarters dengan \

dikenakan kadar sewa berganda.

Bahagian Pengurusan Hartanah telah menyediakan borang mengumpul maklumat yang perlu di isi oleh para penghuni semua kuarters kerajaan seperti yang ditentukan jarak rumah mereka dengan kuarters.

TAJOL ROSLI DIDESAK LETAK JAWATAN

Oleh: Mokhtar Petah

Kalangan ketua semua bahagian UMNO seluruh Negeri Perak telah mendesak bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali supaya meletakkan jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri itu, supaya muka baru mengganti tempatnya.

Tajol Rosli adalah ahli Dewan Undangan Negeri Perak (Pengkalan Hulu), anak kepada Menteri Besar Perak pertama setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Tan Sri Moihd. Ghazali bin Haji Jawi.

Beliau adalah di antara beberapa orang pengamal politik di negara ini yang menjadi pewaris bapa mereka atau mengikut keturunan dalam UMNO. Di antara mereka, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn, Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Nazri Aziz, Menteri Di jabatan Perdana Menteri dan Nur Izzah binti Anwar Ibrahim, ahli Dewan Rakyat kawasan Lembah Pantai.

Bagi mereka yang meminati sejarah, elok saya jelaskan, walaupun orang Melayu di Negeri Perak, keturunan dari berbagai suku kamu Melayu Nusantara, seperti orang Perak jati, Jawa, Banjar, Minangkabau, Acheh, Medahiling, Rawa, Telu, tetapi semenjak negara kita mencapai kemerdekaan hingga kini, Negeri Perak diperintah oleh lima Menteri Besar Perak terdiri dari keturunan Melayu Pattani dan tiga orang keturunan lain.

Menteri Besar Pertama, Tan Sri Mohd.Ghazali bin Haji Jawi, Pattani - Lenggong (1957 – 60), Menteri Besar yang kedua, Datuk Shaari Shafie – Melayu Perak – Sungai Siput (1960 – 64).

Menteri Besar yang ketiga, Datuk Seri Ahmad bin Said, Pattani – Lenggong (1964 -1970, Datuk Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa, Menteri Besar keempat, Pattani – Batu Kurau ( 1970- 74).

Mohd. Ghazali Jawi setelah menjadi Duta di Republik Arab Bersatu, setelah memegang jawatan Menteri Besar Perak kelima (1974-77). Allahyarham memegang jawatan tersebut bagi kali yang kedua.

Setelah berlaku krisis antara UMNO dengan Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah ibni Sultan Alang Iskandar Shah, Menteri Besar keenam menggantikan tempat Mohd Ghazali, iaitu Datuk Seri Wan Mohamed bin Haji Wan Teh (1977-83), Pattani – Grik, Menteri Besar Perak yang keenam.

Tan Sri Ramli bin Ngah Talib, Menteri Besar Perak menjadi Menteri Besar Perak yang ketujuh, keturunan Aceh – Kampung Gajah (1983-99) dan Mohd. Tajol Rosli Menteri Besar Perak kelapan, Pattani –Lenggong (1999 – 20008) dan Datuk Seri Mohamad Nizar bin Jamaluddin, Menteri Besar Perak kesembilan, Perak + Melayu Kampar/ Telu – Air Hitam Labu, Kampar – PAS (2008)

Sebilangan dari ketua-ketua UMNO bahagian yang melihat UMNO Perak telah lemah di bawah Tajol Rosli sehingga dirampas oleh parti-parti pembangkang telah mendesak beliau meletak jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Perak

Mereka telah memberitahu saya, bahawa Tajol Rosli mestilah sedarkan kelemahan dirinya yang beberapa tahun UMNO negeri lemah dan kerajaan negeri turut lemah.

“UMNO bukan milik peribadi seseorang, jangan nanti UMNO bertambah teruk baru hendak letak jawatan,” kata orang penting UMNO Perak yang meminta dirahsiakan namanya.

“Kami harap pucuk pimpinan parti melihat ke bawah, jangan sampai UMNO Perak hancur dan ramai ahlinya melompat ke parti lain, terutama PAS,” katanya.

“Pada masa lalu bolehlah pimpin sambil lewa kerana kuasa memerintah negeri dalam tangan UMNO, tapi sekarang dah berubah, kalau ketua UMNO negeri tak berwibawa sampai bila pun UMNO tak dapat rebut negeri Perak dari parti pembangkang,” katanya.

Kalangan UMNO Negeri Perak memberitahu, bahawa beberapa orang yang lebih berwibawa dan berpotensi sebagai pemimpin boleh menggantikan tempat Tajol Rosli dan akan dapat mengubah kelemahan parti itu pada masa depan.

Nama-nama yang mereka sebut, ialah Dato’ Zahid Hamidi, ahli Dewan Rakyat (Bagan Datoh) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, ahli Dewan Rakyat (Padang Rengas) merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Seorang tokoh lagi, Datuk Dr. Zambry bin Abdul Kadir, bekas ahi Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) dan ahli Dewan Negeri Perak (Pangkor).

Beberapa hari lalu,Tajol Rosli yang telah terasa ada desakan daripada beberapa bahagian UMNO agar beliau meletakkan jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Negeri Perak, telah mengugut akan meletakkan jawatannya sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Perak (Pengkalan Hulu).

Beliau akan bertanding semula dalam Pilihan Raya kecil yang akan diadakan nanti. Tetapi beliau mungkin tidak mengetahui, bahawa ada undang yang dibuat pada Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, bahawa setiap orang meletakkan jawatan dari ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negeri, tidak boleh bertanding semula dalam tempoh lima tahun.

Pada masa ini nampaknya tokoh UMNO Perak yang kuat melaung seperti mengatasi Tajol Rosli, ialah, Dr. Zambry Abdul Kadir, ahli Dewan negeri Perak (Pangkor).

Ramai pula kalangan UMNO Perak menolak Dr. Zambry untuk menggantikan Tajol Rosli, kerana beliau bukan anak Perak jati, beliau orang Pulau Pinang.

Mereka juga mahukan Ketua Jawatankuasa UMNO Perak menggantikan Tajol Rosli dari anak Perak atau lain dari keturunan orang Pattani.

Kalau penolakan itu berjaya, maka Datuk Seri Mohd. Nazri bin Abdul Aziz tidak diterima memegang jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Negeri Perak, kerana beliau juga dari keturunan orang Pattani.

Tokoh yang ada harapan besar mengganti Tajol Rosli ialah, Datuk Mohd. Zahid Hamidi. Beliau adalah keturunan orang Jawa dan bekas penuntut Sekolah Menengah Agama Islam, Izzuddin Shah, Ipoh.

(Untuk menungan)

BELATUK JAMBUL MERAH

Burung belatuk atau taguk-taguk yang disebut dalam Quran ‘hud-hud’ (An Naml:20) sejenis unggas yang terkenal, kerana ia telah menjadi utusan membawa warkah Nabi Sulaiman a.s. kepada Ratu Balqis, di Sabagai, Yaman, sehingga ratu itu memeluk agama Islam.

‘Kamu pergi membawa surat aku ini, dan gugurkan kepada mereka (Ratu Balqis), kemudian kamu menghindarkan diri dari mereka, dan perhatikan bagaimana jawapannya.

(Ratu Balqis) telah berkata, hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepada ku sepucuk surat yang mulia.(surat) itu dari Sulaiman dan (di antaranya): Dengan nama Allah yang Pemurah dan Penyayang’

(An Naml: 28 -, 30).

Nabi Sulaiman mewarisi Nabi Daud a.s., iaitu Allah telah menjadikannya nabi selepas Nabi Daud alaihis salam. Nabi Allah itu memahami bahasa atau bunyi unggas. Semua unggas, manusia dan jin menjadi tentera Junjungan.

Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: “Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurniaan nyata.”

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).

(an naml:16,17.)

Pada zaman Nabi Daud burung belatuk berjambul merah. Menurut kisah (tidak ada dalam Quran), semua burung belatuk minum air dari tasik dan sungai seperti unggas-unggas lain juga. Tetapi kerana hawa nafsu ingin bermegah, maka wakil (macam wakil rakyat) burung-burung tersebut telah menghadap Nabi Sulaiman untuk meminta Junjung berdoa agar burung belatuk berjambul merah.

Nabi Sulaiman telah enggan menunaikan permohonan wakil belatuk itu dengan alasan:

“Belatuk, mengapa kamu hendakkan jambul, bukankah dengan keadaan kamu sekarang ini tidak menyusahkan kamu?”

“Ampun Tuanku,kami hendak juga jambul merah,” jawab wakil belatuk.

“...sekarang ini kamu semua minum air tasik dan sungai, maka bersama burung-burung lain, tetapi kalau kamu semua berjambul merah akan jadi susah,” Nabi Sulaiman menasihati belatuk.

“Tidak tuanku, tak jadi susah ...,” sambut wakil belatuk.

“Akan susah belatuk, bila kamu ada jambul,orang ..., kanak-kanak akan terbir kamu, baling kamu dengan batu, kerana mereka hendakkan jambul kamu ..., kamu jadi tak bebas lagi, ” sabda Nabi Sulaiman.

“Tidak Tuanku, kami minum air tasik dan sungai jauh dari mereka,” sahut wakil belatuk.

“Kamu tengoklah, kalau kamu ada jambul, kamu tak dapat lagi minum air dari tasik dan sungai,kamu terpaksa minum air dalam punggur, cari makanan pada batang kayu, sarang kamu pun pada punggur juga,” sabda Nabi Sulaiman.

Kerana wakil rakyat belatuk itu terlalu meminta dan mendesak, maka Nabi Sulaiman telah berdoa kepada Tuhan supaya dikurniakan jambul merah kepada semua belatuk.

Wakil (macam wakil rakyat sekarang) belatuk itu kembalilah mendapatkan kaum sejenis dalam rimba. Hatinya puas kerana Nabi Sulaiman telah melayan kehendak mereka. Semua pengikutnya gembira kerana akan menjadi sejenis unggas yang cantik.

Sebaik-baik sahaja semua burung belatuk berjambul – yang jantan jambul merah dan yang betina berjambul hitam atau kelabu asap - , maka mereka telah mengalami masalah yang sulit. Mereka tidak dapat lagi meminum air dari tasik dan sungai kerana diterbir atau dibaling batu oleh orang atau kanak-kanak yang hendakkan jambul mereka.

Semua burung belatuk terpaksa mencari makan dengan mematuk-matukkan paruh masing-masing pada batang kayu. Mereka terpaksa meminum air di hujung batang reput atau punggur dan tempat tinggal jua dalam lubang kayu..

Kisah itu sama ada benar atau rekaan, dapat kira terima sebagai pelajaran, iaitu:

. Memilih wakil yang tidak berpelajaran dan tidak bijak akan menyusahkan kehidupan orang ramai.

. Biasanya orang yang mengutamakan gaya dan kecantikan diri tidak adalah orang yang tidak bijak dan tidak boleh jadi pemimpin.

Semua burung belatuk tidak menjadi bebas lagi. Hidup bergantung kepada batang kayu reput atau punggur. Demikian juga manusia, kerana berkehendakkan kebendaan – hidup kaya dan sebagainya atau nama -, maka diri menjadi manusia yang bergantung kepada orang lain.

Dari kisah belatuk itu, orang tua Melayu pada zaman silam yang memerhatikan seseorang yang bergantung kepada ketua, pembesar, orang berkuasa, apabila orang tempat bergantung itu jatuh,maka dia ikut jatuh.

Apabila kita meniti atas sejarah parti politik dan orang-orang politik – sama ada yang berkuasa atau tidak berkuasa - di negara ini, kerana mereka tidak berjuang dengan ikhlas – tidak kerana Allah; demi bangsa, negara dan agama Islam, sebaliknya bertujuan kebendaan, kedudukan dan sebagainya, maka mereka bernasib seperti belatuk.

Misalnya mereka yang terlalu berpaut kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi Menteri Kewangan, apabila beliau tidak lagi memegang jawatan itu dan perjuangannya merosot, maka pengikut-pengikutnya menjadi seperti belatuk

Begitu juga mereka yang terlalu berpaut kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, apabila beliau jatuh, orang-orang itu jadi seperti belatuk.

Sebilangan besar berpaut kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, setelah beliau meletakkan jawatan, para pengikutnya menjadi seperti belatuk juga.

Semua manusia yang berbangsa Melayu di seluruh Kepulauan Melayu atau Nusantara, amat kenal akan burung belatuk. Satu peribahasa Melayu telah menjadi sirih pinang atau asam garam dalam perbualan harian orang Melayu, iaitu: Punggur rebak belatuk tumpang mati.

PEMIMPIN YANG BODOH

Nabi Muhamad s,a.w. telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan menarik ilmu sekali gus dari hambanya, melainkan dengan menarik (mewafatkan) ulama sehingga kalau tidak ada lagi tinggal sorang alim pun, manusia mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin. Maka (para pemimpin yang bodoh itu) ditanya orang (mengenai hal keagamaan), lalu mereka berfatwa (menjawab pertanyaan itu) dengan tidak bersandarkan ilmu, maka itu sesat dan menyesatkan.

Perawi: Imam Ahmad, Asy Syaikhan,

At Turmuzi dan Ibnu Majah.

MENGUBAT KENSER PAYU DARA

Dari Pustaka: Mokhtar Petah

Para wanita – tua dan muda – yang mengesyaki atau disahkan oleh doktor yang mereka telah diserang barah atau kanser payu dara, boleh mencuba mengubat sendiri dengan menggunakan ayat Quran.

Ayat Quran adalah kalam Allah dan mukjizat. Dengan Izin Allah jampi menggunakan ayat Quran, penyakit kanser itu akan sembuh.

Setiap orang yang hendak mengubat kanser dengan menggunakan ayat Quran, hendaklah tawakal dan yakin, kukuh iman kepada Allah dan kepada Quran, di samping kuat iman kepada para rasul, para malaikat dan hari akhirat.

Firman Allah:

Berdoa (minta)lah kepada Aku,nescaya Aku perkenankan.

(Al Mukmin: 60).

Bahan-bahan sampingan:

1- Madu lebah rimba atau batu.

2- Pucuk delima yang merah.

3- Pucuk akar seruntun atau patawali.

4- Madu lebah dibancuh dengan pucuk delima dan pucuk akar

5- Seruntun yang telah ditumbuk lumat.

Cara mengubat:

Sembahyang hajat pada waktu tengah malam, meminta kepada Tuhan agar menyembuhkan penyakit kanser. Pada tiap-tiap kali sujud minta dalam hati kepada Tuhan, kira-kira begini: “Ya Allah, saya memohon kepada-Mu, sembuhkanlah sakit kanser saya ini. Kamulah Maha Penyembuh segala penyakit.”

Sebaik-baik sahaja lepas sembahyang hajat, baca lafaz tobat tiga kali. Baca seperti berikut:

1) Al Fatihah lima atau tiga kali, diikuti dengan,

2) Baca bismilah, diikuti dengan,

3) Baca ayat Quran: wa Iza maridhtu fa Hua Yasyfini – Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.(asyu Syu’ra:80), dikuti dengan,

4) Baca: La haula wala quwwata illa billhil Azim (tidak ada daya upaya dan tidak ada tenaga kekuatanku, melainkan dengan Allah Maha Tinggi dan Maha Agung, dikuti dengan

5) Selawat kepada Nabi Muhammad: Allahumma salli ala Muhamad.

Setiap kali lepas membaca hembuskan kepada ubat ramuan itu. Kemudian sapu pada ke seluruh payu dara sambil membaca lagi, no. 1 – 4. Tiap kali habis membaca, hembuskan kepada payu dara.

Amalkan selama tiga hingga tujuh malam. Insya Allah sembuh.

Thursday, May 29, 2008

ABDULLAH BADAWI TAK KENANG BUDI?

Oleh: Khairul Adib

Bekas Perdana Menteri dan ahli UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menganggapkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai orang yang tidak mengenang budi.

Beliau telah membuat anggapan demikian, pada ketika berucap kepada sekumpulan penyokong beliau yang telah menyambut ketibaannya dari melancong ke Jepun, di Subang pada petang semalam (Selasa).

Ucapan Dr. Mahathir Mohamad yang penuh sentimen itu bolehlah dianggap ‘oleh-oleh’ yang dibawa dari Jepun untuk para penyokongnya.

Suara Dr. Mahathir Mohamad adalah suara orang marah dan kecewa.

Setiap orang yang senantiasa menggunakan fikiran yang waras dan berlandaskan ajaran Islam, amat terkejut akan anggapan bekas pemimpin negara itu, kerana tidak sepatutnya anggapan demikian lahir daripada beliau.

Semua orang mengetahui, bahawa Abdullah Ahmad Badawi tidak seperti yang dianggapkan oleh Dr. Mahathir Mohamad itu. Beliau adalah jenis manusia ‘berfikir sebelum bercakap’ dan ‘menghormati orang lain walaupun orang lain tidak menghormati beliau’.

Soal siapa bawa masuk Abdullah Ahmad Badawi ke dalam UMNO, mengangkat beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri hinggalah kepada Perdana Menteri, tidaklah patut diungkit, kerana itu ‘bukan budi’, tetapi tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh setiap pejuang.

Siapa yang memulakan krisis peribadi antara Dr. Mahathir Mohamad dengan Abdullah Ahmad Badawi? Dr. Mahathir Mohamad yang telah memulakan lebih dahulu. Beliau telah mengecam dan boleh dikatakan hampir mengutuk Abdullah Ahmad Badawi dalam semua ucapannya.

Walaupun kecaman demi kecaman dilakukan oleh Dr. Mahathir Mohamad terhadap Abdullah Badawi, tetapi beliau tidak pernah bersuara kasar terhadap bekas ketuanya.

Seperti kebanyakan orang mengetahui, perasaan marah dan benci bekas Perdana Menteri itu kepada Abdullah Ahmad Badawi, bukanlah kerana ‘demi UMNO dan bangsa Melayu’, tetapi kerana kebendaan, iaitu setelah kerajaan membatalkan projek jambatan bengkok Johor – Singapura.

Bagi pengamal-pengamal politik yang telus, selama lebih 20 tahun Dr. Mahathir Mohamad memerintah negara ini, tidak nampak beliau menyatupadukan orang Melayu dan ummah, tetapi yang kelihatan nyata, beliau melakukan pecah dan perintah, sehingga orang Melayu berpecah belah.

Bagaimana kesetiaan dan ‘kenang budi’ Abdullah Ahmad Badawi kepada Dr. Mahathir Mohamad dapat kita teliti dari ‘Ucapan Terima Kasih Kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad’ oleh beliau dalam Dewan Rakyat, pada 3 November 2003, iaitu:

“ ... bahawa Dewan ini, menerima hakikat bahawa ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat sejak 16 Julai 1981, dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara; Menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besar, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara.

Menyedari serta menginsafi, kesungguhan dan keprihatinan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan umat Islam di seluruh jagat, khususnya di negara Malaysia yang majmuk, menerusi penguasaan dan kecemerlangan ilmu di semua bidang kehidupan mutakhir; Menghayati serta menyokong penuh kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu dalam menangani krisis ekonomi negara akibat kedurjanaan pengganas kewangan antarabangsa menerusi strategi ekonomi, kewangan an pengurusan yang unik, efektif dan diiktiraf dunia.

... semoga beliau dan Tun Dr. Siti Hasmah serta keluarga dilimpahkan segala kebahagiaan. Semoga khidmat bakti beliau diterima oleh Allah s.w.t. sebagai amal makruf, dianugerahkan ganjarannya dunia ganjaran akhirat.

Sebesar-besar hadiah persaraan yang dapat warga Malaysia berikan kepada beliau adalah untuk meneruskan wawasan dan impian, menjadikan Malaysia sebuah negara maju, makmur, aman dan stabil.”

Ucapan yang memakan sembilan paragraf yang panjang itu, telah membuktikan Abdullah Ahmad Badawi amat ‘kenang budi’ terhadap Dr. Mahathir.

Ucapan tersebut menjadi khazanah sejarah yang membuktikan Abdullah Badawi amat menghargai jasa bekas ketuanya, Dr. Mahathir Mohamad.

Sebenarnya, kalau Dr. Mahathir Mohamad menginsafi dirinya; sebagai orang tua dan ‘orang tua-tua’, dengan kemudahan yang diperoleh dari kerajaan, sepatutnya beliau tidak melakukan karenah, menimbulkan perpecahan di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu. Beliau meneruskan sisa-sisa untuk tiga jenis ini:

1. Bekerja sebagai bekas Perdana Menteri. Jika ada sesuatu yang tidak kena yang dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi yang menyambungkan lebuh raya perjuangannya, maka beliau eloklah secara persaudaraan, dan memberi nasihat dan tunjuk ajar.

2. Maknanya, tidak melaung-laung ke seluruh dunia akan salah dan silap Abdullah Badawi sehingga mencemarkan maruah beliau dan orang Melayu dan rakyat Malaysia yang dipimpinnya.

3. Beribadat kepada Allah sebagai hamba yang berada di hujung usia.

4. Singkirkan perasaan memandang rendah terhadap orang lain, mengata dan mencerca orang dan sebagainya.

5. Menulis buku dan beberapa buah buku ilmu pengetahuan untuk menjadi pengetahuan dan panduan bagi generasi pada masa ini dan akan datang. Tetapi tulisan dalam buku itu jauhkanlah dari sesuatu yang terkandung dalam ucapan beliau mencaci Abdullah Ahmad Badawi..

Tetapi, jika Dr. Mahathir Mohamad telah termasuk dalam manusia yang seperti firman Allah dalam surat At Taubah: 82, maka mereka ketawa sedikit dan banyak menangis sebagai pembalasan atas apa yang mereka kerjakan, maka tidak ada siapa yang boleh menasihatinya. Apa jua nasihat dari orang lain tidak akan diterima dan tidak memberi sebarang guna lagi.

Jika kita kaji imbas kembali sejarah negara kita, maka kita akan mendapati; Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra tidak puas hati terhadap orang yang mengganti tempatnya, Allahyarham Tun Abdul Razak. Tunku pernah memberitahu kepada seorang penulis, bahawa Tun Abdul Razak memaksa dia meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Tunku Abdul Rahman juga banyak mengkritik dan mengecam Dr. Mahathir Mohamad. Titik hitam telah wujud dalam UMNO, bahawa Dr. Mahathir Mohamad dipecat dari parti orang Melayu itu kerana melawan Tunku Abdul Rahman.

Tidak ada kecaman dari Allahyarham Tun Abdul Razak ke atas Tun Hussein Onn. Seperti orang ramai mengetahui, bahawa Tun Abdul Razak telah meninggal dunia di London pada masa berjawatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri yang ketiga, Tun Hussein Onn telah tidak puas hati dengan tindak tanduk Dr. Mahathir Mohamad sebagai timbalannya kerana dikatakan Dr. Mahathir Mohamad telah menjalan kuasa melangkau dari yang diberi oleh ketuanya, termasuk kisah pengampunan ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Haji Harun Idris.

Kita memohon kepada Tuhan, mudah-mudahan, setelah Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan kerusi Perdana Menteri, beliau tidak akan menjadi seperti Dr. Mahathir Mohamad, iaitu mencerca dan mengumpat terhadap orang yang mengambil alih kerusi beliau.

Sesungguhnya, manusia selagi bernama manusia, dia mempunyai kemahuan nafsu yang sukar disekat atau dibendung seperti tiga tenis berikut ini:

* Apabila dia lapar, dia mahukan kenyang.

* Apabila dia telah kenyang, dia mahukan senang.

* Apabila telah senang, dia mahukan menang.

Dr. Mahathir Mohamad dan orang-orang lain pun berkeadaan seperti itu juga. Oleh yang demikian wujudlah perbuatan menjatuhkan kawan seperjuangan, tidak senang melihat orang lain maju, tidak puas hati melihat orang lain berjaya dan ingin menjatuhkan sesiapa sahaja yang berkeadaan melebihinya.

Untuk Menungan

DUA BERANAK DENGAN SEEKOR KELDAI

Oleh: Mokhtar Petah

Mursyidul ‘Am PAS dan Menteri Besar Negeri Kelantan,Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam bukunya, Tazkirah Jiwa Dan Nafsu, pada halaman 45, menegaskan:

‘Lazimnya jika Allah sayang kepada seseorang, maka dalam waktu yang sama ramai pula manusia yang membencinya. Demikianlah pula sebaliknya apabila manusia menyanjung seseorang, namun belum pasti Allah Taala meredainya.

Seseorang yang ingin popular di kalangan manusia, kadang kala mereka lebih banyak tunduk kepada kemahuan dan desakan orang ramai, sedangkan pandangan dan desakan orang ramai tidak semestinya berasas kebenaran.

Dalam masyarakat yang masih diselimuti kejahilan, kebenaran yang diperjuangkan oleh seseorang atau sesuatu kelompok tidak semestinya dipandang benar oleh orang lain’

Saya telah meneliti pendapat ahli politik Islam ini, maka saya mendapati pada zaman jahiliah moden ini, manusia dan orang kita ada penyakit yang diwarisi dari mereka yang hidup pada zaman silam, iaitu tidak senang melihat orang lain pandai, bijak, senang dan sebagainya. Lalu saya teringat pada masa saya mempelajari bahasa Arab pada tahun 1950-an, saya membaca satu kisah orang dua beranak dengan seekor keldai.

Orang dua beranak itu menjadi dua manusia yang tidak habis-habis dipecacai(dicaci) oleh orang ramai. Akhirnya si bapa dan si anak mengambil jalan yang ditunjukkan oleh Allah, iaitu ikut fikiran sendiri dan tidak usah peduli apa orang lain kata.

Dalam satu kawasan di negara Arab (orang Arab pun macam perangai orang Asia juga suka menyalahkan orang lain), seorang lelaki duda (katakan, namanya, Sheikh Jamal), kerana isterinya telah meninggal dunia. Dia tinggal dengan anak lelakinya (katakan, Qais) yang berusia telah ada keinginan untuk beristeri.

Pada satu hari, Sheikh Jamal bersama Qais telah menunggang seekor keldai untuk pergi ke suatu tempat yang jauh. Mereka telah melalui satu pekan kecil yang ramai orang. Pada ketika mereka melalui di hadapan orang yang ramai itu, mereka telah mendengar beberapa orang berkata:

“Orang tua tak berakal, adakah patut, dia dengan anaknya menunggang keldai yang daif itu.”

Setelah mendengar perkataan itu, Sheikh Jamal telah turun dari keldainya. Dia berjalan kaki dan anaknya menunggang keldai tersebut. Pada ketika mereka melalui sebuah kampung, mereka terdengar orang-orang di kampung itu yang berdiri di tepi jalan, berkata,“ Apalah orang tua ini, tak pandai didik anak ..., dia berjalan kaki, anak tunggang keldai.”

Setelah jauh dari mereka yang berkata kepada mereka, Sheikh Jamal telah meminta anaknya berjalan kaki. Dia menunggang keldai itu.

Mereka meneruskan perjalanan. Tatkala mereka tiba berhampiran dengan satu pasar, terdengar orang - orang di situ berkata, “ Orang tua tak berakal, tak ada hati perut, adakah patut, dia tunggang keldai, anak berjalan kaki.”

Setelah mendengar kata-kata orang ramai itu, Sheikh Jamal telah berkata kepada anaknya, “Beginilah Qais, kita berjalan, tak usah tunggang keldai, nampaknya apa yang kita buat, semuanya tak kena,”kata Sheikh Jamal.

Dua beranak itu berjalan kaki. Si anak berjalan sambil menarik tali keldai itu. Mereka telah tiba di sebuah kampung pada waktu Asar. Orang dua beranak itu singgah sembahyang fardu Asar di masjid kampung tersebut. Pada ketika mereka memulakan perjalanan, mereka terdengar orang-orang di halaman masjid itu berkata, “Orang tua tu tak ada akal, ada keldai dibiarkan berjalan, dia dengan anaknya berjalan kaki.”

Sheikh Jamal dan anaknya berhenti di suatu tempat. Keldai mereka dibiarkan meragut rerumput kering di situ.

“Qais, sepanjang jalan orang-orang telah berkata kepada kita, semua yang kita buat tak kena ...,” kata Sheikh Jamal.

“Ia, bapa, bapa pun tahu, dalam perut manusia ada benda busuk (najis), dalam kepala ada otak, selagi manusia ikut perut, jadi macam orang-orang yang kata kepada kita itulah.”

“Habis, apa kita nak buat, Qais?” Tanya Sheikh Jamal.

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar, kita tak usah dengar cakap orang ...,” jawab Qaid.

“Kita buat ikut cara kita,”sahut Sheikh Jamal.

Mereka ketawa.

HADIS

KEZALIMAN


Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: Kezaliman ada tiga jenis. Kezaliman yang tidak diampuni, ialah syirik, iaitu menyekutukan Allah. Kezaliman yang akan diperhitungkan, ialah kezaliman antara manusia. Kezaliman yang akan dimaafkan ialah penganiayaan terhadap diri sendiri.

Perawi: Sayidina Abas, At Taya’lisi dan Al Bazzar.

IMAN YANG LEMAH

Sesiapa daripada kalangan kamu (orang Islam) yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu (dengan tangannya), hendaklah mengubah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu (dengan lidahnya), maka, hendaklah mengubahnya dengan hati (mendiamkan diri dan benci kepada perbuatan itu), dan (cara itu) adalah selemah-lemah iman.

Perawi: Abu Sa’id Al Khudri dan Imam Muslim.

PETUA


Pada hari Selasa lalu, kira-kira jam 3.00 petang, pada waktu saya hendak pulang, saya tersua dengan seorang ahli Dewan Rakyat dari utara, di tangga Parlimen. Dia sedang memanjat tangga sambil mengurut lutut kirinya dengan tangan kanannya.

Ahli Dewan Rakyat itu, bekas menteri kabinet. Dia telah berkahwin dengan seorang perempuan yang lebih muda daripadanya.

“Ngapa jalan macam tu?” saya bertanya.

“Entahlah, sakit lutut,”jawabnya.

Saya senyum dan dia senyum.

Saya pegang tangan kanannya. Saya rasa urat pada antara tapak dengan pergelangan tangannya. Dia sedang mengalami sedikit lemah saraf. Orang lemah saraf kerana angin, biasanya lemah tenaga batinnya (saya tidak tahu sama ada dia begitu, tapi tak mungkin kerana dia mampu mendapatkan ubat yang baik dan rawatan yang sempurna). Kalau dia tidak berubat, nescaya penyakit itu akan melarat.

Sebagai kenalan dan dengan tujuan menolong, saya memberitahu kepadanya supaya meminum air rebusan: Lengkuas tua, halia tua dan campur sedikit akar patawali (seruntun), pada tiap-tiap pagi. Insya Allah, sakit yang dihidapi Yang Berhormat akan pulih.

Wednesday, May 28, 2008

RASUAH MUSNAHKAN NEGARA

Pengamal Rasuah Manusia Hina Dilaknat Tuhan

[Apabila Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia) mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, amalan rasuah – penyakit bahaya - yang dilakukan oleh para pegawai penjajah telah berpindah kepada para pemegang amanah negara kita pula.

Semenjak negara ini di bawah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra hingga kepada Perdana Menteri yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, amalan rasuah telah menjadi seperti orang makan nasi lemak setiap pagi.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dikatakan terkongkong sejak tahun 1981 hingga 2003, kini, telah bangkit dengan semangat baru dan tanggungjawab yang telus telah menjalankan tindakan ke atas mereka yang melakukan amalan rasuah dan yang bersifat tidak amanah kepada negara.

Berikut ini kami menyiarkan sedutan dari dua bab dalam buku Basmi Rasuah, oleh: Mokhtar Petah yang akan terbit. Di harapkan akan dapat memberi manfaat kepada pembaca.

Editor-Petah Shahrir Aidid.]

Jika amalan rasuah dalam sesebuah negara tidak dibendung atau wujud kebebasan mengamalkan rasuah dari peringkat atasan – raja pemerintah, presiden, perdana menteri, menteri, gabenor, ahli parlimen - hingga pegawai badan awam kaki tangan bawahan seperti polis, tentera, petugas bandaran, kerani, buruh dan sebagainya, maka negara itu akan menjadi miskin dan muflis atau dijajah oleh kuasa-kuasa lain.

Sejarah umat Arab yang telah dijajah oleh penjajah-penjajah dan pada masa ini mereka tertekan atau terkekang di bawah kuasa-kuasa besar, disebabkan raja dan orang-orang atasan – al malik atau sultan dan pembesar-pembesar termasuk pegawai tinggi kerajaan - di negara-negara tersebut mengamalkan rasuah.

Semenjak kejatuhan kerajaan Islam Othmaniyah Turki (1299 – 1922) jatuh, dan dijatuhkan dengan berbagai menggunakan berbagai corrupted (rasuah) dan persenjataan, maka negara-negara Arab telah terkekang di bawah kuasa penjajah – British,Amerika, Yahudi,Perancis dan kuasa-kuasa lain dalam bidang politik dan ekonomi.

Demikian juga kejayaan Yahudi membentuk negara Israel di bumi Baitulmuqaddis, adalah menerusi rangkaian rasuah British dan Yahudi kepada pembesar-pembesar dan golongan perdagangan Arab pad masa itu rasuah. Dengan cara demikian memudahkan kuasa-kuasa besar(terutama Amerika dan British) dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan dengan keputusan badan dunia itu, maka bumi kiblat awal dalam agama Islam menjadi negara Zionis.

Kemusnahan

Kehancuran Negara Islam Afghanistan (Taliban) dan kemusnahan Negara Sosio-nasionalis Iraq akibat diserang dan diperangi oleh Amerika Syarikat, adalah disebabkan sebilangan dari rakyat–rakyat di negara-negara tersebut menerima rasuah dari kuasa besar itu.

Sebelum dua negara itu musnah – media melaporkan - , bahawa mereka yang menentang pemerintah Negara Islam Afghanistan (Taliban) dan Presiden Saddam Hussein dan kerajaannya, hidup mewah, sentiasa melawat atau pergi ke Amerika Syarikat, Great Britain dan negara-negara lain dengan menaiki pesawat mewah, menginap di hotel-hotel mewah dan berfoya-foya atau berseronok dengan segala kemewahan di tempat-tempat hiburan eksklusif.

Mereka itu telah menerima segala kemewahan itu daripada negara-negara yang berhajat besar untuk menghancurkan dua buah negara itu – Afghanistan dan Iraq. Tindak tanduk yang tidak berperikemanusiaan Amerika Syarikat, Britain dan sekutu-sekutu mereka kerana beberapa sebab, di antaranya ialah:

* Memusnahkan agama Islam dan ummah.

* Kepentingan industri senjata canggih.

* Kepentingan Ekonomi, terutama minyak.

* Penjajahan bentuk baru pada zaman jahiliah moden.

* Membantu umat Yahudi.

Protokol

Jika sesiapa mengkaji buku ‘Protokol Yahudi’ – Zionis Sages Protocols - maka tentulah tidak menafikan, bahawa amalan rasuah di negara-negara Arab dan di seluruh dunia sedikit sebanyak lahir dari hikmah atau pengajaran dari ‘protokol’ tersebut.

‘Dalam Protocols kedua disebutkan:

‘…kitalah yang mempersiapkan Darwin, Marx, Neicthe dan kita tidak menganggap kecil kesan kerosakan yang ditimpakan oleh teori-teori mereka terhadap bangsa selain Yahudi’

Protocols pertama membimbing orang Yahudi tentang cara memperdaya bangsa lain serta menanamkan bibit kekacauan dan kerosakan. ‘Sesungguhnya bangsa Nasrani akan menjadi dungu otaknya sebagai kesan dari minuman keras. Ramai orang muda yang hancur kerana tenggelam dalam kemaksiatan sebelum masanya. Hal itu sebagai hasil dari usaha pendukung-pendukung kita yang terdiri dari para guru, pembantu, wanita-wanita pendidik yang tinggal di rumah para korporat, pegawai dan wanita masyarakat biasa yang meniru gaya moden dan huru-hara.

Kewartawanan

Saya telah berkecimpung dalam dunia kewartawanan dan penulisan, dan ramai rakan dan kenalan dari raja memerintah, perdana menteri, menteri, wakil rakyat, pegawai dan kaki tangan kerajaan hingga buruh kasar dan petani di kampung-kampung air meleleh, maka saya telah ‘mengetahui dan mengenai’ bagaimana kerana makan suap atau rasuah dan orang-orang yang memberi dan menerima rasuah. Saya yakin semua wartawan yang seusia dengan saya mempunyai pengetahuan tentang amalan rasuah itu seperti yang ada pada saya, atau lebih dari yang saya miliki.

Di antara pengetahuan saya berhubungan dengan amalan rasuah,ialah:

1. Sekitar tahun 1960-an, di sebuah negeri seorang peniaga (tauke lombong) telah datang menemui seorang anggota exco kerajaan yang sedang bercakap dengan saya. Tauke itu datang bersama seorang perempuan China yang muda dan cantik. Setelah memperkenalkan perempuan itu sebagai anak saudaranya kepada anggota exco dan saya, dia telah mengemukakan sebuah fail mengandungi salinan permohonannya mendapatkan sebidang tanah lombong. Permohonannya itu mesti diluluskan oleh mesyuarat exco kerajaan negeri. Kira-kira setengah jam kemudian tauke itu meminta maaf kepada kami kerana dia ada hal penting. Dia pergi dengan meninggalkan perempuan itu bersama kami. Kemudian meminta diri dari anggota exco itu dan tinggallah dia bersama perempuan cantik itu. Kira-kira sebulan kemudian tauke itu telaah diluluskan tanah yang dipohonnya.

2. Pada tahun 1970-an, seorang tauke balak menyerahkan wang dalam bungkusan kepada seorang pegawai Jabatan Hutan Negeri dengan tujuan pegawai itu membenarkan dia mengeluarkan kayu balak di sebelah kawasan yang telah diluluskan itu. Kawasan di sebelahnya belum diluluskan kepada sesiapa. Dia mahu mengambil kayu balak di situ secara tidak sah dan dikeluarkan melalui kawasannya. Kayu balak yang dikeluarkan itu di cukai seperti yang dilakukan atas kawasan yang telah diluluskan kepadanya.

3. Pada tahun 1980-an seorang kontraktor Melayu (kawan saya telah membawa melancong beberapa orang pegawai dari sebuah jabatan keluar negara kerana mereka akan menimbangkan tendernya. Dia berjaya mendapatkan tender itu.

4. Pada tahun 1990-an, pada satu malam, saya telah diajak oleh seorang kontraktor Melayu ke sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Di sana kami bertemu dengan tiga orang pegawai sebuah kementerian. Kontraktor itu telah berunding dengan pegawai-pegawai itu mengenai projek sebatang jalan raya bernilai lebih RM200 juta di sebuah negeri dengan cara runding terus atau tidak tender. Dalam perundingan itu pegawai-pegawai itu tidak mahu dalal atau komisen. Mereka memberi cara; harga projek lebih RM200 juta akan dinaikkan (top up 40%). Setelah projek itu diluluskan, pegawai-pegawai itu akan mengambil 20% dan kontraktor itu akan mendapat 20%. Besoknya kontraktor yang berpengetahuan agama Islam itu berunding dengan saya mengenai kehendak pegawai-pegawai tersebut. Kerana saya telah menasihatinya; perbuatan itu bersifat rasuah dan merugikan kerajaan, maka dia tidak jadi menerima projek tersebut. Menilik kepada pengalaman saya nombor ‘ 4 ’ , terdapat dua perbuatan curang atau kotor (corrupted).

Pertama, ada rasuah, kerana pegawai kerajaan mengambil kepentingan dari tugasnya, dan;

Kedua Kerajaan Malaysia kerugian, kerana jumlah tambahan pada kos sebenar.

5. Pada tahun ini, seorang ‘orang tengah’ mengemukakan kepada saya sebuah projek membina jalan raya 29 kilometer berharga RM120 juta, yang telah diluluskan kepada sebuah syarikat. Orang tengah itu mencari syarikat yang boleh membeli dengan tawaran: a) Syarikat berkenaan mahu RM5 juta termasuk untuk orang politik. b) Orang tengah mahu dalal atau komisen 3%. c) Jalan itu hanya 20 kilometer sahaja, tetapi dalam suratan kelulusan itu tertulis 29 kilometer, termasuk jalan sedia ada yang tidak perlu dibina. Bermakna kerajaan membayar cuma-cuma kepada kontraktor atas jalan sepanjang 9 kilometer itu. Terdapat unsur amalan rasuah dalam projek itu, iaitu wang orang politik dan pegawai-pegawai yang meluluskan mengetahui tentang jalan 9 kilometer itu tetapi diluluskan. Kebanyakan amalan terbahagi pada empat tingkatan,iaitu:

1. Peringkat atasan; iaitu dari istana, menteri,peguam negara dan badan kehakiman,ahli parlimen dan ahli Dewan Negeri.

2. Peringkat menengah iaitu dari pengarah atau pegawai awam kerajaan, polis, kastam, pengerusi bandaran, imigresen, cukai pendapatan atau hasil dalam negeri, badan berkanun dan bank.

3. Peringkat rendah; iaitu Pegawai Penempatan (pejabat tanah), polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kastam, penguasa bandaran, pemungut cukai, kaki tangan badan berkanun dan buruh kerajaan.

Semua negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia bergantung kepada hasil dalam negara, termasuk cukai, bayaran atas sesuatu benda atau urusan dan denda. Jika amalan rasuah tidak dapat dibendung atau berleluasa, maka akibatnya kerajaan-kerajaan tidak dapat memungut hasil-hasil dari pelbagai yang tersebut di atas.

Contoh yang boleh meyakinkan:

1. Kalau pihak polis lalu lintas atau JPJ mengamalkan rasuah; pegawai atau anggota polis atau JPJ tersebut mendapat wang kerana pengguna jalan raya melakukan kesalahan, dan kerajaan tidak mendapat hasil denda atas kesalahan itu.

2. Jika pegawai atau kakitangan imigresen mengamalkan rasuah, kerajaan tidak mendapat hasil yang ditentukan atas seseorang pendatang asing, dan negara terpaksa memikul bebas kebanjiran pendatang haram.

3. Kalau pegawai atau kakitangan kastam mengamalkan rasuah, kerajaan tidak mendapat hasil cukai import dan eksport dan negara akan menjadi medan penyeludupan dan sebagainya.

4. Kalau pegawai atau kakitangan Jabatan Hasil Dalam Negeri mengamalkan rasuah – misalannya menerima rasuah dari pembayar cukai pendapatan keran mengurangkan jumlah bayaran yang wajib dibayar oleh pembayar cukai, maka kerajaan mengalami kerugian.

5. Pegawai Penempatan atau kakitangan kerajaan mengamalkan rasuah, akibatnya tanah kerajaan dibolot oleh pihak-pihak yang memberi rasuah. Akibatnya rakyat miskin atau orang Melayu dan Bumiputera terpaksa mengulum jari.

Akibat

Semenjak negara ini mencapai kemerdekaan hingga pada masa Perdana Menteri yang ke lima ini, kerajaan dan rakyat sentiasa berhadapan dengan masalah rasuah dari peringkat atasan (ikan jerung) hingga ke peringkat bawahan (ikan bilis).Ada di antara mereka yang telah melakukan perbuatan rasuah itu telah di tangkap, di bicara dan dihukum penjara.

Di antara mereka itu selain dari pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah ditangkap, dibicarakan atau dihukum penjara, ialah: Dua orang bekas menteri besar. Seorang daripada mereka telah ditangkap pada masa belum wujud Badan Pencegah Rasuah, tetapi kerana Tunku Abdul Rahman Putra telah campur tangan, maka kes itu tidak dikemukakan ke mahkamah. Bekas menteri besar yang seorang lagi telah ditangkap pada zaman Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah dihukum penjara. Seorang bekas timbalan perdana menteri telah dihukum penjara pada masa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dalam tempoh setahun Dr Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri, seorang menteri dan empat orang bekas anggota exco kerajaan negeri atas tuduhan melakukan rasuah.

‘Sekiranya mereka yang berkuasa – raja, menteri, pegawai kerajaan dan sebagainya lupa diri, suka berfoya-foya, tidak dapat tidak mereka melakukan perbuatan rasuah – berbagai-bagai cara memberi dan menerimanya sehingga tidak dapat dihidu oleh para petugas pencegah rasuah tetapi Allah Yang Maha Kuasa melihat, maka orang-orang itu termasuk dalam golongan yang dilaknat oleh Allah.

Pemberi dan penerima rasuah dilaknat oleh Allah.

Laknat oleh Allah lebih besar atau dahsyat dari dosa. Kalau dosa mungkin Allah membalas dengan azab atau derita di dunia atau akhirat, tetapi laknat, selain dari azab atau derita di dunia atau akhirat, akan berlaku ke atas orang-orang itu, di antaranya:

* Ditangkap oleh penguasa dan dihukum

penjara dan mungkin disebat beberapa kali.

* Mendapat malu.

* Kemalangan atau kecelakaan.

* Rumah terbakar dan sebagainya.

* Anak-anak menjadi penagih dadah atau gemar kepada perbuatan maksiat, seperti zina,judi dan seumpamanya.

* Isteri berlaku curang atau melacurkan diri secara terhormat. setelah bersara dihinggapi oleh berbagai penyakit, di antaranya: Kencing manis, darah tinggi, jantung dan kanser’

Haram

Jika merenung pada ajaran agama Islam, maka akan jelas,bahawa orang-orang yang memakan makanan hasil dari sumber haram akan mengakibatkan dia akan dicampakkan oleh Allah ke dalam neraka atau tubuhnya – sama ada jantung dan segala dalaman tubuhnya,daging,darah dan otak- akan diziarahi penyakit. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda tentang dua akibat tersebut seperti maksud di bawah ini:

Semua daging tubuh yang digemukkan dari makanan haram, maka api neraka amat berpatutan dengannya.

Bahawa makanan halal itu tidaklah menjadikan kamu (mudarat) melainkan sekadar mengenyangkan dan (makanan) haram itu menjadikan kamu kenyang berlebihan (membawa mudarat –penyakit).

Hadis

Orang-orang yang mengamalkan rasuah menjalani kehidupan sentiasa gelisah, serba tidak cukup, tidak pernah bersyukur kepada Allah, gemar melakukan maksiat, tidak senang melihat orang lain,iaitu hasad dan memikirkan diri sendiri sahaja yang lebih pandai dan bijak dari orang -orang lain.

Pendeknya orang yang melakukan amalan rasuah, adalah musuh kepada dirinya, isteri dan anak-anaknya (isteri dan anak-anak sentiasa berdoa atau memohon rezeki yang halal kepada Tuhan , tetapi dia membawa balik rezeki yang haram), masyarakat, rakyat dan negara.