Wednesday, July 14, 2010

BERITA



SEDIA RUNDING




KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO sedia berbincang dengan Pas sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.

Sambil menyambut baik saranan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.

“Soal perpaduan antara Melayu sama Melayu bukanlah satu perkara tidak baik, lebih-lebih lagi dalam situasi pada masa kini yang memerlukan bentuk kerjasama yang lebih konkrit terhadap isu termasuk ekonomi, kebudayaan dan institusi beraja serta mewujudkan perpaduan untuk membantu membangunkan ummah dan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Asean 2010 di sini, semalam.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata, terpulang kepada kepimpinan Pas sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak sekiranya kerjasama antara UMNO dan Pas terjalin, Muhyiddin berkata, mereka tidak perlu takut kerana kerajaan tetap akan menjaga kepentingan semua kaum.

“Masyarakat bukan Islam jangan rasa tergugat kalau ada usaha sebegitu kerana selama ini pun dengan kekuatan perpaduan Islam, maka negara lebih terjamin selamat dan tiada masalah,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak ada halangan untuk membenarkan siapa-siapa saja menubuhkan pertubuhan asalkan ianya untuk kepentingan rakyat dan negara serta tidak mempunyai muslihat tersendiri.

“Sesiapa sahaja boleh tubuhkan...nak kata Chinese Perkasa ke, Malay ke, Indian Perkasa,” katanya

Manakala di Kota Bharu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas bersedia untuk bergabung dengan UMNO dengan syarat parti itu boleh mengubah dasar dari kebangsaan kepada Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, dasar semasa UMNO yang lebih mementingkan konsep kebangsaan dan bangsa menyebabkan kedua-dua parti itu tidak boleh duduk bersama.

“Kalau boleh UMNO ubah dasar kebangsaan kepada Islam, ia akan menjadi (Pas dan UMNO) bersatu, nak bubuh nama Pas ke UMNO itu masalah kedua. Apa yang berlaku dasar yang kita tidak boleh terima,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa saranan yang dikeluarkan beberapa ulama termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berusaha untuk menyatukan UMNO dan Pas demi kepentingan Islam.

Sebelum ini, Nik Abdul Aziz antara individu yang lantang menolak Kerajaan Perpaduan Pas-UMNO sehingga membuat cadangan agar pemimpin parti yang menyokong cadangan itu disingkirkan.

Nik Abdul Aziz berkata, Pas tidak pernah menolak perpaduan malah, beliau menyertai parti itu adalah untuk memperjuangkan konsep perpaduan yang mencakupi semua bangsa dan agama.

Katanya, Kerajaan Kelantan memperjuangkan Islam selama 20 tahun yang tidak merugikan setiap bangsa di negeri itu.

“Kalau dasar UMNO berubah kepada Islam tak ada apa, UMNO bermati-matian tidak mahu Islam, kenapa? Tidak ada orang faham. Islam
buat di Kelantan lebih 20 tahun, takut apa.

“( Tetapi dalam konsep ini) Pas dengan UMNO tidak boleh bersatu, tapi orang UMNO boleh bersatu kepada gerakan Islam, baru boleh selesai masalah, adanya UMNO kerana ada orang sokong dia,” katanya.(Sinar Harian)

UMNO DEMAM PANAS

KUALA LUMPUR, 14 Julai: PAS sedia menyediakan pakar sakit jiwa kepada Umno dan Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ekoran masih membangkitkan isu kerjasama PAS-Umno biarpun PAS secara jelas menolak pelawaan Umno itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu berkata, Umno juga seperti terkena demam panas yang kuat sehingga mengganggu fungsi otak mereka.

"Kita dah kata dah tak nak, duk bercakap lagi. Orang yang duk bercakap sorang-sorang ni ada problem la. Kita sedia sediakan khidmat pakar psikiatri untuk Umno dan Muhyiddin," katanya sinis.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Umno secara jelas membuktikan mereka dalam keadaan kritikal dan sangat lemah sehingga terpaksa mempelawa PAS.

"Setelah tuduh PAS sesat, kemudian nak pelawa kerjasama pulak.

"Sekarang Umno melihat hanya PAS yang boleh jadi talian hayat kepada mereka tapi PAS sudah jelas, tidak mahu menanggung biawak hidup," katanya.

Umno, jelasnya sedang mengalami krisis sokongan Melayu terhadap mereka lebih-lebih lagi dengan penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) yang dilihat telah merubah pemikiran Melayu Umno sehingga berani menentang Umno sendiri.

"Perkasa telah merubah mentaliti orang Melayu sehingga mereka berani mempersoal Umno yang dulu dianggap ‘tangan yang menyuap mereka’," katanya lagi.

Sementara itu beliau juga berkata, orang Melayu sebenarnya akan lebih maju tanpa Umno kerana selama ini yang merosakkan Melayu adalah Umno.

PAS juga, jelasnya akan mengambil peranan menjaga kepentingan Melayu dan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan tanpa mengabaikan hak warganegara lain.

Ianya juga antara resolusi semua parti dalam Pakatan Rakyat yang dicapai pada konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini.

Muhyiddin kelmarin sekali lagi mengulangi kesediaan Umno untuk bekerjasama dengan PAS dengan alasan mahu menjaga kepentingan Melayu.(Harakah).

No comments: