Sunday, February 21, 2010

BERITA


Wanita tulang belakang UMNO - PM

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin semangat baru yang ditunjukkan Wanita UMNO kini dapat membantu parti bangkit daripada kelemahan seterusnya memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak.

Menurutnya, Wanita UMNO kini bukan berperanan sebagai 'tulang rusuk' parti, sebaliknya merupakan 'tulang belakang' serta pemangkin ke arah mentransformasikan parti.

Beliau berkata, keyakinannya itu bersandarkan kepada komitmen dan semangat 'meluap-luap' yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO terutama ketika menjalankan kerja-kerja parti sama ada di peringkat kepimpinan mahupun akar umbi.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan ahli-ahli pergerakan itu bahawa parti akan menjadi lemah sekiranya pangkat, kuasa, pengaruh dan jawatan menjadi rebutan.

''Apa gunanya kita menjadi ketua di peringkat cawangan, bahagian atau Pusat tetapi dalam masa sama kuasa memerintah negara jatuh kepada orang lain. Adakah ini yang kita mahukan?

''Adakah kita mahu lihat parti menjadi lemah kerana kita terlalu mahukan jawatan? Fikirlah secara inovatif iaitu dengan meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan sendiri. Berilah imej yang baik kepada UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Wanita UMNO: Wanita UMNO Nadi Transformasi dan Inovasi Negara di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kehadiran kedua-dua pemimpin utama UMNO itu turut diiringi isteri masing-masing iaitu Datin Seri Rosmah Mansor serta Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Hadir sama dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selain Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan Wanita UMNO supaya sentiasa mementingkan usaha membela rakyat kerana ia merupakan agenda paling utama dalam parti.

Sebagai contoh beliau berkata, mereka tidak wajar mementingkan 'orang sekeliling' tanpa menghiraukan kelompok lain dalam masyarakat khususnya golongan yang memerlukan bantuan.

''Cuba lihat kehidupan ibu-ibu tunggal dan orang miskin, bagaimana nasib mereka? Sebagai parti yang prihatin kita wajib membantu mereka, bukan setakat tengok sahaja.

''Kita mahu setiap kali berlaku kesusahan, mereka cari UMNO bukan cari parti pembangkang. UMNO mesti dekat dengan rakyat, mesti membantu rakyat,'' katanya lagi.

Atas asas ini katanya, beliau memperkenalkan tinjauan mesra dengan tidak perlu ada protokol dan yang terbaru menyelesaikan masalah di Kampung Baru.

Dalam perkembangan sama, Najib turut meminta Wanita UMNO memberi maklumat yang tepat kepada pucuk pimpinan tanpa perlu menyembunyikan sebarang fakta.

''Saya telah terlibat di dalam politik selama 35 tahun dan dalam tempoh ini saya dapati ada masanya laporan Wanita UMNO boleh dipakai, tetapi ada masa laporan mereka tidak boleh dipakai. Bila kita tanya mereka jawab 'okay Datuk'.

''Kita mahu ketepatan dalam menyalurkan maklumat dan inilah salah satu perubahan inovatif yang saya mahukan,'' jelasnya.

Beliau turut menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Wanita UMNO yang seharusnya mendatangkan kesan atau hasil kepada objektif perjuangan parti.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 21 Februari 2010)

No comments: