Friday, February 19, 2010

BERITA


Laksana hukum sebat cara Islam

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh berkata, pelaksanaan hukuman sebat belum memenuhi kehendak Islam sepenuhnya kerana dilakukan secara tertutup, buka secara terbuka seperti yang dianjurkan dalam Islam.

"Hukuman sebat mesti dilakukan secara terbuka, bukan tertutup dalam penjara. Kita kena ingat, tujuan dilakukan secara terbuka adalah untuk mendidik dan memberikan kesedaran kepada rakyat agar tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak berwajib agar melaksanakan hukuman sebat seperti yang dituntut dalam Islam, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Hishammuddin bahawa tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.

Hishammuddin dilaporkan sebagai berkata, tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Hishammuddin juga berkata, seorang daripada tiga pesalah wanita berkenaan telah dibebaskan pada Ahad lepas, pesalah kedua akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi dan pesalah ketiga dibebaskan pada Jun nanti.

Menurutnya, wakil dari kementeriannya turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat bersama 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah dan wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Saya nak ingatkan menteri yang berkenaan, jangan ingat bila sudah laksanakan hukuman sebat, sudah cukup segala-galanya. Kerajaan kena kaji semula hukuman sebat yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. belajar daripada awal," kata Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.

Beliau juga berkata, tindakan Hishamuddin mendedahkan mengenai hukuman yang dijalankan terhadap tiga wanita itu hanya sekadar untuk menutup mulut rakyat daripada terus mempersoalkan isu Kartika.

"Saya nampak cara menteri memberitahu rakyat mengenai hukuman yang dilaksanakan itu seperti hanya meraikan pandangan orang sahaja dan ingin menutup mulut rakyat daripada terus bercakap isu sebat ini.

"Saya minta menteri laksanakan hukuman sebat ini kerana Allah, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.

Beliau juga mempersoal sikap kerajaan melengah-lengahkan pelaksanaan hukuman sebat ke atas bekas model sambilan yang didapati bersalah kerana minum arak, Kartika Sari Dewi Shukarno, 33.

Nuridah hairan dengan sikap kerajaan yang dilihat seolah-olah sengaja membiarkan Kartika ternanti-nanti untuk menerima hukuman sebat itu walaupun beliau sudah menyatakan kesediaan untuk menerima hukuman itu sejak dari awal lagi.

"Tiga orang yang dihukum itu, biarlah dihukum. Tapi yang saya persoalkan kenapa kes Kartika belum selesai lagi? Apa masalah kerajaan sebenarnya sehinggakan Kartika perlu menunggu begitu lama untuk menerima hukuman itu?" soal Nuridah ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Hishammuddin bahawa tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.

Sementara itu, Kartika sendiri, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam,berasa pelik pelik mendapat tahu tiga wanita telah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu kerana melakukan kesalahan syariah tersebut.

Menurut ibu tunggal kepada dua anak ini, apa yang berlaku seolah-olah 'mempermain-mainkan' perasaannya selama ini.

Kartika sebelum ini telah membuat permohonan kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang (Jaip) untuk campur tangan bagi mempercepatkan hukuman terhadapnya memandangkan ianya masih tertangguh sehingga kini.

Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan terhadapnya.

Pengarah Jaip, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman bagaimanapun dilaporkan sebagai berkata, pihaknya masih menunggu reaksi daripada Tengku Abdullah selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebelum boleh mengambil sebarang tindakan susulan.


----------------------


Bekas Timbalan Menteri Buruh keluar BN sokong Pakatan
Harakahdaily

TAMPARULI, 18 Feb: Bekas Timbalan Menteri Buruh, Datuk Kalakau Untol mengumumkan perletakan jawatannya dalam semua anak-anak syarikat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat.

Langkah ini dibuat kerana tidak berpuashati dengan pucuk pimpinan negara dan sebilangan pemimpin Persekutuan yang tidak begitu serius dan komited dengan saranan dan tuntutan-tuntutan para pemimpin dari Sabah.

Beliau mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), di dalam satu sidang akhbar di sini.

Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) negeri selama 12 tahun sejak 1985.

Beliau mengumumkan juga keputusannya untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri Sabah dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani pilihan raya umum ke-13.

Kalakau menjelaskan walaupun pemimpin-pemimpin dari Sabah dari dulu sehingga sekarang telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah, namun pucuk pimpinan negaratidak serius.






No comments: