Saturday, January 23, 2010



Ustaz Hadi nafi laporan 'God bukan Allah'


Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam sebenarnya tidak membuat apa-apa resolusi.

Penjelasan tersebut sekaligus dilihat berbeza dengan berita 'God bukan Allah -Ikim' seperti yang dilaporkan akhbar harian bahawa ahli muzakarah sebulat suara bersepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi ganti nama 'God' atau 'Tuhan' adalah tidak tepat.

"Ya, muzakarah itu tidak mempunyai apa-apa resolusi, laporan itu tidak betul," jelasnya ketika dihubungi petang ini.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh disalah guna untuk mengelirukan umat Islam.

"Penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam secara dalaman jelas mengEsakan Allah, penggunaan yang boleh mengelirukan orang Islam tidak dibenarkan sama sekali," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulangi ketetapan PAS seperti yang diputuskan oleh Lajnah Politik dan tulisannya sebelum ini.

"Pandangan kita (PAS) seperti yang saya tulis sebelum ini, seperti yang diputuskan (dalam Lajnah Politik) sebelum ini," jelasnya.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi pada 7 Januari lalu.

Dua hari sebelum itu, Lajnah Politik PAS Pusat mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan nama Allah untuk mengelirukan atau meraih sokongan politik murahan daripada rakyat.

Selain Ustaz Abdul Hadi, muzakarah semalam disertai Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Dr Mohd Nur Manuty, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Ikim Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Ikim, Md Asham Ahmad.

Muzakarah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Ikim, Nik Mustapha Nik Hassan itu turut disertai oleh Pengerusi Ikim yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pensyarah dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Dr Abdullah Md. Zain.


--------------------


Khalid perjelas inti titah Sultan

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 22 Jan: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj menitahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad supaya mengusahakan suatu cadangan enakmen berkaitan masyarakat bukan Islam di negeri itu.

Penjelasan Khalid itu sekaligus menafikan bahawa beliau dititahkan ke istana disebabkan vokal dalam isu kalimah 'Allah' sebagaimana yang dilaporkan beberapa media massa.

"Sekakat ini, bukan isu kalimah 'Allah', Sultan lebih bertitah (tentang) enakmen-enakmen berkaitan orang bukan Islam," jelas Khalid ketika dihubungi petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik PAS Pusat menganggap Sultan Sharifuddin sebagai seorang pemimpin yang bersikap toleransi dalam melihat beberapa isu mutakhir yang membabitkan umat Islam dan masyarakat bukan Islam di Selangor.

Menurut Khalid, Sultan menitahkan PAS serta Pakatan Rakyat di Selangor supaya memanfaatkan prosedur undang-undang yang ada, sekiranya berhasrat membuat sebarang perubahan.

"Kalau berasa apa-apa yang tidak sesuai dan memerlukan rombakan pada enakmen, maka ikut prosedur.

"Tuanku menitahkan kita untuk membuat proposal dan jelaskan mengapa perlu rombakan enakmen-enakmen (berkaitan masyarakat) bukan Islam," jelasnya.

Jelasnya lagi, Sultan tidak gembira dengan perubahan menggunakan pendekatan berceramah.

"Istana tidak suka (pendekatan) ceramah-ceramah ini (kerana) ia memanjangkan kekacauan berterusan," jelasnya.

Menjunjung titah Sultan Sharafuddin, beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam bersedia memanjangkan hasrat Tuanku Sultan kepada para pemimpin PAS di peringkat negeri.

"Saya menjunjung titah tersebut dan akan berbincang dengan pemimpin PAS, jadi proposal ini bukan daripada saya, tetapi biar datang dari PAS secara rasmi," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Khalid menjelaskan bahawa niat bertemu Tuanku Sultan diusahakan sejak November tahun lalu lagi.

Kesempatan mengadap Tuanku Sultan pagi tadi, menurut beliau, digunakan untuk menjelaskan beberapa proses pembangunan serta pembaharuan yang dibangunkan di Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid juga dilaporkan membuat penafian kononnya cuba menghina Tuanku Sultan dengan mempertikai penglibatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam suatu demonstrasi berkaitan isu kalimah 'Allah' di perkarangan Masjid Negeri, Shah Alam.

Isnin lalu pula, lebih 16 badan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan membuat aduan polis berhubung isu tersebut.

Setelah keluar dari Istana Kayangan kira-kira jam 1 petang tadi, Khalid memberitahu wartawan bahawa beliau begitu menjunjung kasih dengan nasihat-nasihat yang dititahkan oleh Tuanku Sultan.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily Online, 23 Januari 2010)



No comments: