Saturday, January 23, 2010

BUKU !



MOKHTAR PETAH


FALSAFAH PERJUANGAN



TUN ABDUL RAZAK


========

TUN ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSIEN
BAPA PEMBANGUNAN

Tun Abdul Razak Bin Datuk Hussein dilahirkan pada 11hb. Mac, 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Beliau dibesarkan oleh datuknya di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, dalam suasana kampung yang penuh disiplin. Di Sekolah Melayu kampung inilah Abdul Razak mendapat pendidikan awal. Beliau terpaksa berulang-alik sejauh empat batu dengan berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Semasa dari sekolah rendah lagi Tun Abdul Razak telah menunjukkan kemampuan yang cemerlang dalam bidang pelajaran. Setiap tahun beliau dapat menggondol hadiah-hadiah dalam kelas

Sewajarnyalah beliau dihantar ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan kemudiannya ke Raftles College Singapura untuk melanjutkan pelajarannya. Semasa di Maktab Melayu dan Raffles College itu, beliau aktif di dalam persatuan dan aktiviti sukan. Kecekapannya terbukti lagi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London hanya dalam tempoh lapan belas bulan.

Semasa di London, Tun Abdul Razak tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya. Beliau menggunakan masa yang ada untuk mendalami bidang politik dan memupuk konsep hidup dengan pemikiran yang luas. Aktif dalam kegiatan-kegiatan pelajar, beliau kemudiannya menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oieh Parti Buruh British untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student's Union. Beliau terpaksa kembali ke tanahair dan memberhentikan pelajaran lanjutannya kerana kematian ayahnya pada bulan April 1950. Sekembalinya ke tanahair, beliau berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan dan dua tahun kemudian beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Kejayaan beliau dalam perkhidmatan awam ini selari dengan penglibatan beliau dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Empat bulan selepas menganggotai UMNO, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ini diikuti pula dengan perlantikannya sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan pada Ihb. Februari, 1951. Dalam tahun 1951 apabila Tunku Abdul Rahman menjadi Yang Dipertua UMNO beliau yang berumur 29 tahun dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dari sini bermulalah satu percantuman tenaga yang bersejarah dan begitu gigih dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan seterusnya membina sebuah negara yang maju. Tun Abdul Razak juga menjawat jawatan Pemangku Menteri Besar Pahang selama beberapa bulan pada tahun 1955. Sebagai orang nombor dua kepada Tunku, beliau turut membuat draf-draf untuk dimuatkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu dan menyertai rombongan menuntut Kemerdekaan ke London pada tahun 1956. Setelah Kemerdekaan dicapai waktu umur Tun 35 tahun bermulalah perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjangkau lebih 13 tahun.

Dalam tempoh ini beliau telah memegang beberapa portfolio, termasuk Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Halehwal Dalam Negeri. Sebagai Menteri Pelajaran yang pertama, beliau telah melahirkan Penyata Razak 1956 bertujuan menyatupadukan rakyat berbagai kaum. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berasaskan Penyata ini adalah mendukung bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Dengan menggunakan perantaraan Bahasa Kebangsaan dan kandungan pelajaran yang sama di semua sekolah, semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari berbagai kaum dapat disemai. Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga pembangunan.

Konsep demokrasi Tun Razak berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam kemajuan negara. Pembangunan negara sangat besar ertinya sebab menurut beliau benteng terbesar pertahanan kedaulatan negara bukan sahaja terletak pada pertahanan tetapi yang lebih penting ialah pembangunan. ` Gerakan pembangunan luar bandar dipelopori oleh beliau dengan langkah pertama ialah merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Ini dikenali sebagai "Buku Merah" yang dilengkapi dengan "Bilik Gerakan" yang mencatitkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuk segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut.

Tun telah berusaha dengan gigihnya untuk menjamin supaya pendapatan petani-petani setimpal dengan usaha-usaha mereka. Beliau telah membentuk berbagai agensi Kerajaan untuk mencapai matlamat ini, dan yang paling berkesan ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan Negeri-Negeri. Kemajuan yang berlipat ganda jelas dari jumlah tanah yang dibuka, jenis-jenis tanaman yang diusahakan, bilangan murid-murid yang disekolahkan, berbagai perusahaan dan kemudahan-kemudahan bantuan kewangan dan teknik yang disediakan. Di waktu Tun jugalah melihat penyertaan orang-orang Melayu dan bumiputra secara lebih pesat dalam perniagaan khasnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti MARA, PERNAS dan lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan.

Pendek kata, segala bentuk pembangunan yang dirasakan oleh rakyat masa kini adalah sebahagian besarnya atas daya usaha dan kemahuan tegas dari Tun Abdul Razak. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan perkembangan politik yang bersejarah di Malaysia walaupun ianya disambut dengan tentangan hebat oleh pihak-pihak yang tertentu. Ketokohan Tun sebagai Menteri Pertahanan mendapat ujian. Akhirnya krisis dapat diselesaikan secara damai. Memang wajarlah Tun dikenali bukan sahaja sebagai Bapa Pembangunan tetapi juga sebagai Bapa Perdamaian.(Gugal - Kerajaan Malaysia).

No comments: