Tuesday, June 3, 2008

PENEROKA MAUT DITANDUK KERBAU

Oleh: Mokhtar Petah

Berita Harian 1 Jun menyiarkan sebuah berita 11 paragraf mengenai peneroka maut ditanduk kerbau. Berita itu menarik hati saya, kerana kerbau itu mengamuk dalam keadaan orang Melayu ‘mengamuk sesama sendiri’, disebabkan pegangan politik yang berbeza.

“Kejadian kita-kira jam 9 pagi itu, Ahmad Zambri Haron, 49, yang juga bekas Ketua Umno cawangan Felda Keratong Tiga, dekat Rompin maut di tempat kejadian akibat cedera parah di muka, leher dan perut kesan tandukan kerbau itu”

Pada tahun 1970-an, pada masa Kalangan UMNO Negeri Perak pimpinan Tan Sri Mohd. Ghazali Jawi, berkrisis dengan Sultan Perak, Sultan Idris Shah ibni Sultan Alang Iskandar Shah, Haji Ahmad bin Haji Jaafar, di Kampung Ngor (tempat kejadian Al Ma’unah), dibaham beruk jantan yang dipeliharanya kerana sedang turun minyak (gila asmara).

Kerbau jenis haiwan yang boleh dimakan dagingnya, tetap tidak disebut oleh Allah dalam Quran. Haiwan itu sama dengan lembu. Tanduk lembu pendek dan tanduk kerbau ada dua jenis, kerbau tanduk panjang dan kerbau tanduk pendek (kerbau tanah atau kerbau Banggala). Lembu ada disebutkan oleh Allah dalam Quran, iaitu baqarah.

Tiada dalam Quran tentang hukum sama ada halal atau haram memakan daging beruk. Terdapat firman Allah dalam Quran mengenai Monyet atau beruk, ialah:

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui orang-orang yang melanggar di antara kamu pada hari Sabtu (hari yang khusus untuk beribadat bagi orang-orang Yahudi dan menegah mereka menangkap ikan pada hari itu), lalu Kami berfirman kepada mereka: Jadilah kamu beruk yang hina. (Al Baqarah:65).

Katakan, apakah Aku akan beritakan kepada kamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasik) itu di sisi Allah, iaitu orang yang dikutuki dan murkai oleh Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan beruk dan babi (orang-orang Yahudi yang melanggar kemuliaan hari Sabtu) dan mereka yang menyembah Taghut. Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus.(Al Maidah:60)

Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang mereka dilarang mengerjakannya, Kami katakan kepada mereka, jadilah kamu kera yang hina. (Al A’raf:166).

Pendapat orang tua-tua Melayu (tak boleh pakai sebagai tujuan ilmiah), bahawa manusia di seluruh dunia ini mempunyai tabiat seperti haiwan-haiwan ini:

* Orang Melayu dan manusia di Asia (termasuk

Cina dan Monggolia) bertabiat seperti kerbau.

* Orang Arab, Afrika, Iran,Turki, India bertabiat

seperti unta atau lembu.

* Orang Barat bertabiat seperti kuda.

* Orang Yahudi bertabiat seperti Beruk Qardun.

* Manakala orang Russia dan kawasan Bolkan

Bertabiat seperti Singa atau serigala.

Kerbau diternak oleh manusia. Setia kepada tuannya. Diperhambakan oleh tuannya – menyuruh membajak sawah, membawa bebanan dan sebagainya. Di hujung hidup haiwan itu disembelih dan dimakan dagingnya.

Jika tuannya berbuat baik dan mengetahui kemahuannya (misalnya waktu ia naik minyak), tuannya boleh menunggang di atas belakangnya. Menunjuk kesetiaannya, diangkat ekornya mencudat ke atas. Tuannya selamat, tetapi kalau tuannya jahil akan kemahuannya, maka tuannya akan menjadi mangsa di hujung tanduknya.

Biasanya kerbau yang melawan tuannya, ialah kerbau jantan yang telah naik minyak atau gila asmara. Kerana tuannya jahil akan kemahuan jantinanya, maka kerana nafsunya yang membara, dia tidak kenal tuannya atau sesiapa, maka yang menjadi mangsanya, ialah tuannya yang tidak pernah gila asmara.

Demikian juga beruk. Apabila beruk jantan naik minyak (gila asmara), ia kelihatan termenung, dua biji matanya kelihatan merah dan garang serta gigi-giginya dibunyikan seperti orang sedang marah.

Di sini saya menilai ragam Kerbau dengan orang Melayu. Orang Melayu adalah orang yang setia kepada tuannya. Dia tidak peduli siapa tuannya, sama ada Raja, pembesar atau pembunuh orang. Kesetiaannya seperti dalam cerita dongeng tamsil Melayu, iaitu Hang Tuah. Hang Tuah setia dengan tidak menggunakan fikiran yang sihat.

Kerbau memiliki perangai yang buruk, iaitu berebut untuk mendapatkan makanan dan kubang tempat bermandi lumpur.

Dari cerita kerbau mengamuk di Felda Keratong, dapat kita melihat kepada orang Melayu yang bersengketa sesama sendiri. Mereka berkeadaan atau berperangai seperti kerbau. Tetapi tidaklah jadi kerbau. Allah telah menentukan manusia adalah ‘sebaik-baik kejadian’ atau haiwanun natiq (haiwan yang berkata-kata).

Kita dapat melihat; yang telah berkuasa dan kaya raya setelah meninggalkan gelanggang tempat dia berkuasa dan mendapat kekayaan, dia tidak puas hati dan marah kepada orang yang menggantikan tempatnya.

Orang yang begini adalah terhitung dalam golongan ‘tamak dan hasad’. Manusia yang ada dua jenis keburukan itu, adalah dibenci oleh Allah, para malaikat-Nya dan para rasul-Nya.

Mereka yang berperasaan tidak senang melihat orang lain senang atau berkedudukan tinggi, adalah dari manusia yang haloba atau tamak. Pada awalnya dia berkeadaan lapar, setelah makan dan kenyang, dia mahukan, senang. Setelah dia berkeadaan senang, maka dia mahukan kemenangan. Tamakkan kemenanganlah menjadikan manusia tidak kenalkan diri sendiri dan lupakan Tuhan.

Dalam semua bahagian dan cawangan UMNO serta parti-parti dalam Barisan Nasional wujud mereka yang berperangai macam haiwan tanduk tuan itu. Begitu juga dalam parti-parti politik lain, seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO, PAS dan DAP. Mereka terhitung dalam golongan manusia yang ‘ bersahabat tidak sampai ke hujung jalan, bermusuh tak sampai ke hujung usia’. Ada kesempatan tikam dari belakang atau di hadapan manis muka, bila di belakang berwajah cuka.

Begitu juga dalam parti-parti politik, ada pihak parti itu hendak menjatuhkan pemimpin atau orang-orang parti lain, dengan tujuan hendak merebut tempat dan kuasa.

Kerana perbuatan itu akan menjadikan seseorang pemimpin itu apabila telah turun atau dijatuhkan dari kedudukannya berkeadaan seperti beruk jantan dalam hutan atau timba. Mana-mana beruk jantan telah lama berkuasa ke atas kumpulan beruk dan tidak gila asmara, maka ia akan dijatuhkan oleh beruk jantan yang baru, kuat dan bernafsu besar. Mahukan kuasa dalam rimba itu.

Beruk jantan yang tua dan mengalah itu, kalau ia tidak mati dibunuh, ia meneruskan hidup dalam keadaan merana dan meragam berkeadaan keadaan ‘kera sumbang’ hingga ke hujung usianya.

Sementara beruk yang merana dan meragam itu akan sampai ke hujung usianya, ia menjerit, melalak, melaung ke seluruh hutan dan rimba kerana hiba, duka dan tidak puas hati disebabkan beruk-beruk lain dikuasai oleh beruk jantan yang menggantikan tempatnya.

Sesungguhnya amat benar firman Allah dalam Quran, jadilah kamu beruk yang hina.

Kita bersyukur kepada tuhan kerana dalam Quran-Nya tidak ada disebutkan jamus (kerbau). Yang ada hanya baqarah.

Dalam Quran ada firman Allah tentang beruk. Adakah orang Melayu, Cina dan India di negara ini yang bertelagah sesama bangsa sendiri akan menjadi seperti orang Yahudi seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Quran, jadilah kamu beruk yang hina?

No comments: