Friday, June 20, 2008

ABDULLAH AHMAD BADAWI


JODOH PERTEMUAN DI TANGAN TUHAN

[ Pada 9 Jun 2007 lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia telah melangsungkan perkahwinannya dengan Jean Binti Abdullah. Maka pada bulan ini disiarkan sedutan dari buku Selamat Pengantin Baru Datuk Seri Abdullah Badawi dan Datin Seri Jean Abdullah. Kini, pada bulan yang sama, kami menyiarkan sedutan dari buku tersebut sebagai merakamkan dalam sejarah Alam Melayu untuk menjadi pusaka kepada anak cucu atau angkatan akan datang.

Editor, Petah Shahrir Aidid.]

Sejak isteri tercinta - ibu pertama –, Endon Mahmood pergi buat selama-lama - meninggal dunia. Abdullah Badawi hidup berkeadaan ‘bujang tua’. Rindukan isteri yang telah tiada. Menatap maya penuh duka. Mengeluh sepanjang malam membelai rasa.Mata tak terpejam, lemah anggota. Cinta membelai perasaan. Derita mendera hati dan jiwa perdana. Malam panjang sampai memeluk pagi demikian cinta dan derita.

Tengah malam telah terlampau,

Dinihari belum menjelma,

Budak-budak dua kali jaga,

Orang muda pulang bertandang,

Orang tua berkalih tidur,

Embun jantan rintik-rintik,

Kuang mengigal jaih di rimba,

Melenguh lembu di kandang,

Berkokok mendung, merak mengigal,

Fajar sedang menyinsing naik,

Kicak- kicak bunyi murai,

Taptibau melambung tinggi,

Berkuku balam di hujung bendul,

Terdengut puyuh panjang bunyi,

Puntung sejengkal tinggal sejari,

Itulah alamat hari nak siang.

Setiap kali Abdullah Badawai melawat kota dan desa. Orang tertanya-tanya; bilakah beliau akan berumah tangga. Akan kehwinkah beliau dengan anak dara atau si janda. Siapa, di selatankah dia, timur atau utara negara kita.

Ada yang melaung, Paduka Perdana akan menikah dengan gadis pantai timur. Seorang berdua memberitahu saya, bakal isterinya, di tempat lahirnya. Kononnya pula dengan gadis di Johor, kerabat sebelah menantunya.

Rakan-rakan pula tertanya-tanya; bila Datuk Seri nak berumah tangga. Berteman hidup sepanjang hayat. Meneruskan perjuangan untuk rakyat.

Kata rakan seorang ulama:

Tak molek hidup membujang lama,

Akal dan fikir akan majal jadinya,

Menung di sana, keluh di merata.

Malam kudus berladung air mata.

Ada isteri kekasih hati,

Yang jujur tambah baik hati,

Jandi penawar penasihat diri.

Mudah memerintah segenap negeri.

Nikah itu wajib bagi setengah insan,

Mengekal jiwa menetapkan iman,

Isteri solehan teman sejalan,

Kepada pemimpin kita kental iman.

Saya katakan kepada mereka. Seperti madah orang tua di kampung saya, Al Maunah nama baru, Kampung Ngor namanya tentu. Pernah dilawati Ahmad Badawi dan Tunku. Uda Mat Alih namanya. Pada tahun 1949 orang Melayu masih terbelenggu:

Kahwin dengan betina sumbing, marah pun senyum jua,

kahwin dengan betina janda, duk ghalib puji laki lama,

kahwin dengan betina tamak, duk kita bolot harta,

kahwin dengan betina tua, ke hulu ke hilir usung gobek,

kahwin dengan anak dara, badan tua kena lagak muda.

Ada orang berkata; cinta Abdullah Badawi kepada Endon suka dipunggah.Teguh cintanya bagaikan gunung batu di Mekah. Kata mu’alim; lelaki Islam tirulah Nabi kita; wafat isterinya pertama, kahwin lain pula. Junjungan tidak berputus asa. Cinta lelaki kepada Allah. Cinta lelaki kepada wanita bernama kekasih dan isteri setia.

Abdullah Badawi jatuh cinta kepada seorang wanita janda. Dia tidak cacat atau sumbing. Tidak janda mati suami. Tidak betina tamak harta bertimbun. Tidak betina tua mengusung gobek. Ke sana ke sini bersogek air liur meleleh. Tidak juga anak dara berusia jagung di huma. Beliau memilih wanita janda mulia. Lima belas tahun dulu diceraikan suaminya.

Teringat saya pada bulan puasa,

Di Paya Keladi, di utara benua kita,

Kami: Abdullah Badawi dan saya,

Makan nasi khenduri itik serati mengawan di paya.

Beliau makan setalam nasih berkuah,

Lauk itik dua tiga kali tambah,

Bersama warga kampung tak peramah,

Waktu makan Abdullah Badawi bermadah,

Waktu Endon ada makan tak mudah,

Dijaganya saya agar penyakit tidak ziarah,

Tapi kini dia tiada sudah,

Saya makan banyak, sakit tak ziarah,

Insya Allah.

Pada satu majlis di negara ini. Abdullah Badawi menunjuk cincin di jari. Cincin peninggal ibu, katanya. Bukan cincin tanda, bukan cincin cinta. Orang ramai ketawa. Beliau masih menyimpan rahsia.

Kata orang, Sultan dan mamak perdana ada kuasa, namun penulis banyak tahu rahsia. Para hadirin ketawa, kaum penulis senyum menanti masa untuk bertanya. Orang politik dan penulis berbeda. Politikus memilik sepuluh mata. Penulis hidup dengan sejuta mata.

Pesuruhjaya Inggeris kata, Aziz Ishak wartawan tikus. Tun Hussein Onn kata saya wartawan atau penulis lipas atau cockroach. Penulis bermula dari Iqra’-Nya. Politikus berpacak pada insan-Nya.

Abdullah Badawi telah dibeda lama dulu. Tenaga otak dan nalori masih utuh dan padu. Sejak remaja beliau suka makan madu; madu lebah di bukit batu atau pohon kayu.

Quran

Pejabat Perdana Menteri, pada 6 June 2007, telah mengeluarkan kenyataan, bahawa Abdullah Badawi akan berkahwin dengan Jeanne Abdullah, 52 tahun, pada hari Sabtu 9 Jun 2007, di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Putrajaya.

Jeanne Abdullah adalah bekas adik ipar isteri pertama Abdullah Badawi, Endon Mahmood yang tidak bisa dilupai. Jeanne biras kepada dirinya sendiri. Mereka telah bercerai 15 tahun lalu. Perkongsian hidup Jeanne dengan suaminya dulu, Allah telah mengurniakan mereka dua orang puteri; Nadia Kimie, 29 tahun dan Nadena Kimie, 27 tahun, hidup mereka pernuh berdikari.

Para wartawan dari berbagai-bagai media. Bertanya kepada Abdullah Badawi akan cinta kasihnya kepad Endon telah tiada dan Jeanne Abdullah bakal isterinya. Lalu menjawab Memanda Menteri, cintanya kepada Endon kekal abadi. Cinta bermula zaman ramaja lagi.Cahaya Mata anugerah Ilahi. Kamaludin lelaki dan Nora Puteri.

Cinta beliau kepada wanita pengurus senggesana negara. Kukuh dan jujur lelaki setia. Jeanne berbudi dan pandai membawa diri.

Kisah cinta Abdullah Badawi dengan Jeanne seperti Cerita Sulung Jawa:

Tersebut kisah Malim Sakti Kesuma,

Kepada tunangnya dia,

Dia duduk tinggal dalam negeri Halban Condong,

Anak raja si Malim Yunus,

Duduk dalam negeri Halban Condong,

Halban Condong,

Duduk hadapan lamannya dia besar tidak terkira,

Tujuh gagak dok bilang dahan,

Pada sehari-hari akan bertua juga.

Adalah pada satu malam,

Malim Sakti Kesuma pun tengah dok lena,

Datang berjumpa pada dirinya dia,

Mimpi pula dia ular ...

Ular lidi kok belit pinggangnya dia,

Datang ular naga telan buat pi,

Dia pun tidak ketahui pada dirinya dia,

Terkejut jaga dok tadbir mimpinya dia,

Sangat keluh kesah di dalam dada.

Pendapat orang tua-tua Melayu. Jika mimpi dibelit ular, perempuan akan berteman nama suami. Lelaki pula akan berkahwin perempuan manis budi. Nisbah ular naga, ialah orang besar atau kenamaan. Memiliki hati perempuan yang tidak setingginya.

Hari-hari membujang Mamak Perdana hampir ke hujung. Ibarat pulau ada tanjung. Akan berpasangan di bawah sekaki payung. Dua hati menjadi satu ibarat gula kabung. Sepasang insan sama cantik sama padang laksana bunga padma kembang di gunung.

PENGANTIN BARU

Pada 9 Jun 2007, di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, berhimpun semua anak kedua pengantin bestari, Datuk Kamaluddin, isteri dan cucu Abdullah Badawi. Nori berbadan dua bersama suami. Nadia dan Nadena Kimie dua puteri Jeanne bakal bergelar isteri.

Keluarga dan kaum kerabat terdekat hadir bersama. Menyaksi dengan khusuk istiadat akad nikah lelaki utama negara. Oleh Pemangku Iman Masjid Putrajaya, Abdul Manap Mat al Hafiz yang mewakili kadi atau hakim agama.

Dalam majlis yang gemilang. Abdullah Badawi menggonggong seketul hati. Hati yang mendupa dua buah cinta suci; cinta kepada Endon yang telah pergi dan cintakan Jeanne yang baru bergelar isteri.

Beliau tidak bertanjak, sekadar berpakaian biasa. Songkok hitam baju Melayu warna sama dengan sampinnya. Wajahnya sentiasa terhias senyumam pemimpin negara. Walaupun bukan pengantin muda. Tetapi pengantin muda berjasa kepada negara dan bangsa.

Ada orang muda zaman kini,

Gagap gugup depan tok kadi,

Akad nikah banyak tak jadi,

Berpeluk tubuh sejuk bedi,

Ada yang terpaksa mandi di sungai,

Atau berendam dalam perigi.

Sebab begitu jadi perkara,

Tidak ada ilmu agama dalam dada,

Ibu bapa kurang didik pekerti mulia,

Ucap sahadah dan fatihah,

Anak muda tak tahu baca.

Sekali lafaz Abdullah Badawi menyambut madah akad nikah oleh Abdul Manap. Tiada gugup kata dan madan tidak gagap. Sah sudah dan segalanya lengkap. Sebelumnya haram dijamah, kemudian halal menyentuh rasa. Beliau menjadi suami Jeanne. Wanita mulia itu menjadi isteri beliau dan ibu utama.

Bila lelaki bergelar suami,

Perempuan pula mertabat isteri,

Sama-sama menjunjung kasih dan budi,

Ikhlas dan setia ke hujung usia.

Anak kepala batas pemimpin utama,

Jeanne anak Bangsar janda anak dua,

Mengikat cinta suami isteri,

Didoakan damai aman abadi.

Istiadat itu dikuti adat menyarung ‘cincin kahwin’. “Bismillahir Rahmanir Rahimm”, lafaz sang suami ketika akan menyarung cincin kepada jari isteri tersayang. Hati masing-masing berdebar, penuh cinta, penuh riang.

Bila hati dikocak rasa cinta,

Kata-kata tak bersuara lagi,

Hati masing-masing bermadah:

“Dinda milik kanda.”

“Kanda milik dinda.”

Cincin emas permata berlian,

Hiasan jari isteri budiman,

Hari mulia menggamit zaman,

Hanya isteri menjadi teman.

MENUNGGU DI SYURGA

Ya Rabbi,

Kami laksana sekawan unggas di angkasa,

masing-masing menggonggong kasih yang ada,

seperti melata peria atas para,

kemangi dan nilam harum bau.

Tak kita harap musim berhujung,

seperti bungan cempaka dan tanjung,

perpisahan adalah penyeksaan berkabung,

sedih sendiri tidak terdaya menanggung,

Subuh ini kita di bawah takdir juga,

sebak hati kerana sedih lara,

menahan keluhan banjir air mata,

kerana taulkan, ibu meninggalkan kita.

Pagi enam belas Ramadhan mulia,

tahun Islam,

empat belas dua puluh enam,

nafas ibu kami, Endon Mahmood,

diangkat Tuhan,

ke alam kekal abadi.

Dia ibu kami,

teman setia ibu,

janda dan dara,

kasih dan isteri paduka mulia,

Abdullah Badawi,

pemimpin rakyat Malaysia.

Seorang insan membendung duka,

seluruh usianya.

Endon,

seorang pencetus semangat pertiwi,

ibarat pahlawan menilai menang dan damai,

penghening rasa penyingkap zaman,

serikandi bangsa kita.

Sesungguhnya dia telah pergi,

meninggalkan kita atas lautan tidak bertepi,

entah terdaya kita menyebrang entah lemas sendiri,

apabila lautan sepi,

hanya nafas kita sedenyut nadi,

seluruh anggota kita dingin bedi.

Bukan bedi kerana dinginnya laut,

tetapi dek air mata dan hati kusut,

suara ada tetapi tiada kalimat hendak disebut.

duduk payah, berdiri terasa lemahlutut.

Ya Rabbi,

kami reda,pergilah wahai ibu,

kehaderat Tuhan yang kasihkan dirimu,

kami di sini menelan doa,

pesanmu; “Bantu dia, suami saya, pemimpin kita”,

tetap kami laksanakan jua.

Tak sanggup kami menghitung butir pasir,

melihat pemimpin kami sedih tidak berakhir,

namamu disebut laksana zikir,

doanya untuk ibu dan isterinya tidak kering di bibir,

tabah hatinya, kukuh imannya,

hatinya waja suara mendamai manusia.

Endon,

pada detik-detik begini,

setia kami kepada kekasihmu tidak berubah,

kami besamanya menantang bumi bertuah,

biar tulang kami berserakan dan darah mengalir merah,

bumi kami, bangsa kami pantang dijerkah.

Kepada Allah kami berdoa,

rohmu di syurga Firdaus-Nya,

kami berdoa, menahan duka orang beriman,

sesungguhnya kami tidak lupakan puan!

Sebagai manusia, jika kita amat kasih kepada seseorang atau sayangkan sesuatu, di mana sahaja kita berada, kita tetap akan mengingatinya. Seperti pantun berikut:

Tercampak terpelanting dalam paya

Terberak terkencing ingatkan dia.

Demikian Abdullah Badawi; di mana sahaja beliau berada dan sampai bila-bila, beliau teringatkan isterinya yang telah pergi ke alam baqa. Insya Allah berada dalam syurga. Pada petang beliau mendapat isteri baru. Beliau bersama isterinya, Jeanne bersama keluarga telah datang membawa hati yang duka; menziarahi tanah pusara Endon.

Abdullah Badawi memegang raga berisi bebunga. Sambil ayat-ayat suci dan doa dibaca, beliau menabur kuntum-kuntum bunga segar dan menyiram air dingin atas pusara isteri pertamanya.

Bunga mawar, cempaka dan kemboja,

Harum baunya ke merata-rata,

suami menaburnya atas pusara,

Endon isterinya dilupa tiada.

Hati Sang Perdana bagai berkata,

Sayang, kanda baru menambah cinta,

Kepada Jeanne adik ipar dinda,

Seperti bisik dinda kepada kanda.

Bunga putih menutup batu,

Batu kawi dari Madinah;

Kanda letih menanggung rindu,

Duduk duka berdiri resah.

Doa kanda bersama isteri,

Dinda di syurga bersama bidadari,

Dalam taman kurniaan Ilahi,

Sampai masa bertemu lagi

Pada waktu di atas pusara. Sedih hati masing-masing suka dicerita. Ayah lara diulik dua cinta. Isteri pertama dan kedua. Seorang meninggal nama. Yang seorang depan mata. Anak-anak lara rindukan bunda. Insaf di hati sabar mengulik jiwa; setiap yang bernyawa tetap ke sana jua. Tanda Allah kasihkan kita.

Sasterawan, Profesor Dato’ Mansor Abdullah dalam antoloji sajaknya ‘Laut Kelabu’ – 2002:

Sebuah kesetiaan itu

hadirnya dalaam ujian pancaroba

tegak ia dalam kandang diri

bertopangkan tiang hati

dari konkrit akal budi.

menyimpul tali rahsia

yang tak bisa putus

bertali arus

kesetiaan itu

dindingnya iman teguh

berteduh bawah kajang keikhlasan

berlantai kesucian peribadi

tak bisa retak

meskipun dipijak kaki waktu

dan bahu keberanian

tak pernah mungkir

zaman bersaman

kesetiaan mesti kukuh

biarpun tangan angin menyongsong

menerbangkan belaian janji

jauh di pinggir usia

dan ombak tekal menampar-namapar

dagu pasir di pesisir

pinggan pantai semakin longlai,

roh kesetiaan tak berganjak jua

barang setapak.

No comments: