Wednesday, June 4, 2008

ISLAM HADHARI

HARAM DI SELANGOR DAN PERAK

Oleh: Mokhtar Petah

Kerajaan Selangor dan Perak telah mengharamkan semua program Islam Hadhari dan memperlihatkan kepada umum yang anggota EXCO boleh melangkah kuasa Sultan masing-masing sebagai Ketua agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hak Ehwal Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali, pada ketika mengumumkan pengharaman itu berkata, bahawa Islam Hadhari tidak perlu di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor telah mengarah semua masjid dan surau tidak lagi menjalankan program Islam Hadhari dan pegawai-pegawainya tidak dibenarkan menyentuh mengenai Islam Hadhari dalam khutbah Jumaat.

Orang ramai yang faham akan perlembagaan Negeri Selangor, bahawa Sultan berkuasa sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri itu, menjadi ragu dan keliru; mengapa pengerusi berkenaan mengeluarkan perintah mendahului kuasa Sultan?

Lebih Berkuasa

Adakah dalam hal agama Islam di Negeri Selangor, Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu lebih berkuasa dari Sultan, demikian beberapa orang yang faham tentang perlembagaan telah bertanya kepada saya.

Menurut mereka, sepatutnya perkara itu dirafakkan kepada Sultan lebih dahulu, kemudian Sultan setelah mendapat nasihat dari Mufti, mengumumkan perkara yang berkaitan dengan agama Islam itu.

Demikian juga pertanyaan mereka kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang negeri itu telah mengeluarkan perintah mendahului Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, mengharamkan Islam Hadhari.

Menteri Besar dan Majlis Kerja Kerajaan kedua-dua negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sepatutnya menanti keputusan Sultan masing-masing untuk membuat pengumuman.

Orang Melayu

Walaupun Menteri Besar Negeri Selangor dan Negeri Perak terdiri dari orang Melayu dan beragama Islam, tetapi kerana kedua-dua negeri itu berbeza dari Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS, maka pengharaman terhadap Islam Hadhari dianggap oleh umat Islam sebagai tekanan dari DAP yang ahlinya terdiri dari orang-orang bukan Islam.

Encik Nordin bin Mat Wahi dari Perak bertanya kepada saya,“Adakah orang Islam yang mengikut Islam Hadhari boleh menjadi murtad atau kafir?”

Saya menjawab, “Tanya kepada mufti Kerajaan Perak, Datuk Seri Harun Sani Zakariah,beliau lebih arif.”

Presiden PAS, Datuk Haji Abdul Hadi Awang telah melaungkan di mana-mana, yang beliau menentang Islam Hadhari. Tetapi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendiamkan diri. Kalau menentang pun mungkin tidak melaung.

Datuk Nik Abdul Aziz - The Star

Sama ada pemimpin tertinggi PAS, mahupun peringkat negeri-negeri dan mereka yang paling bawah, tidak menyimpan naskhah ucapan dasar ‘Ke Arah Tajdid Hadhari’, oleh Yang Dipertua PAS, Allahyarham Mursyidul Am, Haji Yusof Rawa, dalam Muktamar tahunan ke-33 parti tersebut, di Dewan Besar Markaz Tarbiah PAS, Kuala Lumpur pada 10 April 1987.

Atau kerana jarak tahun 1987 dengan tahun ini lebih 20 tahun lamanya, maka mereka terlupa akan ucapan pemimpin PAS itu. Ataupun biar pihak PAS sahaja yang menggunakan perkataan Hadhah atau Hadhari, parti lain, terutama UMNO tidak boleh.

Sesiapa dari kalangan ahli PAS yang menyimpan naskhah ucapan Haji Yusof Rawa itu, boleh membaca semula dan perhatikan paragraf yang ke-10 yang panjang ada mencatatkan ‘Islam atau Hadharah Rabbani’.

Haji Yusof Rawa

Oleh kerana paragraf itu panjang, maka saya bahagikan kepada beberapa paragraf untuk memudahkan pembaca memahaminya:

‘Perjuangan Parti Islam se-Malaya (PAS) ialah perjuangan untuk mengubah waqi atau realiti masyarakat manusia yang ada sekarang ini terkongkong di dalam jaringan dan terkongkong dalam arahan peradaban jahiliah.

Waqi atau realiti yang ada sekarang ini menuntut perubahan supaya masyarakat manusia dibebaskan daripada jaringan itu sebagai membolehkan kita menuju ke arah peradaban Islam atau Hadharah Rabbaniah.

Keupayaan untuk menggerakkan perubahan yang sedemikian itu daripada satu marhalah kepada marhalah yang lain adalah satu proses pengislaman yang sebenar. Pengislaman bukan satu proses tanpa asas atau slogan politik murahan untuk mendapat sokongan, sedangkan slogan itu tidak membawa apa-apa perubahan kepada realiti jahiliah yang ada.

Pengislaman yang sebenar ialah satu perubahan menuju pembebasan daripada hadharah assobiah jahiliah yang menggerak kehidupan kepada pembentukan hadharah Islamiah dengan keupayaan iman, fikiran, ilmu, amal, akhlak dan takzim yang menyeluruh. Ia bukan satu proses yang dapat digerakkan oleh seseorang atau golongan yang tidak terlibat dengan pergerakan yang menarik penglibatan ummah seluruhnya.

Pengislaman yang sebenar ialah proses yang digerakkan dengan kebangkitan ummah dan penglibatan mereka sepenuhnya untuk menuju kepada Islam dan membebaskan diri daripada kongkongan hadharah assobiah jahiliah itu. Inilah hakikat perjuangan yang kita dukung’

Negara Islam

Ucapan di atas ini terdapat ada persamaan dengan kandungan ucapan Abdullah Badawi, iaitu ‘Pengurusan Negara Islam’ pada ketika merasmikan Majlis Islam Hadhari, peringkat kebangsaan, di Shah Alam, Selangor, pada 30 Januari 2004 (lihat Falsafah Kepimpinan Dr. Abdullah Badawi, oleh: Mokhtar Petah, 2004).

Untuk pengetahuan umum, ucapan Yusof Rawa telah ditulis oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Mohamad Nakhaie Haji Ahmad (Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia –YADIM) pada ketika dia berjawatan Naib Yang Dipertua PAS. Beliau telah melompat ke dalam UMNO pada masa Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Apabila Abdullah Ahmad Badawi berdiri sebagai Perdana Menteri Malaysia yang mahu hala tuju negara dan rakyat mengikut doktrin seperti dalam sajaknya, Aku Cari Damai Abadi, iaitu: Kita bongkar rahsia kitab suci, cari pedoman. kita bongkar rahsia Sunnah Nabi, cari panduan, maka sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan untuk menyusun dan memprogramkan gagasan bukan mazhab, iaitu Islam Hadhari.

Di antara mereka dalam jawatankuasa itu, selain dari para ulama, ialah Nakhaie Ahmad dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman.

Majlis Fatwa

Nakhaie Ahmad telah mengemukakan bahan yang sama dengan yang ditulis untuk ucapan Haji Yusof Rawa seperti di atas. Maka tujuan Islam Hadhari Abdullah Badawi ada persamaan dengan Islam atau Hadarah Rabbaniah yang dianjurkan oleh PAS.

Pada mula Islam Hadhari dilancarkan pada 30 Januari 2004, hingga kini tiada tentangan daripada semua Raja-Raja Melayu, Majlis Raja Melayu dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Oleh yang demikian, Islam Hadhari tidak berlawanan dengan agama Islam yang sedang kita anut sekarang ini. Bukan agama sesat dan boleh menyesatkan pemeluknya menjadi murtad atau kafir.

Saya mendapati, Majlis Kerja Kerajaan negeri Selangor dan Negeri Perak telah mendahului kuasa Sultan mereka dan mengatasi fatwa mufti masing-masing dan mengharamkan Islam Hadhari.

Parti Politik

Beberapa orang ulama yang tidak menyebelahi mana-mana parti politik telah menganggap Hassan Mohamed Ali yang kuat ‘sekular Barat’nya pada masa belum menyertai PAS, seperti menggunakan tangan Yahudi atau musuh Islam untuk menghancurkan Islam Hadhari UMNO dan Islam atau Hadharah Rabbaniah PAS.

Hassan Mohamed Ali

Demikian juga anggapan mereka terhadap Menteri Besar Perak, Ir. Mohammed Nizar Jamaluddin dan ahli-ahli EXCO yang terdiri dari orang Islam.

Maka tidak salahlah, kalau ada orang berpendapat Kerajaan Pakatan Rakyat telah mempolitikkan Islam Hadhari dan sekali gus turut membinasakan perjuangan PAS seperti yang ditunjukkan oleh Yang Dipertuanya, Haji Yusof Rawa.

Oleh kerana Sultan Selangor dan Sultan Perak anggota Majlis Raja Melayu, maka saya mahu tahu dari mereka; adakah mereka akan mengambil sikap bercanggah dengan Majlis Raja Melayu berhubungan dengan Islam Hadhari disebabkan sikap dan kemahuan orang-orang politik yang baru memerintah negeri?

Adakah kuasa sebagai Ketua Agama Islam yang ada pada mereka telah diserahkan kepada anggota-anggota Exco negeri masing-masing? Kerana Islam Hadhari dengan Islam atau Hadhari Rabbaniah tidak berbeza, maka apakah Majlis Raja Melayu, Sultan Selangor dan Sultan Perak reda pihak-pihak tertentu mengharamkan Islam Hadhari yang telah diterima oleh Majlis Raja Melayu dan Majlis Fatwa Kebangsaan?

Kita patut menyedari kejadian sebelum pelantikan Menteri Besar Negeri Selangor dan Menteri Besar Negeri Perak telah berlaku di pihak parti-parti dalam Pakatan Rakyat, mencuba ‘menikam hujung jarum kepada kelindan’ terhadap kedua-dua Ketua Agama Islam dan adat Istiadat Melayu yang bergelar Sultan itu.

2 comments:

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Assalamualaikum,
Saudara Mokhtar Petah. Terima kasih berkunjung ke blog saya di http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com

Nak jemput saudara ke DBP 7 Jun ini T2, Balai Seminar. Ada majlis pelancaran 14 novel dan diskusi buku oleh Pak Samad. Makan pagi + tengah hari disediakan. Duit minyak kereta sahaja sendiri. Heheh, Jemput kawan-kawan kita ya.

al-Kurauwi

Anonymous said...

Marilah kita sama-sama berjuang bermatlamatkan menaik dan menjaga maruah Melayu dan mengikut prinsip yang mengamalkan kasih dan sayang, adil dan saksama, bijak dan berstrategi, merancang masadepan dengan baik, bertanggungjawab, berdisiplin dan memahami jiwa rakyat tanpa batasan agama dan bangsa di dalam pemerintahan.