Showing posts with label pas. Show all posts
Showing posts with label pas. Show all posts

Tuesday, June 3, 2008

PENEROKA MAUT DITANDUK KERBAU

Oleh: Mokhtar Petah

Berita Harian 1 Jun menyiarkan sebuah berita 11 paragraf mengenai peneroka maut ditanduk kerbau. Berita itu menarik hati saya, kerana kerbau itu mengamuk dalam keadaan orang Melayu ‘mengamuk sesama sendiri’, disebabkan pegangan politik yang berbeza.

“Kejadian kita-kira jam 9 pagi itu, Ahmad Zambri Haron, 49, yang juga bekas Ketua Umno cawangan Felda Keratong Tiga, dekat Rompin maut di tempat kejadian akibat cedera parah di muka, leher dan perut kesan tandukan kerbau itu”

Pada tahun 1970-an, pada masa Kalangan UMNO Negeri Perak pimpinan Tan Sri Mohd. Ghazali Jawi, berkrisis dengan Sultan Perak, Sultan Idris Shah ibni Sultan Alang Iskandar Shah, Haji Ahmad bin Haji Jaafar, di Kampung Ngor (tempat kejadian Al Ma’unah), dibaham beruk jantan yang dipeliharanya kerana sedang turun minyak (gila asmara).

Kerbau jenis haiwan yang boleh dimakan dagingnya, tetap tidak disebut oleh Allah dalam Quran. Haiwan itu sama dengan lembu. Tanduk lembu pendek dan tanduk kerbau ada dua jenis, kerbau tanduk panjang dan kerbau tanduk pendek (kerbau tanah atau kerbau Banggala). Lembu ada disebutkan oleh Allah dalam Quran, iaitu baqarah.

Tiada dalam Quran tentang hukum sama ada halal atau haram memakan daging beruk. Terdapat firman Allah dalam Quran mengenai Monyet atau beruk, ialah:

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui orang-orang yang melanggar di antara kamu pada hari Sabtu (hari yang khusus untuk beribadat bagi orang-orang Yahudi dan menegah mereka menangkap ikan pada hari itu), lalu Kami berfirman kepada mereka: Jadilah kamu beruk yang hina. (Al Baqarah:65).

Katakan, apakah Aku akan beritakan kepada kamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasik) itu di sisi Allah, iaitu orang yang dikutuki dan murkai oleh Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan beruk dan babi (orang-orang Yahudi yang melanggar kemuliaan hari Sabtu) dan mereka yang menyembah Taghut. Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus.(Al Maidah:60)

Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang mereka dilarang mengerjakannya, Kami katakan kepada mereka, jadilah kamu kera yang hina. (Al A’raf:166).

Pendapat orang tua-tua Melayu (tak boleh pakai sebagai tujuan ilmiah), bahawa manusia di seluruh dunia ini mempunyai tabiat seperti haiwan-haiwan ini:

* Orang Melayu dan manusia di Asia (termasuk

Cina dan Monggolia) bertabiat seperti kerbau.

* Orang Arab, Afrika, Iran,Turki, India bertabiat

seperti unta atau lembu.

* Orang Barat bertabiat seperti kuda.

* Orang Yahudi bertabiat seperti Beruk Qardun.

* Manakala orang Russia dan kawasan Bolkan

Bertabiat seperti Singa atau serigala.

Kerbau diternak oleh manusia. Setia kepada tuannya. Diperhambakan oleh tuannya – menyuruh membajak sawah, membawa bebanan dan sebagainya. Di hujung hidup haiwan itu disembelih dan dimakan dagingnya.

Jika tuannya berbuat baik dan mengetahui kemahuannya (misalnya waktu ia naik minyak), tuannya boleh menunggang di atas belakangnya. Menunjuk kesetiaannya, diangkat ekornya mencudat ke atas. Tuannya selamat, tetapi kalau tuannya jahil akan kemahuannya, maka tuannya akan menjadi mangsa di hujung tanduknya.

Biasanya kerbau yang melawan tuannya, ialah kerbau jantan yang telah naik minyak atau gila asmara. Kerana tuannya jahil akan kemahuan jantinanya, maka kerana nafsunya yang membara, dia tidak kenal tuannya atau sesiapa, maka yang menjadi mangsanya, ialah tuannya yang tidak pernah gila asmara.

Demikian juga beruk. Apabila beruk jantan naik minyak (gila asmara), ia kelihatan termenung, dua biji matanya kelihatan merah dan garang serta gigi-giginya dibunyikan seperti orang sedang marah.

Di sini saya menilai ragam Kerbau dengan orang Melayu. Orang Melayu adalah orang yang setia kepada tuannya. Dia tidak peduli siapa tuannya, sama ada Raja, pembesar atau pembunuh orang. Kesetiaannya seperti dalam cerita dongeng tamsil Melayu, iaitu Hang Tuah. Hang Tuah setia dengan tidak menggunakan fikiran yang sihat.

Kerbau memiliki perangai yang buruk, iaitu berebut untuk mendapatkan makanan dan kubang tempat bermandi lumpur.

Dari cerita kerbau mengamuk di Felda Keratong, dapat kita melihat kepada orang Melayu yang bersengketa sesama sendiri. Mereka berkeadaan atau berperangai seperti kerbau. Tetapi tidaklah jadi kerbau. Allah telah menentukan manusia adalah ‘sebaik-baik kejadian’ atau haiwanun natiq (haiwan yang berkata-kata).

Kita dapat melihat; yang telah berkuasa dan kaya raya setelah meninggalkan gelanggang tempat dia berkuasa dan mendapat kekayaan, dia tidak puas hati dan marah kepada orang yang menggantikan tempatnya.

Orang yang begini adalah terhitung dalam golongan ‘tamak dan hasad’. Manusia yang ada dua jenis keburukan itu, adalah dibenci oleh Allah, para malaikat-Nya dan para rasul-Nya.

Mereka yang berperasaan tidak senang melihat orang lain senang atau berkedudukan tinggi, adalah dari manusia yang haloba atau tamak. Pada awalnya dia berkeadaan lapar, setelah makan dan kenyang, dia mahukan, senang. Setelah dia berkeadaan senang, maka dia mahukan kemenangan. Tamakkan kemenanganlah menjadikan manusia tidak kenalkan diri sendiri dan lupakan Tuhan.

Dalam semua bahagian dan cawangan UMNO serta parti-parti dalam Barisan Nasional wujud mereka yang berperangai macam haiwan tanduk tuan itu. Begitu juga dalam parti-parti politik lain, seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO, PAS dan DAP. Mereka terhitung dalam golongan manusia yang ‘ bersahabat tidak sampai ke hujung jalan, bermusuh tak sampai ke hujung usia’. Ada kesempatan tikam dari belakang atau di hadapan manis muka, bila di belakang berwajah cuka.

Begitu juga dalam parti-parti politik, ada pihak parti itu hendak menjatuhkan pemimpin atau orang-orang parti lain, dengan tujuan hendak merebut tempat dan kuasa.

Kerana perbuatan itu akan menjadikan seseorang pemimpin itu apabila telah turun atau dijatuhkan dari kedudukannya berkeadaan seperti beruk jantan dalam hutan atau timba. Mana-mana beruk jantan telah lama berkuasa ke atas kumpulan beruk dan tidak gila asmara, maka ia akan dijatuhkan oleh beruk jantan yang baru, kuat dan bernafsu besar. Mahukan kuasa dalam rimba itu.

Beruk jantan yang tua dan mengalah itu, kalau ia tidak mati dibunuh, ia meneruskan hidup dalam keadaan merana dan meragam berkeadaan keadaan ‘kera sumbang’ hingga ke hujung usianya.

Sementara beruk yang merana dan meragam itu akan sampai ke hujung usianya, ia menjerit, melalak, melaung ke seluruh hutan dan rimba kerana hiba, duka dan tidak puas hati disebabkan beruk-beruk lain dikuasai oleh beruk jantan yang menggantikan tempatnya.

Sesungguhnya amat benar firman Allah dalam Quran, jadilah kamu beruk yang hina.

Kita bersyukur kepada tuhan kerana dalam Quran-Nya tidak ada disebutkan jamus (kerbau). Yang ada hanya baqarah.

Dalam Quran ada firman Allah tentang beruk. Adakah orang Melayu, Cina dan India di negara ini yang bertelagah sesama bangsa sendiri akan menjadi seperti orang Yahudi seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Quran, jadilah kamu beruk yang hina?

Perempuan Bakhil @ Kedekut

[Cerita ini adalah di antara banyak cerita mimpi orang-orang soleh atau sufi yang telah berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., sesuatu yang berlaku dalam semua mimpi itu adalah benar yang disahkan oleh Junjungan sebagai mimpi yang tidak dipengaruhi oleh syaitan.]

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah, ada seorang perempuan yang lumpuh sebelah tangannya setelah dia bermimpi melihat ibunya dalam neraka jahanam. Di tangannya ada sesobek kain dan sedikit keju (lemak) yang digunakan untuk mengelakkan dirinya dari api neraka.

Isteri Nabi Muhammad s.a.w., Sayiditina Aisyah binti Abu Bakar As Siddiq telah memberitahu, bahawa pada satu hari seorang perempuan yang lumpuh sebelah tangannya telah berkunjung ke rumahnya dan menemui Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Dia telah meminta penjelasan dari Junjungan tentang mimpinya.

Sebaik-baik sahaja perempuan itu duduk di hadapan Nabi Muhammad s.a.w., dia telah berkata, “Ya Rasul Allah, saya mohon Junjungan berdoa kepada Tuhan, doakan supaya Allah sembuhkan tangan saya ini seperti keadaan sebelum kejadian tangan saya lumpuh.”

“Apa yang menyebabkan tangan kamu jadi lumpuh?” Nabi Muhammad s.a.w. bertanya.

“ Pada waktu saya tidur, saya telah bermimpi seakan-akan hari kiamat telah berlaku, neraka jahanam telah menyala marak apinya, syurga telah didatangkan kepada saya,”jawab perempuan itu.

“Masya Allah,” sabda Nabi Muhammad s.a.w. dan mendongakkan wajahnya ke atas.

“Dalam mimpi saya itu, saya telah melihat ibu saya ada dalam satu gaung neraka jahanam itu, tangan kanannya memegang sepotong keju (lemak), tangan kirinya memegang sesobek kain untuk mengadang api neraka itu,” perempuan itu berkata lagi,

“ Saya hairan, mengapa ibu saya ada dalam neraka itu, sedangkan dia seorang perempuan yang taat kepada Allah, bapa saya telah redhakannya,” tambah perempuan itu.

Perempuan itu meneruskan ceritanya, “ Saya telah bertanya kepada ibu saya, buat apa keju (lemak) dan sesobek kain itu, ibu saya menjawab,

Hai anakku, sesungguhnya ibu sangat kikir (bakhil) pada masa hidup di dunia, di neraka inilah tempat orang yang bakhil macam ibu ni.”

“Sebanyak keju (lemak) ni, kain sesobek ini yang pernah ibu sedekahkan sepanjang hidup ibu di dunia ..., inilah yang dapat mengelakkan ibu dari api neraka ..., mengelak dari seksaan atas diri ibu ...,” cerita perempuan itu lagi.

Perempuan itu bercerita itu melanjutkan ceritanya kepada Nabi Muhammad s.a.w., “Saya bertanya kepada ibu, di mana bapa?, ibu telah menjawab, bapa seorang dermawan, dia bersama orang-orang dermawan dalam syurga.”

“Saya telah datang ke syurga, di sana, saya nampak bapa saya berdiri di tepi telaga kamu, ya Nabi Allah, dia sedang memberi minum kepada manusia di situ,” cerita perempuan itu.

“ ...bapa saya telah mengambil gelas itu dari Sayidina Ali, Sayidina Ali mengambil gelas itu dari Sayidina Uthman, Sayidina Uthman mengambilnya dari Sayidina Umar, Sayidina Umar mengambilnya dari Sayidina Abu Bakar ..., Sayidina Abu Bakar mengambil gelas itu dari kamu, hai Junjunganku,” terang perempuan itu.

“Kemudian saya bertanya kepada bapa saya, hai bapa, mengapa ibu yang taat kepada Tuhan dan bapa memberi keredhaan kepadanya, sekarang dia ada dalam gaung neraka, bapa pula dalam syurga? ” terang perempuan itu lagi.

Perempuan itu dengan perasaan sedih menerangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., “Bapa saya menjawab, sesungguhnya ibu kamu berada di tempat orang-orang bakhil dan telah melakukan maksiat, Allah telah mengharamkan air telaga Nabi Muhammad ini kepada orang bakhil dan melakukan maksiat,”.

“Kemudian saya mengambil segelas air dari telaga itu dengan tidak mendapat kebenaran dari bapa saya dan saya beri kepada ibu saya supaya dia minum, pada ketika saya memberi ibu saya minum, saya terdengar suara berkata, semoga Allah menjadikan tangan kamu lumpuh kerana kamu memberi minum kepada orang yang telah melakukan maksiat,” terang perempuan itu lagi.

Dia memberitahu kepada Nabi Muhammad s.a.w., bahawa selepas dia mendengar suara itu, dia terjaga dan didapatinya tangannya telah menjadi lumpuh.

Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda kepada perempuan itu, “Aku telah memukul kamu sebab ibu kamu bakhil pada masa dia hidup di dunia.”

Syaidatina Aishah memberitahu: “Nabi Muhammad telah meletakkan tongkatnya di atas tangan perempuan yang lumpuh itu, dan Junjungan telah berdoa: Ya Allah, sebab benar mimpi yang diceritakan oleh perempuan ini kepada aku, maka aku pohon Kau sembuhkanlah tangannya.”

Menurut Syaidatina Aishah, seketika kemudian tangan perempuan itu telah sembuh dari lumpuhnya.

MUSUH ALLAH


Nabi Muhammad telah bersabda: “Allah telah berfirman: Ada tiga jenis manusia, Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat, (1) Orang yang memberi kerana Aku, kemudian tidak diakuinya, (2) Orang yang menjual orang yang merdeka, kemudian dimakannya hasil jualan (wang) itu, dan (3) Orang yang mengupah seseorang supaya menyempurnakan kerjanya, tetapi tidak dibayar upahnya.”

Perawi: Abu Hurairah.

Sunday, May 25, 2008

CINTA YANG AGUNG

Kisah Cinta Yang Realiti


Zulkifli dan Asiah

[Sejak zaman berzaman hingga kini, belum pernah berlaku percintaan sepasang kekasih orang Melayu yang seagung cinta Zulkifli Mohammad dengan Asiah Kamaruddin, di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar sebelum mereka meninggal dunia pada tahun1964.

Zulkifli Mohammad memiliki gelaran Dato’ dan Profesor. Anak Kota Lama Kiri, menuntut di Universiti, di Kaherah, Mesir.

Allahyarham seorang yang cacat sebelah kaki kerana polio – akibat demam panas pada dia masih kanak-kanak. Dia adalah seorang maha guru, pengarang dan sasterawan dan ahli politik Islam.

Sebelum meninggal dunia bersama isterinya, dalam satu kemalangan jalan raya atas jambatan, di Kuantan, pada 6 Mei 1964 Allahyarham adalah Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia – PAS dan ahli Dewan Rakyat kawasan Bachok, Kelantan.

Kematian Zulkifli Muhammad telah menimbulkan tuduhan - hingga menjadi perbincangan dalam Dewan Rakyat, Allahyarham telah dibunuh oleh komplot musuh politiknya.

Pada ketika ditemui pada ketika dalam kereta kecil – Fiat, nombor pendaftaran, JB 9977 yang dipandu oleh Allahyarham; sepasang kekasih dan suami isteri itu berpeluk.

Kereta Zulkifli dan land rover

Zulkifli terperosok di bawah stereng kereta itu. Isterinya terperosok di sisinya dan menghembus nafas atas ribanya. Sebelah tangan Zulkifli memeluk badan isterinya dan dia sedang nazak.

Beberapa minit kemudian, dalam kereta yang membawa mereka ke Hospital Besar, Kuantan, Zulkifli mengikuti jejak isterinya – meninggal dunia.

Semua yang melihat telah didera kesedihan dan air mata mengalir atas kedua belah pipi masing-masing.

Berita kematian sepasang kekasih itu telah disiarkan pada jam 10.00 malam 6 Mei 1964. Berita tersebut telah mengejutkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan timbalannya, Tun Abdul Razak. Pada malam itu Tun Abdul Razak berada di Pekan, Pahang.

Jenazah mereka telah diterbangkan dengan kapal terbang khas Tentera Udara Diraja Malaysia, dari lapangan terbang Kuantan ke lapangan terbang Ipoh. Kemudian di bawa dengan kereta khas ke Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Jenazah pasangan itu dikebumikan dalam satu pusara, di kampung tumpah darah mereka, Kota Lama Kiri.

Mokhtar Petah telah menulis buku tentang Zulkifli Muhammad, iaitu Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan dan diterbitkan dalam tulisan Jawi, pada tahun 1965.

Berikut ini adalah kisah cinta agung Zulkifli Muhammad dan isterinya, disaring dari buku tersebut supaya pembaca dapat menilai cinta mereka; sesuci mana, seindah mana, sekukuh mana dan seagung mana cinta pasangan yang mati syahid itu.

– Editor, Petah Shahrir Aidid. ]

Percintaan Zulkifli Muhammad dengan kekasihnya, Asiah binti Kamaruddin, seorang gadis yang paling cantik pada waktu itu, di Kampung Kota Lama Kiri, adalah kisah percintaan moden di abad yang kedua puluh ini.

Kalau kisah Romeo dan Julia merupakan kisah yang dipuja oleh pemuda pemudi di seluruh dunia, tetapi kisah itu adalah kisah rekaan yang tidak menjejak ke bumi nyata. Tetapi kisah percintaan mereka adalah menjejak kepada kenyataan dan apatah lagi percintaan mereka itu benar sebuah kisah percintaan yang mengakhiri riwayat sama-sama mati - sehidup semati.

Sebagai seorang gadis yang tercantik, samalah seperti sekuntum bunga yang kembang; Asiah dipuja. Ramai ibu yang mempunyai anak muda berangan-angan hendak mengambil Asiah untuk menjadi menantu mereka. Tetapi pada setengahnya pula seperti kata ‘hajat hati nak peluk gunung tetapi apakan daya tangan tak sampai’, maka tinggalkan bunga mekar itu di dalam taman.

Asiah adalah dari keluarga Zulkifli juga. Sebelum Zulkifli melanjutkan pelajarannya ke Mesir, Asiah sentiasa datang ke rumahnya untuk belajar berbagai ilmu, termasuk bahasa Arab.

Selain dari tinggal sekampung, perhubungan mereka pada masa itu lebih daripada perhubungan saudara dengan saudara kandung.

Pada masa itu Asiah belajar di sebuah sekolah agama rakyat di Kota Lama Kiri dalam darjah yang masih rendah, tetapi dengan ketekunannya dan banyak pelajaran yang dipelajari daripada Zulkifli, dia telah mencapai kejayaan cemerlang dan kemudiannya belajar di Madrasah Al Masyhur, Pulau Pinang.

Tidak berapa lama kemudian, Asia ditunangkan dengan seorang pemuda di kampungnya, berpangkat Malay Officer, tetapi pertunangan itu gagal kerana tunangnya itu meninggal dunia.

Setelah beberapa lama kemudian, Asiah ditunangkan dengan seorang pemuda sekampung dengannya, berpangkat MCS dan menurut apa yang saya ketahui, pertunangan itu tidak dengan kerelaan Asiah sendiri.

Kerana tidak mahu menerima apa yang ditolak oleh hatinya, Asiah memanggil seorang dari keluarganya, Tuan Haji As’aya bin Abdul Hamid (kemudian Mufti Kerajaan Negeri Perak), berjawatan Kadi Kerajaan Perak, di Kuala Kangsar. Kepada Kadi itu Asiah telah menyerahkan wang sejumlah wang $60.00 untuk dibayar kepada tunangnya sebagai wang bayaran kesalahan kerana memutuskan pertunangannya dengan pemuda itu.

Walaupun surat-surat percintaan mereka berdua telah tidak ada lagi kerana menurut cerita kawan-kawan Asiah sendiri, bahawa surat-surat cinta mereka telah dibakar terutama surat Zulkifli yang diterima oleh Asiah.

Percintaan mereka telah tumbuh setelah Zukifli berangkat ke Mesir.

Saya mendapat tahu juga, bahawa surat-surat mereka ditulis tidak sebagaimana surat-surat biasa, tetapi merupakan percakapan biasa.

Di antara berpuluh-puluh pucuk surat Zulkifli kepada kekasihnya itu, ada sepucuk surat yang ditulis tatkala dia menanti hari dilakukan pembedahan perut oleh doktor-doktor di Kaherah. Surat itu, entah kerana terlalu menggembirakan Asiah atau terlalu mendukacitakannya, dia telah menunjukkan surat tersebut kepada rakannya yang baik sangka terhadapnya.

Di antara kandungan surat itu, Zulkifli telah menyebut, bahawa dia akan menjalankan pembedahan perutnya, sekiranya dia meninggal dunia di Mesir, diharapkan mayatnya dibawa kembali ke Malaya dan dikebumikan di Kota Lama Kiri. Dan kalau dia meninggal dunia, dipesankan kepada kekasihnya, supaya berkahwin dengan sesiapa yang difikirkan sesuai untuk menjalankan bahtera kehidupan dan diharapkan jika kekasihnya itu meninggal dunia juga nanti, hendaknya, kubur kekasihnya itu dekat dengan kuburnya juga.

Dia (Zulkifli) juga menulis, sekiranya mayatnya dikebumikan di Mesir, dia berharap akan dapat bertemu dengan kekasihnya di akhirat …, syurga …!

Percintaan mereka, adalah cinta suci dan tidak terburu-buru. Dan pada masa sebelum pergi ke Mesir dan setelah kembali pun, mereka tidak pernah berjalan berdua-duaan atau berjalan bersama, apatah lagi pergi menonton dan sebagainya.

Bapanya, Encik Muhammad telah berkata kepada saya, bahawa percintaan Zulkifli dengan Asiah satu percintaan sama-sama keras hati.

Mereka sama-sama berjanji sehidup semati dan sama-sama memegang janji untuk itu …, bahagialah mereka.

Tetapi percintaan mereka berdua telah mendapat tentangan yang hebat daripada sebelah pihak Asiah, terutama ibunya (bapa Asiah telah meninggal dunia pada masa Malaya dijajah oleh Tentera Jepun). Ibunya sentiasa menentang percintaan mereka.

Ibu Asiah mahu dia berkahwin dengan seorang pemuda yang berpangkat besar, kaya dan tidak cacat sebagaimana Zulkifli. Tetapi Asiah tidak mempunyai perasaan seperti ibunya. Dia mencintai Zulkifli dengan sepenuh hatinya dengan tidak mengira cacatnya.

Pada satu hari ibu Asiah telah berkata kepadanya, “Ah (panggilan manja) nak kahwin dengan Nyah (nama manja Zulkifli) tu, kalau dia sakit demam lalu basuh punggungnya …”

Kata-kata ibunya itu telah mendapat jawapan dari Asiah, “Dia suami Ah tentulah Ah akan beri sepenuh pengorbanan kepadanya.”

Walaupun Asiah telah memutuskan pertunangannya dengan tunangnya yang kedua, tetapi anak muda itu dengan penuh rela melepaskannya. Dia sering mendatangi Zulkifli. Tetapi dia tidak pernah berjaya menyelami hati anak muda pujaan Asiah itu. Ini berlaku setelah Zulkifli kembali dari Masir.

Pada masa Zulkifli bekerja di Kolej Islam Malaya – Klang, dia telah menulis sepucuk surat kepada bapanya, di Kota Lama Kiri. Dalam surat itu diminta bapanya menyampaikan hasrat hatinya untuk meminang Asiah.

Setelah menerima surat itu, bapanya tidak terus meminang Asiah, tetapi dia hendak tahu terus terang letak duduk perkara yang sebenar daripada Asiah sendiri. Maka, tatkala Asiah datang ke rumahnya, dia ditanya oleh bapa Zulkifli.

Asiah menjawab terlalu tingkas, “Ah dah berjanji dengan Nyah, kalau kami tak dapat kahwin, biarlah kami membujang sampai mati.”

Jawapan itu adalah jawapan yang berani daripada seorang gadis kampung pada masa itu.

Maka utusan untuk meminang Asiah pun di hantar ke rumah ibu dan keluarga Asiah. Apabila utusan itu membuka mulut dengan penuh tertib menurut adat, dengan tidak disangka-sangka ibu Asiah menjawab dengan nada dan menolak pinangan itu. Ibu Asiah lebih suka kalau abang Zulkifli, Zabidi bin Haji Muhammad menjadi menantunya.

Setelah menerima kata penolakan itu, kembalilah utusan tersebut dengan hati yang hampa dan memberitahu keluarga Zulkifli – dayung di seberang sini dan sampan di seberang sana.

Zulkifli yang tentunya menanti perkhabaran gembira itu telah diberitahu akan hal penolakan itu, dan keluarganya menasihatinya supaya memilih mana-mana gadis yang lain untuk bakal isterinya. Tetapi dia tetap dengan pendiriannya.

Mereka terlalu sedih dan hampir putus asa kerana jawapan yang mereka terima daripada Zulkifli mengenai pemutusan itu terlalu tegas dan keputusan muktamad.

Zulkiflli memberitahu keluarganya, sekiranya dia tidak dapat berumah tangga dengan gadis yang dicintainya, maka relalah dia hidup membujang sampai mati.

Pada masa itu juga Zulkifli sendiri telah menolak satu lamaran daripada seorang gadis intelek Johor yang ingin berumah tangga dengannya.

Menurut cerita dari kawan-kawannya, bahawa gadis itu mula mengenali Zulkifli tatkala gadis itu menjadi anggota Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung dan pada waktu itu Zulkifli pernah mengambil bahagian berceramah dan sebagainya dalam perhimpunan yang diadakan oleh gabungan tersebut.

Bapa Zulkifli masih belum berputus asa. Dia telah menghantar seorang wanita yang telah menjadi pengasuh Asiah pada masa kecil, bernama Salamah. Wanita itu diutus untuk menyampaikan hasrat Zulkifli buat meminang Asiah.

Jawapan daripada pihak Asiah yang dibawa balik oleh wanita utusan itu, bahawa pihak Asiah boleh menerima lamaran itu, tetapi dengan syarat pihak Zulkifli hendaklah membuat anjung rumah Asiah (pada masa itu rumah ibu Asia belum beranjung) dan maharnya serta untuk belanja kenduri sejumlah $1,500.

Utusan telah mendatangi keluarga Asiah bagi pusingan yang terakhir dengan membawa segala bukti yang Asiah dan Zulkifli sedang bercinta dan mereka sama mahu. Bukti-bukti itu diserahkan kepada ibu Asiah (menurut khabarnya, bukti itu beratus pucuk surat Asiah yang disimpan oleh Zulkifli).

Kembali utusan itu dengan membawa satu syarat daripada kemuncak ke kemuncak, iaitu itu belanja perkahwinan dan mahar sebanyak $1,500 dan tidak dikehendaki membuat anjung rumah.

Setelah berunding muafakat oleh keluarga Zulkifli, maka mereka dengan rela menghantar ‘hantaran’ sebanyak itu dan pertunangan mereka berdua dijalankan.

Sepanjang hidup mereka berumah tangga, mereka tidak pernah bertengkar dan sesuatu yang rumit mereka selesaikan bersama.

Asiah yang hidup di samping seorang profesor muda itu, selain daripada menikmati sepenuh kasih sayang daripada suaminya, dia juga berasa berada dalam sebuah sekolah atau universiti dan suaminya mahaguru yang mengajarnya segala pelajaran.

Dia (Asiah) telah mempelajari segala pelajaran daripada suaminya. Dia belajar ilmu pergaulan dan bermasyarakat, ilmu perundangan Islam dan berbagai lagi. Pendeknya dia telah belajar ilmu politik daripada suaminya.

Asia telah menjadi tangan kanan Zulkifli, dan Asiah juga menjadi setiausaha sulit suaminya.

Pusara Zulkli Muhammad dan Asiah di tepi jalan raya Kuala Kangsar - Ipoh

ZUL DALAM KENANGAN

Zul,

Hangat sejuk merasa tanganmu mendakap jari

jemariku masih terasa,

Nada madahmu antara mendayu dan dentuman

petir masih nyata,

Senyum hilaimu dari mata tajam tergaris pada

sukma,

kau punya nafas mesra …

Zul,

Kini kau tiada di samping kami,

Pergilah ke wajah Tuhan kita – kami warismu

Dan ke sana jua,

Doa restu kami, kau dan pujaanmu dalam pelukan

Tuhan Pencipta syurga,

Dan di bibir kami namamu berpesta.

Zul,

Bagi semua pujangga kau sasterawan bangsa,

Kau negarawan ulung di atas bumi pusaka,

Pejunjung kalimat Qudus kau ulama kasteria,

Ibnu Khaldun rakanmu, Iqbal taulanmu.

Zul,

Bila kala kau datangi melintasi wajah kami ke pusara,

Demi Tuhan titisan air mata kami membasahi bumi,

Pada hibalah kamu menyambut pamitanmu di hujung

masa,

Aku rakanmu,

dalam gelanggang yang sama.

Zul,

Bersemadilah,

Ke syurgalah,

Madahlah,

Kami ini insan masih berkayuh biduk jua,

Bagi bumi,

Bagi bangsa menjunjung perintah Pencipta segala.

(Mokhtar Petah 1964. Dari buku

Zulkifli Muhamad Dalam Kenangan.)

Thursday, May 22, 2008

PAS KERJASAMA DENGAN MAHATHIR

ANAK KAMBING DENGAN SERIGALA

Oleh: Mokhtar Petah

Dalam keadaan lebih dua juta ahli UMNO tidak ambil kisah Dr. Mahathir Mohamad keluar dari UMNO, ada khabar dari PAS akan kerjasama dengan mantan Perdana Menteri itu dengan tujuan menghancurkan UMNO pimpinan Perdana Menteri, Abdullah Badawi.

Di samping mengingatkan PAS supaya berwaspada dari menjadi seperti burung makas gilek telur, mereka dalam parti politik Islam itu mesti ingat, Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim pernah bersandiwara dengan PAS pada masa mereka belum masuk UMNO.

Dr. Mahathir Mohamad yang telah dipecat oleh UMNO kerana menderhaka, telah masuk UMNO dengan pertolongan, Datuk Harun Idris dan Anwar Ibrahim masuk UMNO setelah menolak nasihat Ustaz Ahmad Awang.

Manusia melihtg wajah, Tuhan merenung hati dan jiwa, maka kedua-dua pemimpin UMNO menerima nasib yang sama; seperti lintah kenyang luruh dari perut kerbau dalam sawah.

Anwar Ibrahim disingkir dari UMNO kerana melanggar disiplin parti dan menentang tuannya dan Dr. Mahathir Mohamad meninggal UMNO kerana mengikut perasaan dan merajuk.

Pada masa Anwar Ibrahimn disingkir dari UMNO sebilangan ahli UMNO meratap kerana sayang dan sebilangan lagi bersorak kerana benci dan Dr. Mahathir Mohamad meninggal parti Melayu itu, demikian juga; ada yang sayang dan ada yang benci.

Sebelum saya menulis lebih lanjut, saya teringat seorang rakan saya di London – Profesor di sebuah universiti dan saya tak mahu catat namanya di sini telah berkata, “Dr. Mahathir Mohamad orang pandai, tetapi tidak bijak, yang bijak isterinya dan saudara-sadara isteri, maka dia nampak sebagai bijak.”

“Kalau dia bijak, tentulah kemarahannya kepada Yahudi, tidak ada ruang Yahudi menjalankan perdagangan dan perniagaan di Malaysia, tetapi di Malaysia ada bank Yahudi, kasino Yahudi, makanan segera milik syarikat Yahudi dan gedong pakaian berjenama global milik Yahudi,” kata Profesor itu.

“Sebenarnya orang Yahudi sukakan Dr. Mahathir Mohamad, kerana dia menentang Negara Islam oleh PAS, mempertikaikan mukjizat, sunah dan para ulama Islam,”tambahnya.

Dr. Mahathir Mohamad

Khabar yang saya telah terima, PAS akan bekerjasama dengan Dr. Mahathir Mohamad asalkan UMNO tumbang. Di antara usahanya, untuk memberi peluang kepada mantan Perdana Meneri itu berucap di lima stadium dalam lima negeri, iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Jika Presiden PAS, Datuk Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat setuju dengan kalangan ahli PAS yang kuat pada semangat nasionalis, maka mereka seperti para sahabat Nabi Muhammad yang percayakan Abdullah bin Ubai dalam menghadapi perang Uhud yang mengakibat tentera Islam hampir tewas.

Andainya Dr. Mahathir Mohamad bekerjasama dengan UMNO, maka PAS akan terepak menghadapi nasib seperti burung malas, hendak buat sarang tiada upaya, maka terpaksa bertelur di atas jalan dan menggolek telur sendiri.

Pada masa itu Dr. Mahathir Mohamad berkeadaan burung enggang bersarang atas pokoh besar dan tinggi atau belatuk bersarang di hujung punggur.

Penulis dengan Haji Hadi Awang

PAS kena ingat, Allah melarang menghancurkan sesuatu harakah umat Islam. Walaupun UMNO sebuah parti nasional-kapitalis, tetapi ia dijunjung oleh para ahlinya yang terdiri dari orang Islam dan beriman kepada Allah.

Sama ada UMNO mahupun PAS kalau berjuang dengan tujuan untuk menghancurkan harakah atau parti politik orang Islam, maka samalah dengan tujuan dan ‘perangai’ buruk orang Yahudi yang memusnahkan umat Islam dan Negara Islam.

Walaupun PAS hari ini tidak sama dengan PAS tahun 1950-an yang kukuh iman dan jihad kepada Allah – PAS kini kelihatan seperti parti muzabzabun, semalam melaungkan perjuangan menegakkan Negara Islam, tetapi hari ini tidak mahukan Negara Islam atau KIV cita-cita suci itu dulu demi hendak menghancurkan UMNO, tetapi jangan terpedaya dengan kergaman orang yang meninggalkan parti kerana tidak sukakan teman karibnya.

Orang tua-tua Melayu (bersandarkan ilmu agama Islam) berpesan, iaitu, jangan bersahabat dengan lima orang yang berikut:

* Orang membunuh orang dengan tiada hak.

* Orang berzina dengan isteri orang.

* Orang durhaka kepada ibu bapa.

* Orang khianat atau hasad - dengki.

* Orang putus silaturahim sesama sahabat Islam.

Memang telah banyak terjadi, orang yang besahabat dengan salah seorang dari lima jenis manusia di atas ini telah menerima akibat yang buruk dan hina.

Seorang tokoh PAS, Datuk Wan Abdul Rahim dalam percakapan dengan saya, berkata, bahawa PAS tidak akan bekerjsama dengan Dr. Mahathir Mohamad kerana parti itu ada prinsip yang berlandaskan Islam.