Showing posts with label mahathir. Show all posts
Showing posts with label mahathir. Show all posts

Friday, May 23, 2008

PILIHAN TEPAT

Untuk Mencari Seorang Melayu Pada Waktu Tercekik

[Petikan dari buku,

Setia Kawan Abdullah Badawi Dan Najib Tun Razak,

oleh: Mokhtar Petah – Petah Shahrir Aidid]

Mantan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata beberapa kali, bahawa beliau silap memilih Abdullah Badawi sebagai penggantinya. Tetapi orang bijak pandai yakin, bahawa kata-kata beliau itu bukan suara hatinya, kerana pilihan itu adalah ‘pilihan tepat’ dan dengan petunjuk Allah.

Mungkin Dr. Mahathir Mohamad boleh menyetujui pandangan, iaitu beliau tentunya bersyukur kepada Allah, kerana Allah telah menunjukkan kepada beliau jalan yang lurus dengan memilih Abdullah Badawi sebagai pengganti beliau.

Elok dijelaskann di sini, beberapa orang pengarang Melayu berpendapat, bahawa untuk mencari ‘seorang Melayu’ dari UMNO untuk memimpin rakyat Malaysia selepas Dr. Mahathir Mohamad, ialah Abdullah Badawi.

Sebagai pengarang Melayu, saya telah mengambil kesempatan menggunakan ‘ikhtiar manusia di bawah iradat dan kudrat Tuhan’. Saya telah yakin yang saya boleh melakukannya, maka saya telah melaksanakannya.

Pada masa Abdullah Badawi diturunkan sebagai ‘bendera luruh dari hujung tiang ke pangkalnya’ dan naik sedepa sukar berkibar, kerana kuasa dan tindak tanduk Dr. Mahathir Mohamad pada zaman itu, maka saya telah menulis sebuah buku tentang diri Abdullah Badawi, iaitu, Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejaga t.

Saya telah menulis buku itu setelah ada keyakinan dalam hati saya yang Abdullah Badawi adalah salah seorang tokoh penting dalam UMNO. Beliau bakal memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia. Sesungguhnya, saya tidak pernah berkeyakinan yang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menduduki takhta berkuasa itu selepas Dr. Mahathir Mohamad. Tetapi, pada masa akan datang, kemungkinan beliau memimpin negara ini, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Pada tahun 1999, Abdullah Badawi terlonjak dalam sejarah tanah air. Beliau telah dilantik oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad untuk memikul amanat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau telah menggantikan tempat Anwar Ibrahim yang tersingkir dari kabinet Dr. Mahathir Mohamad dan UMNO.

Dalam beberapa minggu sebelum Abdullah Badawi dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ahli-ahli UMNO khasnya dan rakyat Malaysia amnya tertanya-tanya; siapakah bakal menyandang jawatan itu. Ada yang meramalkan seorang tokoh dari Johor. Ada yang menyangka seorang tokoh dari Pahang. Ada seorang yang sanggup potong jarinya; kononnya dia yakin bakal Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ialah seorang tokoh dari Kelantan. Ada pula yang menepuk dada, kononnya seorang dari Pergerakan Wanita UMNO Malaysia bakal dilantik ke jawatan penting itu.

Pada satu hari, bekas senator dan Ketua UMNO Bahagian Batu, Allahyarham Datuk Azman Attar telah menemui saya di sebuah hotel dalam Bandaraya Kuala Lumpur. Dia telah bertanya kepada saya, “…sebagai seorang penulis politik, siapakah bakal Timbalan Perdana Menteri yang baru?” Saya menjawab, “…Datuk Seri Abdullah Badawi.” Allahyarham setuju dengan pendapat saya itu.

Dalam tempoh beberapa minggu sahaja, sebelum Presiden UNMO dan Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan nama Timbalan Perdana Menteri yang baru, saya telah menghantar buku ‘Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’ bersama sepucuk surat kepada Dr. Mahathir Mohamad di kediamannya, Seri Perdana, Kuala Lumpur. Dalam surat itu, saya telah mengemukakan pandangan saya kepada beliau tentang betapa baik dan pentingnya Abdullah Badawi diberi peluang menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Di antara pandangan saya kepada Dr. Mahathir Mohamad itu, ialah:

* Dr. Abdullah Badawi seorang yang sangat setia kepada UMNO.

* Beliau mempunyai pengetahuan Islam yang tinggi dan berpengalaman sebagai pegawai tinggi kerajaan, menteri dan diplomatik.

* Kalau Dr. Abdullah Badawi menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, pengaruh Anwar Ibrahim akan berkurangan, demonstrasi reformasi jalanan akan tidak berlaku lagi dan orang Melayu akan bersatu.

Sesungguhnya, saya tidak mengetahui sama ada pandangan saya itu diterima atau tidak oleh Dr. Mahathir Mohamad. Tetapi, saya percaya, kerana saya seorang penulis lama (semenjak tahun 1951) dan beliau banyak mengikuti tulisan saya sama ada dalam buku mahupun akhbar, pada saat beliau membaca buku biografi Dr. Abdullah Badawi dan surat saya itu, tentulah beliau senyum dan terbuka hatinya dengan hidayat Allah.

Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Dr. Mahathir Mohamad, kerana beliau telah memberi kepercayaan kepada the smiling leader itu untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Sesiapa pun boleh membuat andaian, bahawa Dr. Mahathir Mohamad terpaksa melantik Abdullah Badawi pada masa keadaan rakyat sedang bergelora kerana Anwar Ibrahim di singkirkan dari jawatannya dan dari UMNO. Pada masa itu pengaruh Anwar Ibrahim telah mengatasi pengaruh beliau. Lebih-lebih lagi sebilangan besar rakyat tidak percaya akan ‘tuduhan berat’ beliau kepada bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu.

Saya juga telah memikirkan, bahawa Najib Tun Razak boleh memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau berpengetahuan yang tinggi. Berpengalaman dalam politik. Gigih dan berwibawa. Tetapi beliau tidak boleh memegang jawatan itu,selepas Anwar Ibrahim dan dalam keadaan rakyat masih bergelora. Beliau sesuai memegang jawatan tersebut, ialah, selepas Abdullah Badawi.

Kalau Najib Tun Razak menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas Anwar Ibrahim disingkirkan, saya telah meramalkan, kedudukan beliau sebagai pemimpin negara ini akan menghadapi kesukaran berhadapan dengan mereka yang cenderung kepada Anwar Ibrahim.

Abdullah Badawi ada falsafahnya sendiri untuk meraih keyakinan sebilangan dari mereka yang cenderung kepada Anwar Ibrahim untuk menyertainya. Beliau ada cita-cita dan pegangan murni, iaitu mengambil agama Islam sebagai panduan untuk memimpin kerajaan dan rakyat. Beliau telah memperkenalkan doktrinnya, iaitu ‘bongkar rahsia kitab suci, cari pedoman’ dan ‘bongkar rahsia sunnah nabi, cari panduan’, dalam sajaknya ‘Mencari Damai Abadi’.

Hingga pada hari ini pun Abdullah Badawi tetap dalam sebutan parti politik orang Melayu dan berkerjasama dengan parti-parti kaum lain dalam Barisan Nasional. Tetapi Anwar Ibrahim dengan parti politik campuran semua kaum – Melayu, Cina, India dan kaum lain.

Parti politik campuran lambat laun akan menenggelamkan orang Melayu dalam parti politik itu seperti yang telah berlaku pada PAP Singapura, DAP, GERAKAN dan Parti Progresive Rakyat (PPR)di negara ini.

PAS sebuah parti politik yang berbeza dari parti-parti politik di atas. Parti tersebut berideologikan Islam. Walaupun ia tidak mementingkan kebangsaan, tetapi ahlinya terdiri dari rakyat Malaysia yang beragama Islam. Maka parti itu tidak akan mengakibatkan orang Melayu tenggelam atau terhakis kerana orang Melayu adalah orang Islam (Muslim) dan mempunyai hak istimewa seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Abdullah Badawi seorang Nasionalis Islam dan Najib Tun Razak demikian juga. Maka Dr. Mahathir Mohamad telah memilih Abdullah Badawi adalah pilihan tepat. Dan Abdullah Badawi memilih Najib Tun Razak adalah pilihan tepat juga.

*** ***

Kritikan Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Abdullah Badawi, memang telah menjadi perkara biasa dalam sejarah Malaysia. Hal demikian telah berlaku di mana-mana negara di seluruh dunia.

Tunku Abdul Rahman telah banyak mengkritik Tun Abdul Razak setelah beliau meninggalkan kerusi Perdana Menteri. Walaupun kritikan Tunku Abdul Rahman itu tidak banyak disiarkan oleh akhbar, tetapi kritikan bekas Perdana Menteri itu diluahkan kepada rakan karibnya.

Tunku Abdul Rahman juga telah banyak mengkritik Dr. Mahathir Mohamad. Kerana Allahyarham telah melakukan kritikan yang berlarutan, maka Dr. Mahathir Mohamad terpaksa datang menemui bekas Perdana Menteri itu.

Tun Hussein Onn telah tidak puas hati dengan penggantinya, Dr. Mahathir Mohamad. Banyak polisi, cara dan tindakan Dr. Mahathir Mohamad menjalankan kepimpinan telah dikritik oleh Hussein Onn.

Apabila Abdullah Badawi memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad pula bersungut dan mengkritik beliau.Keadaan demikian sama dengan seorang lelaki yang membebel marah kepada lelaki yang telah mengahwini jandanya.

Seorang profesor di sebuah universiti di negara ini, beberapa orang pegawai kerajaan dan tokoh politik bertanya kepada saya mengenai ‘Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi. Saya telah menjawab “…bekas Perdana Menteri itu dengan Abdullah Badawi sama dengan seorang abang dengan adik kandungnya.”

Saya masih ingat, pada beberapa hari sebelum Dr. Mahathir Mohamad melantik Abdullah Badawi untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, seorang ahli parti politik yang menyokong kerajaan telah berkata dengan lantang, “…saya mau Datuk Najib, tak mau Dolah...”.

Kata-kata itu telah dihadapkan kepada bekas senator dan Ketua UMNO bahagian Batu, Kuala Lumpur, Allahyarham Datuk Azman Attar, dalam bilik rehat ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada satu petang. Azman Attar sedang duduk atas sofa menghadapi ahli parti politik itu. Saya duduk di belakang ahli parti politik tersebut dan sedang bercakap dengan seorang ahli Dewan Rakyat dari Johor.

“…Dato’, kita patut sokong Datuk Abdullah Badawi jadi Timbalan Perdana Menteri,” kata Allahyarham Azman Attar kepada si ahli parti politik itu.

“Don’t talk…, saya mahu Dato’ Najib jadi Timbalan Perdana Menteri..., saya tak mahu Dolah…,” sergah si ahli parti itu.

“Azman diam. Dua biji matanya kelihatan lebih banyak putih dari hitamnya. Saya merenung kepadanya pada ketika dia menghumban senyumannya kepada saya.

Kira-kira dua minggu setelah Abdullah Badawi menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, saya telah menemui si ahli parti itu. Dia mesra dengan saya. Dia memanggil saya ‘abang’. Katanya kepada saya, “…abang, saya nak letak jawatan…, saya tak nak giat ... lagi, tak minat politik...”

“Mengapa pula, you masih diperlukan oleh Perdana Menteri..., Timbalannya..., you kena sabar…,” kata saya.

Si ahli parti politik itu senyum. Tunduk sejenak. Berfikir seketika. Sambil menarik nafas panjang, dia mengalihkan perbualan dengan saya kepada topik yang lain. Mungkin dia telah menerima pendapat saya. Mungkin dia seperti sesetengah orang yang bila jauh marah, bila dekat sayang.

Sesungguhnya setelah Abdullah Badawi menduduki kerusi Perdana Menteri, si ahli politik itu termasuk dalam golongan para politikus yang menyokong Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Abdullah Badawi telah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia mulai pada 8 Januari 1999. Kira-kira tujuh bulan kemudian telah berlaku satu kejadian yang mengemparkan negara dan orang ramai, iaitu anggota-anggota kumpulan pencak silat yang bernama Al-Ma’unah yang diketuai oleh Mohd. Amin bin Ghazali, dikatakan telah merompak 119 senjata api dari Kem 304 Askar Wataniah di Grik, Perak pada 2 Julai 2000.

Kebetulan pula, pada malam kejadian rompakan senjata itu UMNO Malaysia telah mengadakan mesyuarat yang pertama kali, di luar ibu pejabatnya di Kuala Lumpur. iaitu di kediaman Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Anggota-anggota Al-Ma’unah telah dituduh dengan tuduhan yang berat, iaitu menggugat kuasa Yang Dipertuan Agong.

‘Kuala Lumpur 11 Julai – Polis berjaya menahan hampir kesemua ahli kumpulan Al-Ma’unah yang dipercayai terlibat dengan sekumpulan 15 lelaki melarikan senjata automatik dan peluru dari Kem 304 Askar Wataniah dan pos tentera di Gerik, Perak pada 2 Julai lalu.

Kejayaan polis itu secara tidak langsung telah melumpuhkan rangkaian pergerakan Al-Ma’unah yang dikatakan mempunyai lebih 800 keahlian di seluruh negara.

“Kita telah menahan hampir kesemua mereka yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan perompak senjata itu dalam masa yang singkat.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama orang ramai,” kata seorang pegawai kanan polis di sini hari ini.

Setakat ini polis telah menahan 23 ahli pertubuhan itu di seluruh negara di bawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sebanyak 13 yang ditahan di bawa ISA di tangkap di Selangor, empat di Kuala Lumpur dan bakinya di Perak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kelmarin polis menahan seorang ahli kumpulan itu di Kuala Selangor yang akhirnya membawa kepada terjumpanya selaras senjata automatik M-203 di Sungai Patani, Kedah.

Seorang ahli kumpulan itu juga ditahan di Johor di bawah seksyen 117 Kanun Keseksaan kerana dipercayai boleh membantu dalam siasatan kes rompakan senjata api.

Bagaimanapun, polis percaya akan membuat beberapa tangkapan lagi ahli kumpulan tersebut yang masih bersembunyi.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Yaacob Amin berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kejadian rompakan senjata, penahanan tebusan di Sauk dan kegiatan haram Al-Ma’unah.

Dalam kejadian 6 Julai lalu, seramai 27 ahli Al-Ma’unah menyerah diri setelah lima hari bersembunyi di Bukit Jenalik dekat Kuala Kangsar.

Mereka yang menyerah diri itu kini disiasat kerana terlibat melarikan senjata api, membunuh dan menculik.

Di Klang, Ketua Polis Selangor, Datuk Nik Ismail Nik Yusof berkata, 13 yang ditahan di bawah ISA adalah bagi membantu siasatan polis berhubung aktiviti pertubuhan berkenaan. Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Di Kota Baharu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yunus Othman memberitahu, polis menahan seorang pemimpin kanan kumpulan Al-Ma’unah di sini baru-baru ini. Menurut beliau, lelaki berusia 42 tahun itu diberkas mengikut Seksyen 73 (1) ISA.

Al-Ma’unah ditubuhkan pada September 1988 dengan keahlian permulaan 54 orang. Aktiviti kumpulan itu berpusat di Klang dengan cawangan mereka di Pulai Chondong, Kelantan; Kepala Batas, Pulau Pinang; Grik, Perak; Kedah; Oaka, Terengganu dan Muar, Johor.

Semalam, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan kumpulan Al-Ma’unah berhasrat menumbangkan kerajaan yang sedia ada dan menubuhkan negara Islam secara kekerasan di negara ini.’

Anggota-anggota Al-Ma’unah yang ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ialah, Presiden Al-Ma’unah, Mohd. Amin bin Razali(bekas tentera), Naib Presiden, Zahit Muslim (bekas komando 69) dan Mejar Jamaluddin Darus (bekas tentera).

Ahmad Sarkawi Sulung (pekerja kontrak), Kamarudin Mustafa (inspektor Petronas), Nasaruddin Mohd. Jailani (buruh), Riduan Berahim (juru DIGI), Idris Anas (juruteknik telekom Malaysia) dan Suhaimi Hasbullah (penjual kain).

Mohamad Fauzi Hamdan (penganggur), Che Sabri Che Jaafar (ejen insurans), Mohd. Amin Othman (mekanik), Abdul Ghani ali (pensyarah MFI), Mohd. Bukhari Ismail (kerani am), Mohd. Ramli Mahmood (pemandu Felcra) dan Mohd. Zaini Mohd. Zainal (peniaga gerai).

Jasmin Jaafar (eksekutif Proton), Zainal Mohd. Jailani (pekebun), Yunus Hussin (pekerja TNB), Mohd. Roshidi Yaacub (posmen), Jemari Jusoh (pemandu van), Azlan Abd. Ghani (juruteknik NEC) dan Aziz Kamirulzailan (penganalisis Pernec).

Idris Ibrahim (peniaga gerai), Muhamad Nurshah Bandi Che Mansor (cedera), Megat Mohamad Hanafi Alias (cedera), Abu Bakar Ismail (cedera) dan Abdul Halim Ali @ Ahmad (mati ditembak).

Mohd.Amin Razali telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Mayatnya telah dikebumikan di kampung ibu bapanya, Kampung Ngor, Kuala Kangsar.

*** ***

Setelah beberapa hari Abdullah Badawi memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dua orang tokoh UMNO di Kelantan telah mengaku setia kepada Abdullah Badawi.

Seorang tokoh veteran UMNO Negeri Pahang memberitahu saya, “Pada mulanya kami berharap Dato’ Najib jadi Timbalan Perdana Menteri, tapi apa nak dikatakan, Allah hendakkan Pak Lah ..., kami terima dengan ikhlas…, kami syukur...,” katanya.

“Kami sokong Pak Lah dan Dato’ Najib ..., kami harap dua orang pemimpin kami itu dapat sama-sama memimpin negara ini dengan cemerlang,”katanya lagi.

Dalam temu bual TV3 bersama Abdullah Badawi, di Putrajaya, pada 6 Januari 2004, beliau telah menjelaskan mengenai kerjasama beliau dengan Najib Tun Razak:

Soalan: Dalam UMNO kalau pelantikan baru menimbulkan perebutan kuasa yang merugikan parti, apakah pelantikan Dato’ Seri Najib Razak baru-baru ini menimbulkan masalah yang sama?

PM: Tiada masalah, daripada awal tiada masalah, Alhamdulillah.

Soalan: Bagaimana Datuk Seri melihat kerjasama?

PM: Tak ada masalah, kita bekerjasama, saya tidak menemui apa-apa masalah.

Soalan:Adakah pihak yang cuba menonjolkan isu?

PM: Mungkin ada, saya ada dengar pada peringkat awal tapi setelah beberapa kali Dato’ Seri Najib sendiri membuat kenyataan-kenyataan tentang dia dengan saya boleh bekerja, dia taat setia kepada saya, maka kalau ada sesiapa nak cucuk dah tak boleh cucuk lagi dah .... Kecewalah mereka.

Sebagai seorang yang ber‘daging darah politik’, ber‘jiwa besar’ dan ‘yakin diri’, pada hari-hari sebelum Dr. Mahathir Mohamad melantik Abdullah Badawi menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak tentulah ada ‘hajat’ untuk menduduki kerusi tersebut. Tetapi sebagai bapa beliau, Allahyarham Tun Razak yang sentiasa setia kepada ketua dan pemimpinnya, maka Najib Tun Razak dengan senang hati dan reda dengan ketentuan Allah. Beliau setuju dengan kebijaksanaan Dr. Mahathir Mohamad melantik Abdullah Badawi menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri bagi negara ini.

Memanglah, sebagai manusia yang beragama Islam, beriman kepada Allah atas kudrat dan iradat-Nya dan sikap kesetiaan kepada pemimpin dan cintakan partinya, maka Najib Tun Razak menerima Abdullah Badawi dengan hatinya yang tulus.

Pada masa Abdullah Badawi berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudian menduduki kerusi Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang berjawatan Menteri Pertahanan telah memberi kerjasama yang amat baik kepada beliau.

Mungkin ada orang-orang yang telah ‘cucuk’ atau ‘hasut’ Najib Tun Razak supaya ‘menikam dari belakang’ atau melakukan ‘hipokrit’ terhadap Abdullah Badawi, tetapi beliau telah dapat menilai akan ‘baik buruk’ akan cucukan atau ‘hasutan’ tersebut. Beliau menjaga maruahnya dan tidak akan menjadi manusia makan hasutan dan masuk dalam golongan manusia yang hipokrit.

‘Di samping mengukuhkan kedudukan politik Abdullah, UMNO, BN dan negara, pelantikan Najib itu menurut sebilangan penganalisis politik, akan mengelakkan sebarang perebutan kuasa – sekurang-kurangnya buat sementara waktu ini – di dalam UMNO seperti yang pernah terjadi pada pemilihan UMNO 1987 dan 1993. Pada pemilihan 1987 semua jawatan utama dipertandingkan oleh dua kumpulan yang bersaingan kuasa dalam parti – Team A dan Team B. Pada pemilihan 1993 pula, Anwar Ibrahim menggunakan kekuatannya untuk menewaskan musuh-musuh politiknya dengan menunggang Tam Wawasan. Kedua-dua peristiwa itu menjejaskan perpaduan dan kestabilan UMNO. Menurut pemerhati politik perebutan kuasa yang sengit di dalam UMNO mungkin berlaku lagi sekiranya Timbalan Perdana Menteri yang dilantik oleh Abdullah bukan Najib.

Ini kerana para pemerhati politik mencongak sekiranya ada satu-satu tokoh UMNO yang boleh melemahkan kedudukan Abdullah, tokoh itu ialah Najib. Menurut mereka, ini boleh berlaku sekiranya Najib enggan menerima keputusan melantik lain selain beliau, katakan Muhyiddin, sebagai Timbalan Perdana Menteri. Menurut perhitungan pandangan ini – yang belum tentu betul – Najib, atau setidak-tidaknya penyokong beliau akan memberontak andainya Najib dinafikan sekali lagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, kali ini oleh Abdullah, kali pertama oleh Dr. Mahathir pada tahun 1999.’

Walaupun Dr. Mahathir Mohamad telah menkritik dan telah mempertikaikan kedudukan Abdullah Badawi sebagai pemimpin UMNO dan Kerajaan Malaysia, tetapi suara beliau itu adalah seperti seorang yang mencintai kekasihnya; ‘dalam benci ada sayang’ dan ‘bila jauh terasa rindu’.

Mungkin pendapat ini boleh kita jadikan pelajaran atau mengakuinya; iaitu, sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri nescaya ‘memainkan peranan menguatkan kedudukan politik dan kerajaannya’ untuk kepentingan parti politik dan negaranya.

Some Prime Minister do indeed seek to create an administration consisting entirely of political clones of themselves. In addition, though, Prime Minister face the need to provide representation for the various ideological stands in their parties, partly in order to achieve an equitable, partly to keep certain troublesome nuisance quit. Anyone who wishes to qualify for the letter category should manage a nice compromise between being troublesome enough but not too troublesome.

(Dari buku, How To Be A Minister, Oleh: Gerald Kaufman, Sidwick and Jasckson, London, 1980).

Abdullah Badawi amat mengenang budi dan menyanjung jasa Dr. Mahathir Mohamad yang telah memimpin negara ini lebih 22 tahun. Dalam ucapan beliau pada ketika membentang ‘Usul Ucapan Terima Kasih Kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad’ dalam Dewan Rakyat pada 3 November 2003, beliau telah berkata:

“Izinkan saya bangun membawa usul khas dalam Persidangan Dewan kali ini yang berbunyi: Bahawa Dewan ini, menerima hakikat bahawa Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat sejak 16 Julai 1981, dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara; Menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti Ahli Parlimen Kubang Pasu yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besarnya, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara; menyedari serta menginsafi konsistensi, kesungguhan dan keprihatinan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan umat Islam di seluruh jagat, khususnya di negara Malaysia yang majmuk, menerusi penguasaan dan kecemerlangan ilmu di semua bidang kehidupan mutakhir; Menghayati serta menyokong penuh kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu dalam menangani krisis ekonomi negara akibat kedurjanaan pengganas kewangan antarabangsa menerusi strategi ekonomi, kewangan dan pengurusan yang unik, efektif dan diiktiraf dunia;

Mengiktiraf bahawa wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu adalah satu doktrin perdana bagi perjuangan membina negara Malaysia yang terus berdaulat dan merdeka serta lebih bersatu padu, sejahtera, aman, makmur, maju, cemerlang, bermaruah dan berwibawa di era globalisasi dan non-kolonialisme; Mengakui bahawa perjuangan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu memajukan ICT menerusi penubuhan Koridor Raya Multimedia, serta memajukan bioteknologi menerusi Lembah Bio akan memberi manfaat kepada bangsa dan negara Malaysia di hari muka;

Mengagumi kewibawaan, kebijaksanaan serta keberanian Ahli Parlimen Kubang Pasu yang telah memperkasakan martabat bangsa dan negara Malaysia serta umat manusia di negara-negara membangun secara amnya, di arena antarabangsa, menerusi multilateral sewilayah, di antara benua dan di seluruh jagat, serta menerusi pandangan, gagasan serta pemikirannya yang universal di bidang kemanusiaan, kesaksamaan, kesamarataan, perdagangan, sains, teknologi, siasah dan keluhuran undang-undang antarabangsa, khususnya di peringkat ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ,Pergerakan Negara-Negara berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka Dewan Rakyat yang bersidang pada hari ini 3 November 2003, bersamaan 9 Ramadan 1424, mengambil ketetapan untuk;

Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih dari seluruh rakyat jelata Malaysia kepada Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu; Berikrar akan terus berjuang mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan kesejahteraan tanah air menerusi dasar, strategi dan program yang telah diperkenalkan serta diperjuangkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu.’

Abdullah Badawi telah melanjutkan ucapannya dengan memuji dan menyanjung Dr Mahathir Mohamad. Ucapan itu telah menjadi bahan sejarah tanah air kita yang akan di jadikan pelajaran, bahasan sejarah dan seumpamanya.

Menilai sebahagian dari ucapan Abdullah Badawi mengangkat martabat, menyanjung dan berterima kasih kepada Dr, Mahathir Mohamad, maka nyatalah Abdullah Badawi bukan jenis manusia seperti ‘kacang lupakan kulit’. Beliau memandang bekas Perdana Menteri itu sebagai ketua, guru dan abangnya sendiri.

Thursday, May 22, 2008

PAS KERJASAMA DENGAN MAHATHIR

ANAK KAMBING DENGAN SERIGALA

Oleh: Mokhtar Petah

Dalam keadaan lebih dua juta ahli UMNO tidak ambil kisah Dr. Mahathir Mohamad keluar dari UMNO, ada khabar dari PAS akan kerjasama dengan mantan Perdana Menteri itu dengan tujuan menghancurkan UMNO pimpinan Perdana Menteri, Abdullah Badawi.

Di samping mengingatkan PAS supaya berwaspada dari menjadi seperti burung makas gilek telur, mereka dalam parti politik Islam itu mesti ingat, Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim pernah bersandiwara dengan PAS pada masa mereka belum masuk UMNO.

Dr. Mahathir Mohamad yang telah dipecat oleh UMNO kerana menderhaka, telah masuk UMNO dengan pertolongan, Datuk Harun Idris dan Anwar Ibrahim masuk UMNO setelah menolak nasihat Ustaz Ahmad Awang.

Manusia melihtg wajah, Tuhan merenung hati dan jiwa, maka kedua-dua pemimpin UMNO menerima nasib yang sama; seperti lintah kenyang luruh dari perut kerbau dalam sawah.

Anwar Ibrahim disingkir dari UMNO kerana melanggar disiplin parti dan menentang tuannya dan Dr. Mahathir Mohamad meninggal UMNO kerana mengikut perasaan dan merajuk.

Pada masa Anwar Ibrahimn disingkir dari UMNO sebilangan ahli UMNO meratap kerana sayang dan sebilangan lagi bersorak kerana benci dan Dr. Mahathir Mohamad meninggal parti Melayu itu, demikian juga; ada yang sayang dan ada yang benci.

Sebelum saya menulis lebih lanjut, saya teringat seorang rakan saya di London – Profesor di sebuah universiti dan saya tak mahu catat namanya di sini telah berkata, “Dr. Mahathir Mohamad orang pandai, tetapi tidak bijak, yang bijak isterinya dan saudara-sadara isteri, maka dia nampak sebagai bijak.”

“Kalau dia bijak, tentulah kemarahannya kepada Yahudi, tidak ada ruang Yahudi menjalankan perdagangan dan perniagaan di Malaysia, tetapi di Malaysia ada bank Yahudi, kasino Yahudi, makanan segera milik syarikat Yahudi dan gedong pakaian berjenama global milik Yahudi,” kata Profesor itu.

“Sebenarnya orang Yahudi sukakan Dr. Mahathir Mohamad, kerana dia menentang Negara Islam oleh PAS, mempertikaikan mukjizat, sunah dan para ulama Islam,”tambahnya.

Dr. Mahathir Mohamad

Khabar yang saya telah terima, PAS akan bekerjasama dengan Dr. Mahathir Mohamad asalkan UMNO tumbang. Di antara usahanya, untuk memberi peluang kepada mantan Perdana Meneri itu berucap di lima stadium dalam lima negeri, iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Jika Presiden PAS, Datuk Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat setuju dengan kalangan ahli PAS yang kuat pada semangat nasionalis, maka mereka seperti para sahabat Nabi Muhammad yang percayakan Abdullah bin Ubai dalam menghadapi perang Uhud yang mengakibat tentera Islam hampir tewas.

Andainya Dr. Mahathir Mohamad bekerjasama dengan UMNO, maka PAS akan terepak menghadapi nasib seperti burung malas, hendak buat sarang tiada upaya, maka terpaksa bertelur di atas jalan dan menggolek telur sendiri.

Pada masa itu Dr. Mahathir Mohamad berkeadaan burung enggang bersarang atas pokoh besar dan tinggi atau belatuk bersarang di hujung punggur.

Penulis dengan Haji Hadi Awang

PAS kena ingat, Allah melarang menghancurkan sesuatu harakah umat Islam. Walaupun UMNO sebuah parti nasional-kapitalis, tetapi ia dijunjung oleh para ahlinya yang terdiri dari orang Islam dan beriman kepada Allah.

Sama ada UMNO mahupun PAS kalau berjuang dengan tujuan untuk menghancurkan harakah atau parti politik orang Islam, maka samalah dengan tujuan dan ‘perangai’ buruk orang Yahudi yang memusnahkan umat Islam dan Negara Islam.

Walaupun PAS hari ini tidak sama dengan PAS tahun 1950-an yang kukuh iman dan jihad kepada Allah – PAS kini kelihatan seperti parti muzabzabun, semalam melaungkan perjuangan menegakkan Negara Islam, tetapi hari ini tidak mahukan Negara Islam atau KIV cita-cita suci itu dulu demi hendak menghancurkan UMNO, tetapi jangan terpedaya dengan kergaman orang yang meninggalkan parti kerana tidak sukakan teman karibnya.

Orang tua-tua Melayu (bersandarkan ilmu agama Islam) berpesan, iaitu, jangan bersahabat dengan lima orang yang berikut:

* Orang membunuh orang dengan tiada hak.

* Orang berzina dengan isteri orang.

* Orang durhaka kepada ibu bapa.

* Orang khianat atau hasad - dengki.

* Orang putus silaturahim sesama sahabat Islam.

Memang telah banyak terjadi, orang yang besahabat dengan salah seorang dari lima jenis manusia di atas ini telah menerima akibat yang buruk dan hina.

Seorang tokoh PAS, Datuk Wan Abdul Rahim dalam percakapan dengan saya, berkata, bahawa PAS tidak akan bekerjsama dengan Dr. Mahathir Mohamad kerana parti itu ada prinsip yang berlandaskan Islam.

Wednesday, May 21, 2008

DR.MAHATHIR KECEWA

MACAM PENGANTIN BAKAR KELAMBU

Oleh: Mokhtar Petah


Mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang telah keluar UMNO kerana tidak sukakan Abdullah Badawi terus menerajui negara ini, telah disifatkan seperti pengantin yang ‘kecewa’ membakar kelambu dan lari malam.

Veteran UMNO yang tidak mahu dinyatakan namanya berkata kepada saya di lobi Parlimen tengah hari kelmarin, “Selama Dr. Mahathir Mohamad menjadi Peredana Menteri saya sangat sanjung dia, saya anggap dia seorang pemimpin yang paling bijak dan kuat sabar.”

“Tapi bila dia keluar UMNO kerana tak sukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, saya pandang dia macam pengantin perempuan kecewa dengan suaminya, dia bakar kelambu …, lari malam,” katanya.

“Nabi Muhammad menegah orang yang tak sukakan tindakan pemimpin, khalifah, tak boleh tinggal jemaah, kena bersabar, kalau meninggalkan jemaah walau sejengkal jauhnya, kalau dia mati, mati macam orang jahiliah,”katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar dalam percakapan dengan saya, di Parlimen, berkata, “Tindakan Dr. Mahthir meninggal UMNO memberi kesan yan g mendalam kepada UMNO dan orang Melayu.”

“Kesannya lebih mendalam, kerana pada masa ini kita berhadapan dengan masalah, jadi bukan masanya dia mengambil tindakan daari UMNO dan menyeru orang Melayu keluar dari parti itu,” katanya lagi.

“UMNO dalam keadaan lemah, maka bukan caranya Dr. Mahathir yang banyak jasa kepada UMNO dan negara meninggal parti, kerana langkahnya itu menambahkan gamat dan meruncing lagi UMNO,”tambahnya.

Ditanya, sama ada tindakan Dr. Mahathir Mohamad itu sebagai mengkhianati parti dan kerajaan, beliau mengakuinya kerana tindakan itu memburukkan keadaan.

Beliau juga mengakui Dr. Mahathir Mohamad seorang yang ’frusted’, maka tindakannya itu telah mengikut perasaannya sendiri dan tidak ambil kira kepentingan bangsa Melayu.

Sebenarnya langkah Dr. Mahthir Mohamad meninggalkan UMNO itu tidak melemahkan UMNO, kerana parti itu kini mempunyai ahli kira-kira dua juta sedangkan yang terpengaruh dengan bekas Perdana Menteri itu tidak sampai sesuku dari jumlah tersebut.

Sementara itu kalangan ahli UMNO Sabah, selain dari menyifatkan Dr. Mahathir Mohamad sebagai ‘silap besar’, mereka menyokong Abdullah Badawi sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Menurut mereka, dulu Tunku Abdul Rahman meninggalkan UMNO, ramai orang yang mengikutnya, tetapi UMNO tetap kuat juga,” Sheikh Mohamad

Mereka menyifatkan Dr. Mahathir Mohamad seorang yang telah kecewa dalam perjuangannya.

Sementara itu kalangan ulama di luar UMNO dan PAS menyifatkan langkah Dr. Mahathir Mohamad keluar dari parti itu ada hikmat dari Tuhan dan tidak merugikan UMNO dan orang Melayu, kerana selama masa beliau memimpin negara, tidak nampak usahanya menyatukan orang Melayu.