Friday, June 3, 2011

MENGENANG MASA SILAM

TOBAT DI MEKAH

Pada satu hari, Sultan Idris Shah telah mengajak aku menyertai Baginda berangkat melawat Kota London dan kemudian berangkat ke Mekah untuk mengerjakan ibadat Umrah. Aku telah memohon ’ampun’ kepada Baginda, kerana aku tidak dapat menunaikan ajakkan Baginda disebabkan aku sedang menghadapi beberapa masalah yang belum dapat aku selesaikan.

Sehari selepas Sultan Idris Shah dan rombongannya berangkat ke Kota London, Guru Agama Sultan, Ustaz Haji Mat Saman Kati, dalam percakapannya dengan aku, bahawa menurut firasatnya, dia mendapati ada perubahan sikap pada diri Sultan Idris Shah, tetapi dia tidak memberitahu kepada aku akan perubahan yang ada pada Sultan Idris Shah itu.

Hampir empat minggu Sultan Idris Shah dan rombonganya berada di luar negara. Baginda telah berangkat pulang ke tanah air dan tiba di Istana Tambun kira-kira jam 3.00 petang. Pada malamnya aku telah datang mengadap Baginda di Istana tersebut.

Pada waktu aku masuk ke dalam Istana Tabun, Sultan Idris Shah sedang berada dalam bilik khasnya. Aku duduk di atas sofa dalam bilik tetamu. Dalam bilik tetamu itu tersedia satu jar berisi air zamzam, semangkuk kaca buah kurma termasuk ‘kurma nabi’ terhidang atas meja. Atas sofa di sisi meja itu ada sehelai sejadah yang masih baru.

Sebaik-baik sahaja Sultan Idris Shah keluar dari bilik khas Baginda dan masuk ke dalam bilik tetamu, aku telah memberi salam dan berjabat tangan dengan Baginda. Aku telah bertanya kepada Baginda mengenai keadaan Baginda selama berada di Tanah Suci.

Sultan Idris Shah telah menerangkan, bahawa setiba sahaja Baginda dan rombongan, di Kota Mekah, Baginda telah terlupa dua ayat Quran yang telah diamalkan sejak beberapa tahun yang lalu.

“...aku tibe saje depan Masjid Haram, aku dah lupa..., ayat Quran yang orang tua tu beri dulu..., sepatah haram..., aku tak ingat...,”titah Baginda.

Aku menatap wajah Sultan Idris Shah. Wajah Sultan Baginda kelihatan teduh dan muram. Baginda melabuhkan punggungnya atas sofa depanku. Pada ketika keadaan Baginda seperti seorang menyesal akan segala kesalahan yang dilakukannya.

“...aku masuk dalam Masjid Haram, aku sembahyang aku..., aku menangis dalam masjid...,aku dah tau...,”titah Sultan Idris.

“Ampun Sir, ...apa, Sir?” Aku bertanya

“Bukan you tak tau, Sheikh Pak Him kata, kalau lupa ayat tu, ...dah dekat nak mati, aku dah nak mati...,” jawab Sultan Idris Shah lagi.

Ayat-ayat Quran itu telah diterima oleh Sultan Idris Shah daripada Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, pada tahun 1954 lalu. Dua adinda Baginda, Raja Ahmnad Saifuddin dan Raja Ismail turut menerima ayat-ayat Quran itu.

Menurut para ulama, seseorang mengamalkan ayat-ayat Quran itu, jika ayat-ayat itu, biasanya, dalam tempoh 40 hari hingga tiga bulan orang itu akan didatangi malaikat maut.

Sultan Idris Shah terus menerus mengamalkan ilmu itu, tetapi dua orang adiknya telah tidak mengamalkannya. Ayat-ayat Quran yang telah diterima (dengan ijazah) oleh Sultan Idris Shah dan adik-adiknya itu seperti ertinya di bawah ini:

‘Dan Dia menguasai semua hamba-hamba-Nya, dan dikirim-Nya penjaga-penjaga (malaikat-malaikat) untuk kamu, sehingga bila seseorang di antara kamu di datangi kematian, diwafatkan oleh utusan-utusan Kami itu. Mereka itu tidak melalaikan kewajipan mereka.

Kemudian itu mereka dikembalikan kepada Tuhan, Pemimpin mereka yang sebenarnya; sesungguhnya hukum (keputusan) itu hak Tuhan, dan Dia paling cepat membuat perhitungan.’

Beberapa orang ulama yang murshid pernah memberitahu kepada aku, iaitu jika ayat-ayat Quran itu dibaca selalu dan dihayati ertinya oleh seseorang, walau macam mana jahatnya, dia tidak akan tergelincung kepada murtad atau kekufuran.

Sultan Idris Shah secara jujur mengaku kepadaku, bahawa Baginda sebagai manusia biasa, Baginda tidak dapat mengelak dari melakukan dosa kepada Allah. Tetapi Baginda tidak pernah melakukan perbuatan zina. Sebab Baginda tidak melakukan perbuatan keji itu, selain dari takut berdosa, kerana Baginda mengamalkan ayat-ayat Quran tersebut dan tidak mahu menjadi seorang lelaki yang meninggalkan anak haram.

Pengamal ayat-ayat Quran itu dilarang melakukan perbuatan zina, kalau dilakukan juga akan menerima akibat yang buruk, di dunia ini, seperti sakit kusta, barah dan berbagai penyakit payah atau penyakit ganjil.

Aku menatap wajah Sultan Idris Shah lagi. Dari pengalamanku sendiri-, aku telah berkeyakinan; Allah telah menerima tobat Baginda, kerana Allah Maha Pemurah dan Pengasihani. Baginda telah termasuk dalam golongan manusia yang diterima tobat oleh Allah.

Hanya Allah yang menerima tobat dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kebodohan mereka, kemudian itu mereka kembali (toba) dengan segera, sebab itu Allah menerima mereka kembali. Dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.’

Sambil makan buah kurma dan minum air Zam Zam aku dan Sultan Idris Shah telah bercakap seketika mengenai beberapa perkara yang berhubungan dengan pengetahuan Islam. Titah Baginda yang masih aku ingat, ialah:

* Negara ini akan menjadi aman dan mendapat keredhaan Allah jika ia dipimpin oleh orang yang mempunyai banyak pengetahuan Islam dan mempunyai pegangan kepada kitab suci al Quran dan as Sunnah.

* Orang Melayu dan Umat Islam tidak akan bersatu padu selagi mereka tidak bersama dalam organisasi yang berdasarkan Islam, kerana fahaman-fahaman Yahudi dan Kristian dalam apa bidang sekali pun tidak boleh dicampur- adukkan dalam amalan umat Islam.

* Kerajaan hendaklah memberi bantuan kepada semua sekolah- sekolah agama rakyat diseluruh negara, kerana sekolah-sekolah itulah yang dapat menjamin segala macam fahaman dan amalan yang berlawanan dengan agama Islam dapat dicegah dan dibanteras.

* Raja-Raja Melayu dan pemimpin negara hendaklah mempunyai pendapat yang sama untuk menegakkan Negara Islam yang berdasarkan al Quran dan as Sunnah.

* Perpaduan semua kaum di negara ini jangan sampai menjejas atau meroskakan agama Islam dan akidah umat Islam, kerana umat Islam di negara ini ada ikatan dengan agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.

Elok aku catatkan di sini. Sultan Idris mempunyai empat orang isteri. Isteri Peratam (Raja Perempuan Perak) Raja Mazuwin binti Raja Arif Shah, kedua Dato’ Sharifah Salmah as Sahab berasal dari Singapura dan janda kepada Al Marhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz, ketiga Cek Satira binti Abdullah berasal dari Selatan Thailand dan yang keempat, Mazwin bekas penyanyi sebuah pancaragam, di Ulu Kinta.

(Disunting dari manuskrip buku, Memoi, Patah sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

.


MAKSUD AYAT QURAN DAN HADIS


MUNAFIK


Orang-orang lelaki munafik dan perempuan-perempuan munafik, satu dengan yang lain sebangsa (sama); mereka menyuruh melakukan yang salah, melarang melakukan yang baik dan mereka menggenggamkan tangan (sangat kikir atau kedekut dan tidak suka berbuat kebaikan kepada orang lain). Mereka melupakan Tuhan ,sebab itu Tuhan melupakan mereka pula. Sesungguhnya mereka yang munafik itu orang - orang yang jahat. - At Taubah; 67




HADIS

HALAL


Nabi Muhammad s.a.w. memaklumkan: Di antara syarat – syarat yang paling berhak (mustahak) untuk dipenuhi (dalam pernikahan), ialah sesuatu dengan syarat itu menajdikan halal faraj – faraj (ekamlouan perempuan) – bagi lelaki, suami mereka.

– Perawi: Jemaah pencatat Hadis

Thursday, June 2, 2011

GETAH ASLI (Ulangan)

CARA BRITISH LEMAHKAN MELAYU

Oleh: Mokhtar Petah

Biji benih getah asli – Brazilian seed - telah dibawa oleh seorang Inggeris dari Brazil ke Bandar London. Benih itu dicambah dan dibiakkan dalam satu kawasan, dalam bandar tersebut.

Sekitar tahun 1930-an, anak-anak pokok getah itu telah dibawa ke Siam, iaitu ke Grik, Hulu Perak (pada masa itu Hulu Perak di bawah jajahan Siam). Menurut cerita orang tua, Toh Purba Lahamat, anak-anak pokok getah itu telah ditanam dalam kawasan balai polis, Grik sekarang.

Selain di hulu Perak, anak-anak getah itu telah ditanam di Bukit Residen dan dalam kawasan berhampiran dengan masjid Bandar Kuala Kangsar, iaitu dalam kawasan Pejabat Daerah sekarang. Pokok getah yang telah tua itu masih ada lagi di sana.

Pokok getah

Dengan adanya benih getah itu, penjajah Inggeris telah melaksanakan rancangan serampang dua matanya, iaitu:

1) Mengembangkan hasil bumi selain dari bijih timah.

2) Memberi peluang kepada saudagar-saudagar Inggeris membuka lading getah.

3) Melamah dan menjadikan orang Melayu manja dan sentiasa bergantung kepada petolongan orang lain.

Pada masa itu, semua pegawai daerah dan penolong pegawai daerah di tiap daerah di seluruh negeri di tanah Melayu, terdiri daripada orang Inggeris dan Inggeris Yahudi. Mereka telah memainkan peranan memujuk orang Melayu supaya sayang kepada orang Inggeris.

Daerah Koh Dahulu atau Grik – dua daerah kecil dibawah daerah itu, ialah Lenggong bersempadankan dengan daerah Kuala Kangsar dan Keruh (kini terkenal dengan Pengkalan Hulu) Hulu Perak, bersempadan dengan kawasan Selatan Thailand dan Negeri Kedah.

Pegawai daerah Grik, Habert Barkley , lelaki Inggeris berkelana. Isterinya tinggal di India. Dia pandai mengambil hati orang Melayu di kampung-kampung. Dalam seminggu, tiga hari dia berpakaian kain pelekat (kain sarung), baju carea Melayu dan semunta dan tidak berkasut telah menjalankan tugas dengan menjelajah ke kampung-kampung untuk menemui penduduk-pemduduk.

Habert Barkley telah masuk ke sawah- sawah padi dan menemui petani-petani yang sedang bekerja. Dia bercakap mesra dengan mereka. Bertanya akan keadaan hidup mereka dan sebagainya.

Kepada petani-petani itu ditawarkan tanah kerajaan antara dua hingga lima ekar untuk ditanam getah. Kebun-kebun getah yang diberi kepada orang Melayu itu dinamakan kebun kecil dan pemiliknya pekebun kecil.

Setiap pemilik kebun getah diberi kupon yang harganya dinilai mengikut kadar getah keping yang mereka perolehi pada tiap-tiap bulan. Jika pekebun kecil itu memiliki tanah kebun getah yang luasnya satu ekar, maka dikira dia mendapat sekadar sepikul (100 kati) sebulan, jika dua ekar, maka hasil getahnya dua pikul dan seterusnya.

Kupon-kupon itu ditukarkan dikedai membeli dan menjual getah atau di pejabat daerah pada tiap -tiap akhir bulan.

Pemilik-pemilik kebun getah itu tetap mendapat kupon pada tiap-tiap bulan, walaupun mereka tidak menanam pokok getah di atas tanah mereka. Ada pula yang menanam pokok- pokok getah, tetapi tidak dijaga dengan baik, seperti membersihkan semak samun dan sebagainya.

Perbuatan memanjakan orang Melayu itu telah dilakukan oleh semua pegawai daerah di seluruh Tanah Melayu. Dengan demikian, orang Melayu memuja penjajah Inggeris kerana membantu wang kepada mereka pada tiap bulan walaupun mereka tidak bekerja.

Sementara itu pegawai-pegawai daerah di seluruh Tanah Melayu telah meluluskan beribu-ribu ekar tanah kerajaan (rimba) kepada saudagar-saudagar Inggeris untuk dijadikan ladang getah. Setiap satu ekar tanah dikenakan membayar premium sekadar 25 sen.

Akhirnya, hingga hari ini Inggeris telah menguasai pasaran getah Tanah Melayu di bawah urus dagang stock file. Walau banyak mana negara kita mengeluarkan getah, tidak boleh menjual ke Negara-negra lain. Terpaksa menjual kepada pihak Inggeris.

Getah asli Brazilian seed telah menjadi penyebab orang Melayu dalam keadaan bergantung kepada pertolongan orang lain atau subsidi dari kerajaan. Hingga pada hari ini masih terdapat pada sebilangan generasi orang Melayu yang bersikap seperti orang Melayu pada zaman silam, iaitu bergantung kepada orang lain dan sukar berdiri atas kaki sendiri. Yang demikianlah yang dikatakan oleh Dipertuan Parti Kebangsaan Melayu Malaya – PKMM - (1945), Allahyarham Dr. Burhanuddin Helmi “ …kita tidak mahu negara medeka tetapi jiwa rakyat tidak merdeka.”

MENGENANG MASA SILAM





TANAH MELAYU DIJAJAH JEPUN

Lebih kurang sebulan setengah kami tinggal di Paya Pak Banun, datuk dan nenekku serta orang-orang yang bersama mereka telah pulang ke rumah masing-masing di kampung Ngor. Bapaku sekeluarga masih terus tinggal di dangau itu. Bapaku meneruskan pekerjaannya sebagai petani di humanya.
Semenjak Jepun menjajah, keadaan rakyat jelata di seluruh Semenanjung Tanah Melayu tercekik dalam kesempitan hidup. Beras, gula dan garam telah tidak ada atau sukar di dapati. Semua jenis makanan berzat telah tidak jual di mana-mana. Buah pisang, ubi kayu dan makana-makanan lain telah menjadi makanan penting mengganti nasi.
Seminggu sekali, bapaku telah menjual palbagai buah pisangnya ke kedai orang Melayu, di Changkat Duku. Dia telah membawa buah-buah pisang itu dengan rakit dan menyeberangi tasik Chenderoh dari ladang kami ke Changkat Duku. Kerana rakit itu telah lama digunakan oleh bapaku, maka pada batang buluh rakit itu telah tumbuh anak-anak tunas buluh yang telah besar dan segar.
BERJALAN KAKI
Pada bulan Februari 1943, semua sekolah kerajaan telah dibuka semula. Aku, adikku dan beberapa orang kawan-kawanku telah berulang alik dari ladang kami ke sekolah dengan berjalan kaki yang jauhnya lebih enam kilometer.
Di antara murid-murid perempuan yang menyertai kami berjalan kaki, ialah Sofiah binti Mahmud, Asiah binti Haji Yunus dan Aminah binti Othman.
Perjalanan kami ke sekolah bemula pada waktu Subuh. Dari rumah berjalan dalam kebun getah kira-kira satu setengah kilometer, menyeberang sungai Ngor yang titinya, hanya dua batang pinang. Berjalan lagi dalam kebun getah dan tanah perkuburan yang semak samun dan mengikuti batas sawah padi sebelum keluar ke jalan raya. Kami berjalan kaki atas jalan ke sekolah kira-kira tiga kelometer jauhnya.
GURU PEREMPUAN
Guru Besar sekolahku, Cikgu Yeop Hasnan telah meninggal dunia kerana telah ditembak oleh orang yang tidak dikenali di Langkau, dekat Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.Guru Besar yang baru, ialah Cikgu Ahmad bin Yasin dan Penolongnya, Cikgu Abdul Rahman dari Malim Nawar, Perak. Isteri Guru Besar, Cikgu Ramlah adalah guru perempuan yang pertama di sekolah itu selepas perang dunia kedua.
Kerajaan Jepun telah mewajibkan semua murid-murid sekolah di seluruh Semenanjung Tanah Melayu belajar bahasa Jepun. Dua hari dalam seminggu kami telah diwajibkan belajar bahasa tersebut. Selain dari seorang guru khas telah mengajar bahasa Jepun di sekolah kami, dua hari dalam seminggu tiga orang askar Jepun dari khemah mereka di pekan Sauk telah datang mengajar bahasa mereka kepada kami.
Aku masih ingat akan kata-kata seorang pegawai askar Jepun kepada kami, iaitu orang Melayu jadi malas kerana orang Inggeris mahu mereka menjadi orang-orang malas dan lemah. Guru yang mengajar dan pelajaran yang mereka ajar terdiri dari orang-orang malas dan lemah dan menjadikan murid-murid mereka bakal pemuda pemudi yang malas dan lemah.
”...guru yang malas bila dia mengajar murid-muridnya dia duduk atas meja depan mereka,” kata pegawai askar Jepun itu.
UBI KAYU
Dari hari ke hari sehari semua penduduk dicekik oleh kelaparan. Beras dan jagung tidak ada dan kalau ada pun amat sedikit. Mereka terpaksa memakan ubi kayu dan pisang rebus bersama kulitnya. Ada yang memakan nasi randau, iaitu nasi dicampurkan dengan ubi kayu atau pisang yang telah direbus dan kemudian ditumbuk dalam lesung batu.
Selain dari ubi kayu dan pisang, ubi keladi, ubi ara (gadung), sagu rumbia dan ubi-ubi dalam hutan rimba telah menjadi makanan keperluan bagi penduduk-penduduk di kampung-kampung pada masa itu.
Terdapat juga penduduk-penduduk dalam kawasan antara Grik dengan Kroh (Pangkalan Hulu) telah mencampurkan nasi dengan buah jering yang telah masak dan cambah. Buah-buah jering itu direbus sehingga lembut dan kemudian ditumbuk seperti menumbuk ubi kayu.Ada yang makan buah jering tumbuk itu sahaja dan ada yang dicampurkan dengan nasi.
NASI BUNGKUS
Pada tiap-tiap hari aku dan adikku telah membawa bekal nasi ke sekolah. Kami tidak terpaksa makan ubi atau pisang atau nasi randau, kerana bapa dan ibuku ada menyimpan padi huma. Selain dari padi yang mereka simpan, pokok-pokok padi huma yang telah mereka tanam telah berbuah dan masak.
Pada tiap-tiap hari aku dan adikku telah membawa bekal nasi bungkus ke sekolah. Nasi berlaukkan ikan sungai atau telur ayam yang telah digulai atau digoreng. Malangnya, kami tidak dapat memakan bekalan kami itu pada tiap-tiap hari kerana telah dicuri oleh murid-murid lain.
Berhampiran dengan rumah datukku di kampung kami, ada sepokok berangan yang besar dan berbuah lebat. Di ladang bapaku ada sepokok berangan yang berbuah lebat juga. Maka pada tiap-tiap hari aku telah menjual buah-buah berangan goreng kepada murid-murid di sekolah. Aku telah menjadi murid yang mengutip ilmu dari guru-guru dan menjual buah-buah berangan goreng kepada murid-murid. Nasib baiklah dalam sekolah itu tidak ada murid yang bernama ’Mokhtar’, kalau ada dua tiga orang lagi bernama ’Mokhtar’, maka tentuklah kawan-kawanku telah menggelarkan aku dengan gelaran ’Mokhtar Berangan’.
PISANG LEMPENG
Pada tiap-tiap senja aku pulang dari sekolah, wang hasil jualan buah-buah berangan itu aku telah serahkan kepada ibuku. Aku tidak menggunakan wang itu walaupun setengah sen selagi ibuku tidak memberinya kepadaku. Pada masa aku berusia tujuh hingga sepuluh tahun, aku telah diajar oleh bapaku mengamalkan ’2-A’ ’2-I’ dan ’ 2-A’, iaitu:
’A’: ’Aku’, kenal diriku sendiri.Siapa yang telah
menjadikan aku. Dari apa aku telah diciptakan. Untuk
apa aku hidup dan apa tujuan aku hidup.
’A’: ’Allah’, Aku kenal Allah yang mencipta diriku dan
semua alam. Dia Maha Kuasa dan Maha Alim. Dia
sahajalah tempat aku menyembah.
’I’: ’Iman’, aku beriman kepada Allah kerana aku telah kenal
Allah. Aku tidak membuta tuli beriman kepada-Nya.
’I’: Ihsan’; aku memperhambakan diriku kepada Allah.Aku
menyembah Allah seperti aku melihat Allah dan Allah
melihat aku, dan aku mesti ihsan kepada batang, haiwan
dan hinggalah kepada manusia.
’A’: ’Amanah’, Setiap manusia, walau bagaimana tinggi
darjat imannya kepada Allah, kalau tidak beramanah
tidak ada gunanya. Amanah wajib ada pada manusia.
’A’: ’Akhlak’, Setiap orang mukmin mestilah mempunyai
akhlak dan budi pekerti yang mulia. Orang-orang yang
ada akhlak, dia ada motivasi diri dan boleh mencapai
kekuatan diri dan kemasyhuran diri.
Kawan-kawanku ada yang menjual ubi rebus, pisang lempeng dan buah- buahan seperti mempelam telur, ciku, jambu bertih dan beberqpa jenis buah-buahan lagi.
Walaupun aku masih dalam darjah dua, tetapi aku berkawan dengan dua orang murid yang belajar dalam darjah empat. Dia, ialah Sayed Zakaria bin Sayed Mohamad. Bapanya kerani Pejabat Pos, di pekan Sauk (kemudian Syed Zakaria sebagai guru dan bergiat dalam persatuan guru-guru) dan Allahyarham Meor Aris bin Meor Abu Bakar (menjadi guru dan kemudian memegang jawatan ahli Dewan Undangan Negeri Perak dan Exco (kawasan Lubuk Merbau). Persahabatan kami sehingga kami berumah tangga.
KAIN KHAKI
Pada sepanjang masa tentera Jepun memerintah Tanah Melayu, aku dan semua murid-murid tidak memakai pakaian seragam sekolah lagi. Aku dan adikku memakai seluar pendek dari kain khakis warna kelabu tanah atau hitam dan baju putih yang telah lusuh. Kami memakai kasut dari getah (latex) tanpa kenbes yang telah dibuat oleh abang saudaraku, Abdullah Kuak.
Ramai kawan-kawan sekolahku yang lelaki dari darjah satu hingga darjah lima memakai seluar dan baju yang dibuat dari guni tepung gandum atau kain yang digunakan untuk langsir atau atap khemah. Ada yang memakai baju atau seluar milik bapa mereka. Murid-murid perempuan memakai baju dari guni tepung gandum juga dan ada yang memakai kain dan baju milik ibu mereka.
Seorang kawanku dari Kampung Changkat Duku, namanya, Awang Ramli atau Awang Merah, kawan-kawannya menggelarnya ’Awang Kubung’ kerana pada tiap-tiap hari dia memakai baju ’over coat’ dari kain khaki warna kuning yang besar, iaitu baju orang dewasa..Apabila dia berlari baju itu mengembang dan mengepak kelihatan seperti kubung yang sedang terbang.
AZAB SANGSARA
Pada masa itu semua penduduk-penduduk berada dalam rahang derita. Untuk mengisi usus masing-masing, apa sahaja yang boleh dimakan, terpaksa mereka menelannya. Soal sedap atau lazat tidak timbul lagi. Makan untuk bernafas dan untuk menyambung hidup. Kalaulah getah dan guni boleh dimakan, tentulah mereka memakannya. Begitulah Allah telah menimpakan azab sangsara kepada hamba-hambanya. Mungkin kerana dosa mereka ataupun ada hikmat dan rahmat di sebalik penderitaan mereka itu.
Kerana bapa dan ibuku menanam banyak pokok pisang, ubi kayu, ubi keledek dan makanan-makanan lain. Begitu juga petani-petani lain di kampugnku telah menanam tanaman seperti bapa dan ibuku, maka ramai orang-orang dari bandar telah datang membeli bahan-bahan makanan itu dari bapaku dan petani-petani tersebut.
Pada masa belum perang dunia kedua, ramai petani-petani dan orang-orang kampung Ngor, Jenalik Hilir, jenalih Hulu, kampung Changkat Duku, Tualang Bengok dan kampung-kampung lain memandang bapaku sebgai seorang ’arif ilmu agama Islam’, sebagai ketua atau ’ada fikiran’ yang boleh mereka menumpang untuk memperbaiki kehidupan, maka telah mendengar nasihat bapaku supaya bercucuk tanam sebagai persediaan pada masa dalam kesusahan.
DILANDA KELAPARAN
Di antara orang-orang yang datang membeli beras, ubi kayu, pisang dan sebagainya kepada bapaku dan petani-petani lain, ialah wakil-wakil dari beberapa Orang Besar-Besar Negeri Perak dan Istana Sultan, di Kuala Kangsar, seperti Dato’ Bendahara, Dato’ Temenggung, Dato’ Setia, Iman Paduka Tuan dan Pawang Diraja lain-lain lagi.
Pada masa itu wang kertas British tidak laku. Wang kertas Jepun belum dikeluarkan lagi. Untuk mendapatkan makanan, kalangan berada di Kuala Kangsar yang pada masa Kerajaan British memandang hina kepada orang-orang kampung, maka pada masa ymereka dilanda kelaparan dan kebukuran, mereka terpaksa mendatangi orang-orang kampung meminta makanan.
Mereka telah menukarkan beras, ubi kayu dan pisang dan makanan-makanan lain dengan keris, kain songket, tengkolok, pakaian-pakaian dari sutera, seperti baju kebaya, baju kurung dan sebagainya milik mereka. Pada masa itu Allah telah menunjukkan, bahawsa kebesaran yang ada pada manusia hanya sementara sahaja.
MENCETAK WANG
Pada sepanjang tahun-tahun Jepun menjajah Tanah Melayu, semua mata wang menggunakan mata wang Jepun. Wang-wang kertas itu bergambar pokok pisang dan dicetak dimana-mana sahaja. Ramai orang-orang Cina telah mencetak wang Jepun di tempat-tempat rahsia.
Satu pot (tin rokok) beras harganya RJ1,000 hingga 2,000 .Garam RJ700 setahil. Gula pasir RJ800 setahil. Ubi kayu dan pisang muda kira-kira RJ600 hingga RJ800 sekati. Sagu rumbia atau sagu ubi kayu antara RJ2,000 hingga RJ,000 seguni.
Seorang penduduk kampungku memiliki dua ekar kebun getah, kerana tidak sanggup melihat keluarganya kelaparan atau kebuluran, maka dia telah menjual kebun getahnya itu kepada seorang Melayu dari Perak Utara dengaan cara menukar kebun getah itu dengan kira-kira lima guni sagu ubi kayu sahaja.
KUDIS BUTA
Dalam keadaan yang menderita kerana kebuluran, manusia boleh melakukan apa sahaja untuk mendapatkan makanan. Di sebuah kampung di Hulu Perak, sepasang suami isteri telah menikahkan - rela dalam paksaan- , anak gadis mereka yang berusia enam belas tahun dengan seorang lelaki Banggali Islam dari Perak Utara, kerana mereka memerlukan wang untuk meneruskan hidup.
Hampir semua penduduk-penduduk di negeri Perak telah menderita diserang penyakit –penyakit, seperti kudis buta, cabuk atau pekong, tokak, perut buncit, sembab, demam kepialu dan sebagainya. Semua jenis penyakit-penyakit itu diubat dengan cara ubat kampung, iaitu akar kayu dan daun kayu dan ada yang menggunakan bomoh.
Semua perempuan-perempuan yang bersalin pada masa itu tidak berpeluang mendapat rawatan di hospital. Mereka menggunakan bidan kampung. Ubat-ubatan hanyalah dari akar-akar kayu, daun kayu seperti lengkuas ranting, halia bara, kunyit bara, biji pelaga, temong dan sebgainya.
ASAM GELUGUR
Mungkin cerita ini menarik bagi mereka yang gemar makan tempoyak. Di kampungku ada seorang perempuan tua yang berniaga di Pasar Minggu, Simpang Tiga, Changkat Jering, dekat Taiping.Di antara makanan yang telah dijualnya, ialah tempoyak. Abang saudaraku, Abdullah Kuak menamakan tempoyak itu, ’Temposang’, kerana asam isi durian itu dicampurkan dengan isi pisang masak.
Suami perempuan itu menderita sakit cabuk, pekung atau tokak di kaki kanannya. Pada tiap-tiap malam dia telah menggunakan sebuah pasu untuk merendamkan kakinya yang cabuk itu dalam air suam, iaitu air yang telah dimasak dengan asam gelugur. Pada petang Sabtu isterinya telah menggunakan pasu itu untuk mengisi tempoyak yang dijual di pasar minggu tersebut.
Ramai bayi yang meninggal dunia setelah dua tiga hari lahir ke dunia. Mereka itu lahir tidak cukup bulan. Kurang zat makanan. Air mani bapa mereka tidak dari seri pati tanah yang baik. Para ibu mereka tidak mempunyai tenaga yang kuat ketika meneran keluar pada ketika bersalin.
Pada satu petang, aku dan kawan-kawanku sedang berjalan pulang dari sekolah. Di jalan raya, sebuah lori askar Jepun telah tersadai dalam parit. Seorang dari askar-askar Jepun itu telah memaksa seorang lelaki membantu mereka menolak lori itu, tetapi lelaki itu tidak bertenaga kerana dia sakit bisul pada daging punggungnya. Sebaik-baik sahaja askar Jepun itu mengetahui yang lelaki itu sakit bisul, askar itu terus mencapai sekeping papan dan memukul belakang punggung lelaki itu dengan papan itu. Lelaki itu tersungkur di tepi jalan dan terus pengsan.Askar itu dan rakan-rakannya ketawa melihat lelaki yang pengsan itu.
Semenjak dari hari itu hingga kini, aku telah meyakinkan diriku, bahawa manusia-manusia yang paling zalim di dunia ini, ialah orang-orang Jepun, Amerika, Yahudi dan British!
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

MAKSUD AYAT QURAN





JANGAN DUKACITA

Quran, inilah keterangan yang jelas untuk umat manusia, pimpinan kepada kebenaran dan pengajaran untuk orang – orang yang memelihara diri mereka (dari kejahatan).
Dan janganlah kalian berkeadaan lamah (keran amelihata kekauatan musuh bangsa, musuh Islam dan musuh diri sendiri) dan jangan berdukacita, sedangkan kalian lebih tinggi (lebih kuat) kalau kalian benar – benar orang yang beriman (ertinaya, amat yakin kepada kekuasaan Allah).
– Ali Imran:138, 139.

Nota.
Setiap orang Islam yang kuatg iman kepada Allah, dapat mempertahankan dirinya dari perasaan takut, was – was, tidak yakin diri dan berduka cita, kerana, walau sekuat manapun pihak lain, tetapi, kekuasaan Allah mengatasi segala – galanya.
Kelemahan orang Melayu sebelum ini – zaman penjajah hingga setelah beberapa tahun negara merdeka sejak 1957,kerana tidak ada pengetahuan, tidak yakin diri dan kurang yakin kepada kuasa Allah. Mereka mengalih keyakinan masiang – masing kepada hantu dan syaitan, orang – orang kafir barat dan timur.
Pada masa ini kelihatan orang Melayu dalam keadaan berani. Berani menjaga diri, kaum keluarga, negara dan bangsa serta berani berjuang untuk menegakkan negara Islam di tanah pusaka datuk nenek mereka.
Orang – orang Melayu belum berani, kalau, tidak sanggup menegakkan negara Islam di bumi mereka sendiri. - mp

Wednesday, June 1, 2011

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Apabila Tunku Abdul Rahman telah membuat ucapannya di Singapura pada 27 Mei 1961, dan dia telah menyebut betapa baiknya negeri-negeri di Borneo bersatu dengan Persekutuan Tanah Melayu, maka keyakinanku kepada cerita dan kertas rahsia Usmar itu menjadi kuat.

British dan sekutunya khuatir akan kebangkitan semula rakyat dalam kawasan Kalimantan Utara atau Borneo setelah kegagalan revolusi anjuran Parti Rakyat Brunei(PRB) pada 8 Disember 1962. Jika kawasa atau wilayah itu – Brunei, Sarawak dan Sabah -, membentuk dirinya sebagai Negara Kesatuan Kalimantan Utara, maka semua harta, terutama minyak, milik syarikat-syarikat Inggeris dan sekutunya akan diambil alih pemeritah yang baru itu.

Setelah terbentuknya gagasan Malaysia pada 16 Sepetember 1963 maka Republik Indonesia telah berkonfrantasi dengan Malaysia. Konfrantasi itu telah berakhir pada Ogos 1966.

Di Persekutuan Tanah Melayu, boleh dikatakan semua parti politik dan pertubuhan , pada dasarnya bersetuju dengan gagasan Malaysia. Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS) dan Parti Rakyat juga bersetuju dengan gagasan itu.Namun demikian, tanggapan parti-parti politiki ini tentang cara, bentuk dan liputaan gagasan Malaysia itu agak berbeza.

POLITIK ISLAM

Parti-parti pembangkang telah menentang tentang cara, bentuk dan liputan gagasan Malaysia itu. Di antara ahli-ahli politik yang lantang menentang, ialah Profesor Zulkifli Muhammad Timbalan Yang dipertua Agung PAS.

Pada tahun 1964, seorang tokoh ulama, sastera dan politik Islam, Timbalan Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan ahli Dewan Rakyat (Bachok), Kelantan, Prof.Dato’ Zulkifli Muhammad telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di atas jambatan Kuantan pada malam 6 Mei 1964.

’Satu perkhabaran yang menyedihkan..., seorang ulama muda, sasterawan dan seorang negarawan – Encik Zulkifli Muhammad telah meninggal bertindih riba dengan isterinya, Cek Asiah binti Kamaruddin dalam satu pelanggaran jalan raya dekat Kuantan, Pahang pada 6 Mei 19643.

Allahyarham meninggal dalam perjalanan ke rumah saki – khilangan itu merupakan satu kerugian kepada bangsa Melayu di segala bidang.

Sebagai seorang negarawan jenazah Zulkifli dan isterinya telah diterbangkan dengan kapal terbang Tentera Udara Diraja daripada Kuantan ke Ipoh. Kapal terbang itu telah menjalankan tugas khasnya itu dengan perintah Tun Abdul Razak bin Hussein Menteri Pertahanan.’

Kerana pada ketika aku melaku penyelidikan untuk menulis buku biografi Zulkifli Muhammad, bapanya, Haji Muhammad bin Arshad telah memberi syarat kepadaku, iaitu dia akan memberi kerjasama denganku kalau aku sanggup menulis dan merakamkan dalam buku itu nanti, akan semua fakta dan segala yang ada hubung kait dengan Zulkifli Muhammad, maka aku telah bersetuju dengan syaratnya itu.

Setelah buku itu terbit dan beredar dalam pasaran, pihak ibu mertua Zulkifli Muhammad telah menyaman aku dan penerbit buku itu. Perbicaraan dijadualkan dalam Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan.

PUAS HATI

Belum sempat perbicaraan itu dijalankan, satu rundingan di luar mahkamah bagi menyelesaikan perkara itu telah diadakan. Peguam Tengku Ahmada Rethaudeen telah mewakili pihak aku dan penerbit buku itu. Dalam rundingan itu, peguam telah memaklumkan apa yang telah ditulis dalam buku itu - yang menimbulkan rasa tidak puas hati oleh pihak yang menuntut - , tidak ada niat yang buruk, tetapi semata – mata untuk merakamkan fakta sebenar dalam biografi Allahyarham Zulkifli Muhammad dan bertujuan baik. Dengan persetujuan bersama, satu perenggan dalam buku itu telah dimansuhkan.

Dalam buku itu aku telah merakamkan sebuah sajak ’ Zul Dalam Kenangan’ seperti berikut:

Zul,

Hangat sejuk mesra tanganmu mendakap jari jemariku masih

terasa,

Nada madahmu antara mendayu dan dentuman petir masih nyata,

Senyum hilaimu daripada mata tajam tergaris pada sukma,

Kau punyai nafas mesra...

Zul,

Kini kau tiada di samping kami...,

Pergilah ke wajah Tuhan kita – kami warismu dan ke sana jua,

Doa restu kami kau dan pujaanmu dalam pelukan Tuhan,

Pecipta segala,

Dan di bibir kami namamu berpesta.

Zul,

Bagi semua pujangga kau sasterawan bangsa,

Kau Negarawan ulung di atas bumi pusaka,

penjunjung kalimat Qudus kau ulama kasteria,

Ibnu Khaldun rakanmu, Iqbal taulanmu.

Zul,

Bila kala kau ditatang melintasi wajah kami ke pusara,

Pada hibalah kami menyambut pamitanmu di hujung masa,

Aku rakanmu, dalam gelanggang yang sama.

Zul,

Bersemadilah,

Ke syurgalah,

Kami ini insan masih berkayuh biduk jua,

Bagi kami, bagi bangsa menjunjung perintah Pencipta segala.

Sebagai mengiring buku ’Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan’ itu, sebuah buku prasejarah dan politik, berjudul ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’ (Jawi), telah diterbitkan oleh penerbit yang sama. Buku itu adalah himpunan rencana-rencanaku yang tidak sempat disiarkan dalam surat khabar suara UMNO, bulanan ’Merdeka’ yang diterbitkan di Ibu Pejabat UMNO, di Johor Bharu.

SURAT KHABAR

Pengarang surat khabar bulanan ,Merdeka’ , Sheikh Anwar telah meminta aku menulis artikel bersiri untuk surat khabar tersebut. Hanya beberapa buah sahaja artikelku sempat disiarkan, maka telah berlaku krisis dalaman – antara Sheikh Anwar dengan Jawatankuasa suratkhabar itu yang menyebabkan surat khabar itu terhenti sementara. Artikel-artikelku itu tidak sempat disiarkan. Sheikh Anwar telah mengirimkan semula artikel-artikel tersebut kepdaku. Dalam suratnya dia berharap aku membukukan semua artikel itu.

Akhbar bulanan ’Mereka’ telah diterbitkan semula pada tahun 1964, oleh Percetakan Malaya Merdeka, No.13, Jalan Bungan Kantan, Setapak Kuala Lumpur. Tetapi terpaksa diberhentikan penerbitannya kerana tidak mendapat sambutan dari ahli-ahli UMNO.

Kira-kira setahun setelah buku ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’ itu terbit, seorang pensyarah di Hawaii Universiti, Hawaii, Barbra Andaya telah datang ke rumahku dengan membawa salinan naskhah buku itu. Dia telah membuat kajian mengenai Semenanjung Tanah Melayu dengan berpandukan buku tersebut. Kira-kira seminggu dia telah tinggal bersama keluargaku, di Kuala Kangsar.

Profesor Khoo Kay Kim dari Universiti Malaya, telah mengirim surat kepadaku meminta aku menerima seorang mahasiswanya, Johan, dari Negeri Sembilan, untuk menggunakan buku ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’, untuk digunakan sebagai kajian untuk tesisnya bagi melayakkannya mendapat ijazah dari universiti tersebut. Johan telah tinggal bersama keluargaku, di Kuala Kangsar, selama beberapa hari untuk mengkaji dan berbincang denganku mengenai kandungan buku tersebut.

PENASIHAT BRITIS

Pada masa itu beberapa orang mahasiswa universiti Malaya, yang menuntut dalam jurusan sejarah dan sains politik telah datang menemuiku untuk mendapat penjelasan dariku mengenai buku ’Bangsa Melayu Menggugat Dunia’. Mreka telah hairan mengenai beberapa fakta sejarah dalam buku tersebut berbeda dengan fakta-fakta sejarah dalam buku-buku yang mereka telah mempelajari.

Mereka telah meminta aku menjelaskan beberapa fakta sejarah dan pengalamanku sejak tahun 1951 hingga tahun 1960-an. Mereka juga telah berbincang denganku mengenai beberapa fakta sejarah dalam kebanyakkan buku-buku sejarah yang telah meragukan mereka.

Aku telah menerangkan kepada mereka, bahawa kebanyakkan buku-buku sejarah Melayu telah ditulis oleh bekas pegawai-pegawai British yang memerintah, seperti penasihat British, maka mereka telah mengikut selera penjajah atau memang diarah supaya menulis begitu.

Kemudian, buku-buku mereka menjadi buku teks atau rujukan pelajar-pelajar Melayu. Akibatnya fakta sejarah bangsa Melayu telah menjadi celaru atau tidak tepat, bahkan salah.

Aku juga telah menerangkan kepada mereka, iaitu, oleh kerana sebilangan besar orang Melayu lalai atau tidak menghargai sejarah bangsa mereka sendiri, maka ramai dari generasi Melayu selepas merdeka tidak memgahami cita-cita dan perjuangan orang Melayu sebelum negara ini bebas dari penjajah Inggeris.

”Sesiapa yang tidak mengambil berat akan sejarah bangsanya, maka dia boleh dianggap pengkhianat kepada bangsanaya sendiri,” aku telah berkata kepada penuntut-penuntut itu.

(Disaring dari manusktip, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah).

PERPADUAN



MELAYU WAJIB BERSATU


Dia (Allah) telah menurunkan keterangan – keterangan yang
jelas kepada hamba - Nya (Muhammad s.a.w.) untuk
mengeluarkan kalian dari kegelapan kepada cahaya yang
terang dan sesungguhnya Allah itu Petunjuk dan Penyayang
kepada kalian. - Al Hadid: 9.
Orang Melayu boleh menjadi bangsa yang kuat dan disegani oleh umat manusia di seluruh dunia, hanyalah jika ditangan mereka ada kuasa Melayu (Malay power). Kuasa Melayu tidak akan diperolehi sampai bila – bila, selagi orang Melayu tidak mengikut petunjuk Allah dalam Quran, iaitu tidak berpecah belah – bersatu padu di bawah kalimah Allah.

Ketuanan Melayu tidak penting, kerana ketunanan itu satu warisan dari bangsa Arab kuno sebelum Islam, iaitu 'Syed atau tuan' yang mengusai orang - orang miskin dari bangsa mereka sendiri. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511 dan zaman Sutan Abdullah di Perak sebelum 1874, telah wujud Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu itu telah memberi peluang kepada golongan Istana dan peodal (ketuanan) Melayu memperhambakan orang ramai Melayu yang miskin atau marhein.

Orang Melayu boleh bersatu – padu, jika semua organisasi politik Melayu, UMNO (berpegang kepada kebangsaan Melayu) dan PAS (berpegang kepada Islam sebagai amalan dalam semua bidang kehidupan insan), ketepikan sentimen politik dan mengorbankan pegangan tidak mengikut Islam dan sama – sama berepegang kepada Islam sebagai dasar hukum dan amalan dalam kehidupan negara dan rakyat.

Maka, jika benar orang Melayu mahu bersatu - padu dan mendapat kembali kuasa Melayu (Malay power), maka UMNO dan PAS hendaklah membuangkan yang keruh dan ambil yang jernih; saling bekerjasama dalam semua bidang.

Saya yakin, jika orang Melayu tidak bersatu - padu, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun sahaja lagi, bangsa Melayu akan hilang. Bukan hilang kerana ribut dan banjir seperti maksud Quran di atas ini, tetapi kerana corak politik yang berbeza dengan corak politik UMNO dan PAS, akan melanda dan akan menjadi besi waja kekuatan bangsa lain menguasai negara pusaka bangsa Melayu ini.

Bagaimana nasib UMNO dan PAS di pulau Singapura yang kuat pada masa belum kuasa bangsa lain yang membawa basi waja politik sosio - demokrsi ke pulau pusaka bangsa Melayu itu?

Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Haji Hadi Awang, Nik Aziz dan Anwar Ibrahim bertanggung jawab atas menyatu padukan orang Melayu. Mereka perlu kembali kepada firman Allah, ' berpegang teguh pada tali Allah (berpadu) dan jangan berpecah belah'.(mp)

MAKSUD AYAT QURAN


MENGIKUT RASUL


Di mana sahaja kalian berada, nescaya kematian akan mendapatkan kalian, biarpun kalian dalam benteng – kubu – yang teguh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan, mereka mengatakan: Ini adalah dari anda (Muhammad s.a.w.). Katakan: Semuanya dari Allah, tetapi mengapa mereka tidak mengerti akan sesuatu kejadian?

Apa – apa kebaikan yang anda peroleh itu dari Allah, dan apa – apa sahaja yang menimpa anda, bertasal dari diri anda sendiri. Kami (Allah) mengutus anda menjadi Rasul – utusan Allah) kepada umat manusia (Tidak kira bangsa dan warna kulit), dan memadalah Allah menjadi saksinya.

Dan siapa mengikut Rasul (Muhammad s.a.w.) – dalam semua sistem kehidupan termasuk politik dan pemerintahan - , ssungguhnya dia mengikut Allah, dan sesiapa yang nmelawa, Kami (Allah) tidak menguttgus anda untuk menjadi penjaga mereka. – An Nisa:78 - 80

Keterangan

Mengikut Rasul, ertinya mengikut apa jua yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a,w, iaitu peribadatan, kekeluargaan, kemasyarakatan, pemerintahan dan politik, ekonomi dan lain. Sesiapa yang menolak pemerintahan dan politik yang dilakukan atau telah dditunjukkan oleh Allah dan Rasul – Nya, Muhammad s.a.w. maka tidaklah boleh dikira orang – orang yang taat kepada Allah dengan sempurna.