Thursday, June 14, 2012

TERKENANG


                     SULTAN YUSUF: KISAH TUBUH UMNO

Bermula dari pertemuanku dengan Sultan Idris Shah di rumah Sheikh Abdullah Fahim, di Kepala Batas, Seberang Perai pada tahun 1954, apabila Baginda menduduki takhta Kerajaan Negeri Perak, maka aku sebagai rakyat marhein sentiasa berdampingan dengan Baginda.
          Elok aku mencatat pengalamanku di sini, iaitu kira-kira dua tahun sebelum Sultan Yusuf Izzuddin Shah mangkat, aku sering mengadap Baginda dan Raja Perempuan Ta’yah di Istana Iskandariyah, Bukit Chandan. Kadang-kadang aku datang ke Istana Iskandariyah bersama Raja Razman dan Raja Hanif Shah. Mereka adalah pensasihat kebudayaan dan hal ehwal rakyat kepada Sultan Yusuf.
             Sultan Yusuf seorang Raja memerintah yang kuat berpegang pada semangat kebangsaan Melayu. Dalam percakapan denganku, Baginda lebih cenderung kepada parti-parti politik yang telah diharamkan oleh Kerajaan Inggeris, iaitu kesatuan Melayu Muda (KMM), Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
             Mengenai UMNO, Sultan Yusuf telah menerangkan kepadaku sama dengan yang telah diterangkan oleh Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz bekas Setiausaha Agung UMNO Malaya.
             Menurut Sultan Yusuf, apabila parti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM) telah ditubuhkan, Kerajaan British rasa tergugat dan sentiasa mencurigai parti-parti itu. Pada satu malam Ahad, akhir bulan Disember 1945, Penasihat-penasihat British (British adviser) Negeri-negeri Pahang, Perak, Kedah, Selangor, Negeri sembilan dan Johor telah mengadakan majlis jamuan makan malam dan tari menari, di sebuah hotel, di Cammeron Highlands, iaitu sempena menyambut perayaan  Hari Christmas.
            Di antara orang-orang kenamaan Melayu yang telah diundang ke majlis itu, ialah Raja Muda Yusuf, Onn bin Jaafar, Panglima Bukit Gantang, Haji Ab dul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Raja Kamaruzzaman bin Raja Mansor(Raja Kecil Tengah), Zainal Abidin bin Haji Abas, Raja Haji Shahar bin Raja Harun dan Raja Azam bin Raja Kamaruzzaman.
              Dalam majlis itu, para Penasihat British tersebut telah mengingatkan Onn Jaafar, Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab dan mereka yang hadir, bahawa ’bahaya dari gunung’ akan tiba, iaitu Parti Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir, Gunung Semanggul, Perak,  bahaya kepada orang-orang Melayu yang mendapat pendidikan England atau London Orientation dan masa depan mereka akan menjadi kabur.
               Cerita Sultan Yusuf lagi, bahawa  penasihat-penasihat British itu telah menjelaskan, iaitu Hizbul Muslimin adalah membawa ideologi Islam seperti yang dianut oleh parti Ikhwanul Muslimin Mesir. Kalau parti itu berjaya memerdekakan Tanah Melayu, masalah besar akan timbul, di antaranya mereka yang berpendidikan England atau London Orientation akan tidak ada tempat atau peluang memerintah Tanah Melayu kerana mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan Islam.
              Penasihat-penasihat British itu telah menasihatkan pemimpin-pemimpin  Melayu itu supaya menubuhkan sebuah parti politik nasionalis Melayu untuk membunuh Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
                Menurut Sultan Yusuf, para menasihat British itu menentang konsep perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), iaitu Satu negara:Negara Melayu, satu bangsa:Bangsa Melayu, satu bahasa: Bahasa Melayu dan agama Islam menjadi agama Negara Melayu.
                Dalam perjumpaan itu, Onn Jaafar telah memaklumkan kepada penasihat-penasihat British itu, iaitu orang Melayu sukar untuk disatukan dalam sebuah parti politik, kerana mereka mempunyai sikap kenegerian yang kuat. Penasihat-penasihat British itu telah memberi jaminan, bahasa pihak Pejabat Setiausaha Tanah Jajahan British ada isu yang boleh menyatukan orang-orang Melayu.
              ”...ape isunye..., mike tau?’ Sultan Yusuf bertanya kepadaku.
              ”Ampun, Tuanku, patik ..., Tuanku...,”aku menyembah kata.
              ”...Malayan Unionle..., deme udah susun...,”titah Sultan Yusuf.
            Sultan Yusuf memberitahu lagi, setelah British mengadakan Malayan  Union, maka Onn Jaafar dan Haji Abdul Wahab serta rakan-rakan mereka telah menubuhkan parti kebangsaan Melayu, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu – PEKEMBAR atau UMNO.
           Raja Perempuan Taayah suka membuat kuih muih tradisional Melayu dan almarhumah juga suka santap kuih muih tersebut. Kuih muih itu di antaranya, ketayap, anak dara dua sebilik, lepat pisang, buah Melaka, badak berendam dan lepat ubi. Tetapi kebanyakan kuih muih itu dibuat oleh tukang-tukang masak (perempuan) atau dayang-dayang Istana.                  
          Aku sering dijemput oleh Raja Perempuan Taayah untuk makan kuih muih di istananya. Baginda memerintahkan pemandu kereta istana, Chu Saad mengambilku dengan kereta istana (Morris Minor) dan membawaku ke Istana Iskandariyah.
              Pada satu hari, Raja Perempuan Ta’ayah telah bertanya kepadaku mengenai hukum orang menyiksa  anak yatim. Aku telah menerangkan kepadanya mengenai Allah menegah melakukan tidak baik kepada anak yatim. Almarhumah telah memberitahu kepada aku, bahawa dia telah menyiksa seorang anak yatim di istana, di Batu Gajah, iaitu dengan menggosok kepala anak yatim itu dengan seterika yang menggunakan arang kayu. Tidak lama kemudian kepala Allahyarhamah telah menjadi botak.
              Sultan Yusuf menceritakan kepadaku akan hal-hal mengenai kehidupan rakyat jelata, karenah para politikus Melayu yang berselisih faham sesama mereka. Ada di antara mereka menyertai perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, tetapi mereka itu menjadi orang-orang harapan penjajah Inggeris.*
          
            
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,
  (belum gerbit), oleh: Mokhtar Petah.
                                                

No comments: