Friday, June 8, 2012



PEGAWAI POLIS: BEKAS ANGGOTA PKS


Pada petang 11 November 1975, aku telah bertemu dan bercakap dengan Ketua Polis Kontinjen Negeri Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong, di Ipoh Club. Percakapan kami  mengenai pergolakan politik di negeri Perak, ancaman pengganas komunis masih berlarutan, pembangunan rakyat dan beberapa perkara yang menyeronokkan. Khoo telah meminta semua percakapan kami itu di ’off the record’kan kerana sebab-sebab tertentu.
Antara pendapat-pendapat  Khoo Chong Kong yang masih aku ingat, ialah:
          + Mengenai perpaduan rakyat; selagi orang-orang bukan Melayu tidak ikhlas
             menerima bahasa Melayu sebahagian bahasa mereka dan mereka masih ada
             sentimen mahu menegakakan bahasa mereka, maka selama itulah perpaduan   
             tidak akan tercapai dengan  sempurna.
+  Agama Islam mestilah diterima sebgai agama negara, dan hukum-hukumnya
   dipraktikkan sebagai undang-undang dan perkemaskan perlembagaan
   mengenai agama Islam. Pemahaman mengenai Islam agama rasmi negara
   hendaklah diberi fahaman  kepada  semua rakyat bukan Islam, supaya
    perpaduan antara rakyat yang sedia ada akan bertambah kukuh. 
+   Tidak ada cara yang lebih baik yang berkesan untuk membanteras fahaman komunis, melainkan dengan Islam dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat luar bandar dan pinggir bandar.
+   Kerajaan Pusat dan semua Kerajaan Negeri akan tidak selamat, mungkin akan muflis kalau dibiarkan amalan rasuah berleluasa di kalangan para pegawai, kakitangan kerajaan dan mereka yang  berkecimpung dalam arena politik.
+  Untuk meninggikan moral semua rakyat, kerajaan mestilah mengawal atau menghalang kemasukan segala macam unsur menolak ketuhanan dan kebudayaan kuning menerusi filem, televisyen dan media cetak.
Hanya berselang sehari semalam, iaitu pada waktu lepas makan tengah hari pada 13 November 1975, Khoo Chong Kong telah mati ditembak oleh dua orang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menunggang motosikal, di garisan lampu isyarat simpang Fair Park dengan Jalan Anderson, dalam Bandar Ipoh. Turut terbunuh, pengiringnya, Sarjan Yeung Peng Chong dan pemandu keretanya.[1](Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia.)
Sebelum berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, Khoo Chong Kong adalah bekas aktivis Parti Komunis Sarawak (PKS). Sebelum menyertai pasukan polis, dia telah menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Keberanian dan kebodohan seseorang ada kalannya memberi guna kepadanya. Begitu jugalah aku dengan keberanian dan kebodohanku. Aku ditakdirkan Allah tidak mengalami sebarang kejadian buruk di negara orang, maka hidup hingga kini. Tetapi aku bangga, kerana langkah berani dan bodohku itu telah menjadi catatan manis dalan ’sejarah hidup’ku.
Pada penghujung bulan 12 Jun  1975, dengan tidak memberitahu keluargaku, aku telah mengikuti enam orang pegawai tentera Amerika Syarikat dalam sebuah kapal terbang Tentera Udara – US Air Force yang telah terbang dari Lapangan Terbang Tentera Udara, Matang Kuching, Pulau Pinang,  ke Vietnam Selatan.
Turut bersama kami dalam kapal terbang itu, dua orang Melayu peniaga ikan sepat kering dari daerah Kerian, Perak, Tarmizi dan Zainuddin. Mereka membawa ikan sepat kering ke Vietnam Selatan.
Aku telah pergi ke Vietnam Selatan setelah aku bercakap dengan seorang Pegawai Tentera Amerika, di Ipoh pada 8 Jun 1975. Dia fasih bercakap bahasa Indonesia. Dalam percakapan itu, aku telah mengecam tindakan pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat yang telah menghantar 400,000 anggota tenteranya ke Vietnam Selatan semata-mata untuk membunuh umat manusia di sana. Kebanyakan anggota tentera itu terdiri dari pemuda-pemuda lepasan institusi-institusi pengajian tinggi di sana.
Pegawai tentera itu rasa tercabar, apabila aku berkata kepadanya, Amerika mempunyai tujuan menjajah, bukan untuk mewujud keamanan dunia dan Amerika tidak akan mencapai kemenangan dengan gerila-gerila komunis, kerana penganut-penganut komunisme lebih tegar dari mereka yang menganut kapitalisme.
Pegawai tentera Amerika itu telah menjemput aku ke Vietnam Selatan. Dia mahu aku melihat sendiri akan kejayaan tentera-tentera Amerika memerangi gerila-gerila Viatcong. Aku setuju pergi ke Vietnam sebagai ’pemerhati perang’.
Aku telah pergi ke Vistnam Selatan dengan tidak ada sebarang jaminan keselamatan atas diriku dan tidak ada insuran untuk membayar pampasan kepada warisku jika aku terbunuh di sana. Hanya berharapkan kepada pihak tentera Amerika Syarikat yang akan menguruskan mayatku, sekiranya aku terbunuh di sana, dan membayar sagu hati kepada keluargaku.
Hingga aku menulis buku ini, isteri dan anak-anakku tidak mengetahui aku telah pergi ke Vietnan, kerana aku telah merahsiakan sebelum aku pergi dan setelah aku pulang dari sana.
Di Vietnam Selatan, aku bersama tiga orang wartawan yang datang ke sana, seorang dari Indonesia, seorang dari Filipina dan seorang lagi dari Thailand tinggal dalam khemah tentera, di Bandar Saigon( Ho Chi Minh). Kami tidak mengikuti oprasi tentera seperti warrtawan-wartawan perang di sana.
Selama tiga hari kami di sana, kami telah dibawa dengan helikopter ke khemah tentera Amerika di Quy Nhon dan Cam Ranh. Dalam khemah-khemah tentera itu kami telah diterangkan oleh pegawai-pegawai tentera Amerika mengenai kejayaan semua oprasi tentera Amerika di sana. Mereka mencapai kejayaan besas memerangi gerila-gerila Vietcong. Sebagai biasa pegawai-pegawai tentera itu telah memuji negara mereka yang mengajar manusia hidup secara demoakrasi dan berpeikemanusiaan.
Selama berada di Vietnam, aku telah sarat dengan propaganda Amerika. Tetapi aku tidak mengubah pandanganku, bahawa Amerika Syarikat tidak mempunyai belas kasihan kepada umat manusia dan lebih mementingkan diri mereka sendiri. Mereka ketawa dengan kekayaan atas timbunan manusia yang telah mati.
Sehari sebelum pulang ke tanahair, kami telah dibawa melawat ke khemah tentera Amerika di bandar Saigon. Seorang jururawat (perempuan) Vietnam yang fasih berbahasa Melayu, pada waktu bercakap denganku, dia berharap perang Vietnam segera tamat kerana dia terpaksa merawat manusia-manusia yang mati dan cedera telah menimbulkan kesan buruk dalam dirinya.
”Mereka (tentera Amerika) tidak ada belas kasihan, perempuan, orang tua dan kanak-kanak mereka bunuh,”katanya.
”Mereka menuduh pihak Vietcong pengganas dan zalim, tetapi merekalah penjahat dan paling zalim,”tambahnya.
Janji Allah; ajal manusia di tangan-Nya. Tiada makhluk yang boleh mendahului atau mengakhiri waktu mati atau ajal. Aku telah mengalami ’belum ajal berpantang mati’, iaitu, pada malam meraikan aku dan beberapa orang wartawan-wartawan dari Indonesia, Thailand, India, Australia dan Filipina yang akan meninggalkan Vietnam Selatan dan pulang ke negara masing-masing.
Aku bersama bersama dua orang wartawan lagi, telah terlewat keluar dari khemah tentera tempat kami tinggal itu, kerana sebelah kasutku telah dilarikan oleh seekor anjing renek – anjing kecil dan berbulu lebat -, ke tepi pagar kira-kira 300 meter dari khemah tempat aku tinggal. Setelah kasut aku itu dijumpai oleh seorang askar Amerika(kulit hitam), maka kami telah menaiki sebuah kenderaan tentara dan pergi ke tempat jamuan itu. Tiba-tiba suara dari telefon pegawai tentera yang duduk di bangku hadapan memberitahu tempat jamuan itu telah kena bom. Kami tidak pergi ke sana.
Kami mendapat khabar kemudiannya, lebih dua lima orang pegawai tentera Amerika Syarikat dan Australia bersama beberapa perempuan – penari dan pelacur Vietnam telah terbunuh dan ramai yang telah cedera. Kejadian itu telah berlaku kerana sebutir bom Molotove coctail yang terpasang pada badan salah seorang perempuan lacur  yang menjadi agen gerila Vietcong meletup.
Allah Maha Kuasa, disebabkan anjing telah melarikan kasutku, kami lewat datang ke tempat jamuan itu. Kalau tidak disebabkan anjing itu, kami telah lebih awal tiba ke sana. Mungkin aku dan wartawan-wartawan lain terbunuh di sana.
Aku telah dihantar pulang ke Lapangan Tebang Tentera Udara Matang Kucing, Pulau Pinang, pada hari yang keempat.
Aku tidak menulis rencana mengenai lawatanku ke Vietnam kerana sebab-sebab tertentu. Sebagai kenang-kenangan ’kebodohanku’, aku telah menulis sebuah novel berjudul ’Detik-Detik Perpisahan’. Novel itu telah diterbitkan Penerbit Tra-Tra, Petaling Jaya pada tahun 1987.*

*  Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,(belum terbit),
    oleh: Mokhtar Petah.


[1] Far EasternEconimic Review, 11 April 1977.
     Mohd.Reduan Haji Asli, 1993, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, Kuala Lumpur,
     Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.137.

No comments: