Sunday, January 11, 2009

CERPEN

CERPEN

HARGA SEBUAH CINTA

Oleh: Mokhtar Petah

[Cerpen ini ditulis oleh Mokhtar Petah, berdasarkan cerita seorang rakannya, di Bukit Mertajam, yang telah berjuang bersama umat Islam (Arab), di Palestin, pada sebelum tahun 1947. Pada tahun 1953–1958 mereka bersahabat rapat. Akhir sekali Mokhtar Petah telah menemui rakannya itu, di rumahnya, di Bukit Mertajam, pada tahun 1997. Rakannya tu dalam keadaan sakit masalah pundi-pundinya. - Editor, Petah Shahrir Aidid.]

Berpuluh peluru moter dan senapang mesin gugur dan membakar bumi Palestin. Ratusan manusia lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak–kanak mati. Kojol. Kepala dan tubuh tercerai. Daging dan tulang tubuh hancur dan patah relah. Hancur.

Dalam bunyi letupan bagai petir dari bom dan peluru-peluru di sekitar bumi mulia awal kiblat dan peninggalan Nabi Musa itu, kedengaran jerit. Raung. Lolong. Tangis mangsa-mangsa peluru askar Yahudi.

Sulaiman membiarkan daging pahanya dimamah peluru. Pinggangnya tembus. Perut betis kanannya berlubang. Dia mengangkat tubuh Syamiliya yang lemah ke atas ribanya. Darah Syamiliya – kekasihnya - dan darahnya berbaur merah warnahnya. Darah dua pejuang yang berlainan negara, tetapi sama berjihad atas jalan Allah.

“Habibi, Sulaiman …,” suara Syamiliya menyeru kekasihnya.

“ …ia, saya, sayang …,” sahut Suliaman.

“Maafkan Syamiliya, sayang …,” suara gadis itu mendayu. Lembut. Merdu.

“Ia, sayang, tak ada apa yang hendak saya maafkan, tak ada salah sayang kepada saya…,” sahut Sulaiman sambil merimpung tubuh kekasihnya bersama dua laras senapang Ak-7, ke dalam lubang batu tua, gelap, di situ.

“Syamiliya salah, sayang …, Syamiliya mengajak anda datang ke sini, jihad di bumi Syamiliya …,” kata Syamiliya sambil menahan sakit yang menderanya.

“Tidak Syamiliya …, sayang tidak salah …, ini kewajipan saya …, kewajipan seorang Muslim …, membela saudaranya, umat Islam di sini …, berjuang …, jihad pada jalan Allah,” Sulaiman berkata sambil meletakakan kepala Syamiliya atas topi gabus Thurisinanya.

Sulaiman mencarik–rabakkan baju dalamnya. Cebisan besar baju dalam itu dibalur luka pada lengang dan paha kekasihnya. Darah dari dua anggota itu tidak keluar lagi. Tetapi dia tidak dapat menahan darah merah yang membuak keluar dari lubang pada dada gadis itu. Dada dara itu telah dikopak beberapa biji peluru. Lobang itu boleh telus penumbung Sulaiman.

“Sayang …, sayang sakit …, saya bacakan Al Fatihah …, insya Allah kurang rasa sakit sayang ni …,” kata Sulaiman dan dua matanya merenung dua telaga mata kekasihnya yang berendam dalam air dan darah.

“Ia, Sulaiman, … saya tak sakit …, tak rasa sakit …, dingin …, bagai tangan Sulaiman membelai saya …,” sambut Syamilia.

Dari celah dua ulas bibnirnya yang pucat dan bersalut darahnya sendiri itu, dia bersuara, “ …siapa jihad pada jalan Allah dengan harta …, tubuh …, nyawa sendiri, lebih tinggi darjat di sisi Allah …, mereka itu menang ….”

“Ia, sayang …, sungguh, Allah mengaku, siapa yang mati syahid, dia tidak mati sebenarnya …, hidup hingga ke syurga…,” sahut Sulaiman lalu mengusap dahi kekasihnya.

Dentuman meriam dan peluru askar Yahudi dan pejuang Palestin tidak kedengaran lagi. Dari lubang batu atas bukit itu, Sulaiman nampak lebih sepuluh mayat askar Yahudi bergelimpangan atas pasir berdarah di sana. Tidak jauh dari tempat mereka, seorang gerila Palestin tersandar sambil azan. Dia menggembirakan dirinya dengan suara azannya. Kaki kanannya telah kudung. Darah dari puntung kakinya yang bercerai itu membasahi pasir bumi para nabi Allah itu.

“Sulaiman, jaga kekasih kamu, dia parah …,” kata gerila itu.

“Ia, saya jaga dia …,” sahut Sulaiman.

“Bagus, kamu pemuda Melayu setia pada Islam, bela umat Islam di sini …, Allahu Akbar,” kata gerila tersebut.

“ …di mana kawan–kawan kita?” Sulaiman bertanya.

Ada di sana, mereka menang moral …, demi Allah …,” jawab gerila itu.

Dalam udara petang itu, gerila itu azan lagi. Suara azannya menjengkau menara Masjid Al Aqsa. Menyambar bukit Zaitun. Bagaikan menampar setiap telinga askar Yahudi.

Di hujung suara azannya, gerila itu menundukkan tubuhnya menahan sakit. Atas pasir bercampur darah itu tubuhnya terbaring. Bersama suaranya mengucap dua kalimah syahadat, tubuhnya yang dimamah peluru dan kaki kanannya putus, nyawanya berpisah dari tubuhnya yang syahid di situ.

“Sayang, Syamiliya …, liya …tak dapat sama sayang …, liya akan pergi …,” suara Syamiliya lemah.

“Sayang …, demi Allah, saya reda Syamilia pergi …, reda, sayang,” sahut Suliman tetapi hatinya berat mengizinkan gadis Arab itu pergi.

“ …insya Allah, saya, Syamiliya nanti …, nanti Sulaiman , sayang, di syurga…, ini harga sebuah cinta kita, sayang …,” suara Syamiliya amat lemah.

“Ia, nilai sebuah cinta kita …, Allah nilai cinta kita, sayang …,” suara Sulaiman mesra bercampur sedih.

Sulaiman merangkul tubuh kekasihnya lalu diletak atas dua batang pahanya. Tubuh gadis yang bermandi darah itu lemah. Longlai.

“Ia, janji Syamiliya …, Liya …, janji kita …, janji Allah …,” sambut Sulaiman lalu memeluk tubuh kekasihnya.

“ …asyhadu an la ilaha illallah …, wa asyhadu anna Muhammad rasulukl Lah …,” ucapan Sulaiman sama dengan suara terakhir kekasihnya.

Tubuh gadis syahid itu berbungkus dalam pakaian gerila. Pakaiannya basah kerana darahnya sendiri dan darah Sulaiman. Mereka tidak berjaya menunaikan janji untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga laksana syurga. Sulaiman sabar di bawah takdir. Dia reda kekasihnya pergi. Allah lebih mengasihi Syamilia dari dia sendiri mengasihi gadis itu.

*** ***

Pada satu petang, tahun 1997, dalam sebuah rumah, di sebuah permatang, di Bukit Mertajam, Sulaiman mangsa kekejaman Yahudi dan perang Pelestin menunjukkan banyak parut tubuhnya yang telah lanjut usia itu. Semua parut itu bekas ditembus, di kopak dan dirabakkan peluru dan serpihan bom askar Yahudi – Zionis.

“ … ni enta tengok parut–parut pada badan ana ni …, siapa kata ana boleh hidup …, Allahu Akbar,” kata Sulaiman dengan semangat seorang pejuang.

“Yahudi manusia tak berperi kemanusiaan …, askar depa tu macam robot …,” katanya.

“ ia?”

“Iaaa, depa latih askar tu dari kanak–kanak lagi …, depa jadikan depa tak ada bekas kasihan …, macam robot,” jawabnya.

Sulaiman menekan-nekan beberapa parut tua sebesar siling lima puluh sen, sebesar caping puteri raja dan sebesar tapak tangan kanak, di betis, lutut dan pahanya dalam kain sarung putih yang dipakainya.

Sulaiman mendapat didikan awal di sekolah Melayu dan sekolah agama Islam, di kampungnya. Sebelum dia melanjutkan pelajaran di Masir, dia telah menuntut di sekolah agama Islam, di Kepala Batas. Gurunya, Sheikh Abdullah Fahim.

Di kolej tempat dia menuntut, dia bersahabat dengan seorang gadis Arab Palestin, Syamiliya. Gadis itu anak satu keluarga pekebun anggur di Palestin. Di kolej tersebut, dia menuntut dalam kuliah yang sama dengan Sulaiman.

“Kuasa Allah, mula kami berkawan …, dua bulan kemudian kami bercinta …, tapi tak langgar hukum Allah …,” kata Sulaiman dalam tawanya yang tawar.

“Sampai lah ni …, walaupun ana dah beghanak pinak, tapi ana tak dapat lupakan Syamiliya …,” suara Sulaiman bagaikan tertelan dalam mulutnya.

Dia senyum. Isteri ana tau …, tapi anak-anak ana tak tau …,” ujar Sulaiman sambil merenung ke luar jendela.

“Lepas Syamiliya pi …, ana nerkat tak nak balik ke Malaya …, anak nak duduk dengan keluarga Syamiliya …, nak jadi pejuang Pelestin,” ujar Sulaiman lagi.

“Pada satu hari, saya terima surat dari Pak Sheik Pak Him, dia suruh saya balik …, dalam surat tu dia tulis …kasihkan watan sebahagian dari iman …,” katanya sambil merenung kepada buku–buku tua dalam rak sudut rumahnya.

“Lepas tu anak balik …, ana jadi guru agama …, masuk politik …,” jelas Sulaiman sambil senyum.

“ …pilihan raya tahun 1955, ana kalah di Kerian …, kawan ana tentang ana …, dia menang …,” jelasnya lagi.

Sambil menarik nafas panjang. Sebagai seorang pencen ahli politik kerajaan, dia rasa puas hidup di dunia ini. Harapannya, bila dia meninggal dunia. Isterinya mengikutnya ke sana nanti, dia akan bertemu dengan Syamiliya yang menunggunya.

Di hujung madahnya yang sayu, dua telaga matanya yang tua, berkilau laksana air telaga tepi sawah, digenangi air jenih.

“Syamiliya …,” suaranya dalam keluhannya.

Wajahnya berbalut senyuman. Tapak tangan kanannya mengusap parut–parut bekas peluru askar Yahudi pada perut betisnya.

“ …Allah sumpah orang Yahudi, jadi ,monyet yang hina …”

Senyum.

(Habis)

WARTAWAN

(Sambungan dari minggu lalu)

WARTAWAN MESTI BERANI DAN MEMBINA

Oleh: Mokhtar Petah

Saya suka menasihatkan anda yang mengikuti kursus ini, membaca buku A. Samad Ismail, karya: Bachtiar Djamily dan beberapa buah buku lagi mengenai diri wartawan agung negara kita.

Abdul Samad Ismail adalah seorang wartawan Melayu yang berani mengkritik kerajaan, organisasi dan massa pada zamannya. Ideanya yang diresap, lakar dan di hikmahkan dalam tulisannya - berita dan artikel - telah membuka mata para pemimpin kerajaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein dan Tun Hussein Onn. Mereka menjadi sedar mengatur urusan negara dan rakyat kerana adanya tulisan Samad Ismail. Mereka menjadi takut bertindak melulu terhadap rakyat kerana adanya tulisan Samad Ismail. Samad Ismail adalah guru dan rakan mereka dalam berkongsi idea untuk negara.

Saya kira Samad Ismail adalah wartawan berani dan membina megara dan rakyat umum pada zamannya.

Maka, saudara bakal wartawan atau penulis, sekurang–kurangnya dapat mengikut jejak Samad Ismail. Menulis untuk mengkritik dan membina negara dan rakyat.

Wartawan dan penulis tidak boleh meletakkan 100% kepada para penanggungjawab atas negara dan rakyat, kerana mereka itu adalah manusia seperti wartawan dan penulis atau orang lain juga; tidak sedar melakukan kebaikan dan keburukan.

Dalam mana-mana negara termasuk negara yang adanya Masjid kedua – Masjid Haram, Makkah dan masjid ketiga – Masjid Nabawi, Madinah tidak sunyi dari melakukan keburukan, seperti curang, rasuah dan tidak menunaikan amanah rakyat serta tunduk kepada Yahudi.

Wartawan dan penmulis Melayu – Islam, jika mahu menjadi pengkritik pada zamannya, mestilah ada dalam dirinya pengetahuan duniawi dan ukhrawi (agama Islam dan semua cabang pengetahuan di dalamnya).Jika tidak ada pengetahuan tersebut, tambahan pula tidak kukuh iman dan jati diri, akan mudah menjadi alat orang lain, iaitu tukang pikul pena atau galas komputer menjadi penghampu atau abdi pemimpin yang curang dan tidak amanah.

Untuk menjadi pengkritik dan pembina, wartawan dan penulis hendaklah mendampingi atau bersahabat dengan golongan pemerintah atau kerajaan, semua peringkat rakyat jelata yang amat naïf kehidupan mereka.

Mungkin, anda sorang pemberita baru, akan setuju dengan seorang hakim menjatuhkan hukuman kepada seorang petani miskin yang telah mencuri setongkol ubi kayu atau setandan pisang dalam kebun orang lain, tetapi bila anda telah menjadi wartawan dan penulis, anda akan tidak setuju dengan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim ke atas petani itu.

Sebagai wartawan dan penulis anda boleh mengkrik dengan menyanggah (dalam negara kita tidak boleh melakukan demikian, kerana anda akan dihukum kerana menghina mahkamah) hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim kepada petani miskin itu.

Idea dan pertimbangan anda, yang salah, ialah hakim, kerana menjatuhkan hukuman tidak adil. Dia terlalu patuh dan fanatik kepada undang–undang, hingga dia terlupa menggunakan mindanya untuk menimbangkan keadaan petani miskin yang dihukum itu.

Kritikan anda kepada kerajaan atau pemerintah, petani miskin yang telah mencuri itu, tentulah ada padanya keadaan begini:

1 - Tidak berpelajaran atau buta huruf.

2 - Dia, atau isteri dan anak-anaknya kelaparan.

3 - Dia tidak ada jalan ikhtiar yang lain selain dari mencuri.

4 - Dia sayangkan isteri dan anak–anaknya.

5 - Tidak ada jiran tetanggan yang menolongnya.

Rasa membina, ialah keadaan yang dialami oleh petani miskin itu disebabkan pemimpin negara dan mereka yang bertanggungjawab kepada negara dan rakyat tidak menjalankan pemerintahan atau pentadbiran yang betul dan saksama. Tidak melihat jauh ke dalam masyarakat dan tidak mengambil tahu akan keadaan hidup rakyat di kampung-kampung atau pendalaman.

Mungkin disebabkan pihak yang berwajib menjalankan sikap pilih kasih antara rakyat, misalnya disebabkan perbezaan fahaman atau parti politik.

Atau pihak yang bertanggungjawan mengamalkan rasuah, tidak amanah dan sebagainya.

Pertimbangan wartawan dan penulis, yang mesti dihukum bukan petani miskin yang telah mencuri, tetapi penanggungjawab atas negara dan rakyat mesti dihukum. Mereka hidup mewah, janji untuk membantu rakyat telah dilakukan seperti wirid tetapi tidak dilaksanakan dan mereka tidak bertganggungjawab kepada rakyat hingga ada rakyat miskin yang terpaksa mencuri setongkol ubi kayu atau setandan pisang.

Wartawan dan penulis yang ada pengetahuan Islam, iaitu dalam bidang jenayah - hudud - , boleh menyalahkan hakim kerana dia tidak adil disebabkan tidak melakukan pertimbangan yang baik dan tidak mengikut hukum dalam agama Islam. Hukum hudud dalam Islam; orang yang mencuri dikenakan potong tangan.

Tetapi kalau orang yang mencuri itu tidak ada pengetahuan, keluarganya miskin dan kelaparan, dan kerajaan atau pemerintah tidak memikul tanggungjawab, dan dia mencuri hak (buah–buahan dan seumpamanya) orang lain dalam kebun atau di tempat yang tidak berkawal (seperti dalam gedung atau bilik berkunci), maka dia tidak dihukum potong tangan. Kalau buang kes pun tidak mengapa.

Bolehkah anda menjadi seorang wartawan atau penulis yang berani mengkritik dan membina?

(bersambung pada Sabtu depan).

No comments: