Monday, January 26, 2009

ADUN

TIGA LAGI ADUN PERAK AKAN KELUAR BN


Oleh: Mokhtar Petah

Para penulis politik tidak hairan dengan berita ahli Dewan Undangan Negeri (Bota), Datuk Nasaruddin Hashim (UMNO), telah melompat ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerana sejak lepas pilihan raya umum lalu, memang diduga perkara itu akan berlaku.
Nasaruddin Hashim seorang tokoh UMNO Negeri Perak yang bukan calang-calang politikus. Pada masa Datuk Sri Anwar Ibrahim masih dalam UMNO, beliau adalah dari sebilangan besar ahli UMNO negeri itu yang 'fro Anwar' dan 'anti Mahathir'.
Beliau tidak sama dengan Ketua Perhubungan UMNO Perka kini, Datuk Sri Tajol Rosli Ghazali - seorang 'pro Mahathir' dan 'fro Najib' tetapi sedikit menyimpang dari menyebelahi Datuk Seri Abdullah Badawi.
Seperti yang disampaikan kepada saya oleh beberapa kalangan dari UMNO Negeri Perak, bahawa sebilangan ahli UMNO negeri tersebut telah lama 'protes dalam diam' terhadap sikap Tajol Rosli yang tidak berapa memihak kepada Abdullah Badawi.
Tajol Rosli sekelumpuk dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, ahli Dewan Rakyat (Padang Rengas) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Omar, ahli Dewan Negeri (Kubu Gajah), Datuk Shaarni bin Mohamad (Kota Tempan) dan beberapa orang lagi.
Sebelum Mohamed Nazri dilantik ke sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (perundangan) ada juga beliau mengeluarkan suara yang menjadikan Abdullah badawi seperti orang tahu pedasnya cabai.
Tetapi setelah Mohamed Nazri berkedudukan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kelihatan beliau laksana orang ' menyanyi senada dan menari sama rentak' dengan Perdana Menteri yang banyak polisi dan banyak sabar itu.
Nassaruddin Hashim seperti sebilangan besar ahli UMNO pada zaman Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad yang 'fro Anwar Ibrahim' tetapi 'memendam perasaan' kerana mereka duduk di bawah kekuasaan Dr. Mahahthir Mohamad yang dianggap oleh kebabanyakan penulis politik sebagai 'ada bayangan Hitler' itu.
Sesiapa jua yang duduk dibawah Dr. Mahathir Mohamad, jika salah langkah akan menerima akibat seperti yang telah menimpa Anwar Ibrahim.
Apabila Anwar Ibrahim disingkir dari UMNO, maka sedikit dari golongan 'fro Anwar Ibrahim' mengikuti jejaknya keluar dari UMNO. Tetapi sebilangan besar, termasuk Nasaruddin Hashim tinggal dalam UMNO dan mereka menjadi 'fro Abdullah Badawi'.
Anwar Ibrahim dan Abdul Badawi dilihat di segi berpendidikan Islam, pegangan falsafah politik dan falsafah 'modal insan', tidak jauh sangat bezanya.
Sebaik-baik sahaja pengumuman peralihan kuasa - jawatan Perdana Menteri yang dipegang oleh Abdullah Badawi berpindah kepada Najib Tun Razak pada Mac nanti, maka mereka dalam golongan 'fro Abdullah Badawi' menjadi gelisah dan ada yang sedang memegang selak pintu untuk keluar dari UMNO dan mengikuti jejak Anwar Ibrahim.
Beberapa orang tokoh UMNO 'fro Abdullah Badawi" memberitahu saya, " ...bila Pak Lah tak lagi memimpin UMNO dan kerajaan, kami fikir lebih baik keluar dari UMNO ..., lebih baik kami jadi penyokong Pak Sheikh (Anwar Ibrahim)."
"Dalam keadaan sekarang, tambah pula dengan politik wang menjadi - jadi di kalangan tokoh - tokoh UMNO, kami fikir lebih baik kami pilih parti politik lain, kalau tak PAS tentulah PKR,"tambah mereka.
Tindakan Nasaruddin Hashim mungkin sama dengan hasrat para penyokong Abdullah Badawi yang mahu mengikuti jejak Anwar Ibrahim.
Berita BERNAMA menyebut, bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, hari ini mendakwa tiga lagi nggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional BN) dijangka menyertai Pakatan Rakyat. Beliau berkata, perbincangan dengan ketiga-tiga Adun terbabit sedang berlangsung dengan Pakatan Rakyat.
“Kita sedang berurusan. Perbincangan mengenainya sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai identiti Adun berkenaan, beliau berkata ketiga-tiga Adun berkenaan ialah dari Umno. “Kami mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam Pakatan Rakyat dan kami terbuka untuk menerima mereka,” katanya.
Semalam, Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, dari BN mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya. Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, Pas dan PKR kini mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.
Perkara itu tidak mustahil akan belaku dari penghujung bulan ini hingga Mac depan.
Saya berpendapat, dalam tepoh tiga kali pilihan raya umum, UMNO Perak tidak akan dapat bangkit untuk menguasai negeri Perak, kerana orang ramai tidak 'anti UMNO', tetapi tidak puas hati dengan para pendukungnya dari peringkat negeri hingga ke cawangan - cawangannya.
(Tamat)

No comments: