Monday, October 4, 2010

BERITA

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menolak dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau telah bersetuju dilantik Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas.

Memberi respons ringkas di laman twitter beliau berkata, sehingga kini beliau tidak pernah memberi sebarang jawapan kepada sesiapa termasuk kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

"Itu kena tanya dia (Muhyiddin), saya belum cakap apa-apa kepada sesiapa pun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan rakan twitternya yang bertanyakan tentang kesahihan kenyataan Muhyiddin.

Ianya berhubung sikap Muhyiddin yang seringkali mencanangkan bahawa Tengku Razaleigh telah bersetuju menjadi pengarah PRK Umno BN Dun Galas.

Sehingga kini, belum ada sebarang pengesahan dibuat Tengku Razaleigh berhubung tawaran Umno itu.

Menurutnya lagi, beliau hanya akan memberi keputusan selepas kembali ke Malaysia 9 Oktober nanti.

"Kepada kawan-kawan, saya belum bagi apa-apa jawapan sama ada ya atau tidak.

"Saya hanya akan jelaskan berhubung kedudukan saya pada Pilihan Raya Kecil Galas selepas apabila saya balik ke Malaysia," katanya lagi yang kini sedang berada di luar negara.

Selain pengarah pilihan raya, nama Tengku Razaleigh juga dicadang oleh Umno sebagai calon bertanding di Dun tersebut.

PAS bagaimanapun melihat cadangan tersebut hanya sebagai usaha menjatuhkan maruah dan karier politik Tengku Razaleigh.

Menurut PAS, Tengku Razaleigh adalah tokoh besar negara mengikut sejarahnya yang hanya sesuai untuk jawatan Perdana Menteri, bukannya Adun pembangkang.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online pada hari ini)

------------------------------

Ulasan dari individu yang kenal Tengku Razaleigh

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

PERJUANGANNYA BERHUJUNG

Tengku Razaleigh Hamzah, ahli Dewan Rakyat Kawasan Gua Musang ( hujung Negeri Kelantan dan ramai Orang Asli), telah lama berjuang dalam UMNO dan Menteri Kewangan pada zaman PM Tun Abdul RAzak. Kemudian kerana perjuangannya, beliau mengdembangkan sayapnya bersama juak - juaknya dalam parti Semangat 46.

UMNO sekarang bukan UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946. UMNO tersebut telah diharamkan oleh Mahkamah Tinggi - Hakim, Harun Hashim. UMNO yang ada sekarang UMNO baru (new Malays political parti), ditubuhkan pada zaman PM Tun Dr. Mahagthir Mohamad.

Kini Tengku Razaleigh Hamzah macam diketepikan oleh semua ahli UMNO baru - dari atas hingga ke bawah. Yang menerima dan menyokong beliau hanya ahli - ahli UMNO Gua Musang sahaja.

Saya amat kenal Tengku Razaleigh Hamzah. Pada masa saya bertugas sebagai wartawan, saya rapat dengan beliau. Saya berpendapat, perjuangan beliau yang berhujung ini, eloklah beliau tinggalkan UMNO baru dan menyertai PAS. Jika beliau menyertai PAS, beliau dapatlah berjuang dalam gerakan umat Islam - Melayu dan rakyat Malaysia.

Jika beliau berada dalam PAS, nama beliau akan dijulang sebagai pemimpin Melayu dan umat Islam. Tetapi kini beliau hanya terkenal sebagai pemimpin segelintir ahli UMNO,orang Melayu dan Orang Asli sahaja.

Mokhtar Petah




No comments: