Monday, October 18, 2010

BERITA

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengambil pengajaran daripada kezaliman pemerintahan Firaun yang zalim.

Perdana Menteri dinasihatkan demikian kerana sanggup mengetepikan tuntutan bonus dua bulan gaji oleh 1.2 juta kakitangan awam walhal dalam masa yang sama bercadang membina bangunan Menara Warisan.

"(Bajet 2011) tidak sanggup berbelanja RM3.1 bilion (bonus sebulan), tetapi kerajaan boleh mengeluarkan RM5 bilion untuk bina bangunan 100 tingkat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pagi tadi di lobi Parlimen.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, rancangan membina menara tersebut seakan mengulangi sejarah Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri membina Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mengutamakan kebajikan rakyat dari membina projek-projek mega yang nyata memberi kepentingan kepada kroni-kroni tertentu.

Lim menyuarakan rasa yakin bahawa kakitangan kerajaan di Pulau Pinang lebih rela menerima bantuan kewangan dari projek mega tersebut.

"Kalau rakyat Pulau Pinang, mereka lebih rela terima RM100 bantuan daripada kerajaan negeri dari terima bangunan 100 tingkat," beliau menambah.

Beliau turut mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Najib itu suatu belanjawan yang tidak mengutamakan rakyat dan pembaziran yang nyata bertentangan dengan Islam.

Jumaat lalu, Najib ketika membentangkan Bajet 2011 mengumumkan kakitangan kerajaan hanya mendapat RM500 Bantuan Khas Kewangan.

Najib sehari kemudian berkata, sekiranya pentadbirannya memberi RM3.1 juta kepada 1.2 juta kakitangan awam, kerajaan akan menanggung perbelanjaan yang lebih besar.

(Berita ini dari Harakah Daily online pada hari ini),



No comments: