SUMPAH DAN MAHKAMAH
Oleh: Mokhtar Petah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Kebangsaan Malaysia mungkin boleh memikul tanggungjawab untuk mencegah setiap orang Islam melakukan sumpah mubahalah atau apa jua jenis sumpah kerana bertujuan untuk membersihkan nama.
Saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya jangan jadikan sumpah mubahalah sebagai satu trend dalam masyarakat elok diterima oleh JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia sebagai panduan untuk kebaikkan.
Perbuatan liwat – benar atau tidak Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meliwat Mohd.Saiful Bukhari Azlan dan pemuda itu diliwat dengan cara paksa atau suka sama suka, adalah perbuatan sama dengan perbuatan zina.
Perbuatan itu dipandang oleh kebanyakan ulama, adalah perbuatan yang lebih buruk dari perbuatan zina, kerana perbuatan itu terlarang dalam agama Islam.
Berdasar kepada Quran, bahawa perbuatan liwat pada zaman Nabi Lutuh a.s. ditegah oleh Allah dan Allah telah menurun bala ke atas mereka yang melakukan perbuatan itu (termasuk penduduk-penduduk) dengan batu panas dan bumi terbakar dan terbongkar.
Allah telah menentukan hudud (undang-undang menghukum) ke atas orang yang berzina (surah An Nur:2), tetapi tiada satu ayat pun dalam Quran, sama ada menyuruh atau mengharuskan orang-orang yang berzina melakukan sumpah mubahalah.
Begitu juga dalam Quran ada hudud (undang-undang menghukum orang yang membunuh) terdapat dalam Quran, tetapi tidak ada satu ayat pun yang menyuruh atau mengharuskan orang yang membunuh melakukan sumpah mubahalah untuk menghapus dosanya.
Perbuatan Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersumpah menjunjung Quran dalam Masjid Bandaraya dan perbuatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dua kali bersumpah dengan nama Allah mesti pandang serius oleh JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.
Perbuatan bersumpah demikian jika dibiarkan – tidak ditegah, akan menjadi trend atau budaya orang Islam di negara ini dan akan menjadikan Mahkamah Syariah tidak berdaya atau tidak berfungsi.
Sumpah mubahalah tidak dapat membersihkan diri seseorang yang melakukan perbuatan jenayah atau di sebut hudud. Untuk membersihkan nama seseorang yang melakukan perbuatan tersebut hanyalah melalui mahkamah.
Perbuatan Najib Tun Razak bersumpah dengan nama Allah untuk membersihkan diri, oleh kerana beliau pemimpin berkuasa atas rakyat dan negara, maka sumpah itu tidak sahaja mengakibatkan dirinya di laknat oleh Allah bahkan rakyat jelata pun akan menerima sama.
Kita tidak tahu sama ada Najib Tun Razak benar atau tidak, hanya beliau yang mengetahui, jika benar beliau melakukannya dan Allah Maha Mengetahui, maka jika Allah melaknat ke atas beliau dengan menurunkan bala, umpamanya ribut taufan, kemarau, bumi terbongkar dan sebagainya, maka anak isteri beliau dan rakyat jelata menerima sama.
Saya perhatikan, sumpah yang dilakukan oleh Najib Tun Razak dalam masjid di Permatang Pauh tidak lengkap, kerana beliau hanya mengucapkan “saya tidak kenal perempuan Monggolia”, beliau tidak sebut nama perempuan itu.
Najib telah melakukan dua kali sumpah. Sumpal awal dalam perhimpunan UMNO, di Kuala Lumpur.
Sepatutnya, sebelum melakukan sumpah, lebih dahulu Najib Tun Razak bertanya kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang alim ilmu agama Islam, Mufti atau para ulama dalam JAKIM.
Sekarang ini setiap orang Islam menyimpan rasa khuatir secara diam, kerana Najib Tun Razak akan memegang jawatan Perdana Menteri pada 2010, maka apa akan berlaku kepada rakyat kalau ditakdirkan Allah melaksanakan hukumannya.
Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., kerana orang Islam faham akan hukum hakam Islam, kukuh iman dan takut kepada dosa, maka setiap mereka melakukan perbuatan zina atau membunuh orang, mereka datang sendiri kepada Nabi Muhammad s.a.w . atau para penguasa lain dan mengaku kesalahan mereka.
Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjawatan menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal Islam di negara ini (tidak menyentuh kuasa Sultan atau Raja) dan para mufti serta ulama dalam JAKIM telah memikul tanggungjawab kerana mereka tidak menasihati Datuk Najib Tun Razak dan Mohd. Zaiful Bukhari Azlan.
Pihak Masjid Bandaraya Kuala Lumpur yang menerima Mohd. Saiful Bukhari Azlan melakukan sumpah boleh dipersalahkan.
Siapa pun menyanjung Anwar Ibrahim yang tidak mahu bersumpah, kerana dia menghormati undang-undang dan mahkamah syariah atau mahkamah lain.
No comments:
Post a Comment