Wednesday, September 22, 2010

BERITA


Cek RM4 bilion: Kelantan senarai hitam l’DA World
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 22 Sept: Kerajaan Kelantan akan menyenaraihitamkan sebuah syarikat yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu berikutan pengumuman sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan negeri atau parti juga tidak pernah melantik Nik Din Nik Mat, yang juga adiknya mewakili beliau menerima replica cek berjumlah RM4 bilion pada majlis makan malam baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di sini sebentar tadi.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

“Saya tak hantar langsung wakil saya untuk menerima cek, malah media yang mendakwa penerima itu adalah wakil saya, karut belaka,” ujarnya.

Kerana itu, katanya syarikat berkenaan akan disenaraihitamkan.

Beliau bagaimanapun mengakui pemilik syarikat terbabit ada bertemu dengannya di rumah dan pejabat, namun ianya tidak membincangkan pasal perlantikan wakilnya hadir pada majlis itu nanti.

Dua malam lalu, syarikat I’DA World telah mengumumkan sumbangan RM4 billion kepada PAS Kelantan pada majlis makan malamnya yang diadakan disebuah hotel.

Replika cek berkenaan disampaikan oleh pengerusi eksekutif syarikat terbabit, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Nik Din yang juga adinda Tuan Guru.

Bagaimanapun, semalam Nik Din menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Katanya, kehadiran beliau hanya memenuhi jemputan peribadi dari syarikat tersebut.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa ketika ditemui memberitahu tindakan syarikat terbabit boleh menjejaskan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut khususnya berhubung motif perkara itu.

“Ianya akan menjejaskan parti dan kerajaan. Kita semua tak hadir pada majlis itu sebab memang tak pernah bincangpun,” ujarnya.

-----------------------

Cek RM4 bilion: PAS anggap propaganda jahat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Sept: PAS Pusat menyifatkan tindakan penyebaran gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan sebagai satu propaganda jahat memusnahkan nama baik PAS.

Selain menafikan PAS menerima cek itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub juga menyeru ahli PAS berhati-hati dengan isu yang cuba mengaitkan PAS tersebut.

"Kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS.

"Sehubungan itu, saya menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana jelas cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar selam yang mendakwa Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) memberi sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan dalam satu majlis makan malam di Kota Bharu.

Replika cek tersebut diserahkan kepada adinda Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat.

Nik Din semalam bagaimanapun menjelaskan beliau ke majlis itu atas kapasiti peribadi dan menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Dalam pada itu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengumumkan bahawa kerajan negeri akan menyenaraihitamkan syarikat tersebut yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu.

Beliau juga menafikan bahawa parti pernah melantik Nik Din mewakili beliau menerima replica cek tersebut.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

(Berita ini diambil dari Harakan Daily online pada petang ini)


No comments: