Monday, March 22, 2010

BERITA

Apco Worldwide: PAS cadang hantar memo kepada Raja-Raja
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mencadangkan agar Ahi Parlimen PR menghantar memorandum khas kepada Majlis Raja-Raja Melayu meminta satu siasatan dijalankan ke atas penglibatan Apco Worldwide dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Beliau turut mempersoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil Apco sebagai penasihat kepada pentadbiran negara.

"Saya mencadangkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menghantar memorandum khas kepada Majlis Raja-Raja Melayu meminta Majlis Raja-Raja Melayu meneliti perkara ini.

"Kenapa kerajaan perlu mengambil khidmat syarikat antarabangsa yang terlibat dengan rejim zionis, sedangkan banyak lagi syarikat antarabangsa mahupun tempatan yang boleh menjadi jururunding," katanya yang juga Naib Presiden PAS pada sidang media di lobi Parlimen tengah hari ini.

Anwar sebelum ini, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan ‘One Israel'.


-------------


Pelancong ke Kelantan boleh ikuti kelas agama

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 17 Mac: Ketika mengunjungi Kelantan anda bukan sekadar dapat membeli barangan berharga murah dan menikmati pelbagai jenis makanan, sebaliknya berpeluang mengikuti pengajian ilmu agama.

Pelancong berpeluang mempelajari ilmu agama termasuk di Pondok Pasir Tumbuh.

Bagi mereka yang datang pagi Jumaat peluang mengikuti kuliah agama disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula jam 9.30 pagi di Medan Ilmu, Jalan Datuk Pati.

Sejam sebelum itu kuliah agama disampaikan secara bergilir-gilir pengkuliah jemputan terutamanya pemimpin politik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, mulai tahun lepas kerajaan negeri memperkenalkan program melawat pondok sempena musim cuti persekolahan.

“Bermula cuti sekolah tahun lalu kerajaan negeri memberi peluang kepada pelancong mempelajari ilmu agama di pondok-pondok yang banyak terdapat di Kelantan,” katanya ketika meraikan rombongan pelawat dari Pulau Pinang, baru-baru ini.

Seramai 70 orang rombongan Dewan Pemuda PAS dan Nisa’ Pulau Pinang mengunjungi Kelantan baru-baru ini. Program itu dikenali ‘Jom Gi Kelate’ sempena Rehlah 2010.

Abdul Fattah berkata, pelancong berpeluang mencari ilmu agama dengan mengikuti kelas-kelas agama di beberapa pondok di negeri ini.

“Di tempat tuan-tuan mungkin tiada sistem pembelajaran begini, namun Insya-Allah di Kelantan banyak perkara dapat dimanfaatkan ketika berkunjung ke sini,” ujarnya.

Ketua rombongan terbabit, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, tujuan lawatan berkenaan untuk mendapatkan maklumat berhubung pendidikan Islam di Kelantan.

Sepanjang dua hari berada di Kelantan mereka mengunjungi Pondok Pasir Tumbuh dan pejabat Yayasan Islam Kelantan (Yik).

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 22 Mac 2010)





No comments: