Friday, August 1, 2008

RAJA DAN POLITIK

Sosio-Demokrasi Ancam Kedaulatan

Oleh: Mokhtar Petah

“Raja menjadi sumber rujukan ketika berlakunya krisis di kalangan rakyat. Raja memastikan bahawa berlaku secara adil mekanisme semak dan imbang antara cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman sekaligus memperkukuhkan institusi demokrasi dalam negara,” titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah.

“Namun , Raja tidak harus sama sekali merasa tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan jika nasihat yang disembah bercanggah semangat perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat,” titah Baginda.

Baginda menjelaskan, bahawa Raja secara mutlak tidak boleh memihak kepada amalan yang tidak melambangkan keadilan atau membenarkan sebarang tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran.

“Adalah menjadi tanggungjawab Raja memerhati, mengawasi dan memiliki kekuatan untuk menegur para pentadbir agar mengurus tadbir negara dan melaksanakan tanggungjawab secara amanah, ikhlas, bersungguh dan komited.

“Tanggungjawab Raja untuk memastikan kestabilan kerajaan, memajukan kemakmuran negara dan menjamin kesejahteraan warga.

“Setelah lebih 50 tahun negara merdeka, Raja-Raja telah mencapai satu tahap kematangan dan memahami peranan terutamanya ketika negara menghadapi krisis.

“ Pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa.

“Amalan kesaksamaan kepada rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa adalah sebahagian daripada sifat dan citra Raja Melayu,” titak Raja Nazrin Shah.

Baginda telah bertitah dalam majlis syarahan umum bertajuk Institusi Beraja di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kuala Lumpur pada 21 Julai 2008.

Saya tertarik akan titah Baginda itu, terutama tentang titah Baginda, bahawa Raja-Raja Melayu hendak menjauhkan diri dari menjadi instrumen atau alat oleh mana-mana pihak dalam persaingan mendapatkan kuasa politik.

Dan Baginda memperakui, bahawa sistem Raja berpelembagaan di negara ini sebagai perkongsian kuasa antara Raja dengan Rakyat.

Saya melihat, dari titah Raja Nazrin itu, dapat dibawa kepada pengertian dari sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar dan Imam Bukhari, iaitu “setiap pemimpin itu bertanggungjawab atas kepemimpinannya.”

Dalam menghadapi perubahan zaman dan suasana rakyat di negeri–negeri di negara ini, semua Raja Melayu perlulah merenung dan menghayati dengan ‘sedar dan insaf’ akan titah Tan Sri Raja Azlan Shah (pada ketika berjawatan Ketua Hakim Negara) seperti berikut ini:

“Sejarah telah menunjukkan, bahawa di setengah-setengah negara, takhta telah dialihkan dari istana dan ditempatkan di muzium untuk dijadikan bahan sejarah budaya. Pada awal abad kesembilan belas,ada lebih dari 900 buah takhta dalam dunia ini, tetapi bilangan ini telah turun satu demi satu – kepada 240 buah dalam abad kedua puluhan, dan pada hari ini – pada dekad kelapan abad kedua puluh – hanya terdapat sebanyak 40 buah takhta sahaja.

Takhta Merak Kayangan di Iran telah dialih dari istana ke muzium sejarah kerana rakyat Iran tidak lagi memberi kepercayaan dan taat setia kepada takhta, kononnya takhta Merak Pahlavi telah melebihi kuasa yang ada padanya.

Sejarah telah menunjukkan, bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat. Sebenarnya, penasihat-penasihat istana ini terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek.

... apabila keadaan ini berlaku, lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat.

... walau berapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekalipun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni budaya.”

(lihat: Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu, oleh: Mokhtar Petah).

Pada masa ini rakyat di negeri-negeri dan di seluruh negara, terutama orang Melayu dan umat Islam menyanjung dan memuliakan Raja mereka. Mereka taat kerana kedudukan Raja seperti titah Raja Muda Perak di atas.

Dalam keadaan sekarang, Raja-Raja Melayu mestilah menjenguk ke luar jendela istana atau keluar bermesra dengan rakyat jelata. Mengambil tahu akan sambal berlada dan warga kampung dan desa yang miskin memakannya dengan telunjuk berdiri.

Begitu juga, Raja-Raja Melayu yang telah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu di negeri masing-masing dan negara, walaupun tidak boleh mencampuri urusan politik, tetapi mereka perlu meneliti politik yang sedang berlegar di negara kita ini. Ada di antara aliran politik yang boleh merosakkan bangsa Melayu, adat istiadat Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam.

Politik yang beraliran nasionalisme dan Islamisme tidak akan menggugat takhta di istana-istana, tetapi politik yang beraliran sosialis atau sosio-demokrasi menjadi ancaman dan menggugat apa yang kita pertahankan itu.

Majlis Raja-Raja Melayu perlu mengkaji aliran politik yang sedang dibawa oleh parti-politik di negara kita ini. Ada sebuah dua parti politik, memang telah memegang kekuasaan di negeri-negeri, sedang mnengamalkan sosio-demokrasi seperti yang diamalkan oleh parti politik yang memerintah republik Singapura pada masa ini.

Aliran politik yang bersifat serpihan dari komunisme atau berasal dari mahagurunya, Karl Marx, memanglah menentang ketuhanan, Raja, rupa bangsa dan adat istiadat satu-satu bangsa.

Mungkin Raja-Raja Melayu sedar, aliran politik demikian sedang mengancam mereka. Pada masa yang tidak lama lagi jika mereka berkuasa di seluruh negara, maka akan berlakulah seperti titah Sultan Azlan Shah di atas ini.

Dalam menghadapi keadaan yang mengancam itu, Majlis Raja-Raja Melayu dengan kerajaan sama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, menentukan kedudukan parti-parti politik di negara ini yang dibenarkan wujud dan boleh memerintah. Selain dari parti politik yang berdasarkan nasional dan Islam, tidak dibenarkan wujud dan memerintah.

Mungkin, ruang demokrasi yang kita gunakan membenarkan kewujudan parti–parti politik yang menganut berbagai dasar, seperti amalan demokrasi di England, tetapi kita harus sedar, negara kita berbeza dari England. Di negara kita wujud berbagai bangsa, menganut berbagai fahaman (mungkin ada yang berfahaman komunisme).

Sebagai renungan, hari ini telah wujud di kalangan parti politik tertentu mengamalkan semangat sosio-demokrasi, anti Melayu dan perpaduan umat Islam. Apabila hal ini berlaku dengan meluas, maka ia sudah pasti akan menjadi ancaman kepada takhta.

Sekarang, mereka yang menganut sosio-demokrasi - walau pun mereka tidak bertujuan tidak baik -, mengikut ilmu politik, akan berlaku perubahan mendadak di negara ini jika mereka berkuasa.

Orang Melayu dan Raja-Raja Melayu laksana sepohon pokok mengkudu dan mereka yang menganut sosio-demokrasi ibarat pokok rambung atau jerai yang menumpang pada pokok itu. Lama kelamaan pokok mengkudu itu mati dek besarnya rambung atau jerai di atasnya.

Apa diharap pada mengkudu,

Rambung juga dipandang orang,

Apa diharapkan pada Melayu,

Hidup murung dijajah orang.

Akhirnya, saya menyeru Raja-Raja Melayu supaya merenung ke luar jendela, bahawa ancaman kepada takhta bukanlah dengan meriam dan peluru, tetapi dengan pensel dan kertas undi. Kalau jumlah kertas undi dari pengundi yang menganut sosio-demokrasi lebih banyak dari kertas undi lain, maka alamatnya ancaman itu hampir tiba kepada takhta Raja Melayu.(mp).

1 comment:

infogue said...

artikel anda :

http://politik.infogue.com/
http://politik.infogue.com/raja_dan_politik

promosikan artikel anda di www.infogue.com dan jadikan artikel anda yang terbaik dan terpopuler menurut pembaca.salam blogger!!!