Friday, August 1, 2008

Lesung Batu



CINTA ANAK KAWIN EMAK

Cerita ini telah berlaku dalam daerah Kinta, Perak. Pada zaman Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein, ada seorang pemuda, Jamal bin Abu, bekerja penyelia kelas dewasa. Dia bercinta dengan seorang gadis cantik lagi menggiurkan, bekerja sebagai guru sekolah kebangsaan, namanya Norlian binti Adnan.

Nurlian tinggal bersama ibunya, Saudah binti Harun. Janda. Usianya telah mencapai lima puluh tahun. Tetapi masih melaram. Di tempatnya, dia terkenal seorang janda pandai ilmu guna-guna atau ilmu pengasih.

Jamal memakai kenderaan – motorsikal, jenis Lambreta, warna merah. Dengan motosikal itulah Jamal membawa kekasihnya pada tiap-tiap petang ke bandar Ipoh. Mereka makan-makan di pasar bulat atau gerai banyak lalat dekat hospital besar.

Dua kekasih itu ibarat sepasang belangkas.siang nampak mereka. Malam pun nampak mereka. Macam dunia ini milik mereka cuma.

Sebagai penyelia kelas dewasa, sebagai pelengkap diri, Jamal menjadi penggiat politik dan pengampu pemimpin politik di tempatnya. Kalau dia tidak berbuat begitu, dirinya akan berkeadaan seperti telur di hujung tanduk dengan jawatannya.

“Jadi oghang politik ni, abang Jamal, kena pandai mengampu ..., pandai kipas semawar ...,”Nurlian berkata kepada kekasihnya.

“Mana nak buatnye, Yan, dah jadi oghang politik ...,” sambut Jamal.

Cikgu Nurlian mencintai Jamal macam burung gagak sayangkan pokok bongor berbunga ungu. Nak diharapkan buah tak akan ada. Sementara menunggu habuan, bangkai atau najis, baik menumpang hinggap pada pokok bongor.

Ibu Nurlian sayangkan Jamal. Mulanya dia sayang sebagai seorang ibu kepada bakal menantunya. Tetapi beberapa bulan kemudian sayangnya berubah kepada sayang seorang janda kepada kekasih muda. Dia bersedia merebut Jamal dari anak kesayangannya.

“Emak nak abang Jamal tu, tak apa, emak ambilla, Yan bukan sayang sangat,”kata Nurlian kepada ibunya.

“Dah tu, kamu macam mana?” ibunya bertanya.

“Yan ada oghang lain,”jawab Nurlian.

Pada satu hari, Saudah menjemput Jamal makan di rumahnya.

“Jamal tak pernah makan sambal dalam lesung batu ...,”kata Saudah kepada Jamal.

“Ha, makan dalam lesung batu tu?” Jamal bertanya. Hairan.

“Ia, sambal belacan asam belimbing besi bakar, sedap makan dalam lesung batu,”jawab Saudah.

Pada hari itu, Saudah menjampi menteranya pada buah belimbing besi dan cili api yang akan ditumbuk dalam lesung batu tua hitam beranak hitam jua. Mulut Saudah berkumat kamit. Hanya terdengar dia menyebut:

“ Terentak terenting atas batu,

Terberak terkencing ingatkan aku.”

Saudah memacakkan harapannya; mudah-mudahan dia dan Jamal akan ‘kasih memanjang’ laksana lesung batu dengan anaknya. Di mana ada lesung batu, di situ ada anaknya. Berpisah tidak berjauh jangan.

Pada hari itu Saudah dan Jamal makan tengah hari berduaan sahaja. Mereka makan nasi berlaukkan ikan keli bakar, rendang pedas ayam kampung, gulai lemak jeruk maman dengan ikam puyu dan sambal belacan dalam lesung berulamkan petai mentah.

“Sedap makan sambal dalam lesung ni, mak wan,”kata Jamal sambil menambahkan nasi ke dalam pinggannya.

“Mana tak sedapnya, lesung tua ..., anak batu pun tua ..., yang muda cabai bughung dengan asam belimbing besi,” sahut Saudah. Senyum menampakkan giginya yang sebatang tersangkut pada gusinya.

“ ...ni la kata orang, garam di laut, asam di darat ...,” sambut Jamal.

“Iaaa, dalam lesung batu ni, diame tu bertemu ...,”Sambut Saudah. Geli geleman.

Nurlian tidak makan bersama mereka. Dia terpaksa mengikuti kursus sehari di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh. Pada waktu dalam majlis kursus itu, Nurlian telah dapat membayangkan bagaimana keadaan ibunya dengan Jamal. Dia yakin amat, Jamal telah jatuh asyik kepada ibunya.

Sejak hari itu, perasaan cinta Jamal kepada Nurlian beransur kabur. Saudah yang telah tua itu telah mengganti tempat Nulian. Bagi Jamal, Saudah lebih cantik dan lebih menawan berbanding dengan Nurlian.

Lima bulan kemudian, dalam satu majlis kecil di rumah Nurlian, bekas kekasihnya, Jamal telah diakad nikahkan oleh naib kadi di tempatnya. Jamal ahli politik kampung telah menjadi bapa tiri kepada bekas kekasihnya, Nurlian.

Tiga bulan kemudian Nurlian telah berkahwin dengan Cikgu Hashim, Guru Penolong Kanan, Sekolah Menengah, Ipoh. Nurlian bermadu dengan Cikgu Maimon Kadri. Guru lepasan Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka itu, telah ada lima orang anak.

Dua bulan kemudian, Saudah menjadi janda lagi. Janda kali yang ketujuh. Suaminya yang baru, Jamal, telah meninggal dunia pada waktu nyenyak tidur di sisinya.

(Mokhtar Petah).

No comments: