Thursday, July 3, 2008

WAN AZIZAH SEDIH

ABDULLAH BADAWI HIBA


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menyatakan rasa syukur apabila hasratnya untuk bertemu Perdana Menteri bagi menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan suaminya dalam berhadapan siasatan kes liwat, tercapai.


Menurut Wan Azizah, dalam pertemuan yang berlansung kira-kira 20 minit itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja telah mendengar tetapi juga menyatakan bukan sahaja telah mendengar tetapi juga menyatakan simpati dan memahami perasaan beliau sekeluarga.


Katanya, pertemuan yang turut dihadiri Nurul Izzah itu digunakannya bagi memohon kepada Perdana Menteri agar siasatan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilakukan secara profesional termasuk memastikan kejadian suaminya dilebamkan mata ketika siasatan pada tahun 1998 tidak berulang lagi.


“Justeru, beliau (Abdullah) memberi jaminan episod tersebut tidak akan berulang dalam pemerintahan beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perrtemuan dengan Abdullah di bangunan Parlimen di sini hari ini.

(Utusan Malaysia, 2 Julai 2008).


Sesiapa yang arif tentulah simpati dengan kesedihan yang ditanggung oleh seorang isteri dan ibu yang kini tokoh penting negara ini, menghadapi tindak tanduk manusia ke atas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Wan Azizah dan suaminya Anwar Ibrahim adalah dua tokoh penting dalam sejarah Alam Melayu.


Pertemuan Wan Azizah dan puterinya, Nur Izzah dengan Abdullah Ahmad Badawi, adalah pertemuan antara hamba Allah yang tersiksa dan hamba Allah yang memegang kuasa kerajaan, maka jaminan yang diberi oleh Perdana Menteri itu adalah satu amanah yang menjamin Wan Azizah dan keluarganya dapat menunaikan solat lima waktu dengan hati yang khusyuk.


Anwar Ibrahim sekeluarga tentulah amat arif akan firman Allah ini, Bukankah Allah itu paling bijaksana dari segala hakim?. Dalam meniti derita kerana tindakan manusia, yang ada pada mereka hanya bersabar dengan keyakinan:


Sesungguhnya bersama kesulitan (datang) keringanan (kelapangan).

(Al Insyirah: 6).


Allah telah mentakdirkan Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi laksana ‘air dicincang tidak akan putus’. Bukan Anwar Ibrahim dengan Abdullah Badawi sahaja, bahkan datuk dan bapa kepada Abdullah Badawi dengan bapa Wan Azizah dan bapa mertuanya ada hubungan yang baik silaturrahim.


Bapa Anwar Ibrahim yang giat dalam arena politik UMNO adalah rakan seperjuangan Haji Ahmad Badawi. Manakala bapa Azizah, Wan Ismail adalah rakan karib Abdullah Badawi pada masa negara berada dalam keadaan darurat 1969. Wan Ismail bertanggungjawab atas keselamatan negara. Abdullah Badawi Setiausaha kepada Majlis Tindakan Negara.


Majlis Tindakan Negara 1971, Abdullah Badawi berdiri paling kiri.

Gambar : Arkib Negara Malaysia.


Bapa saudara Anwar Ibrahim, Allahyarham Haji Sulaiman Palestin, calon Perikatan yang kalah di tangan calon PAS, Haji Ahmad Tuan Hussein dalam kawasan Kerian, Perak, pada pilihan raya federal pada tahun 1955 adalah amat rapat dengan Sheikh Abdullah Fahim dan Dato Haji Ahmad Badawi.


Keakraban Abdullah Badawi dengan bapa Wan Azizah telah melalui satu babak ‘laksana cerita cowboy’, iaitu pada hari-hari Anwar Ibrahim bernikah dengan Wan Azizah menggunakan wali hakim, di Permatang Pauh, Pulau Pinang.


Apabila Wan Ismail menolak lamaran Anwar Ibrahim ke atas Wan Azizah (Anwar penuntut nakal berdemostarsi di Baling, Kedah dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur), maka dengan pertolongan pegawai di Pusat Islam, Ustaz Ahmad Awang (kini Pesuruhjaya PAS Negeri Perak), Wan Azizah di bawa ke Permatang Pauh untuk menikah menggunakan wali hakim setelah Wan Ismail ingkar menikahkan Wan Azizah dengan Anwar Ibrahim.


Wan Azizah Wan Ismail.

Gambar: Utusan Malaysia.


Kadi Pulau Pinang, Dato Harun Sani Zakaria (kini Mufti Kerajaan Negeri Perak) telah melakukan akad nikah ke atas Anwar Ibrahim. Maka dua orang dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu menjadi pasangan suami isteri.


Menurut cerita Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negara, Fatah Haji Ahmad, bahawa pada keesokan harinya Wan Ismail telah datang ke Kepala Batas dan bertemu dengan Abdullah Badawi.


Wan Ismail telah membawa sepucuk pistol berisi enam biji peluru. Dia memberitahu Abdullah Badawi, bahawa dia telah nekad hendak pergi ke Permatang Pauh dan hendak menembak menantunya sampai mati.


Kerana kawan karib dan untuk mengelakkan perbuatan dilarang oleh Allah dan menyalahi undang-undang negara, Abdullah Badawi telah menasihati Wan Ismail dalam masjid Al Badawi, Kepala Batas.


Sambil menasihati Wan Ismail, Abdullah Badawi telah mengeluarkan enam biji peluru dari pistol Wan Ismail. Abdullah Badawi menasihati Wan Ismail dan Allah melembutkan hatinya. Maka menantu bapa, Anwar Ibrahim selamat dari dimamah peluru bapa mertuanya.


Kalau Dr. Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri, Anwar Ibrahim masih belum bebas. Perdana Menteri, Abdullah Badawi yang tidak mengongkong para hakim, dengan kerelaannya dan keadilan yang disanjung oleh para hakim yang bebas dari kongkongan, maka Anwar Ibrahim telah bebas dari The Iron College nya.


Setelah keluar dari The Iron Collegenya, pada hari raya Aidilfitri berikutnya, Anwar Ibrahim dan Wan Azizah telah beraya dengan Abdullah Badawi dan isterinya Endon Mahmood dalam sebuah bilik dewan besar, di kepala Batas.


Pada hari Selasa lalu, puteri Wan Ismail telah datang menemui Abdullah Badawi meminta memberi keadilan dan keselamatan kepada suaminya, Anwar Ibrahim.


Wan,


Betapa kasih Wan pada suami,


Betapa kasih Anwar pada negara,


Betapa kalian kasihkan kami,


Abdullah Badawi arif orangnya,


Kami simpati seikhlas hati,


Allah Maha Mengetahui,


Maha Adil.


(mokhtarpetah.blogspot.com)

No comments: