Thursday, July 24, 2008

NAJIB BERSUMPAH

Oleh: Petah Shahrir Aidid

GUANG MING (26-6-2008)


Hadis Nabi Muhammad s.a.w.:Barang siapa yang bersumpah, hendaklah bersumpah dengan nama Allah atau hendaklah diam sahaja.

(perawi: Abdullah dan Imam Bukhari.)

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersumpah dengan nama Allah kerana menolak tohmahan, tuduhan atau fitnah dari kalangan tertentu yang beliau ada hubungan dengan janda beranak satu dari Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Najib telah bersumpah dengan melafazkan Wallah, wabillah dan Watallahi dalam Perhimpunan UMNO, di Bangunan UMNO, Kuala Lumpur, pada 10 Julai 2008 lalu.

Seperti yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 13 Julai 2008, Najib telah berkata:

“Pada masa ini pun saya dijadikan sasaran parti pembangkang. Ini kerana pada fikiran mereka, saya harus menjadi sasaran utama sebab ikut pada tradisi UMNO, Timbalan Presiden menjadi Presiden apabila tiba masanya.

Jadi mereka hendak buat tanggapan sedemikian. Mereka telah melemparkan segala-gala fitnah sejak pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok lagi. Jadi tidak ada benda yang aneh atau luar biasa.

Tak apalah, itu asam garam dalam politik, apa-apa jawatan yang kita pegang pun ada cabaran. Lagi tinggi kita pegang jawatan lagi banyak cabaran. Kita kena hadapi. Kalau kita di pihak yang benar apa yang kita takutkan? Kalau kita buat salah barulah kita takut.

Itu yang dilakukan oleh parti lawan. Apabila mereka menyerang secara berterus lama kelamaan kalau sesuatu yang tidak benar atau pembohongan atau fitnah diulang beberapa kali akhirnya sama ada ia akan menjadi kebenaran atau sekurang-kurangnya ia akan menimbulkan satu kesangsian.

Dalam politik, persepsi lebih penting daripada kebenaran atau hakikat sebenarnya. Saya sedar permainan ini dan saya menghadapinya. Atas sebab itulah saya telah menjelaskan, bahawa saya tidak terlibat sama sekali dengan kes Altantuya Shaariibuu.

Malah saya bersumpah semalam (Khamis 10 Julai 2008) dengan melafazkan Wallah Wabillah dan watallahi bahawa saya sama sekali tidak mengenali perempuan Altantuya itu.

Tidak ada sumpah yang lebih tinggi. Pada orang Islam itulah yang paling utama sekali dan perwakilan yang hadir bertepuk kuat apabila saya lafaz sumpah tersebut.

Ada yang bertakbir. Jadi itulah yang boleh saya lakukan sebagai seorang Islam.”

Pengakuan terbuka dengan sumpah oleh Najib Tun Razak itu telah memantap keyakinan semua ahli UMNO – Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO, bahawa orang luar yang membuat tuduhan itu sengaja hendak memburuk-burukkan nama bakal Perdana Menteri pada 2010 nanti.

Oleh kerana kita berada dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, agama dan kepercayaan; sumpah Najib Tun Razak itu dapat diyakini oleh orang Islam tetapi bagi mereka yang beragama lain dan tidak beragama sumpah demikian sukar mereka percayainya.

Sebagai pemimpin Najib Tun Razak tentulah sedar, bahawa kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya yang lalu dan akan datang bergantung kepada setiap individu rakyat yang menganut agama Islam, agama-agama lain dan tidak beragama; mungkin ada menganut komunisme dan sosialisme. Maka mereka itulah yang sukar mempercayai sumpah dan dari mereka sukar mendapat mata undi.

Kehilangan mata undi bagi Barisan Nasional dan UMNO itulah amat kita takut pada pilihan raya ke- 13 nanti.

Jalan yang paling baik, Najib Tun Razak berusaha menanam keyakinan rakyat dan para pengundi yang tidak beragama Islam, hanyalah dengan mengadakan pembersihan melalui mahkamah, misalnya bersumpah cara atau amalan di negara kita.

No comments: