Tuesday, February 8, 2011

MENGENANG MASA SILAM






SPY JEPUN

Sebaik-baik sahaja bapaku dan aku tiba di rumah, datuk dan nenekku telah berhimpun di halaman rumah mereka bersama kaum kerabat mereka dan orang-orang kampung. Mereka sedang menunggu bapaku pulang dari mengambil aku di sekolah. Setelah aku selesai makan nasi yang dihidangkan olebh ibuku dan orang-orang yang berkumpul itu telah bersedia berangkat, maka bapaku telah azan di halaman rumah datukku kerana hendak memulakan langkah masing-masing sebagai orang-orang pelarian perang ke dalam rimba, di kaki banjaran Gunung Bintang Hijau yang terletak kira-kira empat kilometer jauhnya, di belakang kampung kami.Banjaran gunung itu memanjang dari belakang daerah Kuala Kangsar ke daerah Hulu Perak.
Datukku telah berpesan kepada mereka yang akan menyertainya berhijrah ke kaki banjaran Gunung Bintang Hijau itu, iaitu walau dalam apa jua keadaan, mereka mestilah bersatu dan tidak menjauhkan diri daripadanya. Dia telah memberitahu, bahawa guru agama, Lebai Salleh akan menyertai kami dan tinggal dalam rumah panjang di kaki banjaran gunung tersebut.
Rumah panjang yang boleh menempatkan kira-kira dua puluh keluarga itu, telah didirikan oleh orang-orang kampung dengan cara bergotong-royong, kira-kira seminggu sebelum kami berhijrah ke sana.
MEREBUT SUAMI

Datukku mempunyai dua orang isteri. Isteri tuanya, Hajah Halimah (nenekku) dan isteri mudanya, Maimunah. Dua perempuan bermadu itu tidak pernah berkelahi merebut suami. Mereka berkeadaan orang dua beradik. Maimunah tidak mempunyai anak dengan datukku.
Rombongan kami kira-kira dua belas keluarga. Guru agama, Lebai Salleh mempunyai seorang anak lelaki bernama Abdul Hamid (Hamid kepala besar) yang berusia enam belas tahun. Beberapa orang lelaki yang gagah telah mengusung Abdul Hamid, ke rumah panjang, di kaki banjaran Gunung Bintang Hijau itu.
Rumah panjang itu terletak dekat sebatang anak sungai, iaitu Sungai Busuk namanya. Rumah panjang itu tingginya kira-kira dua meter dari bumi, bertiangkan kayu-kayu rimba, berdindingkan daun-daun bertam, lantai buluh, iaitu buluh minyak yang telah dibelah-belah dan tangga-tangganya dari kayu rimba juga.
BUNYI MERIAM
Rombongan kami telah tiba di rumah panjang itu kira-kira jam 5.00 petang. Adikku, Ghazali sangat nakal. Dia suka bermain dalam sungai Busuk di hadapan rumah panjang itu. Seorang lelaki Jawa, Wak Lamat yang menjadi siak surau di kampung kami suka melayan adikku.
Kira-kira jam 7.00 malam, di sekitar kampungku telah digegar oleh bunyi meriam atau mortar yang telah ditembakkan oleh askar-askar British dari sebuah jambatan yang merentangi Sungai Busuk di antara kampungku dengan kampung Changkat Duku. Bunyi peluru-peluru mortar yang meluncur di ruang udara seperti bunyi angin puting beliung dan cahaya api pada peluru-peluru itu telah menerangi sekitar kampung dan rimba, di sana. Askar-askar British dan Australia itu telah menembakkan mortar itu ke arah banjaran gunung Bintang Hijau. Mereka itu sedang bertahan di jambatan itu supaya askar-askar Jepun tidak dapat menggunakan jambatan tersebut untuk mara ke kawasan Kuala Kangsar.
Tembakan mortar itu tidak berhenti-henti sepanjang malam dan sampai ke pagi keesokkannya. Dalam peperangan dalam kawasan hutan tropika, orang-orang Inggeris termasuk Australia tidak mempunyai kepandaian seperti yang ada pada orang-orang Jepun dan bangsa-bangsa di Asia.
AKIBAT PERANG
Guru agama, Lebai Salleh telah memimpin orang-orang lelaki di rumah panjang itu membaca ’Yasin’ pada sebelah malam. Pada tiap-tiap lepas sembahyang fardhu mereka telah berdoa kepada Allah memohon dijauhkan kami dari kebinasaan akibat perang.
Pada pagi pertama kami tinggal di rumah panjang itu, bapaku bersama Wak Lamat dan beberapa orang lagi telah pergi menghendap askar-askar British dan Australia di Jambatan Changkat Duku. Mereka telah lari lintang pukang kerana ditembak oleh askar-askar tersebut.
Pada malam kedua kami tinggal dalam rumah panjang itu, kira-kira jam 10.00 malam dan hujan turun renyai-renyai, tiba-tiba kami telah terdengar bunyi seperti sekumpulan kerbau merempuh dan meredah hutan di belakang rumah panjang itu. Semua pelarian menunggu dengan waspada dari sebarang kemungkinan yang akan berlaku nanti.
PUNDUT PELURU
Bau serai wangi harum semerbak dan telah mengharumkan sekitar rumah panjang kami. Sebentar kemudian, dari dalam semak di belakang rumah panjang itu kami telah mendengar suara orang lelaki memberi salam. Bapaku dan orang-orang lain telah menyambut ucapan salam dari lelaki yang tidak kelihatan dalam gelap malam itu.
Seorang pegawai askar Jepun dengan topi besar yang diselimutkan dengan dedaun kayu telah berdiri dalam hujan di hadapan datuk, bapaku dan orang-orang lelaki pelarian itu. Di belakangnya berpuluh-puluh orang askar Jepun yang lengkap dengan senjata sedang berdiri dalam hujan. Topi mereka berselimut dalam dedaun kayu, masing-msing menggalas senjata perang dan pada badan mereka sarat dengan pundut peluru dan bungkusan makanan.
Pegawai askar Jepun itu telah bersalaman dengan datukdan bapaku serta orang-orang lelaki yang ada di situ. atukku telah menjemput pegawai askar Jepun itu masuk ke bawah atap pisang sesikat rumah panjang itu. Di bawah teduhan atap itu dengan menggunakan pelita minyak tanah, pegawai Jepun itu telah membuka sebuah peta sebesar kertas A-4 dan dia merenung dan meneliti pada peta itu. Dia telah senyum mesra kepada orang-orang pelarian di hadapannya.
“...ini Sungai Busuk, ...di sana kampung Ngor,” pegawai askar Jepun itu telah bercakap dalam bahasa Melayu sambil menunjukkan ke arah timur.
ANGKATAN TENTERA
Datukku dan mereka yang berada di hadapan pegawai askar Jepun itu mengangguk-anggukkan kepala masing-masing. Mereka berperasaan takut bercampur berani.
”...di mana saya boleh jumpa Tuan Haji Ja’afar, ...dia tinggal di kampung Ngor...?” tanya pegawai askar Jepun itu.
”...sayalah, ...saya Haji Ja’afar,” jawab datukku.
” ....ooo, Tuan Haji, ...saya minta ma’af, ...ketua saya, Tuan Suzuki kirim salam kepada Tuan Haji...,”kata pegawai askar Jepun itu.
”Ia...,”sahut datukku.
”....dulu, tuan kami, Suzuki tinggal di Kuala Kangsar, ....dia selalu berburu dengan Tuan Haji...,”jelas pegawai askar Jepun itu lagi.
”Ia, Tuan,”sahut datukku.
Pegawai askar Jepun itu sangat menghormati datukku dan orang-orang pelarian di hadapannya. Dia telah memberitahu datukku , ayahku dan orang-orang yang ada di situ, bahawa dia bersama 600 orang askar Jepun di bawah perintah Pemerintah Angkatan Tentera ke 25 Jepun, di kenali dengan nama ’Tiger of Malaya’, Left. General, Yamashita adalah terdiri dari pasukan jalan kaki (infantry brigade). Mereka telah masuk ke Tanah Melayu melalui sempadang Selatan Thailand-Tanah Melayu di kawasan Grik. Kemudian mereka menuju ke tempat kami berkhemah melalui lereng-lereng gunung ganang sepanjang banjaran Gunung Bintang Hijau. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar dan Ipoh.
Pegawai askar Jepun itu bersama anggota pasukannya telah singgah di rumah panjang kami kira-kira setengah jam. Sebelum mereka meninggalkan kami, mereka telah menghadiahkan kepada kami berbungkus-bungkus biskut yang dikeluarkan dari bungkusan-bungkusan dari setiap askar Jepun itu.
BISKUT LUTUT
Selama lebih tujuh tahun aku hidup di dunia ini, itulah kali pertama aku dapat merasakan biskut jenis baik, iaitu yang dibuat dengan adunan mentega, susu dan sebagainya. Sebelum itu aku hanya dapat memakan biskut lutut, roti kapal dan yang sering aku makan, ialah cucur kodok, tepung lempeng, buah melaka dan kuih-kuih tradisi orang Melayu sahaja.
Sebelum meninggalkan kami, ketua pegawai askar Jepun itu telah menasihatkan datuk dan ayaku serta orang-orang dalam rumah panjang itu supaya pulang ke kampung kami pada awal pagi esok dan tinggal di rumah masing-masing. Dia tidak menjamin kami akan selamat tinggal dalam rumah panjang itu kerana dia khuatir askar-askar Jepun yang akan tiba pada esok hari akan mengembum rumah panjang itu kerana mereka menyangkakan tempat bersembunyi askar British.
Pegawai askar Jepun itu telah memberitahu juga, bahawa pada tengah hari esok pasukan askar Jepun-pasukan berani mati-, akan tiba di kampung kami dengan dilindungi oleh kapal-kapal terbang perang. Mereka itu tidak mempunyai adab sopan terhadap orang-orang lain. Kebanyakan dari mereka itu adalah askar-askar Jepun warga negara Manchuria yang dikerah oleh pegawai-pegawai askar Jepun.

’Pada tahun-tahun 1936 – 1939, iaitu sebelum tentera Jepun menyerang Semenanjung Tanah Melayu, seorang lelaki Jepun, bernama Suzuki telah membuka sebuah kedai gambar di bandar Kuala Kangsar. Dia gemar memburu haiwan-haiwana liar dalam rimba. Pada tiap-tiap hari Ahad dia telah datang dengan kereta kecilnya ke kampungku. Dia telah membawa senapang patah dan kameranya. Datukku dan dua tiga orang kampungku yang memiliki senapang patah, di antaranya Alang Ismail (mahir memburu seladang), berasal dari Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, telah pergi memburu dalam kawasan rimba raya di lereng banjaran Gunung Bintang Hijau atau ke kawasan Gunung Kerangga di sebarang Sungai Perak. Gunung Kerangga bersambung dengan kawasan Sungai Siput Utara dan hingga ke Pahang dan Kelantan.
Di tiap-tiap tempat Suzuki berburu, dia telah mencatatkan sesuatu pada sehelai kertas kecil. Kemudian kertas itu dimasukkan ke dalam sejenis kepsol seperti kepsol ubat, lalu ditelannya. Perbuatannya itu selalu diperhatikan oleh datukku dan orang-orang yang bersamanya berburu.
Kira-kira pada pertengahan tahun 1939, Suzuki telah kembali ke negaranya. Kedai gambarnya terletak di jalan Kangsar telah dijualkan kepada seorang lelaki China yang menjalankan perniagaan tukang gambar juga.’
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.