Thursday, November 12, 2009

BERITA

ubungan Beijing-KL menuju era baru - Jintao

PUTRAJAYA 11 Nov. - Presiden China, Hu Jintao menganggap hubungan dua hala yang progresif sepanjang tempoh lebih tiga dekad dengan Malaysia banyak menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Malah, beliau percaya hubungan Kuala Lumpur-Beijing yang berusia 35 tahun kini melangkah ke era baru apabila wujud kesepakatan strategik dalam pelbagai hala.

''Saya amat berbesar hati dapat melakukan lawatan ke Malaysia bertepatan dengan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

''Malaysia merupakan sahabat yang baik dan sepanjang tempoh itu, hubungan antara kedua-dua negara serta rakyatnya semakin matang dan kerjasama dalam pelbagai bidang telah membuktikan hakikat itu," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Terdahulu Jintao bersama anggota delegasinya mengadakan rundingan dua hala hampir sejam dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra sini.

Jintao berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, mereka berdua mengadakan perbincangan mendalam mengenai kerjasama perdagangan, pelaburan, pembinaan dan sumber tenaga.

''Ini sebagai langkah menangani kesan krisis ekonomi global bagi menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Presiden China itu berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua negara amat penting kerana Malaysia merupakan rakan dagang terbesar China di ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah RM190.3 bilion.

''Kita bersetuju mengekalkan hubungan di peringkat tertinggi dan akan mengambil langkah berkesan bagi melaksanakan pelan tindakan membabitkan kerjasama strategik itu.

''Kami bersetuju untuk melangkah aktif menuju satu era kerjasama yang baru," katanya.

Selain itu, Jintao berkata, kedua-kedua negara juga sepakat mahu memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, kebudayaan dan pelancongan.

''Kami juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau membabitkan kepentingan bersama dan kerjasama dalam ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan kumpulan pelbagai hala yang lain bagi disumbangkan kepada rantau Asia Pasifik," katanya.


-------------------


RM890,000 dibelanjakan


HISHAMMUDDIN mengiringi Bill Paterson semasa Duta Antikeganasan Australia itu melawat Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Nov. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa membelanjakan lebih RM890,000 semasa menyuraikan perhimpunan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 31 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, kos itu membabitkan penggunaan sebanyak 973 butir peluru gas pemedih mata bagi menyuraikan demonstrasi tersebut.

Beliau memberitahu, seramai 663 anggota polis pula terpaksa dikerahkan bagi mengawal keadaan pada hari kejadian.

“Daripada jumlah tersebut lebih separuh iaitu seramai 442 anggota polis telah diarahkan untuk bersiap sedia di beberapa lokasi yang ditetapkan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Nie Ching dalam soalannya ingin mengetahui jumlah peluru pemedih mata yang digunakan dan bilangan anggota polis bertugas bagi menghalang demonstrasi tersebut.

Tambah Hishammuddin, seramai 182 anggota polis dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga telah ditugaskan khas bagi menyurai perhimpunan manakala 22 anggota trafik bagi mengawal lalu-lintas.

Demonstrasi yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan disokong oleh parti politik pembangkang itu telah menyebabkan jalan raya di ibu kota sesak teruk.

Selain itu, para peniaga terutamanya penjaja di Jalan Masjid India, terpaksa menanggung kerugian yang besar ekoran ketiadaan pelanggan di samping kerosakan harta benda.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 12 November 2009)





No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.