KELANA JAYA, 11 Nov: Isteri Datuk Kamarudin Jaffar, Datin Kamariah Kamarudin meninggal dunia jam 6 pagi ini selepas sekian lama melawan kanser.
Datin Kamariah meninggal di rumahnya di No 2, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya, di hadapan anak-anaknya kerana suami beliau, Datuk Kamarudin, anggota Parlimen Tumpat yang juga AJK PAS Pusat masih dalam perjalanan pulang dari Qatar. (Gambar: Anak bongsu Datuk Kamarudin tiba dari asrama disambut abang dan kakaknya) Beliau bergegas pulang ke Malaysia selepas mengetahui isterinya tidak sihat malam tadi. Kamarudin, bekas Setiausaha Agung PAS, dijangka akan sampai ke KLIA tengahari ini. Allahyarhamah Datin Kamariah, 50-an, telah sekian lama menghidap kanser usus dan sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) termasuk kimoterapi. Suami beliaulah, walaupun dalam keadaan sibuk, sentiasa berada di sisinya termasuk berada bersama beliau setiap kali mendapatkan rawatan kimoterapi di SJMC. Menjelang Mutamar PAS Jun lalu, Kamarudin telah memberitahu pucuk pimpinan PAS agar tidak lagi melantik beliau menjadi setiausaha agung. Alasan yang diberikan adalah untuk membolehkan beliau mempunyai lebih banyak masa dengan isterinya itu. Datuk Kamarudin juga adalah Pengarah Urusan Harakah sehingga kini. Beliau mempunyai empat anak, dua lelaki dan dua perempuan, sepanjang perkongsian hidupnya dengan Allahyarhamah. Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin Jaffar di atas pemergian isterinya, Datin Kamariah Kamarudin pagi tadi.
"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada YB Datuk Kamarudin Jaafar di atas pemergian isteri beliau, Datin Kamariah Kamarudin, ke rahmatullah pagi ini 11 November 2009. (Gambar: Presiden PAS dan timbalannya antara yang memberikan penghormatan terakhir)
"Sudah tentu pemergiaan isteri beliau ini bukan sahaja dirasai oleh Datuk Kamarudin Jaafar, tetapi juga seluruh anggota keluarga yang senantiasa bersabar dengan ujian dari Allah ini.
"Semoga Datuk Kamarudin Jaafar bersabar dengan ketentuan Allah ini. Kita juga mendoakan agar roh isteri beliau itu berada dalam rahmat dan keampunan Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan. Jenazah Allahyarhamah Datin Kamariah akan disembahyangkan di Masjid Nurul Yakin, SS7 Kelana Jaya dan akan dikebumikan di Bukit Kiara selepas solat Asar. Seluruh warga PAS, kakitangan Harakah dan Harakahdaily serta anak-anak syarikat mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin dan keluarga. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah. Sehingga jam tiga petang, kelihatan pemimpin pelbagai peringkat mula berhimpun di perkarangan rumah Kamaruddin.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang datang bersama timbalannya, Nasharudin Mat Isa serta beberapa wakil rakyat lagi
Turut hadir kemudian adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid, Ahli Parlimen Gombak Mohd Azmin Ali, Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Batu Caves, Amirudin Shaari.
Sekitar jam 3.30 petang, Kamaruddin sampai ke kediamananya dari Qatar dan disambut dengan ucapan takziah oleh banyak pihak.
Beliau memeluk anak-anaknya dan terus melihat buat kali terakhir jenazah isterinya.
Selepas menatap wajah Almarhumah Kamariah, jenazah dibawa ke masjid sebelum dikebumikan selepas solat Asar petang tadi. (Berita ini diambil dari Harakah Daily, 12 November 2009)
TAKZIAH Saya, Mokhtar Petah dan isteri, Sitti Haishah Abdul Rahman serta warga blog ini dengan rasa amat dukacita mengucapkan takziah kepada Dato' Kamaruddin Jaafar. Sabarlah. Kullunafsin zaaiqatul maut!.
-----------------
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 12 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik keputusan pusat membayar wang ihsan kepada karajaan negeri itu.
Sebaliknya Najib tegas mereka harus membuat pengumuman baru bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar wang royalti seperti yang telah termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Pemuda Kelantan turut menuntut agar Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Kelantan di atas tindakan kerajaan merampas royalti rakyat negeri itu.
Tiga tuntutan tersebut dibuat dalam satu penyerahan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di bangunan parlimen tengahari tadi.
Ketua Pemuda Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman dalam satu sidang media di lobi parlimen selepas penyerahan tersebut berkata, penyerahan memorandum berkenaan bagi menunjukkan kesungguhan mereka mewakili rakyat Kelantan menuntut agar kerajaan memberikan royalti, bukannya wang ihsan seperti yang diumumkan.
"Kami dari Dewan Pemuda PAS Kelantan hari ini dapat menyerahkan memorandum kepada Datuk Seri Nazri Aziz, dan memorandum ini kami tujukan kepada Perdana Menteri sebagai usaha kami untuk menuntut supaya Kerajaan Pusat melalui Petronas mengkaji balik keputusan untuk memberi wang ihsan kepada rakyat Kelantan serta syarat tiga batu nautika plantar minyak dari pesisir pantai untuk melayakkan negeri pengeluar mendapat royalti,". katanya.
Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dalam satu sidang media yang sama berkata, ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya dari Kelantan akan menanti penjelasan yang terperinci daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Nor Ya'kob.
Nor Ya'kob sewaktu sesi perbahasan di peringkat dasar enggan menjawab walaupun sepatah berkenaan isu ini.
"Kami ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat khususnya dari Kelantan akan meneruskan perjuangan ini di parlimen dan kami berjanji dalam sesi perbahasan bajet di peringkat jawatankuasa kita akan terus membahaskan isu royalti ini.Bagi kami kerajaan pusat seharusnya akur kepada perlembagaan negara dan mengikuti dengan serius apa-apa perkara yang terkandung dalam akta 144,"
Menurutnya juga, ahli parlimen dari Kelantan dan kerajaan negeri sendiri bersedia membuka pintu rundingan berkenaan pemberian royalti ini dengan Kerajaan Pusat "Atas nama pemberian royalti kami sedia pada bila-bila masa membuka pintu rundingan dengan kerajaan pusat," Ujarnya.
Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) kesal dengan jawapan Nazri yang meminta mereka merujuk perkara itu ke mahkamah yang disifatkan sebagai angkuh.
Ujarnya, jawapan Nazri itu menunjukkan Kerajaan Pusat tidak menghormati perjanjian di antara Petronas dan negeri pengeluar petroleum bahawa tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai atau diperoleh dalam kawasan atau di luar perairan negeri tersebut.
Nazri sewaktu menerima penyerahan memorandum itu meminta kerajaan Kelantan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan samaada Kelantan berhak mendapat royalti atau pun tidak.
"Saya nak meluahkan rasa kecewa saya terhadap respon yang diberikan Datuk Nazri tadi kepada kami.Bagi saya respon yang diberikan kerajaan seperti yang disebut oleh beliau (adalah) satu benda yang tidak sihat kepada konsep federalisme dalam negara kita.Ini akan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi dalam negara kita.
Kerajaan akan dilihat begitu angkuh apabila sudah jelas mengenai pemberian royalti itu dari sudut akta dan perjanjian kerajaan negeri dengan Petronas," katanya.
Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah Dr. Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Khalid Samad (PAS-Shah Alam), Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) dan Ketua Penerangan PAS Kelantan Ustaz Baihaqi Atiqullah yang juga Adun Pasir Tumboh. | (Berita ini diambil dari Harakah Daily, 12 November 2009)
|
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.