Sunday, July 12, 2009

MENGENANG MASA SILAM

POLIS GAGAL MENYIASAT

Bapaku telah menyertai sebuah parti politik kebangsaan Melayu. Dia juga
telah memegang jawatan ketua kampung (tidak bergaji) semenjak zaman Jepun sampai ke zaman Penjajah Inggeris berkuasa semula di Tanah Melayu dan zaman negara telah mencapai kemerdekaan.
Pada zaman penjajah Inggeris dan zaman penjajah Jepun, seseorang ketua kampung telah memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat kampung. Semua masalah di kalangan semua warga kampung dari perkara memohon tanah kerajaan negeri sampailah kepada perkelahian dalam rumah tangga dan bercerai berai mereka.
Pada zaman Jepun, ramai orang-orang luar dari kampung Ngor dan Changkat Duku telah datang mencari kehidupan baru. Mereka bekerja atas kawasan-kawasan tanah kerajaan dan pulau-pulau di tengah tasik Chenderoh yang menjadi milik syarikat Perak River Hydro (sekarang Tenaga Nasional Berhad). Bapaku telah menjalankan tanggungjawabnya menguruskan permohonan mereka itu itu kepada Pejabat Tanah Kuala Kangsar syarikat Perak River Hydro.
Lama kelamaan ada di antara orang-orang mendatang itu telah bernafsu untuk menguasai kampung itu dengan tujuan membolot habuan, mengembangkan pengaruh dan seumpamanya.
BERSAHABAT
Pada masa itu bapaku telah seperti bapa atau kawan kepada warga-warga kampung itu termasuk pendatang-pendatang. Tetapi seperti dalam parti politik juga, iaitu ‘bersahabat tidak sampai ke hujung jalan’. Ada di antara pendatang-pendatang itu telah menghasut beberapa warga-warga asal kampung itu supaya menggugat bapaku. Mereka bertujuan supaya bapaku meletakkan jawatan ketua kampung yang sedang disandangnya.
Bapaku mempunyai seorang rakan yang juga ada bau bacang dengannya, iaitu Kulop Abdul Rahman (Kulop Dotok). Dia mempunyai isteri yang jauh lebih muda daripadanya, bernama Fatimah. Mereka tinggal dalam sebuah rumah atas tanah peninggalan seorang tua, Alang Harun (mahir memburu binatang liar dalam rimba), di Changkat Duku.
Bapaku telah meletakkan jawatan ketua kampung. Satu pilihan raya memilih ketua kampung yang baru anjuran Pegawai Daerah Kuala Kangsar, telah diadakan. Dia tidak bertanding dalam pilihanraya itu. Dua orang penduduk kampung itu telah bertanding merebut jawatan tersebut.Orang yang mendapat undi terbanyak telah memegang jawatan ketua kampung, iaitu Yaakob bin Abdul Rauf berasal dari kampung Lata Papan, Lenggong.
Walaupun Yaakob telah menyandang jawatan Ketua Kampung, tetapi kebanyakan dari orang-orang kampung masih bergaul rapat dengan bapaku. Pendeknya populariti bapaku melebihi ketua kampung yang baru.
BERUK
Pada masa itu bapaku telah lama bercerai dengan ibuku. Perceraian mereka telah berlaku disebabkan perkara-perkara biasa dalam rumah tangga warga-warga kampung yang miskin. Bapaku telah tinggal bersama ibu tiriku, Ani Ramlah, di kampung yang sama. Rumah mereka dekat dengan rumah Ani pada masa dia masih janda dan diganggu beruk, Pandak.
Pada satu malam, bapaku dan pakcikku, Haji Ahmad telah menziarah seorang tua di seberang kampung kami. Pada waktu telah larut malam, bapaku dan pakcikku telah pulang dari rumah orang tua itu. Tiba di persimpangana jalan kampung, bapaku berpisah dari pakciku. Dia berjalan pulang ke arah rumah ibu tiriku dan pak cikku telah pulang ke rumahnya, iaitu dekat rumahku.
Beberapa minit selepas bapaku dan pak cikku berpisah dalam gelap itu, tiba-tiba bapaku yang pandai silat itu telah dipukul di belakangnya oleh beberapa orang yang tidak dikenalinya.Dia telah dimasukkan ke dalam guni dan dibawa ke kawasan semak kira-kira 500 meter dari rumahku. Sebaik-baik sahaja tiba dalam semak itu, orang-orang itu telah mencurahkan asid (cuka untuk untuk membeku getah cair) ke muka dan seluruh tubuh bapaku. Kemudian mereka telah meninggalkannya di situ.
Dalam kedadaan sakit yang amat sangat dan dua biji mata tidak dapat dicelekkan, bapaku berjalan meraba-raba dalam semak dan menuju ke rumahku sambil melaung-laung meminta tolong. Aku dan ibuku terjaga dan begitu juga pakciku dan isterinya. Apabila kami turun ke tanah, kami telah mendapati bapaku sedang bercangkung dan dalam kesakitan.
ASID
Pada malam itu juga, dengan berbasikal pakcikku dan aku serta beberapa orang jiran telah membawa bapaku ke Balai Polis Sauk untuk membuat laporan dan seterusnya menghantarnya dengan ambulans klinik Kerajaan ke Hopital Daerah KuIala Kangsar.
Sebaik-baik sahaja kami tiba di Balai Polis itu, tiba-tiba Kulop Abdul Rahman yang telah menunggu di hadapan Balai Polis tersebut, telah memaki hamun bapaku. Dia melaungkan kata-kata yang bapaku telah memanjat rumahnya kerana hendak berjahat dengan isterinya, Fatimah. Dia juga telah mengaku telah mencurahkan asid itu kepada bapaku pada ketika bapaku memanjat rumahnya.
Setelah aku membuat laporan di balai polis itu, maka aku telah mengiringi bapaku dalam ambulan yang membawanya ke Hospital Daerah Kuala Kangsar. Akibat dari perbuatan itu, sebelah mata bapaku telah buta dan beberapa bahagian tubuhnya telah melecur teruk.
Pada esok paginya dan hari-hari seterusnya, cerita bapaku ’kena curah cuka getah kerana memanjat rumah kulop Abdul Rahman bertujuan ’jahat’ dengan isterinya’, telah tersebar luas di seluruh kampung dan merebak ke kampung- kampung lain. Kebaikan bapaku sebelum berlaku kejadian itu telah hilang sama sekali, seperti peribahasa Melayu, ’panas setahun dihapuskan hujan sehari’.
POLIS
Semenjak kejadian buruk itu menimpa bapaku, maka aku juga telah dipandang buruk oleh kebanyakan orang-orang, di kampungku dan kampung-kampung di sekitarnya.
Pihak polis yang diketuai oleh OCPD Mohamad Nor dari balai polis Kuala Kangsar, telah menjalankan penyiasatan. Hasil dari penyiasatan itu, mereka telah menemui dua tiga botol asid dan beberapa pot susu kosong yang masih ada saki baki asid di dalamnya dan kesan-kesan asid pada sedaun dan rerumpt di bawah pokok ciku, dalam semak tempat orang-orang itu telah mencurah asid kepada bapaku itu.
Apabila aku menemui OCPD Mohamad Nor di pejabatnya, dia telah memberitahu kepadaku, bahawa polis mendapati bapaku telah dicurah asid oleh beberapa orang belum diketahui, di bawah pokok ciku itu. Polis juga mendapati bapaku tidak memanjat rumah Kulop Abdul Rahman .Pengakuan Kulop Abdul Rahman yang dia telah mencurah asid kepada bapaku itu, sengaja diada-adakan sahaja.
OCPD Mohamad Nor memberitahu lagi, bahawa jarak rumah Kulop Abdul Rahman dengan rumahku kira-kira satu setengah kilometer. Kira-kira 300 meter dari rumah Kulop Abdul Rahman ada sebuah jambatan yamg merentangi Sungai Busuk. Jika bapaku telah dicurah asid oleh Kulop Abdul Rahman pada waktu bapaku memanjat rumahnya, tentukah dia tidak dapat sampai ke rumah kami, kerana kedua-dua matanya telah dimasuki asid.
GAGAL
Pihak polis telah menyiasat kes itu untuk menangkap orang-orang yang telah melakukan kekejaman ke atas bapaku itu, tetapi mereka telah gagal menangkap orang-orang tersebut.
Pada tahun 1974, Kulop Abdul Rahman telah datang telah datang menemui aku. Dia telah datang bersama rakanku, Allahyarham Haji Zabidi Haji Salleh. Dia telah menjelaskan kepadaku mengenai kejadian yang telah menimpa bapaku. Menurutnya, bapaku tidak memanjat rumahnya dan dia tidak mencurahkan asid kepadanya.
Menurut Kulop Abdul Rahman lagi, bahawa dia telah dipaksa oleh orang-orang kampungku yang telah memusuhi bapakku, supaya membuat pengakuan palsu, kononnya bapaku telah memanjat rumahnya bertujuan ’jahat’ dengan isterinya dan sendiri telah mencurahkan asid kepada bapaku.
Kulop Abndul Rahman telah memberitahu kepadaku akan nama orang-orang yang telah melakukan perbuatan kejam kepada bapaku itu.
”...deme sughuh pak kulop buat bohong, ...kalau tak buat, demi nak halau pak kulop dari rumah tu...,”kata Kulop Abdul Rahman.
”Bapa encik kawan baik Pak Kulop, kami macam adik beradik, ...dia tak berjahat dengan mak cik Timah (isterinya),”kata Kulop lagi.
” ...pak kulop minta maaf, ...minta ampun kepada encik, ...pak kulop dah tua, ...entah esok lusa mati, ...maaf, ... amapunkan pak kulop, encik,” kata Kulop Abdul Rahman dalam tangisannya.
Pada waktu itu aku telah teringat akan bapaku telah bersumpah depanku dalam Hospital Daerah Kuala Kangar, ” ...wallah, wabillah, ayah tak panjat rumah dia, ...ayah tak pernah berjahat dengan bini dia..., Timah...”
Pada waktu aku menulis buku ini, orang-orang yang disebut oleh Kulop Abdul Rahman itu telah lama meninggal dunia.
(Sedutan dari buku,Memoir, Paatah Sayap Bertongkatkan Paruh, Oleh:Mokhtar Petah. – Editor, Petah Shahrir Aidid.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.