Sunday, July 12, 2009

BERITA

MENGAPA NAJIB TIDAK MUNCUL DI MANEK URAI

KUALA KRAI, 12 Julai (Hrkh) - Mengapakah Dato' Seri Najib Razak tidak muncul-muncul di Manek Urai?

Ini persoalan yang belum terjawab biar pun sudah dilontarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada penamaan calon sebelum ini.

Kini tinggal sehari lagi kempen menjelang pilihan raya Selasa ini, namun Perdana Menteri tidak muncul.

"Mungkinkah Presiden Umno takut dengan bayangan Altantuya sehingga tidak kelihatan di Manek Urai sehingga sekarang?

"Ramai orang tertanya mengapa Perdana Menteri tidak kelihatan," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun pada persidangan media di Markas Induk PAS di sini, hari ini.

Perdana Menteri nampaknya menyerahkan tugas membawa cabaran Umno di Manek Urai kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dan hari ini beliau hadir pada sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.Image

Umno terpaksa menggunakan orang di luar Manek Urai hadir pada program yang dianjurkan memandangkan penduduk tempatan seperti tidak menghiraukan sehingga kehadiran Muhyiddin pun kurang mendapat sambutan.

Hari ini ramai guru dari seluruh Kelantan diarah hadir bagi memperlihatkan program dihadiri Timbalan Perdana Menteri mendapat sambutan.

Malah guru yang hadir berada jauh dari khemah yang disediakan, seperti tidak menghiraukan ucapan pemimpin Umno.

Banyak pihak berhujah ketidakhadiran Perdana Menteri membayangkan BN menghadapi laluan sukar di Manek Urai. Ia juga menggambarkan pemilihan Tuan Aziz Tuan Mat seperti tidak mendapat perkenan Najib, sebaliknya pilihan Muhyiddin.

Abdul Fatah juga melahirkan rasa bimbang di atas kehadiran begitu anggota polis di Manek Urai sehingga menimbulkan kecurigaan kerana ramai di kalangan mereka difahamkan tidak mempunyai tugas yang khusus.

Katanya, banyak cawangan polis yang dihantar ke Manek Urai termasuk 'special branch', bahagian trafik dan lebih ramai yang kelihatan tidak mempunyai tugas.

Image"Kita tidak tahu apa fungsi mereka dengan kehadiran yang begitu ramai anggota polis. Kita akan cuba dapatkan maklumat mengenai apa sebenar peranan mereka," katanya.

Ditanya dengan kehadiran anggota polis yang kemungkinan wujud pengundi hantu kata beliau, PAS juga merasa bimbang kerana tidak tahu apa sebenar fungsi mereka sehingga terlalu ramai di Manek Urai.

Menurutnya kehadiran polis juga menimbulkan rasa resah di kalangan penduduk tempatan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas terutamanya di Cabang Tiga Laloh.

Kata beliau, polis meletak kenderaan di tepi jalan sehingga menghalang lalu lintas.

"Kami berharap pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi penduduk memandangkan kehadiran ramai polis menimbulkan rungutan masyarakat," katanya.

Beliau juga mendakwa ada sebuah rumah yang didiami isteri kepada seorang pegawai polis telah dijadikan markas Umno.

Abdul Fatah juga berkata, kerajaan pusat menggunakan secara berleluasan jentera kerajaan bagi membantu kempen BN termasuk Kesedar, Risda, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertanian dan banyak lagi kementerian lain.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan pusat dan Petronas belum lagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti kepada kerajaan Kelantan.
(Berita ini dari Harakah Daily, 12 Julai 2009)

*** ***


BN janji jambatan baru dan kota agropolitan

KUALA KRAI-Barisan Nasional (BN) hari ini berjanji akan menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan moden sekiranya parti itu mendapat mandat daripada rakyat, Selasa ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata untuk membuktikan komitmen BN, sebuah jambatan baru akan dibina menggantikan jambatan lama di Kampung Manek Urai Lama, sejurus BN memenangi kawasan itu.

"JKR sudah mentaksirkan kos membina jambatan baru itu nanti adalah sebanyak RM7 juta... Kita (BN) janji jambatan baru itu akan dibina sehari (selepas) kita
menang.

"Janji capai kejayaan dulu," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai, di sini petang ini.

Jambatan sempit, yang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan pada satu-satu masa berusia lebih 40 tahun, menimbulkan kesulitan kepada penduduk kerana tiada
sebarang tindakan diambil bagi memperbaikinya oleh kerajaan negeri.

Pembinaan jambatan yang amat diperlukan penduduk serta tawaran menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan dilihat sebagai kesungguhan Kerajaan Pusat
untuk membawa Manek Urai dalam arus pembangunan negara.

Mengulas mengenai kota agropolitan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata kawasan Manik Urai mempunyai ramai penduduk yang terlibat dalam bidang pertanian seperti penoreh getah dan pekebun kecil.

Dengan cara itu pembangunan pertanian akan dilakukan secara lebih tersusun dan sistematik serta bantuan-bantuan berkaitan boleh disalurkan dengan lebih efektif, katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan Pusat membuat tawaran itu kerana sedar kerajaan negeri tidak mampu berbuat demikian dan pada masa yang sama rakyat Manek Urai memerlukan pembelaan.

Beliau juga mengulangi cabaran kepada kerajaan negeri pimpinan Pas untuk menyatakan apa yang mereka lakukan untuk pembangunan Islam dan ummah di negeri
yang diperintahnya sejak 1990.

"BN kalah pun kita tetap bina 564 buah masjid di seluruh Kelantan," katanya. Kerajaan Persekutuan juga membina banyak kemudahan lain seperti sekolah, hospital untuk kemudahan rakyat.

"Saya minta pengundi buat (solat) istikharah. Tidak salah memilih BN kerana BN mampu (membawa perubahan dan pembangunan)," kata Muhyiddin.

Antara yang hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin dan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat.

(Berita ini diambil dariSinar Harian online -BERNAMA, 12 JUlai 2009)

____________________________________________

Lawati

- EDIT - THINKER.BLOGSPOT.COM

_____________________________________________

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.