Tuesday, August 12, 2008

PERTAHANKAN IDENTITI NEGARA

“Rasuah Musnahkan Negara” Ishak Tadin


Putrajaya: Bekas pegawai tinggi Kerajaan Malaysia, Tan Sri Ishak Tadin khuatir kalau amalan rasuah di kalangan pegawai kerajaan dan orang politik yang berkuasa tidak dibanteraskan negara akan hilang identiti dan musnah.

“Saya khuatir dengan keadaan masa ini, amalan rasuah di kalangan pegawai kerajaan, kerana perbuatan itu akan musnahkan negara kita,”katanya.

“Memang amalan rasuah telah lama berlaku di kalangan pegawai kerajaan dan orang politik yang berkuasa,” katanya lagi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti cari jalan tegas hapuskan perbuatan itu, walaupun susah, tetapi kita kena buat kalau maukan negara selamat,”tambahnya.

Menurutnya, jika tidak dibanteraskan, lambat laun negara akan hilang identiti dan akan menghadapi kemusnahan.

Ishak Tadin, 76, telah bercakap dalam satu pertemuan dengan beliau di Putrajaya hari ini.


Ishak Tadin


Beliau adalah bekas Setiausaha Kerajaan Perak, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu, Pengerusi MARA dan sebelum bersara memegang jawatan Ketua Audit Negara.

Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan lepasan Universiti Malaya, Singapura.

Ishak Tadin tersenarai dalam kumpulan pegawai tinggi kerajaan yang dedikasi, amanah dan mesra rakyat.

Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah menyifatkan Ishak Tadin seorang pegawai yang sukar didapati seorang dalam seratus orang, kerana beliau dedikasi, amanah dan mesra rakyat.

Pada masa krisis politik antara UMNO dan Menteri Besar, Tan Sri Ghazali Jawi dengan Sultan Perak, Sultan Idris Shah pada tahun 1970-an, Ishak Tadin telah dilantik oleh Tuan Abdul Razak menjadi orang tengah bagi meredakan krisis tersebut.

Ishak Tadin memberitahu, bahawa pengalamannya sepanjang berkhidmat dalam kerajaan, pegawai-pegawai kerajaan dari peringkat atas hingga bawahan amat sukar untuk mengelak dari melakukan amalan rasuah kerana mereka berdepan dengan para peniaga dan orang politik.

Ada kalanya pegawai kerajaan tertekan atau berhadapan dengan tindakan oleh orang politik yang berkuasa yang mengamalkan rasuah, seperti mereka akan ditukarkan ke tempat lain dan sebagainya.

Beliau tidak menafikan, amalan rasuah termasuk politik wang berlaku di kalangan orang-orang politik yang berkuasa di peringkat negeri, kerana di peringkat negeri banyak sumber rasuah.

Ishak Tadin berpendapat, untuk mengatasi perbuatan rasuah di kalangan pegawai kerajaan mestilah meningkatkan nilai identiti dengan mengamalkan ajaran Islam.

Menjawab pertanyaan, amalan rasuah wujud juga di kalangan pegawai polis dan pegawai Badan Pencegah Rasuah, oleh sebab itu rasuah sukar dibasmikan.

Beliau tidak menjawab, hanya senyum, bila ditanya tentang cerita ada empat pegawai tinggi kerajaan yang bersara menjadi kaya raya kerana mengamalkan perbuatan rasuah.

Beliau yakin, sikap tegas dan amanah Abdullah Ahmad Badawi akan dapat membasmikan amalan rasuah, lebih-lebih lagi tidak menyekat kebebasan BPR menjalankan tindakan.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.