Tuesday, August 12, 2008

RASUAH POLITIK


BERLAKU SEJAK ZAMAN TUNKU

Oleh: Mokhtar Petah


Tindakan Badan Pencegah Rasuah menahan calon Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Nor Awang kerana disyaki memberi sogokan wang RM500 kepada seorang ahli UMNO dilihat satu langkah baru dalam usaha membersihkan kecurangan dalam UMNO.

Tindakan pertama kali oleh BPR ke atas orang politik dalam parti politik yang menerajui kerajaan itu dapat dipandang sebagai tindakan jujur, berani dan cemerlang.

Orang ramai tentulah berbangga dengan tindakan tersebut, kerana dengan tindakan demikian dapat membersihkan parti dari amalan rasuah dan dapat menjamin kerajaan akan terus mendapat kepercayaan rakyat.

Walaubagaimanapun tindakan Badan Pencegah Rasuah itu sukar untuk membersihkan perbuatan politik wang atau rasuah politik UMNO, kerana amalan itu telah menjadi tradisi dalam parti politik itu sejak ia mula memimpin kerajaan sebaik-baik negara mencapai memerdekaan.

Keadaan UMNO dengan amalan politik wang sama dengan parti-parti politik lain nasional, kapitalis, sosialis dan komunis di seluruh dunia.

Kebanyakan individu dalam parti-parti politik itu dapat naik ke atas disebabkan wang dan bukannya kebolehan dan pengaruh mereka. Bagi kebanyakan politikus dunia memandang wang boleh membeli segala-galanya, hatta pengundi dan ketua negara.

Kerana politik wang dalam UMNO telah menjadi tradisi dan sejarah, maka ia perlu dikaji oleh setiap ahli UMNO jika mahukan parti politik Melayu itu terus kekal sebagai parti politik yang memegang teraju kerajaan dan dihormati oleh orang ramai.

Sebenarnya amalan rasuah politik atau politik wang dalam UMNO telah berlaku semenjak parti politik itu dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, terutama lepas negara mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957 hingga pada masa ini.

Pada zaman Tunku Abdul Rahman politik wang mulai wujud di kalangan para politikus dan ekonomis yang terdiri orang-orang cina yang bertujuan untuk menyertai perjuangan menuntut kemerdekaan bagi mendapatkan kuasa memerintah dan mendapatkan keuntungan dalam perniagaan.

Pada zaman itu, saya sebagai wartawan, rapat dengan Tunku Abdul Rahman dan orang-orang politik yang berkuasa. Saya melihat amalan politik wang menjadi perkara biasa dan tidak ada yang silu melakukan.

Tunku Abdul Rahman tidak menerima rasuah. Allahyarhan sering menolak pemberian dari sesiapa jua. Anaknya sendiri tidak dibenarkan duduk dalam syarikat orang cina yang meminta projek atau habuan dari kerajaan.

Para politikus dan ekonomis yang terdiri dari orang cina amat pandai mempelajari kegemaran orang-orang dalam UMNO di peringkat atasan hingga ke peringkat negeri dan bahagian-bahagian. Mereka mempelajari setiap politikus Melayu, iaitu mengenai kegemaran mereka, seperti:

* Gemarkan wang dan harta benda,

* Gemarkan perempuan cantik,

* Suka atau berminat main judi,

* Suka atau ketagih arak atau

* Minat melancong ke dalam dan keluar negara.


Sekiranya politikus itu tidak mahukan wang harta benda tetapi dia mahukan perempuan, maka perempuan cantiklah diserahkan kepada politikus dan ekonomis orang cina. Begitu juga kalau menggemarkan jenis najis lain.

Pada umumnya, jika seseorang itu sukakan arak, maka dia memandang perempuan, melancong dan wang sebagai keperluannya. Maka orang-orang cina tersebut melayan orang itu menurut kegemarannya.

Perkara ini berlaku di kalangan Menteri, Menteri Besar, ketua-ketua Menteri dan para anggota Exco kerajaan Negeri, terutama yang ada sangkut paut dengan tanah kerajaan negeri dan kawasan balak.

Tunku Abdul Rahman tidak mengamalkan politik wang, tetapi UMNO mendapat wang dari sumber rasuah dari para politikus dan ekonomis cina kerana mereka ada tujuan yang laksana tangan kanan memberi tangan kiri menerima atau tidak ada berada masakan tempuan bersarang rendah.

Tunku Abdul Rahman tidak menerima rasuah, tetapi allahyarham tidak takut yang wang yang diterima itu pada hakikatnya rasuah.

Cara, orang-orang Cina ahli politik dan ekonomi mengajak Tunku Abdul Rahman bermain mahjong. Permainan itu tentulah mempunyai jumlah angka yang besar untuk bertaruh dan menerima hadiah.

Mereka memberi hadiah wang kepada Tunku untuk bertaruh. Mereka juga telah sekata, iaitu dalam permainan itu mereka memberi Tunku Abdul Rahman menang. Dengan kemenangan itu Tunku Abdul Rahman menerima wang dengan jumlah yang banyak.

Dengan mahjong Tunku Abdul Rahman percaya kepada orang-orang Cina itu. Dari situlah berlakunya orang-orang Cina menyertai perjuangan kemerdekaan tanah air, iaitu melalui Persatuan Cina Malaya (Malayan Chinesses Association)- sebuah badan kebajikan dan kemudian menjadi parti politik.

Pada zaman itu, pada umumnya ahli UMNO peringkat cawangan dan bahagian di luar bandar besar hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, maka untuk menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian dan Perhimpunan agung mereka tidak mampu, maka orang-orang yang hendak bertanding itulah menanggung tambang, makan minum dan tempat penginapan (murah).

Mereka yang menerima pemberian itu tentulah mengundi orang memberi wang kepada mereka untuk menghadiri mesyuarat atau perhimpunan itu. Wang itu tentulah dalam istilah politik wang juga.

Amalan itu terus berlaku dalam UMNO hingga pada masa ini. Setiap wakil, pemerhati dan tukang ikut ditanggung oleh mereka yang akan bertanding. Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri mengadakan jamuan atas nama UMNO negeri dan orang-orang dari UMNO negeri-negeri lain di jemput hadir.

Amalan itu dinamakan politik wang juga, bukan?

Elok saya ceritakan pengalaman saya bekerja sebagai wartawan di Perak. Saya bergaul dengan semua orang-orang UMNO dari cawangan, bahagian hingga ke peringkat Negeri dan Menteri Besar yang menjadi Ketua Badan Perhubungan UMNO Perak.

Semenjak Menteri Besar, Dato Sri Haji Ahmad Said hingga kepada Dato Tajol Rosli Ghazali. Memang menjadi kebiasaan, setiap kali menghadapi Mesyuarat Agung Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur, Jabatan Perhutanan Negeri dan JawatanKuasa Perhutanan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar meluluskan kawasan-kawasan kayu balak kepada syarikat-syarikat pihak bahagian atau milik orang-orang UMNO.

Wang dari hasil kayu balak itu dibahagi-bahagikan ala kadar kepada individu-individu yang akan menghadiri mesyuaragt agung bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Amalan ini dinamakan politk wang juga, bukan?

Pada masa ini hampir semua ahli UMNO berpolitik perlukan wang. Mereka tidak akan datang menjadi wakil atau pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur kakau tidak diberi wang untuk tambang (minyak dan tol), makan dan minum serta menginap di hotel mewah yang sewanya lebih RM200 sehari. Siapakah tanggung itu semua, kalau tidak mereka yang akan bertanding mendapatkan jawatan dalam Perhimpunan itu.

Katalah, para wakil, pemerhati dan tukang ikut ditanggung oleh UMNO Negeri, tetapi dari mana UMNO Negeri mendapat wang yang begitu banyak. Tentulah dari taukeh kayu balak, syarikat hartanah dan sebagainya.

Satu perisitwa tercatat dalam sejarah hidup saya, iaitu bekas guru kerajaan tinggal di Kampung Gelok, Lenggong, Ustaz Yusof Haji Mokhtar dan dia orang kuat Pemuda UMNO Perak. Dia telah merancang akan bertanding dalam kawasan Dewan Undangan Negeri, di Grik. Memang dia layak menjadi calon.

Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi telah menjemput saya hadir dalam pertemuan beliau dengan Ustaz Yusof Haji Mokhar. Dalam pertemuan itu dia diberitahu supaya membatalkan hasratnya untuk bertanding, kerana Tajol Rosli akan bertanding dalam kawasan tersebut.

Ustaz Yusof telah bersetuju tidak bertanding tetapi dengan syarat dia diberi ‘habuan’. Ghazali Jawi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhutanan Negeri bersetuju mengeluarkan lebih 100 ekar kawasan kayu balak kepada Ustaz Yusof.

Amalan ini dinamakan politik wang juga, bukan?

Tindakan BPR menahan mereka yang disyaki melakukan rasuah politik dalam UMNO adalah langkah yang telus, tetapi mungkin tidak dapat membersihkannya, kerana amalan itu telah menjadi sebagai tradisi atau amalan biasa.

Jalan untuk menghapuskan perbuatan politik wang dalam UMNO amat sukar, kecuali setiap individu yang akan bertanding itu memnbina identiti mereka sebagai orang Islam sejati, kuat iman dan takutkan laknat dari Allah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.