Saturday, August 11, 2012


TERKENANG


WARTAWAN

Pada tahun 1978, aku telah meninggalkan Berita Harian kerana aku tidak puas hati dengan tindak tanduk Ketua Biro The New Straits Times Press yang menggantikan Hanry Paul, iaitu Encik Alias Rahim. Dia berasal dari Singapura. Sebelum berpindah ke Ipoh, dia berkhidmat di ibu pejabat The Newa Straits Times, di Kuala Lumpur.
Seperti yang aku telah terangkan, bahawa pada masa ketua Biro, Hanry Paul, kebanyakan berita yang aku tulis telah diterjemahkan kepada bahasa Inggeris untuk surat-surat khabar New Straits Times, Sunday Times, Malay Mail, Sundy Mail dan Business Times.
Pada masa itu semua berita dariku untuk Berita Harian telah dikirim lebih awal ke ibu pejabat Berita Harian, di Kuala Lumpur. Berita-berita yang diterjemahkan khas Inggeris itu telah mengunakan nama yang telah diterjemahkan dari berita-berita yang aku tulis itu menggunakan namaku sebagai penulisnya(by line).
Semua berita bahasa Inggeris yang telah diterjemhkan ke bahasa Inggeris itu dikirim ke ibu pejabat The New  Straits Times, di Kuala Lumpur terlewat kira satu jam atau dua jam.
BAHASA MELAYU
Pada masa Alias Rahim mengetuai Biro The New Straits Times, di Ipoh, semua berita-berita yang aku tulis diberi kepada pemberita-pemberita The New Straits Times dan Malay Mail yang terdiri dari pemberita–pemberita lelaki dan perempuan termasuk pelatih-pelatih pemberita bahagian Mass Com dari Institut Teknolgi Mara Shah Alam.
Dengan arahan Alias Rahim, semua berita yang aku tulis itu diterjemah oleh mereka dan nama penulis (by line)nya menggunakan nama mereka. Berita-berita terjemahan kepada bahasa Inggeris dikirim lebih awal dari berita-berita dariku dalam bahasa Melayu untuk Berita Harian.    
Alias Rahim juga telah mengarahkan kepda jurutaip teleprinter, semua berita-berita yang aku tulis tidak boleh dikirim ke meja pengarang Berita Harian di Kuala Lumpur sebelum dia membaca dan menterjemahkannya lebih dahulu.[1] Semua berita yang aku tulis dikirim dengen teleprinter ke ibu pejabat Berita Harian, Kuala Lumpur selepas jam 6.30 atau 7.30 petang dan ada yang tidak dikirimkan langsung.
Kerana semua berita dari aku itu lambat tiba, maka tidak dapat disiarkan dalam Berita Harian. Manakala para anggota sidang editor Berita Harian telah menyangka yang aku menceduk berita-berita yang ditulis oleh pemberita-pemberita The New Straits Times dan Malay Mail.
MENGAMBIL LANGKAH
Apabila aku bertanya kepada Alias Rahim mengenai perkara itu, dia telah menjawab, bahawa dia berkuasa di pejabat biro Tha New Straits Times Ipoh, bukan Samani, bukan sasterawan Samad Said, di Kuala Lumpur.
Pada masa itu Allahyarham Dato’ Nordin Sopi memegang jawatan Ketua Pengarang The New Straits Times. Aku telah datang menemuinya di pejabatnya, di Bangunan The New Straits Time, Bangsar. Dia telah mengaku akan mengambil langkah segera. Tetapi keadaan itu terus berlaku juga.
Alias Rahim telah bertindak demikian kepadaku setelah berlaku tiga peristiwa yang dirasanya telah mengurangkan kewibawaannya sebagai Ketua Biro The New Straits Times, di Ipoh, iaitu:
*    Pada hari Menteri Dalam Negeri, Ghazali Shafie bersama pasukan keselamatan menjalankan operasi memburu gerombolan pengganas komunis yang bersembunyi dalam belukar, di Ayer Kala, Grik, aku bersama Alias Rahim dan korespondan Reuter, Stanly telah mengikuti operasi itu dengan menaiki kereta milik The New Straits Times. Alias Rahim telah memandu kereta itu. Pada waktu makan tengah hari di khemah pasukan keselamatan, di Ayer Kala, kami tiba di hadapan khemah itu, pada waktu kami turun dari kereta, seorang pegawai askar berkata kepadaku, ” Encik sila,...driver Encik pun boleh makan sama”. Pada waktu dalam perjalanan pulang, Alias telah memarahi  aku kerana dia menyangka aku memberitahu pegawai askar itu  yang dia pemandu kereta kami.
*        Pada waktu mengisi minyak kereta di Sungai Siput Utara, atendan stesen minyak itu telah bertanya kepadaku di hadapan Alias Rahim, ”...Encik bayarka, ...driver Encik   bayar...?”  Pada waktu dalam kereta, Alias Rahim telah memarahi aku kerana dia menyangka yang aku telah memberitahu atenden stesyan minyak itu yang dia driver aku.
*        Pada satu hari yang lain, Alias Rahim telah mengadap Sultan Idris Shah dan dia telah meminta hendak melakukan Interview khas dengan Baginda, tetapi baginda telah bertitah kepadanya, ”...tak payah, Mokhtar Petah boleh intrerview I.”
Sekali lagi Alias Rahim marahkan aku. Dia menuduh aku telah menghasut Sultan Idris Shah supaya menolak kehendaknya untuk menginterview Baginda. Dan dia telah menyangka aku telah menghasut Sultan Idris dan menyebabkan terjejas kewibawaaannya sebagai wartawan kanan di Perak.


BERUNSUR POLITIK
Setelah aku meninggalkan Berita Harian, aku telah menjalankan perniagaan di samping itu menulis berita-berita untuk surat khabar China Sing Pin Jih Pao dan artikel-artikel berunsur politik untuk Mingguan Bumi yang diterbitkan oleh Allahyarham Hussein Yaakob, di Kuala Lumpur.
Aku telah membuka sebuah pejabat kecil di Jalan Leong Sin Nam, dalam Bandar Ipoh. Di pejabat itu aku telah mengadakan kursus ilmu kewartawanan gaya pos. Membekal artikel-artikel kepada beberapa buah surat khabar tabloid dan majalah-majalah. Aku juga telah menjalankan perniagaan restoran dekat Politeknik Ungku Omar, Jalan Dairy, Ipoh.
Pada masa inilah aku telah melibatkan diri dengan ahli-ahli perniagaan Melayu dan Cina di Ipoh, di antaranya, Tan Sri Haji Ahmad Azizuddin Zainal Abidin (Industri), Dato’ Haji Mohd.Taib bin Abdul Hamid (peniaga kayu balak) Dato’ Chong Kok Lim (pengasas kompleks Sungai Wang, Kuala Lumpur), Datok Lew Lai Seng(hartanah dan industri) dan Dato’ Tajuddin Ali (pengangkutan). Mereka telah menunjuk-ajar kepadaku banyak jalan untuk berkecimpung dalam perniagaan dan perusahaan.
Aku dan keluarga telah berpindah dari rumah sewa kami di Sungai Rokam ke rumah di belakang restoran kami, Jalan Dairu, dalam Bandar Ipoh. Kami telah membina sebuah rumah dua tingkat, di belakang restoran kami. Rumah itu berdinding bertam kelarai dan bahagian dalamnya papan lapis tebal. Semua jendelanya menggunakan kaca warna gelap. Lantai tingkat atas dari papan tebal dan lantai tingkat bawa simen.
Tanah tapak rumah itu milik Jabatan Sealiran. Aku telah mendirikan restoran dan rumah itu setelah mendapat kebenaran dari pihak jabatan berkenaan dengan surat perkenan oleh Sultan Perak.*

* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh:
   Mokhtar Petah.


[1] Pada masa sebelumnya berita-berita yang aku tulis dikirim terus ke meja pengarang Berita Harian
     dan di  Kuala Lumpur , iaitu ke meja editor  Samani Amin, A.Samad Said dan sidang editor Berita 
     Harian.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.