Saturday, August 25, 2012


TERKENANG

MAMPUKAN JADI WARTAWAN SEPERTI SAYA

Lebih lima ratus orang belia termasuk mereka yang telah dewasa telah mengikuti program Kursus Kewartawanan Gaya Pos itu. Mata[1]Publication (MATA , dipadankan dari Majlis Agama Tertinggi, iaitu sebagai mengenangkan sebuah badan agama yang telah ditubuhkan oleh Ustaz Abu Bakar al Baqir _Hizbul Muslimin -, di institusi  pengajian Islam, Ihya usya Syarif, Gunung Semanggul bersama Ibrahim Yaakob dan Dr Burhanuddin Hedlmi.)telah menjadi pusat akademik kecil untuk melatih calon-calon pemberita secara jarak jauh.           
Sistem pelajaran yang aku telah jalankan, ialah setiap peserta mengikuti kursus itu selama empat hingga enam bulan. Pelajaran dikirim kepada para peserta pada tiap-tiap dua mingu sekali. Apabila mereka telah sampai kepada pelajaran menulis berita dan artikel, maka aku mengarahkan mereka supaya mengadakan penyelidikan atau mencari bahan-bahan berita dan artikel(cara praktik). Berita dan artikel yang mereka telah tulis itu mereka mengirimkannya kepada Mata Publication .
Aku telah memeriksa semua berita dan artikel dari mereka itu, seperti menyunting dan memberi tokok tambah yang perlu. Kemudian aku mengirimkan semula kepada mereka dengan mengarahkan mereka menulis semula berita-berita dan artikel-artikel itu dan mengirimkannya kepada mana-mana surat khabar atau majalah.
Peserta-peserta kursus yang rajin atau aktif, maka berita-berita atau artikel-artikel yang mereka telah kirimkan kepada surat khabar atau majalah dan telah disiarkan, maka mereka telah menerima sagu hati atau honorarium dari media-media berkenaan.
KURSUS KEWARTAWANAN
Semua peserta kursus kewartawanan memiliki kad pengenalan ’pelatih pemberita’. Kad pengenalan itu untuk memudahkan mereka mencari bahan-bahan berita atau artikel-artikel di tempat-tempat tertentu. Setelah mereka tamat dengan baik, aku telah memberikan satu sijil kepada tiap-tiap pesereta itu, menandakan mereka telah menyertai kursus kewartawan anjuranku.
Kemudiannya, aku mendapat tahu, ramai dari mereka yang telah mengikuti kursus kewartawanan dan penulisan itu telah bekerja sebagai pemberita  atau pemberita sambilan dalam syarikat-syarikat akhbar. Ada juga yang telah melayakkan diri sebgai penulis kreatif, iaitu cerpenis dan penyajak atau penyair.
Pada satu petang dalam tahun 1973, Menteri Besar Perak, Dato’ Sri Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa telah menjemput aku datang ke pejabatnya, di Jalan Dato’ Panglima Bukit Gantang, Ipoh. Aku telah tiba di pejabatnya pada waktu para kakitangan kerajaan sedang bersiap-siap hendak pulang. Aku mendapati Dato’ Ishak Tadin (Tan Sri) Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Timbalannya, Encik Nasir Taha, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Kamaruzzaman dan Pegawai Penerangan Negeri, Encik Ismail Shah sedang berada dalam pejabat tersebut.
Aku telah duduk atas sofa antara Haji Kamaruddin dengan Encik Nasir Taha.Setelah aku menghirup air teh dalam cawan yang telah disediakan untukku,  Haji Kamaruddin telah bercakap atas tujuan dia telah menjemput aku ke pejabatnya.
”Encik Mokhtar, ...di Taiping minggu lalu, Encik Mokhtar ada mencadangkan kepada saya, supaya kerajaan negeri terbitkan surat khabar Berita Perak...,” kata Haji Kamaruddin.
”Ia, Dato’...,”sahutku.
”Macam mana Dato’?” Haji Kamaruddin telah bertanya kepada Ishak Tadin.
” Ia, boleh kita terbitkan, tapi siapa yang nak jalankan?”Tanya Ishak Tadin.
”...Encik Mokhtar ada pengalaman, ...kita minta dia jalankan Berita Perak..., adakan peruntukan duit...,”kata  Haji Kamaruddin.
Semua pegawai tinggi kerajaan Negeri Perak itu telah setuju menerima aku memegang jawatan pengarang surat khabar bulanan Kerajaan Perak bernama ’Berita Perak’.
Aku telah mengemukakan pendapatku; Sebagai sebuah surat khabar suara Kerajaan negeri, Berita Perak tidak akan menyiarkan ucapan atau kenyataan dari tokoh-tokoh politikus parti-parti kerajaan dan parti-parti lain. Ia hanya akan menyiar ucapan berhubungan dengan kerajaan oleh Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan pegawai- pegawai kanan kerajaan. Menteri Besar dan pegawai-pegawai kerajaan itu telah bersetuju dengan pendapatku itu.
BERITA PERAK
Pada petang itu, keputusan yang telah dicapai, bahawa surat khabar Berita Perak, akan diterbitkan pada tiap-tiap awal bulan. Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan peruntukan wang untuk menerbitkan surat khabar itu dan membayar elaun kepadaku sebagai editornya.
Oleh kerana kerajaan tidak mengadakan kakitangan untuk mengendalikan surat khabar itu, maka aku telah menjalankan tanggungjawab serentak, iaitu sebagai editor, penyelidik, penulis, membaca proof, jurugambar dan berurusan dengan pihak pejabat cetak kerajaan yang mencetak surat khabar itu.
Menurut Ishak Tadin, tujuan utama pihak Kerajaan Perak mengambil aku untuk mengendalikan Berita Perak, supaya dapat menyekat atau melembutkan kegiatan aku dalam menulis berita dan artikel mengkritik wakil-wakil dan kerajaan negeri itu.
Ishak Tadin telah banyak membantuku dalam mengendalikan surat khabar Berita Perak. Dia telah memberi kepadaku beberapa buah fail rasmi kerajaan mengenai pembangunan kerajaan dan sebagainya. Memberi kemudahan kepadaku untuk menghubungi semua pegawai-pegawai daerah dan pegawai-pegawai lain termasuk polis dan tentera di seluruh  negeri Perak.
Aku juga diberi kebenaran mengikuti mesyuarat-mesyuarat tertutup kerajaan, seperti masyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pembangunan Negeri dan hal-hal berkenaan sidang Dewan Undangan Negeri Perak.
Aku telah berkesempatan membaca banyak nota dalam fail rasmi kerajaan mengenai Pembangunan Negeri dan sebagainya. Dari nota-nota dan catataan-catatan mesyuarat, aku telah mendapati banyak wang kerajaan telah digunakan dengan cara tidak mengikut keputusan dan jadual.
Dari fail-fail pembangunan Kerajaan Negeri Perak yang aku telah membacanya, aku telah mendapati ada ’kelemahan’ dalam mengagihkan peruntukan wang bagi pembangunan dalam negeri itu.
Disebabkan sentimen politik, ada kawasan yang patut mendapat peruntukan bagi pembangunan telah diketepikan. Misalnya kawasan-kawasan yang ramai pembangkang tidak diberi peruntukan pembangunan dan dibiarkan mundur.
Ada pula wang peruntukan untuk satu-satu kawasan dipindahkan kepada kawasan lain kerana sebab-sebab dalaman, misalnya menteri besar tidak bersefahaman dengan wakil-wakil rakyat dalam satu-satu kawasan. Akibatnya, ramai penduduk luar bandar ramai yang ’menggigit jari’ kerana tidak dapat menikmati pembangunan kerajaan, terutama di kawasan-kawasan luar bandar.                            
Pada masa itu aku sering menaiki helikopter Tentera Udara Malaysia (TUDM) mengikuti pegawai-pegawai tentera dan kerajaan melawat dan meninjau kawasan-kawasan  luar bandar, termasuk kawasan-kawasan Orang Asli dan khemah-khemah askar dan polis hutan di seluruh negeri Perak.
Pada satu subuh aku telah menaiki helikopter TUDM, Nuri, bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ishak Tadin, Timbalannya, Nasir Taha, Pemerintah Tentera Darat di Perak, Brigadier General Abdul Abdul Latif Hussein[2](telah meninggal dunia) dan pegawai Penerangan Negeri Perak, Ismail Sahah telah terbang ke kawasan hutan belantara Hulu Perak dan mendarat atas sebuah bukit dekat khemah Askar Wataniah dekat Lebuh Raya Timur Barat – Pulau Pinang- Kelantan.
Sebaik-baik sahaja kami mendarat atas bukit itu, kami telah dikawal oleh berpuluh-puluh orang anggota askar Wataniah yang lengkap dengan senjata.
Kami telah dibawa masuk ke dalam sebuah khemah Askar Wataniah di pinggir Lebuh Raya Timur – Barat yang sedang dibina oleh sebuah syarikat pembinaan ’Malaysian and Thailand Development (MTD). *
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan
Paruk, (belum terbit), oleh: Mokhtr Petah




[1]  MATA , Majlis Agama Tertinggi, iaitu sebagai mengenangkan sebuah badan agama yang
      telah ditubuhkan oleh Ustaz Abu Bakar al Baqir _Hizbul Muslimin -, di institusi
      pengajian Islam, Ihya usya Syarif, Gunung Semanggul bersama Ibrahim Yaakob dan Dr
      Burhanuddin Hedlmi.
[2] Lihan, Mokhtar Petah, 2002,  Meniti Derita Kepuncak’ Kuala Lumpur, Darul Fikir.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.