TERKENANG
KARENAH RAKYAT
Pada masa Tsm Sri
Haji Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Besar Negeri Perak kali yang
kedua(1974-77), satu pembangunan raksasa bagi negeri itu telah berjaya
dilaksanakan oleh Lembaga Letrik Negara, iaitu pembinaan Ampangan Temenggor.
Ampangan itu yang merentangi Sungai
Perak, di Temengor, Grik telah dimulakan pada zaman Menteri Besar, Ahmad bin
Said (1969 -1970).
Sebuah kampung Melayu yang tua, iaitu Kampung Temengor yang terletak dalam
rimba raya telah tenggelam bersama sebuah masjid, sekolah rendah kebangsaan,
sawah dan ladang serta tanah perkuburan.
Aku telah mengikuti oprasi menggali semua perkuburan di sana.
Pekerja-pekerja telah menggali semua kubur itu pada waktu siang. Manakala kerja
memungut semua tengkorak dan tulang temulang tanah bercahaya kala maya pada
waktu malam. Semua tengkorak, tulang temulang dan tanah dari tiap-tiap kuburan
itu dimasukkan dalam karung-karung plastik.
Semua mayat yang telah reput dalam kuburan-kuburan baru dan semua
tengkorak, tulang-tulang dan tanah bercahaya kelamayar itu telah dipindah dan
dikebumkan semula dalam beratus-ratus buah kuburan baru, dekat perkampungan
baru, Kampung Belum Baru, Air Ganda, dekat Bandar Grik.
KAIN KAPAN
Satu
pengalamanku sebagai penulis tidak dapatku lupakan, iaitu aku telah mengambil
gambar dan menulis kisah dua mayat tidak reput yang terdapat dari dua buah
kuburan Kampung Temengor. Dua mayat itu tidak reput, berambut panjang, berkuku
panjang, kain kapan masih melekat pada tubuh masing-masing dan tubuh mereka
tidak ada yang rosak.
Kedua-dua perempuan itu telah meninggal dunia kira-kira sepuluh tahun yang
lalu. Mereka berkhidmat sebagai bidan dan guru membaca Quran kepada
kanak-kanak, di kampung tersebut.
Aku telah merujuk perkara dua mayat itu kepada beberapa orang ulama di
negeri Perak. Menurut mereka, bahawa ada terjadi, dengan kuasa Allah,
orang-orang yang membaca dan menghafal ayat-ayat Quran dan berbuat baik sesama
manusia pada masa hayat mereka, maka mayat mereka tidak reput walaupun telah
lama meninggal dunia.
Aku telah menerima banyak sungutan daripada orang-orang Melayu yang
menjalankan perusahaan kayu balak, dalam kawasan Hulu Perak mengenai nasib
mereka seperti telah dianak-tirikan oleh kerajaan negeri Perak dalam pengagihan
kawasan balak. Pada satu hari aku telah menemui Ghazali Jawi dipejabatnya untuk
bertanyakan isu tersebut.
DURIAN
RUNTUH
Ghazali Jawi
berkata, bahawa pemberian kawasan kayu balak, di negeri Perak tidaklah boleh
diagihkan kepada semua syarikat pembalak kerana pihaknya terpaksa menimbangkan
banyak masalah.
Beliau memberitahu, pemberian kawasan kayu balak kepada syarikat-syarikat
orang Melayu hanyalah seperti ’durian runtuh’, bukanlah satu perniagaan dan
perusahaan, kerana banyak syarikat orang Melayu yang telah mendapat
kawasan-kawasan kayu balak, tetapi mereka tidak menjalankan perusahaan itu,
sebaliknya mereka menjualkannya kepada syarikat-syarikat China.
”Tujuan kerajaan memberi kawasan kayu balak kepada syarikat orang Melayu
dengan tujuan supaya deme berusaha, tetapi deme tak buah kerja, ...jualkan
kepada syarikat-syarikat orang lain,” katanya.
”I kira, cara macam tu bukan berniaga, ...hanya nak dapatkan ’durian
runtuh’, nak duit segera, ...sudahnya deme tak pandai berniaga balak,”
tambahnya.
Kerajaan Negeri Perak telah mewajibkan semua syarikat perusahaan kayu balak
bertaraf ’sendirian berhad’ dan ’berhad’. Setiap syarikat membayar lesen
pembalakan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak sebanyak RM300 setahun.
Tetapi tidak semua syarikat itu yang mendapat kawasan kayu balak. Walaupun
bagitu banyak pula syarikat yang telah mendapat satu kawasan balak telah
mendapat kawasan lagi. Ada syarikat kayu balak yang telah mendapat lebih dari
tiga kawasan membalak.
’Kalau diteliti secara mendalam, iaitu mengikut sains politik dan sains
kemasyarakatan, bahawa kedua-dua sistem itu (pembalakan dan pemberian tanah
komersial) tidak menolong membangunkan ekonomi orang Melayu, sebaliknya
meninggikan ekonomi orang-orang bukan Melayu, menguntungkan kerajaan Perak dan
pihak-pihak lain.
MENHIRUP
KUAH
Pengagihan tanah
dan kayu balak, pada hakikatnya seperti ’mee segera’ untuk menghabiskan tanah
kerajaan dan kayu balak. Akibatnya orang Melayu anak cucu para pejuang tanah
air sebelum negara mencapai kemerdekaan tinggal dalam keadaan, ’menghirup kuah’ sedangkan isi yang lazat
orang bukan Melayu yang ratah.
Kedua-dua sistem pengagihan itu kalau tidak diubah atau tidak dilakukan
pembaharuan oleh Menteri Besar sekarang, maka dalam tempoh sepuluh tahun akan
datang orang-orang Melayu di negeri Perak yang melibatkan diri dalam perusahaan
tanah dan perusahaan balak akan menerima nasib ’Pak Pandir’ dalam Dasar Ekonomi
Baru atau seperi kata orang Perak,
’lebih labun dari lonjak’.
Yang paling teruk lagi dalam Wawasan 2020 yang dilaung-laungkan oleh
orang-orang Melayu di Perak akan menyimpan dalam file keramat masing-masing, ialah resit bayaran permohonan tanah
dari Pejabat Tanah, resit bayaran lesen tukul besi dan resit bayaran lesen kayu
balak kepada pejabat Perhutanan Negeri dan surat membuktikan diri mereka telah
muflis dari mahkamah tinggi.’( Mokhtar Petah, 1995 Kejayaan Bersama - Satu
Analisa Pilihanraya ’95 di Perak, Kuala Lumpur, Mata Publication, hlm.
207,208.
Sungutan-sungutan rakyat dari perkara yang paling kecil hingga ke perkara
besar seperti kawasan kayu balak dan sebagainya telah tiba ke pengetahuan
Sultan Idris Shah. Aku telah dipanggil oleh Sultan Idris Shah ke Istana Firuz,
dalam bandar Ipoh.
SUNGUTAN
RAKYAT
Dalam pertemuan
aku dengan Sultan Idris Shah dan disertai oleh Toh Muda Orang Kaya Besar, Dato’
Sayed Ahmad Jamalullail (bekas Duta
Malaysia ke Arab Saudi) dan beberapa orang Orang Besar-Besar Negeri lagi,
Baginda telah bertanya kepadaku mengenai sungutan- sungutan rakyat itu.
Aku telah memberitahu Sultan Idris Shah, ” ...kira o.klah tu, ...dia
(Ghazali Jawi) akan selesaikan, ...mana ada pemimpin yang dapat memuaskan hati
semua rakyat.”
”Ngapa” Sultan Idris Shah bertanya.
”...ialah, karenah rakyat, Tuanku,”
aku menjawab.
Sultan Idris Shah merenungku, kemudian merenung Syed Ahmad Jamalullail.
”...ampun Tuanku, ...Tuanku kena bertindak, ...jangan dibiorkan...,”kata
Syed Ahmad Jamalullail.
”Ini yang susahnya, ....aku tak boleh campur politik....,” titah Sultan
Idris Shah.
Aku senyum.
”...ngapa senyum, tentu ada ape-ape ni?” Sultan Idris Shah bertanya.
”....begini, Tuanku tak boleh campur politik, tapi Tuanku tak boleh
biarkan orang politik menggunakan politik untuk membelakangi Tuanku dan
kepentingan rakyat Tuanku,...rakyat
tangungjawab Sultan...” aku berkata.
”Itu benor, ...aku tak boleh biorkan, ...deme nak maghah, maghah le,
...lantak...,” titah Sultan Idris Shah.
Perkara sungutan rakyat itu telah menjadikan Baginda bertambah tidak puas
hati terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Perak, di bawah Ghazali Jawi. Baginda
telah mengungkit; pada hari-hari sebelum Ghazali Jawi dilantik memegang jawatan
Menteri Besar Perak kali yang kedua, Baginda telah keberatan melantiknya
memegang jawatan Menteri Besar, disebabkan ’isu’ pada masa beliau memegang
jawatan Menteri Besar Perak kali pertama.
Sultan Perak menganggap ’isu’ yang lalu, sebagai belum selesai kerana tidak
dihadapkan ke mahkamah. Tetapi oleh kerana dengan nasihat Perdana Menteri, maka
mahu tidak mahu Baginda terpaksa menandatangani watikah perlantikan ke atas
Ghazali Jawi untuk memegang jawatan Menteri Besar itu.
Baginda telah
memberi syarat, bahawa Baginda boleh menandatangani watikah perlantikan itu,
tetapi jawatan yang dipegang oleh Ghazalai Jawi itu sementara beberapa bulan
sahaja. Pucuk pimpinan UMNO telah bersetuju.
Syed Ahmad Jamalullail yang
pernah memegang jawatan Pegawai Penerangan UMNO di Ibu pejabat parti itu,
adalah seorang yang paling rapat dengan Sultan Idris. Kadang-kadang nasihatnya
kepada Baginda, seperti Penasihat British kepada Raja-Raja Melayu pada zaman
penjajah Inggeris dulu. Ada kalanya pula dia seperti tukang lawak raja atau
badut (clown) dengan Sultan.
Kira-kira seminggu kemudian, Sultan Idris Shah telah meminta aku membantu
Baginda, iaitu menjadi Penasihat Hal
Ehwal politik kepada peribadi Baginda. Aku telah telah bersetuju dengan
permintaan Baginda itu. Di antara tugas-tugasku, ialah menulis titah ucapan
baginda (kecuali ucapan rasmi), dan memberi pandangan kepada Baginda mengenai
hal ehwal politik (kekadang isu- isu mengenai agama Islam) dan
mendapatkan mungkin sungutan-sungutan
rakyat mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan kerajaan dan
wakil-wakil rakyat.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah sayap
Bertongkatkan Paruh, (belum terbit)
oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.