KISAH DARI NOVEL
CINTA
Na’imah Halfa tahu benar, Zainal Rashid seorang pemuda Islam yang berpengetahuan Islam, tetapi iman dan takwanya kepada Tuhan masih lemah. Cair. Muda dan mentah seperti putik kurma. Putik anggur. Mudah layu.
Dari seminggu ke seminggu, persahabatan Na’imah Halfa dengan Zainal Rashid kian rapat. Zainal Rashid tidak sedar gadis itu sedang mempengaruhi dirinya. Memang, remaja seusianya menjadi benak hati dan tumpul otak bila dilayan oleh gadis cantik seperti Na’imah Halfa itu.
Pada satu malam minggu, Na’imah Halfa telah mengadakan majlis makan-makan bersama penuntut-penuntut perempuan kolejnya. Zainal Rashid telah dijemput ke majlis itu. Tujuan Na’imah Halfa menjemput Zainal Rashid, supaya dia berkenalan dengan seorang penuntutnya, gadis Melayu, bernama Fauziah.
“Kamu akan jadi anjing jantan, Fauziah akan jadi anjing betina,”hati Na’imah Halfa berkata pada waktu dia menjemput Zainal Rashid masuk ke rumahnya.
“...baiti, ... jannatakum ,” – “rumahku syurga kamu” - kata Na’imah Halfa sambil memegang lengan kiri Zainal Rashid.
Zainal Rashid sengeh. Gembira. Perasaan jantannya membakar darah mudanya pada detik-detik pinggul gadis itu tersinggung pinggulnya. Pada ketika lengan kanan Na’imah Halfa membeli pinggangnya, dia telah tenggelam dalam madu berahinya sendiri.
Na’imah Halfa senyum. Seekor anjing jantan telah masuk perangkapnya. Seekor anjing betina dari Malaysia, Fauziah, akan menjadi mangsa anjing jantan itu. Biar mereka menyalak dan mengerang sepanjang malam.
“Anjing, anjing-anjing,
Lidah terjelir mamah bangkai,
Menyalak siang dan malam,
Cinta anjing palsu,
Cinta nafsu,
Seribu salakan jantan seribu anak haram,
Anjing, anjing makan bangkai.”
Hati Na’imah Halfa menyanyikan lagu anjing. Mungkin dialah gadis di Masir yang bertabiat suka menghendap anjing-anjing yang berkawan dan meranduk pada waktu malam. Dia amat arif akan tabiat anjing. Ada kalanya dia sendiri bernafsu seperti anjing betina.
Lebih lima belas orang penuntut perempuan telah hadir dalam majlis pada malam itu. Mereka terdiri dari penuntut-penuntut Arab, Yahudi, Arab - Yahudi dan Kristian. Hanya Fauziah seorang gadis Melayu dari Malaysia.
Tujuan Na’imah Halfa mengadakan majlis itu, supaya mereka bergaul. Pergaulan antara remaja-remaja berbagai keturunan dan agama itu, akan dapat melunturkan iman Tuhan. Mereka akan menjadi anti agama Islam. Mereka akan berasa malu mengakui diri mereka orang Islam. Perangai mereka akan berubah menjadi seperti perangai remaja-remaja Yahudi dan Kristian yang moden.
Terdapat beberapa orang gadis yang hadir dalam majlis itu menganut lesbianisme. Mereka menjadi rakan lesbian Na’im Halfa. Na’imah Halfa telah mengajar mereka; amalan lesbian tidak merosakkan mahkota gadis-gadis. Mereka tidak menjadi mangsa lelaki. Dan mereka juga tidak akan melahirkan keturunan yang akan mengharu birukan dunia ini.
“Kita mahukan kebebasan, wanita boleh melakukan apa sahaja, hatta menguasasi lelaki...,” Na’imah Halfa mengajar rakan-rakannya.
“Kamu semua tahu, orang Arab ada berkata, lelaki, walau macam mana bijak sekalipun terkekang antara dua batang paha perempuan...,”kata Na’imah Halfa.
Na’imah Halfa mengakuri pendapat malaikat yang berkata kepada Allah pada waktu Allah akan menciptakan Nabi Adam, ”mengapa kamu menempatkan di muka bumi orang yang akan membuat bencana di sana dan menumpahkan darah.” Dia mahu mencipta bencana bersama rakan-rakan lesbiannya.
Na’imah Halfa tahu, penyakit moral demikian itu telah menjalar kepada sebilangan penuntut-penuntut perempuan Melayu yang menuntut di institut-institut pengajian tinggi di Amerika Syarikat, England dan di negara-negara lain.
Zainal Rashid telah diperkenalkan oleh Na’imah Halfa kepada semua penuntutnya dalam majlis itu. Mereka mesra. Ada beberapa orang dari mereka menggatal. Gelenyar. Merenyam. Sepuntung demi sepuntung tangan gadis -gadis itu dijabat oleh Zainal Rashid.
“...ini Fauziah, dari Malaysia,” Na’imah Halfa perkenalkan Fauziah kepada Zainal Rashid.
“...ana, Zainal Rashid, dari Kelantan, Malaysia,”kata Zainal Rashid dalam bahasa Arab sambil menjabat tangan kanan Fauziah.
“...Fauziah Tahir, dari Perak,” sambut Fauzih dalam bahasa Arab juga.
Suara Fauziah gugup. Tapak tangannya dingin dan seluruh tubuhnya terasa menggigil.
Bola mata Zainal Rashid menjilat dada Fauziah yang berisi pejal.
“Perak, di mana?”Tanya Zainal Rashid.
“Padang Rengas, Kuala Kangsar,”jawab Fauziah.
“…ooo, tempat bapa mertua Dato’ Asri, …bapa Datin Sakinah, Sheikh Junid Tala,”kata Zainal Rashid.
Fauziah senyum. Kepalanya kosong dari kisah sejarah bekas Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd.Asri Muda dan ulama terkenal di Perak, Sheikh Junid Tala.
“Ana dari Kota Bharu,” ulang Zainal Rashid.
“Tak tanya pun,”hati Fauziah bersuara.
Fauziah senyum. Tangannya dilepaskan oleh Zainal Rashid. Degup jantung Fauziah kencang. Tangan lelaki yang memegang tangannya menjadikan darahnya seolah-olah cair. Panas. Mendidih dan memanaskan seluruh tubuhnya.
“…enta menuntut di mana?”Tanya Fauziah.
“…Al Azhar, …tahun akhir,”jawab Zainal Rashid.
Fauziah senyum.
“…ana di kolej ustazah Na’imah Halfa,”Fauziah memberitahu Zainal Rashid.
“Ooo, begitu, jadi ente ni penuntut dialah,”sambut Zainal Rashid.
“Ia, …dia guru ana, …cantik bukan?”Tanya Fauziah.
“Wallahi, …ente lebih cantik dari dia…,”puji Zainal Rashid.
“Ia, terima kasih,”sahut Fauziah.
Jantung Fauziah kencang bagaikan akan mengopak dinding dadanya. Pujian itu membanggakannya. Pujian pemuda itu merangsangkan nafsu berahinya.
“Enta pun kacak,”kata Fauziah.
“...taklah, ana ni macam kucing kena hujan,” kata Zainal merendah diri.
“Kucing kena hujan bagus,”sahut Fauziah.
“Ngapa?” Tanya Zainal Rashid.
“...kan kucing tu sejuk, ia cari panas...,”kata Fauziah sambil ketawa kecil.
Zainal Rashid terasa dirinya dicabar oleh Fauziah. Pada ketika itu dia berkeadaan seperti pemukat burung ruak-ruak tepi sawah. Fauziah menjadi burung yang mula tersangkut pada pukatnya.
“Dahlah kena hujan, kurap pula...,” kata Zainal Rashid.
“ Merendah diri pula...,”kata Fauziah dengan bahasa Melayu.
“...ia, tapi ente cantik sungguh, molek..., malam ini tentu ana tak dapat tidur...,” Zainal Rashid mengulangi pujiannya kepada Fauziah.
“Mengapa?”Fauziah bertanya dalam bahasa Melayu.
“Kerana ingatkan ente, gadis cantik manis ni...,”jawab Zainal Rashid.
Fauziah tergiur kerana dipuji begitu. Kalau tidak kerana malukan teman-teman dan Na’imah Halfah tentulah Fauziah memeluk tubuh Zainal Rashid.
Na’imah Halfa merenung mereka. Senyumannya berkulum. Harapannya; Zainal Rashid dan Fauziah akan menjadi sepasang anjing. Anjing jantan mendapat mangsa.Jelir lidah panjang-panjang. Anjing betina menyalak. Merengek. Mencakar tanah.
Dalam cahaya lampu yang suram, Na’imah Halfa merenung kepada Zainal Rashid dan Fauziah. Perasaan jantinanya membakar jantung dan darahnya. Dia bangun dan berjalan mendekati mereka. Senyumannya bagaikan kembang bunga di bawah cahaya bulan.
“Kamu berdua pasangan yang ide, cocok, ...saya teringat akan kisah percintaan wira Melayu,yang saya telah membaca ceritanya,di Colonge dulu, love story..., Hang Tuah dengan Puteri Gunung Ledang,” kata Na’imah Halfa.
“...kami tidak bercinta,” sahut Zainal Rashid.
“Biasanya, apabila fajar menyingsing, matahari tetap akan terbit...,”kata Na’imah Halfa.
“Betul begitu, Cik Na’imah?” Zainal Rashid bertanya.
“Saya tak dapat jawab, saya bercakap ikut ilmu balaghah...,tanya kepada Fauziah, apa perasaannya..,”kata Na’imah Halfa.
“...cinta itu buta, Cik Na’imah” kata Fauziah.
“Ia, ...buta, kerana butalah, kita merasa nikmatnya...,”sahut Na’imah Halfa
Mereka ketawa. Tawa mereka telah menarik perhatian penuntut-penuntut perempuan dalam parut dewan rumah itu.
Pada waktu akan meninggalkan rumah itu pada pangkal pagi, sambil mengucapkan selamat kepada Fauziah, Zainal Rashid meramas tangan kanan gadis itu. Fauziah menggigil dilanda nafsu berahinya. Mereka telah berjanji akan bertemu lagi.
“...Fuzi, I love you..., ... miss you,”kata Zaianal Rashid.
“Ana..., miss you selalu...,”sahut Fauziah.
Pada saat-saat Fauziah merenungnya dengan dua bola mata bernafsu, Zainal Rashid teringat akan kata-kata Arab Badawi dalam sebuah buku yang telah dibacanya,
“Aku tidak pernah melihat renungannya menyala seperti cahaya api”.
Semenjak pertemuan pada malam itu, Zainal Rashid telah menjadi seperti kata-kata orang Arab, “Lelaki (walau sebijak mana) terkekang antara dua batang paha wanita”. Fauziah seperti kata orang tua-tua Melayu, “...sepandai-pandai belatuk, mati juga bersama punggur rebak”. Zainal Rasahid dan Fauziah telah terkekang dalam ikatan ‘sepasang kekasih’.
Mereka sering bertemu.Tidak cukup dengan pertemuan pada tiap-tiap petang, pada tiap-tiap malam minggu mereka berdua-duaan jua. Mereka laksana sepasang belangkas di gigi air atas pantai.
Hati masing-masing menyanyikan lagu asyik maksyuk. Lagu dari puisi atas secebis kertas dalam bakul sampah di perpustakaan:
‘Bila aku mencintaimu,
diriku dalam dirimu,
dirimu dalam diriku,
aku bersamamu debu,
debu basah tika malam basah,
kita kuyup bersama debu.’ *
* Dari manuskrip novel, Bunga Padma di Lembah Nil', oleh:
Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.