KISAH DARI NOVEL
PEMUDA LABU SAYONG CINTA GADIS RAJA
Air sungai Perak jernih berkaca. Beralun. Berlenggang dalam cahaya matahari pagi minggu yang indah. Air mengalir dalam perut sungai antara Kota Lama Kanan dengan Kota Lama Kiri. Mengalir lagi antara bandar Kuala Kangsar dan kampung Sayung dan terus ke hilir bagaikan merajuk tidak berkesudahan.
Perahu motor membawa penumpang dari pangkalan di lembah bandar Kuala Kangsar menyeberangi sungai Perak ke penambang kampung Sayung Lembah. Tengku Intan duduk atas bangku panjang sambil tangan kanannya bermain air sungai yang dingin.
“…harap-harap dia ada,…aku nak jumpa dia,” hati Tengku Intan bersuara.
Tengku Intan tidak sabar menanti perahu tiba ke pangkalan. Bunyi deru motor perahu itu terasa baginya seperti melambatkan perjalanannya ke bengkel labu tanah. Di sana dia mahu bertemu dengan ‘Alimin. Terlalu lama dirasanya, telah seminggu dia tidak menatap wajah pemuda itu terasa parah benar rindunya.
“Iake aku ni jatuh cinta pada dia?” Hati tengku Intan bertanya kepada dirinya sendiri.
“Iale tu, gadis apa kalau tak faham cintake atau tidak,”hatinya berkata lagi.
“Ingat Tengku, dia tu alim, warak,…kalau Tengku ego, sombong, tak berada, dia tak akan terima Tengku,…Tengku juga yang derita dalam cinta tak menjadi,”hatinya mengingatkan dirinya.
“Tu aku taule,”sahut Tengku Intan.
“…tengok, tak pakai tudung kepala, macam orang tak ada agama, nak jumpa dia?”Hatinya bertanya.
“Tak apa, lain kali aku pakai tudungle…,”jawab Tengku Intan.
“Ingat tau, orang perempuan Islam berdosa tak tudung kepala, tau dosa?” Tanya hatinya
“Tu aku tauuuu….,”jawab Tengku Intan.
“ Kalau tau baguslah,…jangan Tengku ingat darah raja, daging raja, tulang raja tak dimakan api neraka,”jerkah hatinya.
“Aku tau, aku ada belajar…,”sahut Tengku Intan.
LABU TANAH
Perahu tiba di pangkalan. Penumpang - penumpang lelaki, perempuan dan kanak-akanak turun menjejak pelantar penambang. Tengku Intan bangun dari bangku panjang dan mengikuti penumpang-penumpang turun dari perahu. Dia menjinjit sebuah bujam berisi makanan untuk’Alimin.
Tengku Intan terpaksa pergi seorang diri ke sana. Rakan-rakannya tidak dapat bersamanya kerana masing-masing ada hal yang mesti diuruskan.
Pada waktu Tengku Intan berdiri menunggu kereta sewa untuk ke bengkel labu tanah, tiba-tiba seorang lelaki kundang istana, Mat Ros menyapanya.
“Nak ke mana Tengku?”
“ Aaa, Cik Mat Ros,…saya nak pergi ke bengkel labu tanah,”
“Nak pergi dengan apa, bawa kereta?”
“Tak, tunggu kereta sewa.”
“…eh, mari saya hantar, … kalau berjalan jauh, Tengku tu….”
“Ia, terima kasihle.”
“Sama-sama.”
Kereta yang dipandu Mat Ros merayap atas jalan kampung yang bengkang bengkok dan lekuk lekak.
“Tengku nak beli labu tanahke?”
“…aaa, saya nak belajar buat labu tanah.”
“Eh, takkanle, berselut, kotor, laluke, Tengku?”
“Tak apa, orang belajar nak jadi jururawat, jadi doktor kena hadap benda busuk, luka, kudis, cabuk…, bangkai pun.”
Mat Ros ketawa.
“Cek Mat pandai buat labu tanah?”
“Tak pandai,…tiup napiri, pukul gendang nobat taule.”
“O, begitu.”
JIN KERAJAAN
Sebaik-baik sahaja kereta tiba di jalan masuk ke bengkel ‘Alimin, Tengku Intan meminta Mat Ros tidak memberitahu sesiapa yang dia datang ke bengkel itu. Sambil menghulurkan wang kertas sepuluh ringgit, dia berkata kepada Mat Ros:
“Jangan beritahu nama saya Tengku,…rahsia tau.”
“Baik, Tengku.”
Tengku Intan turun di hadapan bengkel.
“Apale anak raja ni, rupa macam bidadari nak buat labu tanah pula…,”sungut Mat Ros.
Mat Ros bekerja kundang istana. Kalau pada hari-hari kebesaran atau istiadat, dia juga jadi pak pacak atau melakukan kerja yang diperintahkan oleh raja. Kerja kundang istana, gajinya murah, tetapi makan dan minum mewah; makan nasi kawah istana. Kalau pandai boleh cari wang luar menggunakan nama raja.
Ramai orang-orang kampung Sayung bekerja di istana. Tukang tiup napiri, pukul gendang, pukul gong dan dabus. Pendeknya mengguna alat-alat kebesaran jin kerajaan istana, dipegang oleh orang-orang kampung Sayung. Menurut cerita, mereka itu keturtunan orang Bugis dan kesultanan Aceh. Orang berdarah Pattani, Minangkabau, Jawa atau berdarah lain dari Acen dan Bugis tidak boleh melakukan tugas jin kerajaan dalam istana.
‘Alimin dan Mimi menyambut ketibaan Tengku Intan dengan penuh hormat. Walaupun hati Mimi dimamah cemburu terhadap gadis itu, tetapi kerana abang saudaranya berniaga, dia terpaksa mencampakkan perasaan buruk itu dari dirinya. Mimi melayan Tengku Intan dengan mesra.
“…belajar buat labu tanah ni, kena uli tanah liat, macam uuli tepung, “’Alimin berkata kepada Tengku Intan.
“Tak apa,”sahut Tengku Intan.
‘Alimin mengajar gadis itu menempa labu tanah, mengukir atau melarik bunga dan membakar sampai berwarna hitam.
“Labu ni boleh buat bom, tau,”kata ‘Alimin.
“Iake?” Tanya Tengku Intan.
“Ia, buat ikut saiz, pada waktu nak tempa masukkan besi paku, macam-macam besi lagi,…dah tu masukkan alat dinamit atau peledaknya,”jawab ‘Alimin.
“Wau, boleh guna untuk berperang,”kata Tengku Intan.
“Boleh, Intan berani berperang?” ‘Alimin bertanya.
“…kalau tiba waktunya, berani,”jawab Tengku Intan.
“Kalau begitu Intan boleh berkhidmat dalam pasukan tentera, kelulusan macam Intan, tentu tinggi pangkat…,”kata ‘Alimin.
“Saya tak minat jadi tentera,”sahut Tengku Intan.
‘Alimin diam. Dia merenung ke dalam telaga mata Tengku Intan.
“Saya nak jadi tukang labu tanah, sementara saya nak belajar kat London,” Tengku Intan berkata.
“Bagus tu, nak belajar jurusan apa, Intan?” Tanya ‘Alimin.
“Saya minat sains politik , sains kemasyarakatan,” jawab Tengku Intan.
“Bagus tu, boleh jadi ahli politik, pemimpin masyarakat,”kata ‘Alimin.
“Mudah-mudahan, Insya Allah,”kata Tengku Intan.
Mereka berehat seketika.
GELI HATI
Alimin memerhatikan wajah Tengku Intan, dua puntung tangan dan cara dia bercakap’ dia menduga gadis itu egois. ayskin benar dia yang gadis itu berdarah raja. Mungkin dia gadis istana yang pura-pura mengaku orang kebanyakan. Tetapi ‘Alimin tidak mahu bertanya kepada Tengku Intan. Bertanya bererti akan menimbulkan sangkaan. Lebih baik dia mencari sendiri dari mana asal usul gadis manis itu.
“Belajar sains politik, kena belajar sejarah, termasuk sejarah Islam,”kata ‘Alimin.
“Ia, kenake?”Tanya Tengku Intan.
“Ia, kena,…sejarah Rom,Eropah, Asia, …sejarah perjuangan bangsa Melayu, ”Jawab ‘Alimin.
“Kalau macam tu, Intan nak belajar sejarah Islam pada ‘Aliminle,”kata Tengku Intan.
“Apalah ada pada saya, nak belajar pada orang pandai,”kata ‘Alimin merendah diri.
“Dah ngadale tu, ‘Alimin alim, tau sejarah Islam, tau sejarah orang Melayu,”kata Tengku Intan.
“Eh, taklah, saya tak pandai, tak belajar,”’Alimin berkata.
“Alaaa, jangan nak merendah diri pula, Mimi yang beritahu kat Intan,”kata Tengku Intan.
‘Alimin diam. Dia menahan geli hatinya. Hatinya mengaku; gadis itu lebih awal mengetahui rahsia dirinya, tetapi dia belum mengetahui rahsia diri gadis itu.
“Sayang kawan-kawan Intan tak datang,”kata ‘Alimin ketika dia duduk memerhatikan Tengku Intan menempa labu tanah.
“Deme tu nak datang, tapi ada hal pula,”sahut sahut Tengku Intan.
‘Alimin diam. Tunduk.
“Lain kali datang deme tu,”kata Tengku Intan.
“Ialah,”sahut ‘Alimin.
“Ngapa, rindu?” Tengku Intan bertanya. Menduga.
“Tak, apa nak dirindukan,…orang yang saya rindu ada di sini,”jawab ‘Alimin.
Wajah Tengku Intan disambar daranya sendiri. Jantungnya berdegup dan menendang-nendang dinding dadanya.
“Saya ingat, saya yang rindu seorang,”kata Tengku Intan dengan suara menggetar.
“…kalau rindu dantanya cinta,”kata ‘Alimin.
Tengku Intan diam. Tunduk menatap tanah liat di dujung kakinya.
“…kalau orang kampung macam saya ni cintakan Intan, salah tak?” ‘Alimin bertanya.
Tengku Intan diam. Jari jemari tangannya menggeletar. Bulu-bulu roma tengkuk terasa meremang.
“Kalau saya cintakan Alimin salah tak?” Tengku Intan bertanya.
“Tak, tak salah, cinta nikmat dari rahsia Tuhan, kita cintakan seseorang maknanya kita syukur nikmat Tuhan,”jawab ‘Alimin.
“Iake?”Tanya Tengku Intan.
“Cinta, macam juga jodoh, pertemuan, mati, di bawah takdir Tuhan, kita manusia, Intan,”kata Alimin sambil merenung dua lesung pipit dan anak-anak rambut gadis itu..
“Iake?” Tengku Intan bertanya.
Puteri raja itu tidak pernah mendengar ungkapan -ungkapan tentang kuasa Tuhan. Semenjak dilahirkan dia hidup dalam kemakmuran. Yakin kepada sesuatu yang dilihat,didengar dan ditelan berada di bawah kuasa manusia. Misalnya dia tahu Maharaja Firaun berkuasa atas umat Yahudi sehingga berjaya membina piramid.Raja Melayu Melaka berkuasa atas belakang rakyatnya. ‘Beraja di mata bersultan di hati’. Azan dari masjid dan ayat-ayat Quran didengar, tetapi dia belum arif manusia di bawah takdir Tuhan.
“…ngapa, tak betulke cakap saya, Intan?” ‘Alimin bertanya.
Tengku Intan senyum.
“Saya tak pernah dengar kata-kata begitu,” Jawan Tengku Intan.
“Tak percaya?” Tanya ‘Alimin.
“Percaya, tapi…,”jawab Tengku Intan.
“Kalau Tengku tak percayakan kekasih sendiri, nak percaya siapa lagi?” ‘Alimin bertanya. Senyum.
“…saya percaya, percaya sangat,…tapi saya bukan Tengku,”jawab Tengku Intan.
“Minta maaf, tersilap,maklumlah manusia…,”sambut ‘Alimin.
Hati Tengku Intan bagaikan kulit ikan terkena minyak panas. Hatinya khuatir kalau-kalau ‘Alimin telah mengetahui akan rahsia dirinya.
“Benarkah dia tersilap cakap?”hati Tengku Intan bertanya.
‘Alimin sendiri tidak sedar dia tersasul menyebut Tengku. Hatinya memuji Tuhan; tentu ada hikmat di sebalik ketersasulannya tadi.
“Bila Intan nak datang lagi?” ‘Alimin bertanya.
“Aaa, esok,lusa, … bila pun tak apa,”jawab Tengku intan sambil melepaskan jari jemari tangan kanan ‘Alimin dari genggamannya.
Dua asang tangan masing-masing berlumuran tanah liat.
“…adat orang berkasih, orang tempa labu tanah,…apa pula tangan saya ditempa…,”sindir ‘Alimin.
“Saja, … tak boleh?” Tanya Tengku Intan.
“Saya tak kata,”jawab ‘Alimin.
“Kalau dah suka,…tu baru tangan,” sahut Tengku Intan. Ketawa.
“Ai, dah macam pantun orang kita…” kata ‘Alimin.
“Apa pantunnya?” Tanya Tengku Intan.
“Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan,”jawab ‘Alimin.
“Lagi, lagi,” kata Tengku Intan.
“Kalau sungguh bagai dikata, badan dan nyawa saya serahkan,”’Alimin mengucapkan pantun.
Bagai anak manja dengan ibunya, Tengku Intan memaut tubuh ‘Alimin sejenak. Penuh kasih. Penuh saying. Mesra amat.
‘I love you…” suara Tengku Intan menggigil.
‘Alimin senyum.Empat mata mereka ibarat bulan yang satu.
“Kalau hati dah cinta, kata-kata tak perlu lagi,”sahut ‘Alimin.
Pada detik-detik begitu,terasa benar pada hati nurani Tengku Intan, betapa pentingnya pemuda itu kepada dirinya.
Mimi memerhatikan Tengku Intan sedang menghadap beberapa biji labu tanah yang baru siap ditempa. Hatinya dimamah cemburu kepada gadis itu. Khuatir benar hatinya kalau-kalau gadis itu merampas ‘Alimin daripadanya.
“Tapi, kalau abang ‘Alimin cintakan dia, aku rela.” nekad hati Mimi.
Pada petang itu ‘Alimin dan Mimi menghantar Tengku Intan pulang. Mereka menaiki van tua sampai ke Pangkalan Tambang Sayung Lembah. Dalam perjalanan mereka ke Pangkalan Tambang, Mimi dapat menangkap; sesungguhnya, gadis berlesung pipit itu mencintai abang saudaranya.
Sambil melambaikan tangan kepada Tengku Intan yang duduk atas perahu menyebrangi Sungai Perak, hati Mimi yakin akan lagu belotah orang Melayu Perak - Bandar, Pasir Salak, Lambor, Bota dan Parit, ‘Apa diharap pada maman, semalu juga banyak tumbuhnya. Apa di harap pada padi, lalang juga lebat daunnya’.
“Cantik, kak Intan tu, bang,” kata Mimi kepada ‘Alimin pada ketika mereka dalam van membawa mereka pulang ke rumah.
“Iake?”Alimin baratnya.
Mimi mengangguk.
“Entah, abang ni macam orang buta rabun, tak tau mana perempuan cantik, mana tidak,”kata ‘Alimin.
Mimi senyum.
“…yang abang tau, adik abang ni cantik,”kata ‘Alimin.
Mimi diam.
“Tak sama, cantik lagi dia tu,”hati Mimi berkata.*
* Dari manuskrip novel, Cinta dan Jihad, (belum terbit) oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.