KEHIDUPAN
ORANG MELAYU PRA MERDEKA
Sejak pada
zaman penjajahan Inggeris Yang pertama, pada tahun-tahun dijajah Jepun hingga
kepada masa orang Melayu menuntut kemerdekaan, semua warga Kepala Batas yang
tinggal dalam kawasan persawahan, bergantung kepada hasil padi, mereka yang
tinggal dalam kawasan darat yang bersempadan dengan negeri Kedah bergantung
kepada hasil getah dan hasil-hasil lain. Sebahagian kecil pula, di sebekah
Kuala Muda bergantung kepada hasil laut.
Pada masa itu, dalam kawasan Kepala Batas terdapat tiga golongan penduduk,
iaitu:
(1) Penduduk yang memiliki
sawah padi dan ladang getah yang luas,
(2) Penduduk yang memiliki
sawah padi dan ladang getah yang luas tanahnya ibarat ‘sekangkang kera’ sahaja,
(3) Penduduk yang tidak
memiliki sawah padi atau ladang getah, walaupun luasnya sekadar sekuku manusia.
Kerana padi bermusim – setahun hanya sekali, maka pada musim tidak
bersawah, ramai orang lelaki dari pendunduk (no.2)
dan (no.3) yang bekerja buruh tali air atau dalam berbagai perusahaan termasuk
kuli sambilan di pelabuhan kapal Pulau Pinang dan Butterworth. Manakala kebanyakan
isteri membuat kerja yang mampu bagi mereka untuk membantu menambahkan
pendapatan suami masing. Mereka bekerja mengambil upah menjahit pakaian,
menganyam tikar mengkuang dan ramai pula yang bercucuk tanam. Iaitu menanam ubi
kemili, ubi kayu, ubi keledek dan berbagai jenis sayuran.
Pemilik ladang - disebut kebun getah -, small
holder menggunakan penoreh-penoreh getah untuk menoreh pokok getah dalam
ladang mereka dengan cara pawah, iaitu kalau satu hari mendapat empat keping
getah, maka pemilik mendapat dua keping dan penoreh mendapat dua keping juga.
Getah bertali kecil di alur pada batang (getah scrap) dan getah buku dalam
cawan-cawan menjadi milik penoreh. Ada juga dibahagi dua dengan pemilik ladang.
Saya telah meneliti dan mengalami, bahawa pokok getah asli yang berasal
dari Brazil yang dibawa ke Tanah Melayu oleh penjajah Inggeris dengan tiga
tujuan utama, iaitu:
(1) Menambahkan pendapat penduduk
negeri yang mereka jajah.
(2) Untuk melekakan atau
melemahkan penduduk yang mereka jajah.
(3) Mengurniakan hasil dan
keuntungan kepada saudagar-saudagar pihak penjajah atau yang terdiri dari
golongan penjajah.
Pemilik ladang getah yang terdiri dari orang Melayu, mereka terkekang dalam
kehidupan yang serba susah. Selain dari hidup payah, ibarat ‘kais pagi makan
pagi kais petang makan petang’, mereka Hidup berpada dengan apa yang ada, seperti
seorang hamba penjajah, iaitu hidup bergantung kepada bantuan orang lain.
Kadang-kadang jadi malas bekerja dan memuji penjajah Inggeris. Sebilangan dari
mereka jadi kaki sembang di kedai kopi, pemain daun terup, pemain judi seperti
sabung ayam, judi dadu dan tikam nombor ekor.[1]
Kerana kemiskinan sebagai pekebun kecil getah, mereka jarang-jarang
mendapat makanan yang mengandungi zat, seperti mentega, susu, keju, daging
lembu, daging kambing, ikan laut dan sebagainya. Makanan yang sering masuk ke
mulut dan mengisi usus mereka, ialah tumbuh-tumbuhan di sekitar rumah, seperti kangkung,
paku pakis. Di sekitar sawah padi seperti ikan keli, haruan, puyu dan sepat
Siam dan sepat ronggeng. Dalam kebun getah, cendawan batang atau kulat dan
pucuk salang. Dalam rimba, umbut kabung, umbut bayas, buah bakung dan
sebagainya..
Benih atau biji getah asali (Brazilian
tree) telah dibawa dari Amerika Selatan oleh Sir Henry Wickson ke London
dan disemai di sana pada tahun 1846. Kemudian anak-anak getah asli itu dibawa
ke Ceylon (Sri Lanka) dan Siam, iaitu Grik (Koh Dahulu), Hulu Perak serta ke
merata kawasan Kepulauan Melayu.
Walaupun getah asli mendapat pasaran yang meluas di seluruh dunia dan
banyak gunanya kepada umat manusia, di antaranya membuat tayar, alat
kelengkapan pejabat, rumah tangga, pertanian dan sebagainya, tetapi
pekebun-pekebun kecil getah masih tersepit di celah penderitaan juga.
Pada tahun 1918 seorang pegawai penjajah Inggeris, Kapten Hurbert Berkeley
telah dihantar ke Gerik (Koh Dahulu), Hulu Perak, untuk menjadi Pegawai Tadbir
atau Pegawai Jajahan (Pegawai Daerah) di sana. Isterinya menetap di India.
Kemudian dia telah meninggalkan Hulu Perak kerana menjalankan tugasnya di
seluruh negeri Perak dan negeri-negeri lain. Pada tahun 1924 dia telah datang
sekali lagi ke Hulu Perak dan memegang jawatan yang sama. Dia adalah salah
seorang dari beberapa orang pegawai penjajah Inggeris yang telah berjaya
memujuk dan menjinakkan ramai orang Melayu di kampung-kampung di seluruh Tanah
Melayu.
Hurbert Berkeley sering memakai pakaian seperti Orang Besar- Besar Melayu
pada zaman silam, iaitu berseluar panjang dan baju, kain samping dan tengkolok.
Dua tiga hari dalam seminggu dia bersama penghulu atau pegawai bawahannya telah
melawat ke kampung-kampung dalam daerah Grik, iaitu Lenggong dan Kroh
(Pengkalan Hulu) untuk menemui penduduk-penduduk di sana.
‘Apabila usaha ke arah menarik orang Melayu dan bangsa Melayu memuja
Inggeris telah berjaya, maka dalam tahun 1918 Kerajaan Inggeris telah
menghantar Kapten Hurbert Berkeley untuk menjadi Raja atau Pentadbir Kerajaan
Negeri Perak, iaitu bahagian Hulu Perak. Kemudian meninggalkan Hulu Perak,
kemudian pada tahun 1924 datang semula ke Hulu Perak dan menjalankan tipu
muslihat di Hulu Perak dan mencari jalan untuk memujuk Orang-Orang Besar Negeri
Perak.
Usaha memujuk Orang-Orang
Besar telah memberi kejayaan besar kepadanya untuk menarik rakyat Hulu Perak
taat kepadanya dan memandang Inggeris sebagai satu bangsa mulia. Pada waktu itu
ada orang-orang di Hulu Perak memandang Hurbert Berkeley lebih mulia dari
segala insan.
Berkeley mulai bercampur
gaul dengan rakyat jelata di kampung-kampung, dia masuk sawah keluar sawah, masuk
ladang keluar ladang, makan asam garam dan sambal belacan bersama rakyat di
huma-huma dan pendeknya Berkeley tidak asing lagi bagi orang-orang Melayu Hulu
Perak. Di samping itu orang Melayu memuja Berkeley sebagai seorang yang baik
hati dan sebagainya.(Buku, Bangsa Melayu Menggugat Dunia (1966), Oleh: Mokhtar Petah)
Hurbert Berkeley telah memberi tanah untuk kebun getah yang luasnya di
antara 1 hingga 3 ekar kepada penduduk-penduduk kampung. Dalam geran tanah itu
dicatat jenis tanamannya, iaitu getah. Sama ada pekebun-pekebun itu menanam
anak-anak getah atau tidak dalam kebun mereka, namun, mereka tetap menerima kupon
bernilai satu pikul setiap satu ekar pada tiap-tiap hujung bulan Masihi.
Kemudian mereka menukarkan kupon itu dengan wang di pejabat daerah atau di
kedai membeli dan menjual getah menurut nilai yang ditetapkan.
Dengan kupon itu pemilik-pemilik kebun getah tidak payah-payah bekerja.
Kebun getah semak samun atau jadi belukar. Pada tiap bulan mereka mendapat wang
dengan mudah. Mereka memuji Kerajaan Inggeris. Tidak ada langsung di kalangan
sebilangan pekebun getah fikiran untuk membebaskan diri mereka dari penjajah
Inggeris atau merdeka.
Kerana kebun-kebun getah orang Melayu tidak dijaga, seperti tebas atau cuci
semak samunnya, maka telah menjadi buah nasihat kepada orang ramai pada zaman
itu, iaitu:
* Jangan beli kebun getah orang
Melayu (kerana semak samun).
* Jangan beli kelambu Cina
(kerana sejak beli tak pernah basuh)
* Jangan beli basikal orang
Hindu (kerana menurut bukit digatih juga).
Sementara
itu semua pejabat tanah di bawah perintah Inggeris telah mengeluarkan tanah
beribu-ribu ekar kepada saudagar-saudagar Inggeris dan rakan-rakan niaga mereka
untuk dijadikan ladang getah di seluruh Tanah Melayu. Semua tanah itu dikenakan
bayaran mendapatkan hak milik sekadar 25 sen seekar.
Apabila Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney (1948) menjalankan polisinya
yang gagal’, iaitu untuk menghapuskan keganasan komunis kerana menentang
penjajah British di Tanah Melayu hanya dengan kekuatan tentera dan pengembangan
politik, pembangunan ekonomi dan kemajuan rakyat, maka pada tahun 1950–51 harga
getah melambung tinggi, iaitu antara $2.00 dengan $2.70 sekati.
Selain dari harga getah, maka harga kelapa kering (kopra) turut naik
melambung. Penduduk-penduduk dalam kawasan Bagan Dato, Perak dan Sabak Bernam,
Selangor, telah menikmati durian runtuh.
Pada masa harga getah naik melambung itu, sedikit benar dari penoreh-penoreh
getah yang terdiri dari orang Melayu yang mempunyai kesedaran ekonomi dan kesedaran
untuk berjimat cermat. Ramai pemuda penoreh getah yang boros. Mereka memakai
motosikal jenis besar dan mahal (buatan British), saban malam berfoya-foya
dalam bandar Ipoh, Teluk Anson, Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain.
Sebilangan pemuda penoreh getah dalam kawasan Parit, Kampung Gajah, Perak,
mereka menyewa bilik-bilik hotel dalam bandar Ipoh dan Teluk Anson. Pada sebelah
pagi dengan menunggang motosikal – seorang atau membonceng dengan kawan, mereka
pulang ke kampung mereka untuk menoreh getah. Pada sebelah petang mereka datang
semula ke bandar untuk berfoya-foya dan menginap dalam bilik hotel[3]
yang mereka sewa cara bulanan.
Pada tahun-tahun itu sebilangan besar penduduk Kepala Batas yang memiliki
kebun getah telah merasa akan nikmat dari harga getah melambung tinggi, tetapi
mereka telah tidak memuja penjajah Inggeris lagi. Mereka telah menjadi rakyat
yang menyertai perjuangan menuntut kemerdekaan yang dipimpin oleh para pemimpin
Melayu, seperti Sheikh Abdullah Fahim, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Dr.
Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhammad, Dato Onn Jafar dan Tunku Abdul Rahman
Putra, Haji Ahmad Fuad Hassan dan
beberapa orang lagi.
PADI KUNCA
Pada zaman Tanah Melayu di bawah cengkaman penjajah Inggeris, semua petani,
penoreh getah, nelayan dan buruh hidup dalam keadaan serba kekurangan – miskin
– ibarat ‘berselimut kain panjang lima, tutup kaki kepala terdedah, tutup
kepala kaki telanjang’ atau laksana ayam kampung, ‘kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang’.
Sebilangan petani di Kedah, Perlis, Seberang Perai termasuk Kepala Batas terpaksa
berhutang dari orang-orang yang berada yang sanggup memberi hutang kepada
mereka.
Mereka terpaksa berhutang kerana hendak membeli barang-barang keperluan atau
makanan, membiayai anak-anak bersekolah dan sebagainya. Pada masa itu tiada
institusi kewangan yang sedia memberi pinjaman kepada mereka. Majlis Amanah
Rakyat (MARA). Majlis itu berasal dari sebuah institusi dana kewangan bernama Rural Industrial Development Aunthority (RIDA)
yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafar. MARA telah menerima hadiah wang dari Kerajaan
British sebanyak ₤10,000,000. untuk tabung kebajikannya.
Dato Onn Jaafar telah memberitahu saya pada masa dia mengendalikan surat
khabarnya, ‘Keritik’, pada tahun 1960-an, bahawa wang itu adalah hadiah dari
Kerajaan British supaya dia membantu orang Melayu di luar bandar menjalankan
perniagaan dan perusahaan kecil-kecilan. Melengkapkan rumah mereka dengan paip
air yang dipasang dan disalurkan dari sungai dalam kawasan tempat tinggal
mereka. Mengadakan kuasa elektrik dari bahan-bahan tempatan dan sebagainya. Selain
itu untuk membantu anak-anak warga kampung melanjutkan pelajaran ke peringkat
menengah dan tinggi.
Menurut pemimpin Melayu itu, bahawa wang itu sebagai hadiah kepadanya
kerana dia telah dapat menjaga nama baik Kerajaan British di mata dunia, bahawa orang Melayu
tidak menentang British, tetapi yang menentang mereka ialah pengganas komunis
dan mereka dari golongan kiri yang dianggap pengganas juga.
Selain dari menjaga nama baik Kerajaan Inggeris, bantuan itu kerana
menghargai jasa sebagai Menteri Dalam Negeri dalam Kerajaan British di Tanah
Melayu, pada tahun 1948–1949. Pada masa itu beratus-ratus orang penentang Kerajaan
British di Tanah Melayu telah ditangkap dan ditahan dalam khemah-khemah tahanan
di Ipoh, Batu Gajah, Pulau Jerjak, Tanjung Beruas dan beberapa khemah tahanan
lagi.
Mereka itu terdiri dari para anggota dan ahli Parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),
Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan pemuda Insaf (API) dan pertubuhan-pertubuhan
lain.
‘Oleh kerana benar-benar
menyedari akan kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi, Dato’ Onn telah
pergi ke London meminta bantuan daripada British untuk menolong meninggikan
taraf hidup atau ekonomi bangsanya. Hasilnya dari rundingan antara Dato’ Onn
dan Kerajaan British dia telah menubuhkan RIDA dalam tahun 1950. Dato’ Onn
telah dilantik sebagai Pengerusi RIDA yang pertama dengan mendapat bantuan
sebanyak £10,000,000 dari Kerajaan British.’[4]
(Buku, Dato’
Onn, 1971)
Warga
kampung dan permatang yang terdiri dari petani Melayu terpaksa berhutang daripada
Ceti (orang India beragama Hindu berniaga membungakan wang) dan mereka yang digelar
‘tengkolak’ atau ‘lintah darat’ yang sentiasa mencari kelabaan dikalangan
orang-orang yang susah atau menderita. Mereka itu seperti memasang perangkap
atau jerat pada lorong atau denai dalam belukar ataupun seperti peribahasa
Melayu, ‘menahan lokah di pergentingan’.
Untuk berhutang wang dari orang-orang yang tersebut di atas, petani-petani
terpaksa berhutang dengan menggadaikan tanah mereka, seperti kampung halaman,
sawah, kebun atau dusun milik mereka kepada sang piutang.
Pada zaman itu telah terkenal beberapa ‘simpulan kata’ mengenai orang-orang
yang memberi hutang dengan mengenakan bunga atau faedah atau pun dengan cara
lain. Di Kedah dan Seberang Perai terkenal dengan nama ‘padi kunca’. Iaitu
pemilik tanah yang meminjam wang terpaksa membuat surat perjanjian dengan sang
piutang. Dalam surat itu dicatat, bahawa wang yang mereka berhutang itu dicagar
dengan tanah sawah padi dan lain (satu relung
atau beberapa relung). Nama pemilik tanah dalam geran tanah itu ditukarkan
kepada nama sang piutang. Hutang itu akan dibayar dengan padi beberapa kunca
pada musim menuai nanti.
Mereka mesti melangsaikan hutang itu dengan faedah (disebut sewa) kira-kira
sekali atau dua kali ganda dari jumlah wang yang mereka telah berhutang. Jika
pada musim menuai, hutang itu tidak dapat dilangsaikan, maka tanah yang dicagarkan
itu menjadi milik sang piutang tersebut.
Ada pula perjanjian yang dibuat antara yang berhutang dengan sang piutang,
iaitu selagi hutang itu tidak dapat dilangsaikan, maka sampai beberapa musim
padi nanti berkunca-kunca padi mesti dibayar kepada sang piutang.
Pada tahun-tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan,
banyak bidang sawah milik petani-petani miskin terlepas ke tangan sang piutang
yang terdiri dari lebai, guru agama, dan orang berada di tempat mereka atau di
tempat lain.
Misalnya petani berhutang wang RM1,000.00 dengan mencagar tanah seluas tiga
relung yang nilainya lebih RM10,000.00, tetapi kalau hutang tersebut tidak
dapat dilangsaikan, maka tanah itu terlepas ke tangan sang piutang. Petani itu
tidak mendapat sebarang bayaran dari harga tanahnya yang melebihi wang yang
petani itu telah berhutang.
Berbeza dengan berhutang dan menggadai tanah kepada Ceti. Biasanya, jika
tanah bernilai RM10,000.00 yang dicagarkan kerana berhutang RM1,000.00, jika
tidak dapat dilangsaikan hutang itu, Ceti akan melelongkan tanah tersebut.
Setelah ditolak wang pokok (yang dihutangkan kepada pemilik tanah) dan bunga,
maka baki wang harga tanah itu,
dipulangkan kepada pemilik tanah tersebut.
Di bahagian utara negeri Perak dan sampai ke Perak tengah dan Hilir Perak,
berhutang dengan mencagarkan tanah terkenal dengan ‘jual janji’. Iaitu orang
yang berhutang dan piutang menandatangani dua surat perjanjian:
1
Surat perjanjian berhutang, iaitu berapa banyak wangnya
yang diberi hutang dan tempoh akan dilangsaikan hutangnya itu dengan mencagarkan
tanah miliknya (atau milik orang lain). Nama dalam geran tanah itu ditukar kepada
nama sang piutang dengan menggunakan borang khas tukar nama dari Pejabat Tanah.
Sekiranya wang yang dipinjamnya itu tidak dapat dilangsaikan pada tempoh yang
ditetapkan, maka tanah itu menjadi milik sang piutang.
2
Surat perjanjian menyewa tanah atau rumah yang dicagarkan
itu. Kerana hendak mengelakkan daripada ‘perbuatan riba’, maka sang piutang
mengambil faedah dari wang yang dipinjamkan itu pada tiap-tiap bulan hingga
tamat tempoh dengan menerima sewa dari orang yang berhutang. Misalnya wang yang
dipinjam RM1,000.00, maka sewa tanah yang dicagar atau digadaikan itu kira-kira
RM50.00 hingga RM100.00 sebulan. Apabila cukup tempoh seperti dalam perjanjian
itu, jika wang yang dipinjam itu tidak dapat dilangsaikan, maka tanah itu menjadi
milik sang piutang, walaupun sewa tanah itu dibayar sepenuhnya pada tiap-tiap
bulan.
Kaedah berhutang
cara ‘padi kunca’ dan ‘jual janji’ masih diamalkan di beberapa kawasan negeri
Perak hingga pada masa ini. Tetapi amat sedikit jumlahnya.
Pada zaman belum merdeka, ekonomi rakyat tidak menentu.
Bilangan orang miskin lebih ramai dari orang kaya. Nafsu manusia tidak kira
miskin atau kaya; mahu makan, pakai, berhias, berhibur dan sebagainya. Semuanya
memerlukan wang. Jika tidak ada wang, maka terpaksalah berhutang.
Di antara kaedah berhutang kerana membeli pakaian, barang
kemas dan sebagainya, ialah, ‘buka kain kak’, ‘kelentung’ dan ‘manik kuran’.
Perkataan “Buka kain kak’ yang digunakan oleh orang-orang
dari negeri Kelantan yang menjaja kain songkek, batik, barang kemas dan
barangan dari perak di negeri-negeri sebelah pantai barat. Mereka menjaja dari
rumah ke rumah pada waktu siang hari. Biasanya para suami tiada di rumah kerana
keluar bekerja. Sebaik-baik sahaja penjaja-penjaja yang menggalas pundut kain
dan barangan itu tiba di halaman sesebuah rumah, mereka memberi salam terlebih
dahulu. Bila orang perempuan dari rumah itu menjenguk melalui jendela atau
keluar diambang pintu rumah mereka
berkata “buka kain kak”.
Perkataan ‘buka kain’ itu ialah sebagai menawarkan kepada
perempuan itu supaya membuka kain pundut pakaian dan barangan yang mereka galas
supaya melihat pakaian dan barangan tersebut. Pada peringkat awal pakaian,
barang kemas atau barang dari perak itu dijual secara tunai. Tetapi setelah
berulang alik ke rumah pelanggan itu dan telah menjadi rakan biasa, maka
pakaian dan barangan itu dijual dengan cara berhutang, iaitu pembeli membayar
pada tiap-tiap bulan secara ansuran.
Misalnya jika pakaian atau barangan yang mereka jaja itu dibayar
dengan tunai, berharga RM500.00, tetapi kalau berhutang selama tiga bulan,
dikena tambahan RM250.00. Dalam jual beli cara berhutang ini ada unsur riba.
‘Kelentong’ perkataan ini digunakan pada zaman
orang-orang Cina Islam yang datang menjaja barangan seperti cincin tembaga,
ubatan, kayu sugi, manik dan sebagainya di negeri-negeri Melayu. Mereka
menggunakan gendang kecil, iaitu kayu kosong sebesar cawan di kiri kanannya
dieratkan dengan kulit lembu atau kulit kambing seperti gendang. Gendang itu
ada tangkai kayu dan ada tali berhujungkan kayu atau besi untuk memukul gendang
itu. Apabila tangkai gendang kecil itu digoyang-goyangkan, maka gendang kecil
tersebut berbunyi ‘kelentong, kelentong, kelentong’.
Pada peringkat awal, orang Cina kelentong menjual barangan
mereka dengan cara tunai, tetapi setelah biasa dan telah menjadi rakan, maka mereka
menjual dengan cara berhutang, iaitu dengan cara bayar ansuran pada tiap-tiap
bulan.
Cara membayarnya sama dengan kaedah berhutang ‘buka kain
kak’ oleh orang Kelantan. ‘Mani kuran’, ialah perkataan dari dua benda yang
disatukan, iaitu manik dan Quran. Hasil penyatuan itu, maka jadilah ‘mani kuran’. Perkataan
ini dari orang-orang Arab, Iran, Kabul (Afghanistan) dan Pakistan yang menjaja
barangan seperti manik, gelang tangan, celak, bedak, Quran, mukaddam, kitab-kitab
riwayat para rasul, kitab doa dan sebagainya. Kerana mereka tidak pandai
menyebut cara betul dan tambahan pula lubang hidung mereka luas, bila mereka
menyebut dua kata benda itu, suara mereka menjadi sengau.
Mereka juga menjalankan perniagaan seperti penjaja dari Kelantan ‘buka kain
kak’ dan orang Cina Islam ‘kelentong’, iaitu berhutang dan dikenakan ganda
harga yang kaedahnya sama dengan bunga yang berunsur riba.
[1] Judi tikam ekor atau nombor ekor wujud
setelah Persatuan Cina Malaya – Malayan
Chineses Association (MCA) mengadakan
sejenis judi, iaitu loteri. Persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 1952 dan
telah berubah menjadi parti politik,
kerana menyertai UMNO(Perikatan) dalam pilihan raya Municipality Kuala Lumpur.
[2]
Mokhtar Petah, Bangsa Melayu
Menggugat Dunia, 1966, Kota Bharu, Pustaka Aman Press, hlm.46 -48.
[3]
Pada zaman itu sewa sebuah bilik hotel antara $2.00
dengan $5.00 bagi satu malam.
[4]
Anwar Abdullah, Dato’ Onn,
1971, tiada nama penerbit.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.