TERKENANG
SAHABAT PENA
Aku teringat kepada kawan-kawan yang sama dalam Sahabat Pena, ada di antara mereka telah berjaya menempa nama sebgai penulis tersohor, sasterawan, politikus dan sebagainya. Ramai yang terkandas di pertengahan jalan dan ramai pula yang telah kembali ke alam baqa.
Di antara mereka itu, Mahmud Ahmad, M.Ghazali, Abu Zaki Fadzil, Jimmy Asmara, Ahmadi Asmara, Kris Mas, Meor Aris Abu Bakar, Jihati Abadi dan Usman Awang.
Mereka itu telah berjihad dengan fikiran dan pena masing-masing. Kalau tidak keseluruhan dari fikiran mereka, sekadar separuh tentulah telah menjadi panduan, wadah dan daya ‘brain wash’ kepada pemimpin-pemimpin Melayu yang telah mengemudikan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan makmur.
Mereka dalam Sahabat Pena dan badan-badan penulis seperti ASAS 50 dan penulis-penulis di luar organisasi penulis telah menarik perhatian Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu selepas pilihanraya 27 Julai 1955. Allahyarham Abdul Razak bin Dato’ Hussein sebagai Menteri Pelajaran, telah melihat perkembangan bahasa Melayu yang telah menjadi kekuatan politik Melayu, telah mengisytiharkan penubuhan Balai Pustaka.
Kongres bahasa dan Persuratan Melayu III yang telah diadakan di Singapura, pada 16 hingga 21 September 1956, telah mengusulkan nama Balai Pustaka itu diubah kepada nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Menteri Pelajaran telah bersetuju Dewan Bahasa dan Pustaka di letakkan di bawah Kementerian Pelajaran. Pensyarah ekonomi di Universiti Malaya Singapura, Ungku Aziz telah dilantik untuk memegang jawatan Ketua Pengarah Dewan tersebut.
Rumusan yang telah dibuat dalam Sidang Bahagian A (ii) dari Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu, ialah:
TUJUAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
( a ) Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah menjadi pusat bagi
menjaga hal ehwal dan perkembangan bahasa dan persuratan
Melayu supaya tidak cacat asal usul bahasa Melayu serta
menjadi pendorong kepada perkembangan kebudayaan Tanah
Melayu kelak.
( b ) Dewan Bahasa dan Pustaka itu hendaklah menyiasat,
membongkar dan mengumpulkan semula serta menghalusi
hasil-hasil kesusasteraan Melayu dari semenjak zaman purba.
TUGAS DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
( a ) Melaksanakan perkembangan dan percantuman Bahasa
Melayu Semenanjung dengan bahasa Indonesia.
( b ) Membongkar dan menyelidik sastera Melayu lama.
( c ) Mempunyai kuasa-kuasa menapis buku-buku penerbitan luar
yang hendak digunakan oleh Jabatan Pelajaran di sekolah-
sekolah.
( d ) Membuat penentuan-penentuan tentang pemakaian bahasa
(tata bahasa, istilah-istilah dan perkara-perkara yang
berkaitan dengannya) untuk dilaksanakan dan diisytiharkan
kepada umum.
( e ) Mengeluarkan hadiah-hadiah bagi mencipta buku-buku dalam
bahasa Melayu dalam segala lapangan kepada:
i . Pengarang-pengarang Melayu di Persekutuan Tanah
Melayu, Singapura dan Kalimantan Utara.
ii . Pengarang-pengarang asing.
( f ) Bekerjasama dengan penerbit-penerbit Melayu.
( g ) Mengadakan buku-buku yang menjadi punca ilmu
pengetahuan yang penting seperti kamus, ensiklopedia dan
lain-lain.
Aku dan seluruh individu rakyat Malaysia mengakui, bahawa jasa para penulis dalam Sahabat Pena dan organisasi-organisasi penulis adalah besar dan mulia, kerana perjuangan merekalah, maka bahasa Melayu yang telah didaulatkan dengan kuat kuasa Perlembagaan Negara perkara 153 (1) iaitu untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dilaksanakan dengan memuaskan hati semua orang Melayu yang berjiwa Melayu dan Islam.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah sayap Bertongkatkan Paruh
(belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.