POHON KAYU
Dan kami menyatakan: Hai Adam, diamlah engkau dan isterimu di dalam syurga dan makanlah makanan di dalamnya dengan sepuas hati, menurut kesukaan kalian berdua dan janganlah hampiri pokok ini, nanti kalian berdua menjadi orang-orang yang zalim.
- Al Baqarah:35
Dan (firman Allah) Hai Adam, diamlah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah kalian berdua mana yang kalian sukai, tetapi jangan kalian hampiri pohon ini, kerana (kalau hampiri) kalian berdua akan menjadi orang-orang yang zalim.- Al ‘araaf: 19
Lalu syaitan membisikkan fikiran jahat kepada kedua-duanya, supaya di buka kemaluan kedua-duanya yang tertutup. Dan syaitan mengatakan: Tuhan melarang kalian berdua dari pohon ini, tidak lain supaya kalian berdua jangan menjadi malaikat atau menjadi orang-orang yang kekal.
- Al A’araaf;20
Lalu syaitan dapat menunduk (menjatuhkan)
kedua-duanya dengan tipu daya, dan setelah kedua-duanya merasa buah pohon itu, teranglah bagi kedua-duanya kemaluan kedua-duanya, kalau kedua-duanya menutup diri mereka berdua dengan daun (tanaman) syurga. Kemudian Allah memanggil kedua-duanya: Bukankah aku telah melarang engkau berdua dari (menghampiri) pohon kayu itu, dan Aku telah katakan kepada kamu berdua, bahawa syaitan itu musuh yang terang bagi kamu berdua?
- Al A’araaf: 21
Tidakkah engkau lihat, bagaimana Allah membuat perumpamaan, perkataan yang baik adalah sebagai pohon kayu yang baik, uratnya teguh dan cabangnya menjulang langit.- Ibrahim: 24
Dan perumpamaan perkataan yang buruk adalah sebagai pohon kayu yang buruk, uratnya terbongkar dari bumi dan tidak dapat berdiri tegak..
- Ibrahim:26
Dan pada ketika kami mengatakan kepada engkau: Sesungguhnya Tuhan engkau telah mengepung manusia. Dan bukanlah mimpi yang kami perlihatkan kepada engkau, melainkan untuk menjadi ujian bagi manusia, dan pohon kayu yang terkutuk (disebut) dalam Al Quran. Dan kami hendak menakutkan mereka, tetapi hal itu menambah besar kedurhakaan mereka
.- Al Isra: 60
Dan pohon kayu Zaitun yang dikeluarkan dari gunung Sinai (Thur Sinai) menghasilkan minyak dan bumbu untuk orang-orang yang memakannya.
- Al Mu’minun: 20
Allah itu cahaya langit (planet) dan bumi. Perumpamaannya cahaya Allah itu sebagai sebuah lubang yang di dalamnya pelita. Pelita itu di dalam kaca. Kaca itu bagai bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dari pohon kayu yang berkat, iaitu zaitun tidak di timur dan tidak di barat. Hampir minyaknya memancarkan cahaya (sendiri) biar pun tidak dicetuskan api. Cahaya berlapis cahaya Allah memimpin siapa yang disukai-Nya menerima cahaya-cahaya-Nya itu. Allah membuat beberapa perumpamaan untuk manusia, dan Allah itu mengetahui segala sesuatu.
- An Nur : 35
Apakah tempat (di syurga) lebih baik daripada pohon kayu Zakum (sejenis pohon yang pahit buahnya)
.- As Safaat: 62
Sesungguhnya pohon kayu itu keluar dari dasar neraka
.- As Safaat: 64
Dan kami tumbuhkan ke atasnya pohon bangsa labu (menjalar).
– As Safaat:146
Kaliankah yang menumbuhkan pohon kayu untuk menyalahkan (api) atau kami yang menumbuhkan nya?
– Al Waqi’ah:72
Lebih 20 peratus daripada kawasan permukaan bumi ini adalah ,kawasan hutan rimba. Di dalamnya pohon-pohon kayu. Hutan rimba memberi oksigen kepada alam dan melindungi alam sekitar daripada udara buruk seperti udara yang bercampur dengan debu atau habuk.
Pohon-pohon kayu yang terdapat di seluruh dunia ini terdiri daripada berbagai-bagai jenis - kayu keras, setengah keras dan lempung.
Pohon-pohon kayu dalam kawasan tropika dinamakan Cyathea dan terdapat lebih dari 600 jenis (spesis).
Di California terdapat sejenis pohon kayu, iaitu kayu merah (redwood) yang pada umum tingginya 111 meter atau 364 kaki.
Dalam ayat-ayat Quran - Al Baqarah: 35, Al A'raaf: 19, 20 dan 21 Allah S.W.T telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. mengenai manusia pertama, iaitu Nabi Allah Adam dan isterinya diperdayakan oleh syaitan masa mereka di dalam syurga. Syaitan memperdayakan mereka supaya menghampiri dan memakan buah dari pohon kayu yang bernama ‘Syajarah’ atau ‘Syajaratul Khuldi’ (Pohon Khuldi).
Akibat dari itu, maka Nabi Adam AS dan isterinya telah diturunkan oleh Allah dari syurga ke dunia ini. Mereka diturunkan bersama syaitan yang telah memperdayakan mereka.
Kita,dapati dari keterangan ayat-ayat di atas, bahawa walaupun syaitan berjaya memperdayakan Nabi Adam AS dan isterinya, tetapi syaitan telah kecundang kerana dengan perbuatannya itu menjadikan makhluk yang diperdayakan itu telah me1ahirkan keturunan (manusia) seperti sekarang ini.
Manakala pohon kayu yang dikenali oleh Nabi Allah Adam a.s dan isterinya itu telah menjadi pengetahuan bagi mereka berdua tentang betapa besar gunanya pohon kayu bagi kehidupan manusia di dunia ini.
Allah SWT telah mengemukakan pohon kayu kepada Nabi Muhammad SAW di samping memperkenalkan Nabi Adam AS dan isterinya kepada junjungan. Inilah satu rahsia atau falsafah dari Al Quran. Iaitu pengajaran bagi manusia meneroka akan asal usulnya dan mempergunakan pohon kayu bagi bahan teknologi untuk memodenkan kehidupan mereka di dunia ini.
Dalam ayat-ayat Ibrahim: 24 dan 26 Allah SWT memperjelaskan tentang pohon yang baik dan pohon yang tidak baik - pohon yang tidak baik urat (akar-akar-nya)terbongkar dari bumi dan tidak dapat berdiri tegak.
Pohon kayu telah menjadi bahan penting dalam teknologi manusia masa kini. Semenjak zaman Nabi Allah Adam AS dan keluarganya menghuni dunia ini pun pohon kayu telah menjadi bahan keperluan dalam kehidupan mereka.
Allah SWT tidak menghuraikan lebih lanjut tentang pohon kayu dan kegunaan kayu bagi manusia. Ini ada hikmatnya, iaitu supaya manusia sendiri mempelajarinya sesuai dengan falsafah atau ajarannya dalam surah Al Alaq (Segumpal darah), iaitu:
Bacalah dengan nama Tuhan engkau yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah
– Al ‘Alaq: 1, 2.
Yang mengajarkan dengan pena (tulis baca)
.- Al ‘Alaq
(Penjelasan: 'Qalam' yang dimaksudkan dalam ayat ini meliputi tulis dan baca, fikir dan kaji iaitu anak kunci ilmu pengetahuan yang meliputi segala keperluan dalam kehidupan manusia, di antaranya, sains dan teknologi, kebudayaan, komunikasi dan politik.)
Maka pohon kayu yang tersebut dalam ayat-ayat Quran seperti yang telah dikemukakan di atas dapat digunakan oleh manusia mengikut kesanggupan mereka mempelajari dan menyelidik terhadapnya mengikut falsafah Qalam .
Dalam surah 'Al Lahab' (Nyala) Allah Taala telah mengemukakan 'Kayu Api', iaitu kayu untuk dibakar dan digunakan untuk memasak makanan, meleburkan besi dan sebagainya, iaitu:
Dan isterinya memikul kayu api.
- Al Lahab:4
Pohon kayu telah wujud berjuta-juta tahun lampau di dunia ini. Menurut kajian oleh ahli ilmu kayu kayan, bahawa sejenis pohon kayu yang bernama Ginkgo telah mula tumbuh di muka bumi ini sejak 250 juta tahun yang lampau.
Berbagai-bagai jenis kayu dari berbagai jenis pohon kayu memberi guna kepada manusia dalam bidang sains teknologi yang dapat diagihkan kepada beberapa bahagian seperti berikut:
a. Bangunan, rumah, perahu, kapal, jambatan dan
perlombongan.
b. Perabot, keperluan dapur dan memasak seperti
senduk, alasan untuk memotong daging,
para-para dan sebagainya.
c. Perhiasan seperti pasu bunga, garpu, mangkuk,
paip (untuk menghisap asap tembakau dan lain-
lain.
d. Senjata, seperti batu atau gagang senapang, benting
atau kubu, untuk merobohkan kubu dan sebagainya.
e. Bahan bakar seperti kemenyan, gaharu dan cendana.
f. Bahan persolekan dan perubatan.
g. Kertas dan lain-lain.
Di negara kita ini terdapat kayu kayan yang baik untuk berbagai-bagai kegunaan, di antaranya kayu merbau, cengal, meranti, nyatuh, jati dan keruin.
Manakala kayu kayan boleh dijadikan ubat tumbuh di dalam belukar, gunung dan paya.
Semuanya itu dapat digunakan untuk faedah kepada manusia dengan menggunakan sains teknologi.
Terdapat lima ayat lagi dalam Quran yang di dalamnya menyebut 'syajara', 'syajari' dan 'sajaru' yang bererti pokok iaitu:
Tetapi, tidak! Demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebenarnya, selagi mereka belum meminta keputusan kepada engkau dalam perkara-perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak menaruh keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau lakukan dan mereka patuh (menjadi orang Islam) dengan keislaman yang sungguh.
- An Nisa: 65
Dan Dia yang menurunkan air (hujan) dari langit (awan) untuk kamu, sebahagiannya untuk minuman dan sebahagian untuk (menyuburkan) pohon-pohon yang kamu gunakan untuk ternakanmu.
- An Nahl: 10
Dan Tuhan engkau mewahyukan kepada lebah supaya membuat rumah (sarang) di bukit, di pohon kayu dan apa sahaja yang dapat mereka dirikan (sarang).
- An Nahl: 68
Atau siapakah yang mencipta langit dan bumi, dan menurunkan air (hujan) dari langit (awan) kepada kamu. Lalu kami tumbuhkan kerana air itu, kebun yang subur indah. Kamu tidak sanggup menumbuhkan pohonnya. Adakah tuhan di samping Allah? Tetapi, mereka kaum yang berpaling juga (dari kebenaran).- An Naml: 60
Sesungguhnya kamu akan memakan pohon Zakum (nama pohon yang amat pahit buahnya).
- Al Wagi’ah: 52
Begitulah kita dapati falsafah dari Quran tentang pohon kayu yang dikemukakan oleh Allah Taala yang memberi guna kepada kita dalam bidang sains teknologi hari ini.
Sebagai umat Islam kita hendaklah mempergunakan sains teknologi bagi mempelbagaikan kegunaan kayu kayan hendaklah mengikut jalan yang diredakan oleh Allah Taala, iaitu tidak mempergunakan untuk kejahatan seperti kapal laut yang dibina dengan menggunakan kayu (sebahagiannya) untuk memusnahkan umat manusia, menjadikan tempat melakukan maksiat dan sebagainya.
Maha Suci Allah Taala telah mengajar manusia dengan pohon kayu dalam kisah Nabi Adam AS dan isterinya di syurga hinggalah kepada pohon-pohon kayu di dunia ini. Semuanya itu adalah keperluan yang amat penting dalam bidang sains teknologi manusia.
(Disaring dari buku, Rahsia Dari Al Quran Sains, Teknologi dan Manusia, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.