Sunday, January 30, 2011

KISAH DARI NOVEL





CINTA DAN NALURI PEREMPUAN

Ramlah Syakir dalam lahar gelisah. Keadaannya bagaikan belut atas pasir. Cinta menjadikan dirinya hanyut dalam lautan angan-angan. Seperi kata orang tua-tua, cinta boleh menjadikan manusia bodoh. Meraban. Gila. Mati meragan. Cinta Ramlah Syakir cinta bertepuk sebelah tangan. Cinta burung pungguk.
Ramlah Syakir mencintai ‘Alimin. Tetapi lelaki yang telah beristeri itu tidak mengetahui ada orang lain mencintai dirinya. Setiap kali dia bertemu dengan gadis itu, senyuman dan perbualan, hanya senyuman dan perbualan antara seorang rakan dengan seorang rakan seperjuangan cuma. Jujur. Tiada ‘kuman perosak’ persahabatan dalam hatinya. Jauh sekali seperti peribahasa Melayu, ‘ kalau tidak ada beradan masakan tempuan bersarang rendah.’
Kadang-kadang dapat juga ‘Alimin menangkap sekilat ikan di air; fahamlah dia akan sinar mata, memek senyum dan sisip dan sulam tutur kata Ramlah Syakir yang berpengetahuan psikologi itu. Tetapi dia seorang lelaki amat mencintai istrerinya. Jika dia mencintai wanita lain, bererti dia seorang lelaki pengkhianat dalam dunia percintaan. Pengkhianat sesama manusia.
“…Ya Allah, lindungilah aku dari syaitan, hindarlah diriku dari kemungkaran kerana mengkhianti cinta isteriku, Allahu Akbar, kepada-Mu aku bertawakal,” doa ini sering dibacanya.
‘Alimin menacap tekad dalam hatinya; cintanya kepada isterinya, Tengku Intan, itulah cintanya yang pertama dan cinta itulah juga akan bersamanya meniti ke hujung hayatnya.
HARTA QARUN
Pada satu malam. Ramlah Syakir membulatkan tekadnya. Cintanya kepada ‘Alimin tidak boleh dijadikan harta Qarun terbenam dalam bumi. Mesti timbul ,mesti diketahui oleh orang yang dicintainya.Tidak berani berterus terang, bukanlah seorang perempuan yang arif bercinta. Falsafah Ramlah Syakir; bercinta seperti berperang juga, ada menang dan ada kalah.
Ramlah Syakir kuat perpegang kepada pendapat orang; menulis surat cinta mesti dengan tangan. Tidak elok dengan mesin tulis. Tidak baik dengan komputer. Cintan menggunakan kuasa elekronik tidak elok dan tidak memuaskan. Dengan sebatang pena dia telah menulis surat cintanya kepada ‘Alimin.

Tuan adib ‘Alimin,
Saya berdoa, insya Allah, tuan dalam bahagia.
Saya tidak dapat menulis surat ini dengan baik untuk tuan membacanya, tetapi saya menulisnya untuk mencurahkan isi hati saya kepada tuan. Saya berharap tuan sebagai seorang pengarang yang mengetahui hati dan naluri perempuan seperti saya, maka saya harap tuan tidak menolak harapan saya, kerana harapan ini menentukan terang atau gelapnya hidup saya pada masa hadapan.
Tuan arif bahasa cinta, tetapi tuan telah mencintai orang lain. Saya mengetahui bahasa cinta, tetapi saya mencintai tuan. Hanya tuan seorang.
Wallahi,memang telah lama saya mencintai tuan, tetapi tuan tidak memahaminya atau tuan berpura-pura tadak mahu mengetahui apa yang ada dalam hati saya. Sinar dalam mata saya. Suara dan nafas saya yang penuh dengan cinta saya kepada tuan.
Tuan,
Wabillah Allah wan nabi, saya amat mencintai tuan.Tuan sahajalah dalam dunia ini lelaki yang saya cintai, tidak ada lelaki lain. Percayalah.
Terimalah cinta saya ini tuan. Selamatkanlah diri saya dari hanyut dalam arus cinta yang akan memusnahkan diri saya. Tuan sahaja lelaki yang terdaya menyelamatkan saya, seorang perempuan yang terkapar-kapar lemah dalam arus deras itu.
Tuan yang saya cintai, Bagaimana tuan hendak menyelamatkan manusia lain di dunia ini, sedangkan diri saya tuan tidak mahu menyelamatkan. Saya harap tuan selamatkan saya. Kasihanilah saya.
Cinta saya kepada tuan sangat agung. Cinta saya juga tidak bermaksud hendak merosakkan rumah tangga tuan. Merosakkan cinta tuan dengan isteri tuan. Tetapi cinta saya meminta sedikit peluang dari tuan seperti ayat Quran dalam surah an Nisa:3..Itu sahaja.
Saya rela bermadu dengan isteri tuan, Sayyidah Intan. Saya tidak bertujuan untuk meragutkan cinta tuan kepadanya atau memusnahkan cintanya kepada tuan. Saya hanya mahu menumpang sedikit belas kasihan daripadanya sebagai seorang wanita Islam terhadap wanita Islam dari ruang yang wujud dalam ayat Quran di atas. Saya mengaku dia adalah kakak saya. Saya rela menjadi hambanya jika dia menerima saya menjadi madunya.
Kalau tuan berjalan atau meninjau ke kampung di pendalaman di Iraq ini, tuan akan mendapati dua tiga orang perempuan menggunakan sebatang antan untuk menumbuk gandum atau kacang dalam satu lesung. Tuan akan mendapati juga; antan tidak patah dan lesung tidak pecah.
Saya menanti jawapan dari tuan. Berilah jawapan
dengan surat atau dengan lisan antara kita berdua
sahaja.
Saya harapkan tuan tidak menghampakan harapan saya ini. Sesungguhnya saya akan menghadapi dunia ini dengan amat gelap jika tuan mengecewakan harapan saya.
Saya yang mencintai tuan.
Ramlah Shakir.
Ramlah Syakir amat yakin. Cintanya kepada lelaki Melayu itu akan mendapat layanan. Baginya lelaki Malayu, Arab atau lelaki dari hujung dunia mana sekali pun sukakan perempuan muda. Mereka suka beristeri lebih dari seorang. Lelaki seperti arnab dan kambing, dan haiwan-haiwan yang meragut dedaun. Makhluk-makhluk berkaki empat itu tidak menolak dedaun muda depan mata. Mamah. Telan.
BAHAGIAN PENTERJEMAHAN
Esok paginya Ramlah Syakir bercadang hendak memberi surat cintanya itu kepada Syamila supaya disampaikan kepada ‘Alimin. Tetapi dia khuatir, kalau-kalau Syamila akan memarahinya atau tidak mahu menyampaikan suratnya itu kepada ‘Alimin.
Pada waktu Ramlah Syakir datang ke pejabat ‘Alimin, seorang lelaki Sumalia yang bekerja di bahagian penterjemahan, memaklumkan kepadanya, ‘Alimin belum tiba. Mungkin lambat. Ramlah Syakir telah menyerahkan surat cintanya kepada lelaki tersebut supaya disampaikan kepada ‘Alimin.
Hati Ramlah Syakir menyanyi. Surat itu akan dibaca oleh ‘Alimin dan lelaki itu akan menyambut cintanya. Pada hari-hari berikutnya, dia akan menjadi kekasih ‘Alimin dengan tidak diketahui oleh isterinya. Hari-hari mendatangnya pula dia akan menjadi isteri kedua lelaki dari Malaysia itu. Isteri pertama lelaki itu, Tengku Intan akan menjadi rakan kongsi yang setia dengannya. Macam sindiket. Seperti dua sengkalan batu dengan seketul anaknya. Atau dua kolek satu dayungnya
Di pejabatnya, Ramlah Syakir menelefon Syamila. Kepada Syamila dimaklumkan yang dia telah menghantar surat cintanya kepada ‘Alimin.
“Itu aku tak tau, luar dari tanggungjawab aku, tetapi aku yakin ‘Alimin tidak akan menerima cinta kamu,”kata Syamila.
“Takkanlah, … belum tau lagi,”kata Ramalah Syakir.
“Kamu belum tahu lagi, Ramlah…,”kata Syamila.
“Apa, kak?”Tanya Ramlah Syakir.
“Dia lelaki Melayu, bukan lelaki Arab, kesetiaan lelaki Melayu kepada isterinya melebihi kesetiaan lelaki Arab, tau…kadang-kadang perempuan jadi macam hamba suami..,”jelas Syamila.
Ramlah Syakir diam.
“Kamu tau, surat itu tentu akan ditunjukkan kepada isterinya,…kepada aku, percayalah,” kata Syamila.
“Iakah?”Tanya Ramlah Syakir.
“Iaaa, aku tau kejujurannya, sebab itulah emak dan ayah aku anggap dia tu wali Melayu, …kamu tau,”jawab Syamila.
“Tak apa,…saya harap kakak tolong saya,”kata Ramlah Syamila.
“ …tolong boleh, tapi jangan harap aku akan tambat unta di padang…,”kata Syamila.
PERGERAKAN ISLAM
Ramlah Syakir ketawa. Hatinya berani menghadapi masalah yang mendatang. Falsafahnya mudah; cinta itu buta, dia lebih percaya kepada yang buta kerana dia terlalu faham; yang butalah membahagiakan makhluk bernyawa di dunia ini.
Sebaik-baik sahaja ‘Alimin tiba di pejabatnya, setiausahanya, Amirah Qandil memberitahu- nya, atas mejanya ada sepucuk surat dari Ramlah Syakir.
Pada waktu membuka sampul surat Ramlah Syakir,‘Alimin menyangka sampul surat itu berisi surat tugas pergerakan Islam, MAFI. Surat itu dibaca dari awal hingga ke akhirnya. Dibacanya sekali lagi. Senyumannya berbunga pada wajahnya. Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, surat itu dimasukkan ke dalam sampulnya dan dimasukkan pula ke dalam tas kulitnya.
“…hai perempuan, macamlah tak ada lelaki lain,” Alimin bersuara sambil mengeluh.
“Ya, Allah, walaupun poligami Kaululuskan, ‘…kahwinlah perempuan-perempuan yang kamu sukai; dua ,tiga dan empat, tetapi kalau kamu khuatir tidak dapat berlaku adil, hendaklah saorang isteri saja. Sadaqallahul Adzim.’ Tapi ya Allah, hindarkanlah diriku dari berpoligami,…aku cintakan isteriku, Intan…, aku tidak sanggup menduakannya, tidak sanggup, …wa sallallahu ala Sayyidina Muhammad.” Dia berdoa kepada Allah sambil mengangkat kedua belah tangannya.
RAKAN SEPERJUANGAN
‘Alimin bangun dari kerusinya. Dihela dua puntung kakinya atas permaidani biru muda. Hatinya bersuara, “…Ramlah, dia rakan seperjuangan, …dah buat fasal,…mungkin akan jadi masalah pada masa depan…”
“Kalau dia jahat, dia akan burukkan namaku,…aku harap dia jujur, dia akan faham bila aku menolak cintanya,” suara hatinya lagi.
“Aku tak boleh rahsiakan, aku akan beritahu isteriku,…kakak Syamila…,”tambah suara hatinya.
Pintu biliknya diketuk. Daun pintu terkuak. Amirah Qandil masuk memberitahunya, seorang lelaki berhajat hendak menemuinya.
“Persilakan dia masuk,”kata ‘Alimin.
“Baik,Tuan,”sahut Amirah Qandil lalu keluar.
‘Alimin melabuhkan punggungnya atas kerusi.
Seorang lelaki berkaca mata, berbaju kemeja kelabu tangan panjang, seluar khaki warna biru tua dan kasut kembes warna kelabu tua, masuk dan memberi hormat kepada ‘Alimin yang sedang berdiri.
“As salamu alaikum, saya Said Ali,”kata tetamu.
“…wa alaikum salam, saya ‘Alimin,”jawab ‘Alimin.
Mereka berjabat tangan. Erat. Ada rasa kejujuran.
‘Alimin mempersilakan Said Ali duduk atas sofa. Mereka duduk berhadapan di seberang meja.
“Apa khabar, ada hal…?”Tanya ’Alimin.
“Khabar baik,…saya datang dari Palestin, hendak berjumpa Tuan,” jawab Said Ali.
“Ia, apa hal?” Tanya ‘Alimin.
“Fasal sahabat kita, Asya syahid Abbas Marwan,…saya ada bawa dokumen- dokumennya untuk saya serahkan kepada Tuan,”kata Said Ali sambil mengerluarkan sampul surat berukuran A-4 dari tas kulit hitamnya.
Sampul surat berpindah ke tangan ‘Alimin.
“Dalam sampul itu ada sekeping cek bank oder bernilai 100,000 mata wang US atas nama tuan dan Syamila, dokumen dan surat-surat lain …,”kata Said Ali.
AMANAH ASY SYAHID
‘Alimin membuka sampul surat itu dan di perhatikan satu persatu cek, dokumen dan surat-surat tersebut.
“Allahu Akbar, …inna lilahi wa inna ilahi raji’un,” suara ‘Alimin dalam keluhan.
“Ina lillah, …kami dari barisan hadapan Palestin,…sama dalam pergerakan Islam,…saya membawa amanah asy Syahid kepada tuan dan isterinya,” kata Said Ali.
“Ia, kakak saya, baik, kita pergi berjumpa dia,”kata ‘Alimin.
“Ia, baik,”sahut Said Ali.
‘Alimin bangun dari sofa dan berjalan ke mejanya lalu mencapai telefon bimbitnya.
“…kakak di mana?”
“Di rumah.”
“Saya nak datang sekarang, sama tetamu.”
“Baik, datanglah, kakak tunggu.”
“…dalam setengah jam lagi.”
“Baik.”
“Baik, kakak.”
‘Alimin duduk semula atas sofa. Said Ali merenung wajah ‘Alimin. Senyumannya memanjang. Mesra. Tidak ada perasaan curiga terhadap ‘Alimin.
“…Tuan orang Malaysia?” Tanya Said Ali.
“Ia, Malaysia,”sahut Said Ali.
“Saya dari Hijaz, Mekah,… kampung saya di Tana’in,”jelas Said Ali.
“Oo, saya ingat Tuan orang Palestin,” kata ‘Alimin.
“Saya baru dua tahun di Palestin,…dulu di Jedah, dalam pergerakan Islam di sana,” jelas Said Ali.
“Begitu, Tuan seorang wira Muslimin,”kata ‘Alamin.
“…belum, bila telah syahid,…mungkin gelaran itu ada,”sahut Said Ali.
“Maafkan saya,”kata ‘Alimin.
“Taka pa, barakallah…,”sahut Said Ali.
Amirah Qandil masuk membawa dua gelas minuman lalu diletakkan atas meja. Sambil senyum dia meninggalkan mereka.
“…saya sering mengikuti perkembangan di Malaysia,”kata Said Ali.
“Ia,…Perdana Mahathir,timbalannya Abdullah Badawi, Perdana Menteri Nik Abdul Aziz, Fadhil Muhammad Noor, Abdul Hadi,”kata Said Ali.
“Ooo, begitu, kamu tau Nik Abdul Azizi dan Fadzil Muhammad Nur, Haji Abdul Hadi,”kata ‘Alimin.
“…ia, tetapi Mahathir seorang nasionalis, Abdullah Badawi juga nasionalis, tetapi nampaknya dia cenderung kepada politik Islam, …mahu berpandukan Quran dan as Sunnah,”jelas Said Ali.
‘Alimin mengangguk. Senyum.
“Dulu negara tuan terkenal dengan nama Jawi,…ramai orang Jawi di Mekah, ada di antara mereka menjadi ahli lembaga Masjidil Haram,”jelas Said Ali lagi.
“Ia, orang Jawi ada di mana-mana, selagi ada cahaya matahari,” sambut ‘Alimin.
Mereka ketawa. ‘Alimin belum percaya sama ada orang Melayu seperti yang dikatakan. Tetapi orang-orang China memanglah begitu.
“Baik, kita pergi ke rumah Syamila,”kata ‘Alimin.
“Ia, baik,” sahut Said Ali.
Pada ketika itu terlintas dalam otak ‘Alimin untuk perkenalkan Said Ali kepada Ramlah Syakir. Perkenalan itu nanti mungkin akan tumbuh putik cinta pada hatinya kepada pemuda dari Palestin.
Mereka berjalan keluar dari pejabat at Tahrir. Pada ketika mereka melintasi meja Amirah Qandil, gadis itu senyum dan memberi hormat kepada mereka.
(Dipetik dari manuskrip novel, Cinta Dan Jihad, oleh: Mokhtar Petah)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.