Tuesday, September 21, 2010

BERITA


Malaysia-Singapura sepakat

SINGAPURA 20 Sept. - Malaysia dan Singapura hari ini memuktamadkan tawaran pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bersetuju isu caj pembangunan tiga bidang tanah dirujuk ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa.

Tiga bidang tanah yang terkandung dalam Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) terletak di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands.

Dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir lawatan kerja Perdana Menteri ke sini, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong bersetuju menerima sebarang keputusan mahkamah tersebut sebagai muktamad.

Pernyataan bersama itu turut menjelaskan walaupun dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa bagi menentukan sama ada syarikat usahasama M-S Pte. Ltd. perlu membayar caj-caj pembangunan, ia tidak akan menjejaskan pelaksanaan POA serta inisiatif-inisiatif dua hala yang telah dipersetujui pada 24 Mei lalu.

"Kedua-dua negara mempunyai pandangan yang berbeza berhubung caj pembangunan dan bersetuju menyelesaikannya secara baik atas semangat persahabatan," kata kenyataan itu.

Sementara itu pada sidang akhbar bersama Najib berkata, langkah merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa bukanlah satu masalah besar sebaliknya melegakan kedua-dua negara.

Kata Perdana Menteri, ia juga merupakan satu langkah penambahbaikan POA dari sudut politik dan perniagaan.

''Kita perlu berusaha bagi menjadikan ia betul dari aspek undang-undang dan politik serta boleh diterima oleh rakyat Malaysia dan Singapura," katanya.

''Kita juga mahukan satu perjanjian yang boleh bertahan selamanya dan lebih penting lagi kita perlu memandang ke depan dalam hubungan dua hala ini," tegasnya.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Sementara itu, Hsien Loong pula berkata, persetujuan itu dicapai dalam semangat persahabatan dan ia akan dibawa ke mahkamah itu dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurutnya, Singapura berpandangan caj pembangunan perlu dikenakan tetapi Malaysia melihat sebaliknya.

"Ia bukan sesuatu yang patut diperdebatkan. Jadi langkah terbaik ialah merujuk ke mahkamah berkenaan dan keputusannya nanti boleh diterima kedua-dua pihak.

"Langkah ini akan dapat menyelesaikan isu yang sudah tertangguh sejak 20 tahun lalu. Kita sudah boleh bergerak ke hadapan bagi meneroka pelbagai bentuk kerjasama lain," katanya.

Najib dan Hsien Loong sudah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali sejak Mei lalu bagi menyelesaikan POA yang ditandatangani pada tahun 1990 berhubung status pembangunan tanah KTM Berhad di sini.

Pada Mei lalu kedua-dua negara bersetuju menubuhkan syarikat usaha sama M-S Pte Ltd bagi memajukan tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah.

Tanah milik KTMB itu kini ditukar dengan empat bidang tanah yang terletak dalam kawasan kewangan dan perniagaan iaitu Marina Bay dan dua lagi di kawasan Ophir-Rochor berdekatan Kampung Glam.

Sementara itu seorang pegawai Malaysia berkata, sekalipun terpaksa membayar caj, projek pembangunan tanah di kawasan itu masih berdaya maju.

Bagi tujuan itu katanya, Khazanah Nasional sudah mendapatkan nasihat dan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara kerana kedua-dua negara mempunyai tafsiran berbeza dari sudut undang-undang.

Pasukan Pelaksanaan Bersama dijangka menyelesaikan perincian berhubung pelaksanaan POA menjelang 31 Disember 2010.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online pada hari ini)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.