JIHAD DALAM PENDIDIKAN
(21 Mei 2010 / 7 Jamadilakhir 1431H)
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk:
JIHAD DALAM PENDIDIKAN.
Menurut sumber Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi pada hari ini terdapat seramai 5.7 juta orang anak-anak kita sedang belajar di sekolah-sekolah dan seramai 930,000 orang lagi sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta secara formal di seluruh negara. Selain itu terdapat juga orang dewasa dan warga emas sedang belajar secara tidak formal di masjid, surau dan kelas-kelas pengajian lain. Tumpuan besar pelajar-pelajar yang mencari dan dahagakan ilmu sebenarnya selari dengan tuntutan Islam. Firman Allah SwT dalam surah an-Nahl, ayat 43:
Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki, yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.
Rasulullah Muhammad s.a.w. menyifatkan bidang pendidikan adalah perjuangan fi sabilillah- berjuang di jalan Allah. Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang keluar menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali. - Riwayat: at-Tirmizi
Pekerjaan sebagai guru, murabbi dan pendakwah diiktiraf amat mulia di sisi agama dan masyarakat kerana mereka mewarisi tugas-tugas Rasul membimbing manusia ke jalan yang benar, pencetus hidayah, membantu mengubah nasib seseorang, mengangkat darjat seseorang, membebaskan seseorang dari kemiskinan dan membentuk tamadun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Betapa besar peranan guru ini, maka mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan menerangi laluan sama di desa atau di bandar, di darat atau di lautan. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan. - Riwayat: Imam Ahmad
Ruang lingkup pendidikan ini amat luas. Ia memerlukan perkhidmatan guru, murabbi dan pendakwah yang ramai. Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan.
Walaubagaimana pun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu kecemerlangan pendidikan.
Berdasarkan bilangan institusi pendidikan dan bilangan pelajarnya ternyata guru mempunyai pengikut yang ramai, sentiasa berkerumun mengelilingi guru-guru serta amat berpengaruh pula dalam mencorakkan nilai-nilai hidup anak-anak kita.
Persoalan besar timbul apa akan terjadi jika tidak ada guru sepenuh masa membimbing anak-anak kita dalam mengharungi pancaroba kehidupan ini?. Banyak hadis-hadis sahih menjelaskan Allah SWT sendiri, para Malaikat, penghuni langit dan bumi hatta semut sekalipun berselawat kepada guru atau orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.
Saidina Umar RA pernah berkata:
Kematian seribu ahli ibadat adalah sedikit kesannya berbanding kematian seorang alim (ahli ilmu) yang mahir dalam ilmu halal haram dalam syariat Allah.
Iman Shafie amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata:
Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Iman Malik dan guruku seperti Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini. Saidina Ali RA juga pernah berkata:
Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku.
Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin memetik nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru, katanya:
wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, kerana Allah SwT menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit.
Mimbar amat yakin habuan, pangkat dan hadiah tinggi menggunung bukanlah dituntut oleh para guru. Tetapi apa yang penting ialah murud-murid yang dibimbingnya menjadi manusia yang berguna dan mampu mengembalikan maruah agama dan martabat negara. Bagaimanapun kadangkala guru-guru menghadapi cabaran besar dalam membentuk murid yang berjaya dan bertamadun. Berdasarkan pemerhatian mimbar walaupun besar pengorbanan guru tetapi terdapat juga di kalangan ibubapa dan murid yang tidak menghormati guru.
Penghormatan kepada guru semakin longgar dan semakin luntur dalam masyarakat kita. Mimbar ingin mengingatkan para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa tidak salah jika kita berkawan rapat dengan guru, tetapi adalah salah jika kita tidak beradab dan kurang ajar kepadanya. Sejahat-jahat guru, selagi mana dia menumpahkan ilmu maka adalah perlu untuk kita menghormatinya. Ingatlah pesan Saiyidina Ali RA yang bermaksud:
Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab.
Jika kita hendak menegur seseorang guru hendaklah dilakukan dalam keadaan penuh beradab. Setinggi mana pun kita mencapai kedudukan, ingatlah kepada guru yang membimbing kita. Mimbar tidak nampak ruang dan sebab untuk seseorang murid mendabik dada kepada gurunya. Malah kalau hubungan antara murid dan guru ini baik, maka akan terhasil satu gabungan dan perkongsian ilmu yang cantik. Apa yang nyata tidak rugi jika kita menghormati guru tetapi sebaliknya satu kerugian besar jika kita tidak mengambil peluang menimba ilmu bersama guru.
Guru adalah manusia biasa, mereka juga mempunyai kelemahan. Tetapi kita sebagai anak muridnya perlu berlapang dada dan menerimanya secara waras kerana dia memberikan manfaat yang banyak kepada kita.
Ibubapa dan guru-guru adalah institusi utama yang amat berpengaruh dalam memberi pendidikan dan membentuk nilai murni di kalangan pelajar. Peranan ibubapa dan guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara malah memberi pelaburan yang menguntungkan berterusan hingga hari akhirat. Rasulullah SAW bersabda:
Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.(Riwayat Muslim)
Sempena sambutan Hari Guru pada tahun 2010 yang bertemakan: “Guru Pembina Negara Bangsa”, maka mimbar ingin merumuskan bahawa:
Pertama: Perkhidmatan perguruan dan pendidikan adalah jihad dan amalan mulia kerana mewarisi tugas para rasul dan nabi malah Allah SWT dan para malaikat sentiasa berselawat keatas guru-guru,
Kedua: Penampilan dan akhlak guru menjadi ikutan kepada murid kerana mereka mempunyai pengikut yang ramai dan pengaruh yang kuat,
Ketiga: Ibubapa dan guru perlu berkawan mesra supaya kesinambungan bimbingan dan tarbiah anak-anak dapat menghasilkan kualiti pendidikan yang cemerlang
Keempat: Ibubapa perlu melatih anak-anak supaya menghormati dan beradab dengan guru agar ilmu yang diperolehi itu berkat.
Sebagai muhasabah pentingnya ilmu dalam kehidupan , kita ikuti Firman Allah SwT dalam surah az-Zumar ayat 9:
Apakah orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal.
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.