BERILAH PELUANG AKU HIDUP
( 9 April 2010 / 24 Rabiulakhir 1431H )
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk:
’BERILAH PELUANG AKU HIDUP’
Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah. Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, di tepi jalan, di tepi hospital, di masjid, di tepi sungai, dikedai, ditempat pembuangan sampah, dihentian bas, ditandas dan lain-lain lagi.
Menurut statistik daripada pihak berkuasa di dapati jenayah membuang bayi terus meningkat dari tahun ketahun. Umpamanya pada tahun 2009 sebanyak 79 kes berbanding 76 kes pada 2007 di seluruh negara. Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2009 sebanyak 485 kes . Sebilangan besar suspek tergolong dalam kumpulan umur 18 hingga 25 tahun.
Kepada kita dan remaja khasnya, mimbar ini ingin mengingatkan bahawa zina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.
Manakala firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 93 pula ialah:
Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.
Mengikut kajian terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai. Oleh itu setiap ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak terletak kepada suasana tarbiyah dalam rumahtangga yang mereka bina. Jika suasana keimanan, keharmonian dan kasih sayang, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebahagiaan di dunia dan dia khirat.
Firman Allah SWT di dalam surah At-Thuur ayat 21:
Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya .
Selain itu, faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.
Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, ( VCD ) lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.
Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan terdedah kepada berbagai risiko termasuk kematian; di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah implikasinya apabila rohani para remaja tidak di isi dengan ajaran agama. Renungilah amaran Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 179:
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi ) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai .
Justeru itu, mimbar ini menyeru semua pihak di negara ini agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkah-langkah berikut :
Pertama - Menjadi masyarakat yang prihatin dengan situasi yang berlaku di sekeliling kita;
Kedua - Program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu;
Ketiga - Pihak yang bertanggungjawab perlulah mengawal pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama remaja;
Keempat - Program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dikawal;
Kelima - Ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas;
Keenam - Hukuman berat kepada mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah pembuangan bayi perlulah diadakan;
Ketujuh - Bagi remaja yang terlanjur diinginkan janganlah membunuh bayi yang tidak berdosa. Berilah mereka peluang untuk hidup dan bersedialah untuk bertanggungjawab atas kesilapan diri bersama dengan pasangan masing-masing;
Kelapan- Masyarakat seterusnya tidak menghukum dan meminggir mereka yang tersilap malah memberi peluang kepada mereka kembali ke pangkal jalan.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya " .
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kebsajikan Islam Malaysia – JAKIM untuk Masjid Putra dan Masjid Besi, Putrajaya).
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.