Tuesday, March 9, 2010

BERITA


Putera, Puteri Mahkota Norway lawat Malaysia


Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor bersama Putera Haakon Magnus dan Puteri Norway, Mette-Marit di Dataran Perdana, Putrajaya, semalam.- BERNAMA


KUALA LUMPUR 8 Mac - Putera Mahkota Haakon dari Norway dan isterinya, Puteri Mahkota Mette-Marit hari ini diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana di Putrajaya sempena lawatan rasmi tiga hari mereka ke Malaysia.

Setiba pasangan diraja di situ, mereka disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Putera Haakon memeriksa barisan kehormat terdiri daripada 103 orang anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Mohamad Abdullah.

Pasangan diraja itu kemudian mengadakan pertemuan dengan Najib dan isteri di Pejabat Perdana Menteri.

Selepas itu, Putera Haakon dan Puteri Mette-Marit berangkat ke Istana Negara untuk pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Pasangan diraja itu tiba di ibu negara dengan perjalanan darat dari Singapura.

Baginda berdua disambut oleh Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup, selaku menteri pengiring, setiba mereka di hotel penginapan di sini.

Mereka diiringi rombongan seramai 45 orang termasuk Menteri Perdagangan dan Industri, Trond Giske, Timbalan Menteri Luar, Erik Lahnstein, Timbalan Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Pesisir Pantai, Vidar Ulriksen dan Timbalan Menteri Petroleum dan Tenaga, Robin Martin Kass. (Berita ini diambil dari Utusan Malaysia - BERNAMA online, 9 Mac 2010)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.