Cerai: Sultan Kelantan berupaya
KOTA BHARU 21 Mac – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra berupaya melafazkan talak tiga terhadap isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad, 31, pada 12 Februari lepas di Singapura.
Peguam, Zainul Rijal Abu Bakar mengemukakan bukti di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bagi menyanggah dakwaan bahawa baginda tidak berkeupayaan membuat sebarang keputusan sendiri termasuk berhubung kes perceraian itu.
Ini berdasarkan keterangan tiga orang doktor pakar Hospital Mount Elizabeth dalam surat mereka bertarikh 1 Februari lepas kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau membacakan salah satu perenggan daripada salinan surat itu yang menyebut “His Royal Highness, Sultan of Kelantan Sultan Ismail Petra is currently capable of making his own decision (Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra sekarang ini berupaya untuk membuat keputusannya sendiri)”,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian semasa berhujah di hadapan Hakim Syarie Abdullah Man dalam sebutan kes untuk mengesahkan cerai yang difailkan oleh Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.
Surat tersebut ditandatangani oleh tiga doktor pakar Hospital Mount Elizabeth, Singapura iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Kelvin Loh, Pakar Kardiologi, Dr. Richard Ng dan Pakar Perubatan dan Neuorologi, Dr. Tang Kok Foo.
Elia Suhana yang turut hadir ke mahkamah mengenakan baju kurung dan tudung serba hijau sementara plaintif kes tersebut, Nik Rorhana juga dilihat mengikuti prosiding di dalam mahkamah sehingga selesai.
Sebelum itu, peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hasan memberitahu mahkamah pihaknya menghantar dua bantahan awal dengan memfailkan dua permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan).
Pihaknya memohon mahkamah membatalkan writ saman lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap Elia Suhana yang difailkan oleh plaintif, Nik Rorhana pada 9 Mac lalu.
‘‘Saya diamanahkan untuk membuat permohonan membatalkan writ saman yang difailkan oleh plaintif atas alasan Nik Rorhana bukan suami kepada defendan dan pada masa yang sama dia adalah pihak ketiga,” ujarnya.
Peguam bela itu turut memfailkan permohonan agar pemeriksaan tahap kesihatan dilakukan terhadap Sultan kerana meragui kedudukan kesihatan baginda yang kini dilaporkan masih gering.
‘‘Saya turut memfailkan permohonan interlokutori kedua terhadap kesihatan Sultan kerana sebagaimana yang kita maklum, tuanku berada dalam keadaan tidak berkemampuan dan gering.
‘‘Bagaimanapun permohonan ini masih di peringkat pendaftaran dan mohon mahkamah menentukan tarikh sebutan lain untuk menyerahkan saman tersebut kepada pihak plaintif,” katanya.
Zainul Rijal pula berhujah, isu berhubung permohonan pengesahan cerai anak guamnya oleh pihak ketiga akan dihujahkan mengikut undang-undang dan hukum syarak lebih terperinci dalam prosiding akan datang.
‘‘Berhubung dengan pemeriksaan kesihatan terhadap Tuanku tidak relevan kerana sepatutnya dilakukan sebelum lafaz cerai dibuat iaitu 12 Februari lepas.
“Pihak kami (plaintif) akan berhujah mengikut undang-undang syariah kenapa pihak ketiga yang membuat permohonan cerai ini,” katanya.
Selepas mendengar kedua-dua belah pihak, Abdullah menetapkan tarikh sebutan semula kes tersebut pada 4 April hadapan.
Tarikh yang sama katanya, mahkamah akan mendengar sebutan kes terhadap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid untuk memberi tunjuk sebab mengingkari perintah yang membenarkan Elia Suhana melaksanakan perintah ex-parte pada 4 Februari lalu.
Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Elia Suhana secara rasmi melawat Sultan Kelantan selama tiga hari seminggu iaitu dari pukul 7 pagi Sabtu sehingga 7 pagi Isnin namun perintah itu gagal dipatuhi.
Pada 21 Februari pula, mahkamah itu mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Tengku Anis dan dua kakitangan istana yang lain mengapa tindakan tidak boleh diambil kerana mengingkari perintah itu.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 22Mac 2010).
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.