PM ingin tahu idea orang muda
|
|
PUTRAJAYA 17 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Pemuda UMNO menganjurkan pertemuan dengan golongan muda di seluruh negara bagi mengetahui harapan mereka terhadap kerajaan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri juga mahu satu makmal khas yang menyerupai makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditubuhkan untuk mencapai tujuan tersebut.
"Perdana Menteri mengulangi pendirian bahawa zaman kerajaan tahu segala-galanya telah tamat, kita perlu kumpulkan idea mengenai harapan dan permintaan orang muda.
"Pemuda UMNO akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mencapai tujuan ini secara sistematik dan akan melaporkan hasilnya kepada Perdana Menteri dalam masa tiga bulan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat dan berdialog dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Khairy berkata, Najib turut menekankan kepentingan perpaduan di kalangan Pemuda UMNO, UMNO pusat dan Barisan Nasional (BN).
Beliau menafikan spekulasi bahawa perjumpaan dengan Perdana Menteri bertujuan menyelesaikan krisis kepimpinan dalam Pemuda UMNO seperti disebarkan dalam Internet.
"Kita tidak bincang tentang krisis kerana tiada krisis yang berlaku dalam Pemuda UMNO.
"Kita sebaliknya bincang tentang hala tuju Pemuda UMNO untuk membantu rakyat terutama generasi muda," katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, Najib berpuas hati dengan penyerahan memorandum bantahan kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.
"Saya menjelaskan bahawa memorandum ini bukan bertujuan membantah kerajaan atau rakyat Australia tetapi membantah tindakan 50 Ahli Parlimen negara itu yang menggesa Malaysia menghentikan perbicaraan kes liwat pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Tambahnya, kenyataan 50 Ahli Parlimen Australia itu berbeza dengan kenyataan Senator John Kerry dari Amerika Syarikat yang mahu perbicaraan adil ke atas Anwar.
"Kenyataan Kerry berbeza dengan Ahli Parlimen Australia kerana semua rakyat Malaysia juga mahu perbicaraan yang adil," katanya ketika ditanya sama ada Pemuda UMNO akan menyerahkan bantahan kepada kerajaan Amerika Syarikat.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 18 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.