3 wanita disebat
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
PEGAWAI Jabatan Mufti Negeri Pahang menunjukkan cara sebatan kes peminum arak dan zina pada satu seminar di Kuantan, baru-baru ini. |
Kumpulan pertama jalani hukuman ikut undang-undang syariah: Hishammuddin
PUTRAJAYA: Tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, menjadi kumpulan wanita pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini.
Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.
Sambil merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum dilaksanakan, beliau menegaskan sebatan terhadap tiga wanita itu tidak langsung mendatang kecederaan.
"Dari segi pelaksanaan dan kebimbangan orang ramai kononnya apa yang berlaku (hukuman) tidak berperikemanusiaan dan mencederakan, tidak berasas dan hanya digembar-gemburkan sedangkan apa yang dilihat tiada kesan kecederaan langsung.
"Berdasarkan temubual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati bahawa mereka reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.
"Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, mereka mengakui ia mendatang kesan yang mendalam kepada diri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini, semalam.
Beliau berkata, seorang daripada wanita itu sudah dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara sebulan, seseorang lagi akan dibebaskan hujung bulan ini manakala pesalah ketiga Jun depan.
Selain tiga wanita terbabit, katanya, empat pesalah lelaki turut dikenakan hukuman enam sebatan pada hari sama pada jam 10 pagi.
Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan hukuman itu yang didakwa sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun Kartika Seri sendiri rela untuk dikenakan sebatan.
Hishammuddin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dan kehakiman syarie dalam melaksanakan hukuman itu.
"Saya berharap isu ini tidak disalah erti sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman berkenaan adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan supaya mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik," katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 19 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.