Friday, February 19, 2010

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Mungkin ada orang yang dapat mengakui, bahawa setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, telah wujud perbedaan menerima kemerdekaan itu di kalangan orang Melayu. Orang Melayu golongan kanan, iaitu memihak di sebelah UMNO telah menganggap kemerdekaan yang telah dicapai itu sebagai satu ’nikmat’ yang tidak ada mudaratnya.

Manakala golongan kiri telah berpendapat, kemerdekaan akan menjadi batas waktu merosotnya nilai bangsa Melayu, kehakisan daulat Raja-Raja Melayu dan orang Melayu akan hanya berjaya seperti penyabung ayam, ’ memang sorak kampung tergadai’.

Tetapi kerana Tunku Abdul Rahman bersama golongannya dengan kekuatan dan kekuasaan, telah mewujudkan berbagai-bagai ’nikmat baru’, maka golongan kiri menjadi tersisih dan pendapat mereka tidak berguna lagi.

Tunku Abdul Rahman dan golongannya, secara terang menyifat dan menuduh orang Melayu golongan Kiri, sebagai ’makhluk perosak’ kepada kerajaan dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian dinamakan Malaysia.

Contoh–contoh yang nyatakan, Tunku Abdul Rahman telah membelakangi pejuang-pejuang Melayu seperti Ishak Haji Muhammad, Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestamam dan ramai lagi, sebaliknya dia telah menerima pendapat golongan keturunan pendatang – mereka golongan kapitalis -, sebagai rakan membina negara baru, Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).

Manakala cita-cita dan perjuangan orang Melayu yang tidak menyebelahi Tunku Abdul Rahman, telah dianggap oleh orang-orang keturunan pendatang sebagai chauvinist (orang yang telalu mencintai tanahair) yang mesti dikuburkan.

’Biar saya akui, bahawa dalam masyarakat berbilang – bangsa- keturunan di Malaysia juga terdaspat bahaya kemusnahannya sendiri. Kalau dibawah tekanan luar konfrantasi Indonesia, pemimpin-pemimpin bagi berbagai-bagai kaum di Malaysia menyahut seruan bukan dengan sifatnya sebagai bangsa Malaysia, tetapi sebagai sekian ramai orang-orang Melayu, Cina, India dan lain-lain, maka akhirnya mestilah berlaku perpecahan. Misalnya, kalau pucuk pimpinan di Malaysia yang berhadapan dengan seruan-seruan Indonesia supaya berpegang kepada fahaman chauvinis(orang yang terlampau cintakan tanahair) Melayu cuba menandingi atau membenci orang-orang Indonesia itu, maka tekanan akan dikenakan yang akan membahagikan bangsa kepada bandar dengan luar bandar, kepada orang-orang dagang dengan kanak-kanak Bumiputera, antara orang-orang yang maju ekonominya dengan orang-orang yang mundur ekonominya.

Bahaya yang sebenarnya ialah kelemahan dalam negeri Malaysia sendiri. Iaitu tindakan-tindakan subversiv Indonesia yang ditujukan untuk memikat orang-orang Melayu dalam Malaysia. Kalau pemimpin-pemimpin Malaysia menyahut dengan sekian ramai orang-orang Melayu, Cina dan India dan lain-lain, dan tidak sebagai bangsa Malaysia, maka timbul kerumitan. Kerana semakin kuat pucuk pimpinan Melayu di Malaysia menyuarakan faham kebangsaan Melayu, akan semakin bertambah kuat pula orang-orang bukan Melayu di Malaysia meragukan masa depan mereka. Apa akan terjadi bila perpecahan berlaku terlampau buruk benar untuk difikirkan. Cukuplah dengan mengatakan bahawa dari segi theory ada tiga kemungkinan: pertama. Malaysia akan disedut atau ditaklukkan oleh sebuah kuasa yang ketiga, kedua, satu kaum menguasai kaum-kaum yang lain di Malaysia, dan ketiga, satu pengaliran ke arah pengasingan kaum-kaum akhirnya pembelahan-bahagi Malaysia. Ketiga-tiganya mempunyai pengertian yang mengerikan.

Pada masa itulah, di mana-mana sahaja, terdengar bisikan di kalangan orang-orang Melayu, bahawa Tunku Abdul Rahman ’lembut telinga’ dengan orang-orang golongan tersebut. Manakala kalangan ahli-ahli UMNO yang kuat berpegang kepada cita-cita nasionalis Melayu dan agama Islam, telah memandang serong kepada Tunku Abdul Rahman, lebih-lebih lagi setelah Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan gagasan Malaysia dalam jamuan makan tengahari anjuran wartawan-wartawan Tenggara Asia, di Adelphi hotel Singapura. Tunku tidak berundinng lebih dahulu dengan Majlis Tertinggi UMNO dan ahli-ahli parlimen serta kabinet sebelumnya.

Tidak ramai orang yang mengetahui, bahawa kerana hendak melembutkan hati orang-orang UMNO dan orang-orang dari keturunan pendatang, Tunku Abdul Rahman telah mewujudkan satu gelaran besar kebesaran, iaitu Tan Sri. Gelaran itu tidak ada dalam ’Institusi Istana’ orang Melayu. Yang telah wujud dalam’Institusi Istana’ Melayu ialah, gelaran ’Tun’, iaitu gelaran yang paling tinggi.

Setelah gelaran ’Tan Sri’ diwujudkan oleh Tunku Abdul Rahaman, aku telah bertanya kepadanya. Jawapannya mudah dan melucukan, katanaya, ”...depa duk nak minta gelaran Tun, ...mana ada banyak, yang duk nak ghamai.”

”...apa salahnya, kita ambik Tan dari nama Tan Cheng Lock, ambil pulak Sri dari nama Sri V.T. Sambanthan, ...Tan Sri...,” kata Tunku sambil ketawa.

Aku mendapati pada sekitar Persekutuan Tanah Melayu di ambang kemerdekaan, kalangan keturunan pendatang di Singapura dan terdapat juga di Semenanjung, mempunyai rancangan yang tidak terfikir oleh semua orang Melayu, iaitu mahu menjadikan Singapura sebuah kerajaan yang tidak diperintah oleh orang Melayu. Usaha mengenepikan para politikus dan pemimpin Melayu pada masa itu telah menjadi ’bisik penjajah bentuk baru’ di Singapura. (Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah shahrir Aidid).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.